Apabila Timbul Perbezaan Pendapat

Apabila bulan Syaaban menjelma, timbullah perbahasan mengenai sambutan Nifsu Syaaban. Ada golongan yang menentangnya dan ada pula yang mempertahankannya.

Demikian juga apabila Rabi'ulawal menjelma, pertikaian mengenai sambutan Maulidur Rasul pula ditimbulkan.


Cukuplah dua contoh yang saya kemukakan di sini, walaupun banyak lagi isu yang sewaktu dengannya. Saya tidak berniat membicarakan secara terperinci hujah setiap pihak, apatah lagi mentarjihkan pandangan yang lebih tepat.

Terasa diri yang kerdil ini tidak layak untuk memutuskan pandangan ulama' manakah yang lebih kuat untuk dipegang.

Tetapi apabila isu-isu seumpama ini kelihatan mula dilontar ke dalam masyarakat awam dengan cara yang agak keras dan adakalanya menyebabkan perpecahan serta bermasam muka sesama jemaah masjid, saya berasa terpanggil untuk berkongsi sedikit pandangan.

Elakkan Khilafiah, Fokus kepada Musuh Sebenar

Setiap kali isu-isu khilafiah sebegini kedengaran, saya teringat peristiwa bagaimana Rasulullah SAW memberi jawapan kepada dua kumpulan sahabat Baginda SAW yang berbeza pandangan dalam memahami arahan Baginda SAW.

Satu ungkapan Baginda SAW, tetapi difahami dengan dua kesimpulan yang berbeza oleh para sahabat.

Imam Muslim RH (no. 3317) meriwayatkan bahawa setelah selesai peperangan al-Ahzab, Rasulullah SAW mengemukakan arahan kepada para sahabat dengan bersabda yang bermaksud:-
“Jangan sesiapa pun solat Zuhur (dalam riwayat imam al-Bukhari menyebut solat Asar) melainkan di perkampungan Bani Quraizah.”
Dalam perjalanan menuju ke tempat tersebut, apabila masuk waktu Zuhur:-
  • Sebahagian para sahabat berpegang dengan makna zahir ungkapan Baginda SAW, iaitu tidak menunaikan solat melainkan apabila tiba di perkampungan Bani Quraizah walaupun waktu Zuhur berakhir
  • Sebahagian lagi terus menunaikan solat Zuhur apabila masuk waktunya. Mereka berhujah bahawa maksud Rasulullah SAW mengarahkan sedemikian supaya mereka bergerak dengan cepat sehingga sempat sampai ke perkampungan Bani Quraizah sebelum waktu Asar. Mereka menyimpulkan makna tersirat daripada arahan Baginda SAW.

Perkara menarik daripada peristiwa ini ialah apabila diberitahu kepada Baginda SAW tentang itjihad kedua-dua kumpulan sahabat tersebut Rasulullah SAW mengikrar dan tidak menyalahkan mana-mana golongan.

Kedua-duanya mempunyai hujah masing-masing berdasarkan kefahaman daripada satu nas.

Malah apa yang lebih penting ialah masalah itu selesai di situ sahaja dan tidak berlanjutan.

Para sahabat kekal berkasih sayang tanpa menyambung kembali penghujahan mereka lantas memberi keutamaan untuk fokus kepada musuh sebenar yang lebih berbahaya dan besar ancamannya iaitu Yahudi Bani Quraizah.

Mungkin ada yang akan menolak pandangan saya yang mengqiaskan peristiwa sedemikian dengan isu-isu khilafiah semasa atas dasar berbeza kekuatan hadith dan sumber istidlalnya.

Sekali lagi saya tegaskan bahawa saya tidak ingin berhujah di sini, tetapi hasrat di hati untuk mengajak rakan-rakan semua menyingkap roh ukhwah para sahabat dalam mengendalikan perbezaan pendapat dan kecekapan mereka menilai fiqah awlawiyyat (prioriti atau keutamaan).

Alangkah indah sekiranya setiap umat Islam bersangka baik terhadap saudaranya yang berbeza pendapat dengannya lantas bergerak dalam satu pakatan berhadapan dengan musuh utama agama kita iaitu Yahudi, Nasrani serta tali barut mereka yang bertopengkan Muslim.

Inilah makna yang tersirat daripada dua ayat terakhir surah al-Fatihah.

Berlapang Dada

Contoh kedua ialah ungkapan Abu Sa'id al-Khudri RH yang diriwayatkan oleh Imam Muslim RH:-
“Kami pernah menyertai Rasulullah SAW dalam satu peperangan pada bulan Ramadhan. 


Ada daripada kalangan kami yang berpuasa sepanjang bermusafir dan ada juga yang berbuka. 
Tiada seorang pun daripada yang berbuka mengutuk sahabat yang meneruskan puasa dan tiada seorang pun daripada yang berpuasa mengutuk sahabat yang berbuka. 

Masing-masing berpandangan bahawa sesiapa yang mampu untuk meneruskan puasa adalah baik. 
Demikian pula yang tidak mampu, boleh berbuka dan ia juga satu keharusan dalam agama.” 

Hadith Riwayat Muslim no. 1882
Para sahabat sentiasa berlapang dada sesama mereka dan menjaga akhlak ketika berlakunya perbezaan pendapat. Mereka menghormati pandangan orang lain walaupun bagi mereka ada yang lebih baik untuk diamalkan.

Berbeza Tetapi.....

Pengalaman seorang ustaz yang berkongsi pengalamannya ketika masih belajar di Yaman, beliau pernah bersungut dan bertanya guru beliau, Syeikh Ali Salim al-Bukair RH berkenaan masalah kepelbagaian aliran dalam kalangan golongan yang berminat dengan Islam dan juga masalah-masalah khilafiah yang membawa permusuhan dan bermasam muka dalam kalangan masayarakat Islam.

Masing-masing berusaha menyebarkan Islam kepada masyarakat bebas tetapi sedihnya apabila berlaku pertembungan pendapat antara satu sama lain mengakibatkan orang awam bertambah keliru.

Bahkan ada yang berkata:-

“Kalaulah para ustaz saling menghentam sesama mereka dalam bab agama, maka apalah salahnya saya yang jahil ini meninggalkan solat!”

Syeikh Ali tersenyum lantas menjawab dengan ringkas kepada beliau, tetapi sehingga saat ini ungkapan tersebut masih terpasak di hati beliau.

Katanya:-

“Orang yang ikhlas, pasti akan bertemu dan bertaut hati-hati mereka.”


Memang ternyata benar nasihat beliau. Walaupun kita menyaksikan ada ulama' yang berbeza aliran dan pegangan mazhab mereka, tetapi mereka kelihatan saling berkasih sayang demi kebaikan ummah, apatah lagi ketika berhadapan dengan musuh agama yang sebenar.

Mereka boleh berkerjasama sepenuh hati dalam perkara yang boleh memberi manfaat kepada ummah dengan tidak menjadikan perbezaan pendapat sebagai penghalang.

Wallahua'lam