Menjadi Pendakwah Yang Kreatif

Ilmu dakwah itu ibarat ilmu pemasaran dalam perniagaan. Dakwah memerlukan kreativiti dan pelbagai ilmu sampingan perlu digabungkan bagi menghasilkan tarikan.

Sebelum kesan dakwah dapat diperoleh, perlu terlebih dahulu memikirkan kaedah untuk menarik perhatian manusia dan membuka pemikirannya, seterusnya menyampaikan maklumat dan nasihat.

Bagi memasarkan sesebuah perniagaan, penjual sanggup mengeluarkan belanja jutaan ringgit semata-mata untuk:-
  • Memberitahu produknya wujud di pasaran
  • Menerangkan keistimewaannya
  • Mempengaruhi pelanggan untuk bertindak iaitu membeli
  • Memastikan agar jenama produk itu kekal sebagai ‘bagus’ dalam kotak minda pelanggan
Proses penyampaian ilmu Islam walaupun asalnya ia sesuai dengan fitrah, namun hati masyarakat kini semakin jauh akibat hijab dan dominasi syahwat dan syaitan.

Strategi dan kreativiti yang diperlukan hampr sama dengan proses mencari dan mempengaruhi pelanggan dan perniagaan.

Tidak dinafikan, tidak mudah untuk menjadikan inti islah dan dakwah mendapat perhatian dan minat orang ramai.

Jadi, ilmu alat seperti ilmu tentang sifat manusia dan kecenderungan kontemporari mereka, bahasa yang mempengaruhi, cara keras ataupun lembut dan berselindung, berserta dalil atau santai tetapi menyengat, melalui ceramah semata-mata atau disertakan kesan audio, visual dan sebagainya amat diperlukan.

Kaedah Berbeza, Matlamat Masih Sama


Semua kaedah mempunyai kuasa untuk menarik kumpulan manusia yang mempunyai pelbagai minat dan kecenderungan yang pelbagai.

Berdasarkan pengalaman rakan-rakan pendakwah saya:-
  • Nisbah yang berminat yang kecil itu, nisbah kesedaran terhadap Islam adalah sangat kecil berbanding yang tidak berminat
  • Dalam peratusan yang kecil itu, nisbah yang menyukai mesej santai lebih besar daripada mesej berat dan berdalil
  • Daripada bilangan yang menyukai dakwah secara santai itu, nisbah yang lebih gemarkannya berserta hiburan sampingan seperti nasyid itu lebih besar, berbanding sekadar membaca atau mendengar tanpa hiburan
  • Daripada bilangan yang menyukai mesej berserta hiburan itu, bilangan yang lebih suka kepada hiburan itu sahaja melebihi bilangan yang lebih berminat dengan mesejnya.
Kita dapat melihat bagaimana sambutan yang cukup besar diberikan terhadap penyanyi popular seperti Maher Zain dan Sami Yusuf.

Berbeza dengan sebuah ceramah walaupun disampaikan oleh ulama’ terkenal seperti Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi, Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili, Syeikh Dr. Ramadan al-Buti dan lain-lain, ia perlu mempunyai nilai tambahan.

Sekali lagi, lebih ramai yang sukakan ceramah yang santai dan ringan seperti disertakan nasyid serta ada unsur lawak dan lucu.

Oleh sebab itu, kita akan dapati penceramah yang mampu menyampaikan ceramah berserta teknik tambahan tadi lebih berjaya menembusi bilangan masyarakat yang lebih besar berbanding dengan yang tidak ada nilai tambah.

Saya bukan ingin mengatakan yang ini lebih baik daripada yang itu kerana kedua-dua teknik dan cara mempunyai nilai dan sumbangan masing-masing. Jadi tidak perlu semua orang jadi penceramah yang berlawak, penceramah bernasyid ataupun penceramah berdalil dan berserta rujukan kitab.


Semua ilmuwan dan penyampai mesej Islam mempunyai matlamat masing-masing. Tidak perlu semua pendakwah berlumba-lumba menyampaikan dan merapati mad’u dengan cara yang sama.

Ada ilmuwan yang  tidak gundah gulana walaupun ceramah dan kuliahnya hanya diikuti oleh 10 atau 20 orang pendengar sahaja. Asalkan kefahaman ilmu mantap, mendalam dan manhaj berfikir yang baik dapat disemai ke dalam minda dan jiwa pendengarnya.

Itulah pencapaian dan sumbangannya kepada ummah.

Ada pula penceramah yang tidak begitu mengambil berat mesej yang disampaikannya. Walaupun mesejnya tidak berserta dengan dalil dan tidak pula menyasarkan pembentukan jangka masa panjang minda pendengarnya.

Apa yang penting baginya ketika itu adalah sekadar menyampaikan mesej yang baik kepada masyarakat sebagai alternatif kepada hiburan masa kini yang banyak melalaikan.

Kepelbagaian Medium Diperlukan


Jika ada penyampai mesej Islam (Dai) yang mampu sekali-sekala menukar teknik dan mencampuradukkan kaedah penyampaian mereka, tentunya lebih baik. Namun harus dipastikan ia sesuai dengan penerimaan audiensnya.

Saya gembira melihat ada dai yang  sudah mampu menulis novel dan cerpen. Melalui kaedah itu, kumpulan mad’u yang dahulunya tidak pernah berjaya ditembusi, kini mungkin sudah berjaya  diikat di hatinya.

Ada yang dahulunya hanya bergantung kepada ceramah di masjid dan di surau, kini sudah melebarkan jangkauan dakwah ke blog, laman web dan laman sosial Facebook. Ada pula yang mengambil pendekatan menyertai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), parti politik dan sebagainya.

Seorang pelajar dari sebuah universiti di London pernah bertanya kepada seorang ustaz:-

“Apa sebabnya ustaz menganjurkan pertandingan membuat banner untuk laman web ustaz? Bolehkah ustaz kongsikan signifikannya?”

Ustaz itu menjawab:-

“Saya cuba mempelbagaikan teknik dan medium dakwah agar maklumat yang baik dalam web saya berjaya menembusi mata dan minda peminat-peminat grafik dalam kalangan anak muda.”

Kemudian ustaz itu menegaskan, beliau menyakini usaha terbabit berjaya kerana jumlah penyertaan hampir mencecah 100 orang dalam tempoh seminggu. Ternyata hasil daripada pertandingan tersebut, web beliau diziarahi oleh individu yang tidak pernah sebelum ini mengenalinya.

Walaupun sekali dua, harapnya ada sesuatu yang boleh menangkap minatnya dan menariknya untuk terus membaca, insya-Allah.

“Malah jika ada kemampuan kewangan, ingin sahaja saya sediakan hadiah untuk pertandingan kartun pendek bermesej dan video islamik, agar peminat kartun dan mad’u yang berminat kepada mesej ringan melalui video dapat ditembusi.” Tambah ustaz itu lagi.

“Baguslah kalau begitu ustaz. Bila ustaz nak buat?” tanya pelajar itu lagi.

“Belum masanya lagi. Kena ada bajet dan kalau boleh hadiah itu mestilah agak menarik. Kalau ada orang yang nak jadi sponsor hadiah tentu boleh. Tapi belum cari dan belum ada yang nak offer,” terang ustaz itu dengan jujur.

Itulah cabaran untuk menyampaikan mesej Islam.

Ia memerlukan kreativiti sebagaimana peniaga memikirkan cara menyemat nama produk mereka ke dalam minda pengguna.

Teringat saya kepada iklan pelik, khususnya di televisyen United Kingdom.

Ada iklan yang sengaja dibuat begitu ‘menganggu’ kerana dengan cara tersebut, ia akan diingati.

Contohnya iklan di gocompare.com yang memaparkan lelaki bermisai palsu pelik menjerit-jerit dengan kuat.

Begitu juga iklan insurans Swiftcover yang memaparkan lelaki tua tanpa baju yang membuatkan aksi yang menggelikan.

Walaupun menggelikan, mesejnya berjaya masuk dan kekal dalam minda pengguna.

Video Bermesej Islam


Dalam jangka masa yang terbatas dan kekurangan kepakaran, salah seorang rakan pendakwah saya cuba menghasilkan video-video yang membawa mesej nasihat dan teguran serta mengajak manusia kepada jalan Islam yang lurus.

Sebahagian video-video zikir dan fikir itu boleh dilihat di sesetengah laman web. Ada juga yang diusahakan dengan bantuan dan kerjasama pemilik blog salafussaleh.

Ada pengetua sekolah menghantar e-mel memaklumkan beliau mengambil video tersebut dan ditayangkan di perhimpunan sekolah mereka. Bagi saya, itu satu kejayaan baru dalam menembusi pasaran mad’u dalam ceramah-ceramah yang biasa.

Seorang pakar komunikasi Barat berkata:-

“We do not think in words and phrases. 
We think only in pictures and/or images.”

Bukankah gambar itu lebih mudah memberikan maksud kepada audiens berbanding kata-kata dan tulisan.

Untuk itu, sesiapa yang mampu mengusahakan video dakwah yang menarik seperti kartun lidi yang kreatif atau memasukkan mesej tambah kepada video nasyid popular seperti nasyid Maher Zain, ia satu usaha yang sangat baik.

Tidak kira sama ada ia akan dibaca dan sampai ke hati pendengar atau tidak, tetapi paling kurang itu satu usaha untuk menyampaikan sedikit mesej tambahan kepada kumpulan sasaran yang mungkin tidak pernah ditembusi oleh penulisan kita di web, blog, majalah, akhbar dan Facebook.

Semoga ia boleh menjadi sebab kepada datangnya sesuatu kebaikan.

Allah SWT berfirman, mafhumnya:-
“Dan bahawasanya seorang  manusia tidak memperolehi selain apa yang telah diusahakannya. Dan bahawasanya usahanya itu kelak akan diperlihatkan (kepadanya)” 
Surah an-Najm 53:39-40
Allah SWT juga berfirman dalam ayat lain yang bermaksud:-
“Sesungguhnya kamu tidak dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah SWT memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya dan Allah lebih mengetahui orang yang mahu menerima petunjuk.” 
Surah al-Qasas 28:56
Nabi Muhammad SAW pula bersabda yang bermaksud:-
“Jika kamu menjadi asbab (pembawa) kepada seseorang itu mendapat kesedaran dan petunjuk (Islam), ia lebih baik untukmu daripada unta yang paling berharga (simbolik kepada nilai yang sangat tinggi).” 
Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Bagi yang tidak mampu bernasyid, bagaimana ingin menembusi pasaran peminat nasyid?

Jawabnya, menumpanglah kepada mana-mana nasyid atau ‘curi-curi’ ruang untuk menyampai mesej di situ. Seiranya tidak mampu untuk membuat filem dakwah berbajet besar, buatlah yang ringkas dan manfaatkan kewujudan YouTube.

Itu lebih baik daripada membiarkan teknologi itu dipenuhi dengan video mungkar dan tidak berfaedah. YouTube perlu dimanfaatkan dengan memperbanyakkan mesej dakwah, sama kesnya seperti Facebook dan medium internet yang lain.

Para Dai perlu Kreatif


Para dai dan individu Muslim yang mencintai Islam dan ingin sebuah masyarakat yang diredhai Allah SWT serta aman, perlu menembusi mad’u yang tidak dan belum jinak.

Mungkin mereka mempunyai minat jika medium yang kita gunakan boleh menghampirkan mesej kita kepada mereka.

Maka perlu sekali kita menerokainya, selagi mana ia tidak bercanggah dengan prinsip Islam yang qat’i.

Penerokaan itu memerlukan banyak ilmu sampingan, lantas memerlukan usaha untuk kita melengkapkan diri dengannya.

Teknik fotografi mungkin signifikan. Kemampuan bersukan juga relevan untuk mendekati ‘kaki sukan’. Begitu juga dengan pembuat video dan grafik, kartun, filem dan sebagainya.

Semua ilmu alat yang disebut sebagai contoh di atas, amat perlu agar teknik pemasaran ilmu Islam yang kita sampaikan mampu menembusi lebih banyak pihak. Tidak dinafikan ada beberapa metode yang berisiko terdedah kepada mudarat atau kontradiksi antara mudarat dan manfaat.

Kita perlu ada matlamat bagi menembusi pasaran dan pelanggan baru, agar lebih ramai yang boleh disedarkan dan dirapatkkan kepada Islam. Hakikatnya, mencari ketenangan yang ada pada Islam itu adalah fitrah kita semua.

Mungkin itulah salah satu asbab Nabi Muhammad SAW diajar dan dibiasakan dengan situasi perniagaan dari awal iaitu sejak Baginda SAW berumur 12 tahun lagi.

Wallahua'lam

Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment