Cara Mendapat Jodoh - Bahagian 2

Dalam artikel sebelum ini telah dibincangkan berkenaan beberapa kaedah mendekatkan jodoh dengan si pencari jodoh.

Insya-Allah, kali ini kita akan sambung lagi dengan perbincangan berkenaan dengan langkah-langkah praktis tersebut.


Buka Hati Dan Minda Untuk Menerima Cinta


Kita hendaklah menyedari hakikat pentingnya ikatan perkahwinan untuk menjamin kebahagiaan dan kesejahteraan hidup pada hari-hari yang mendatang. Kita tidak boleh melampaui fitrah dengan menafikan keperluan untuk mencintai dan dicintai.

Ia merupakan sunnah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Baginda SAW membina ikatan perkahwinan seterusnya menjalinkan ikatan cinta sejati dengan semua ahli rumahnya.

Oleh sebab itu, bagi orang yang sudah bersedia untuk menerima cinta dan rela dirinya dicintai. Cinta mudah datang kepada mereka yang bersedia untuk menerima cinta, terutamanya orang yang mempunyai kemampuan.

Perlu difahami, remaja yang masih bersekolah seperti gadis berusia 15 tahun tidak termasuk dalam golongan yang telah bersedia.

Memberi Pandangan Makrifat


Cinta bermula daripada pandangan mata lalu turun ke hati. Pandang sekali dengan pandangan makrifat adalah harus namun pandangan yang berlebihan membawa dosa. 

Islam menganjurkan umatnya menundukkan pandangan mata pada sesuatu yang diharamkan.

Perempuan tidak suka lelaki yang rambang mata. Bagi mereka, lelaki sebegini gatal orangnya dan tidak akan setia.

Daripada Abu Musa, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Setiap pandangan mata yang haram adalah penzina dan sesungguhnya apabila wanita itu mengenakan haruman kemudian dia berlalu menghadiri majlis, maka dia adalah penzina.”
Hadith Riwayat an-Nasa’i
Demi terpeliharanya hubungan baik di antara kedua-dua suami isteri, maka agama Islam memerintahkan untuk melihat calon masing-masing. Dengan demikian, hal itu akan membawa keharmonian bagi kedua-duanya.

Fokus Dan Tulus Kepada Bakal Pasangan


Jangan sesekali mempermainkan perasaan orang lain dan terlalu kerap bertukar-tukar fokus memilih jodoh. Mohon bantuan Allah SWT supaya dipertemukan dengan seseorang yang ideal untuk dijadikan bakal pasangan.

Kemudian, fokus untuk memenangi hati orang tersebut dan bersikap tulus terhadapnya.

Jika malu untuk menyatakan hasrat hati, gunakan perantaraan orang tengah atau dengan cara menghantar mesej, seperti:-

“Ya Allah, aku sayang kepada wanita yang bernama Asiah Yusra ini, semoga dia juga sayang kepadaku. 
Peliharalah kami dalam redha-Mu.”

Insya-Allah dengan cara ini kita turut menghantar gelombang minda kepada bakal pasangan untuk menarik sayangnya kepada kita.

Jangan Lewat Menyatakan Hasrat Di Hati


Andai kata seorang wanita meminati lelaki, luahkan dengan mengambil kira cara yang sopan santun dan tidak menjatuhkan maruah diri. Contohnya dengan perantaraan seorang kawan yang boleh memperkenalkan diri perempuan kepada si lelaki yang diminati.

Apabla mereka dipertemukan, lelaki akan menganggap dia yang memulakan dahulu walau hakikatnya si gadis yang mulakan.

Lelaki juga jangan terlalu lama berfikir jika sudah meminati seorang perempuan. Luahkan hasrat hati dengan cara bijaksana agar dapat menambat hati si gadis. Apabila lewat menyatakan hasrat hati, ditakuti gadis idaman disunting orang.


Berkomunikasi Dengan Mesra Dan Bersemangat


Kita harus menitikberatkan agar komunikasi berlaku dalam suasana yang tidak menimbulkan fitnah. Contohnya, mahram hadir bersama atau suasana berkomunikasi itu melibatkan ramai orang.

Seseorang yang pandai berkomunikasi dengan sesiapa sahaja dan dalam apa-apa jua situasi akan menyebabkan orang mudah jatuh cinta terhadapnya. Seseorang itu dikatakan pandai berkomunikasi apabila dia berkomunikasi dengan lisan, mata, hati dan gerak badan.

Komunikasi juga adalah secara sopan santun dan bersungguh-sungguh. Islam mengatur cara hidup buat manusia yang beriman, turut mengatur tatasusila dalam berkomunikasi.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan adanya hari kemudian, hendak dia berkata dengan baik atau diam.” 
Hadith Riwayat al-Bukhari
Rasulullah SAW bersabda lagi yang bermaksud:-
“Orang Mukmin itu bukanlah orang yang suka mencela, melaknat, buruk perangai dan berkata kotor.” 
Hadith Riwayat al-Bukhari

Beri Tumpuan Pada Persamaan Dan Perkara Yang Disukai Pasangan


Jika kita berbual dengan pasangan, kita perlu memastikan perbualan itu terjadi dalam suasana yang tidak menimbulkan fitnah. Beri tumpuan sepenuhnya ketika berbual. Jangan melakukan kerja lain seperti membaca buku, menghantar SMS atau seringkali menjawab panggilan telefon.

Tunjukkan keserasian dan persamaan dengan menumpukan perbualan pada topik yang disukai pasangan. Insya-Allah, pasti terdetik di hati si dia bahawa kita seorang yang memahami minatnya dan serasi untuk dijadikan pasangan hidup.

Pandai Dan Seronok Didampingi


Setiap orang yang ingin disayangi hendaklah menilai diri dan membuang perangai buruk yang dibenci oleh orang lain. Ambil inisiatif dan luangkan sedikit masa untuk mendampingi orang lain.

Di samping masa, kadangkala kita memerlukan perbelanjaan untuk mendampingi orang lain. Jangan jadikan material sebagai penghalang untuk kita daripada mendampingi orang lain.

Di samping itu, kita hendaklah berlapang dada didampingi orang lain.

Jangan merasakan orang lain sebagai penganggu atau pencuri masa kita yang berharga. Kita hendaklah mencari jalan merasai keseronokan didampingi orang lain. Orang yang seronok didampingi dan pandai mendampingi ialah insan yang disenangi orang lain.

Mudahlah diri untuk dicintai!

Mudah Menceritakan Hal Peribadi


Tunjukkan rasa kepercayaan kepada bakal pasangan dengan mudah bercerita tentang hal peribadi kerana jika mudah kita bercerita hal peribadi kepadanya, semakin mudah juga dia akan bercerita tentang hal peribadinya.

Hal peribadi yang diceritakan perlu munasabah dan tidak keterlaluan.

Namun perlu diingat bahawa berbual-bual dengan bakal pasangan tanpa tujuan dan tanpa mahram boleh menimbulkan fitnah dan boleh menjadi racun bagi hati.

Suasana yang dimaksudkan mesti berlaku dalam suasana yang diizinkan syariat seperti ada mahram bersama, dalam suasana merisik dan perbualan itu berlaku dengan melibatkan ramai orang.

Melayani Bakal Pasangan Dengan Mesra


Erti melayani di sini perlu difahami dari kaca mata agama.

Melayan bakal pasangan tidak bermakna merelakan berlakunya zina mata dan hati, apatah lagi zina besar. Melayani yang dimaksudkan adalah untuk menunjukkan penerimaan, penghargaan dan penghormatan kita terhadap pasangan seperti sudah lama berkawan.

Perlu sentiasa diingat, selagi belum terjalin ikatan yang sah di sisi syariat, kita tidak dibenarkan keluar berdua-duaan, bersentuhan, berpegangan tangan dan berbual-bual tanpa keperluan.

Semua itu merupakan racun bagi hati dan mengakibatkan cinta menjadi sesuatu yang pedih, jijik dan jauh dari rahmat Allah SWT. Maka, cinta itu akan menjadi cinta yang berlandaskan nafsu semata-mata.

Memberi kasih Sayang Untuk Menarik Kasih Sayang Orang Lain


Sebagai hamba Allah SWT, kita hendaklah menjadikan sayang kepada Allah SWT sebagai cinta yang paling utama. Cinta kepada Allah SWT adalah cinta hakiki yang tidak boleh ditandingi keagungannya oleh sesiapapun dalam kalangan makhluk-Nya.

Cintakan Rasulullah SAW adalah cinta yang akan menyusul selepas cinta Allah SWT.

Apabila ingin dicintai oleh manusia, pastikan ia adalah cinta yang boleh menghampirkan diri kepada Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:-
“Kasihilah apa yang ada di muka bumi nescaya kamu akan dikasihi oleh mereka yang berada di langit.” 
Hadith Riwayat Abu Daud
Contohnya, seorang wanita sangat sayang kepada haiwan, seperti kucing.

Dengan izin Allah SWT, mungkin kucing itu boleh menjadi sebab pertemuannya dengan bakal pasangan tanpa disangka. Mungkin, mereka dipertemukan kerana masing-masing cuba menyelamatkan seekor kucing daripada dilanggar lori atau sebagainya.

Yakinlah, orang yang mudah memberi kasih sayang akan mudah mendapat kasih sayang walaupun sekadar memberikan kasih sayang kepada binatang!


Jangan Terlalu Jual Mahal


Seseorang wanita itu perlu berhikmah dalam mempamerkan dirinya sebagai mempunyai maruah dan kualiti. Dia tidak harus menyombongkan diri dengan lelaki sehingga menolak mentah-mentah apabila dilamar.

Jika dia tidak suka akan seseorang lelaki, maka berterus-teranglah dengan baik atau menyuruh lelaki berkenaan memasrahkan harapan kepada Allah SWT kerana apabila sudah jodoh tidak ke mana.

Hakikatnya, Allah SWT jualah yang menentukan titik pertemuan.

Wanita juga tidak harus terlalu mendambakan kasih daripada seorang lelaki lantaran hati sudah jatuh cinta. Dia perlu bertegas dan mempunyai pendirian, agar maruahnya tidak jatuh ke tangan lelaki.

Lumrahnya, lelaki suka mengambil kesempatan terhadap wanita yang harga dirinya agak murah. Selain itu, hilangnya kualiti wanita itu di mata lelaki apabila dia terlalu ‘tergedik-gedik’ minta dicintai!

Wallahua'lam

Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment