Deraaan Psikologi Ahli Neraka

Sebelum ini saya telah menjelaskan dengan panjang lebar berkenaan pelbagai seksaan fizikal yang ahli neraka alami di neraka. Kali ini, saya hendak menunjukkan bahawa seksaan tersebut bukan hanya fizikal sahaja, namun kesakitan itu juga menyentuh aspek psikologi mereka.

Itulah al-Hutamah, api yang membakar sampai ke hati (rujuk surah al-Humazah 104: 5-9)


Seorang banduan yang ditempatkan di tempat seksaan bukan hanya merasakan penderaan fizikal, malah turut mengalami seksaan mental. 

Seringkali orang yang berada di tempat seperti ini dalam jangka masa yang lama akan menderita pelbagai penyakit jiwa seperti gila, stres, kemurungan dan sebagainya.

Apa yang dialami ahli neraka tentu jauh lebih berat. Neraka begitu gelap, panas dan penuh dengan pelbagai bentuk seksaan yang sangat pedih. Sudah tentu mereka  akan merasakan seksaan mental yang sangat berat.

Apabila membaca ayat-ayat al-Quran, saya benar-benar melihat pelbagai isyarat yang menunjukkan adanya deraan psikologi itu di neraka. Sebahagiannya cuba saya bincangkan di bawah ini secara ringkas untuk renungan kita bersama.

Penyesalan

Penyesalan adalah satu deraan mental yang sungguh berat untuk ditanggung. Perasaan ini cukup untuk mengeruhkan hidup seseorang meskipun ia dikelilingi pelbagai kenikmatan, apalagi jika ia berada dalam api yang sangat membakar.

Pada hari kiamat nanti, ahli neraka akan berasa sangat menyesal kerana tersilap memilih jalan hidup.

Mereka berasa tertipu oleh dunia, nafsu, syaitan dan kawan-kawan yang telah memesongkan mereka dari jalan Allah SWT, malah tidak dapat menyelamatkan diri mereka daripada azab Allah SWT di akhirat.

Pada saat itu, ahli nereka merasa sangat menyesal. Mereka membayangkan, senadainya mereka boleh dikembalikan ke dunia, mereka pasti mengubah pilihan hidupnya dan membuat pilihan yang betul!

Tetapi itu semua angan-angan belaka. Ia tidak akan menjadi kenyataan selama-lamanya. Mana mungkin masa boleh diputarkan kembali.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Pada saat itu, orang yang diikuti berlepas diri daripada orang yang mengikutinya. 
Mereka melihat seksaan, dan segala hubungan antara mereka terputus sama sekali.

Berkatalah orang yang mengikuti: 
“Seandainya kamu dapat kembali (ke dunia),  pasti kami akan berlepas diri daripada mereka, sebagaimana mereka berlepas diri daripada Kami.”

Demikianlah Allah memperlihatkan amal perbuatan mereka agar menjadi sesalan dan sekali-kali mereka tidak akan keluar dari api neraka.” 
Surah al-Baqarah 2:166-167
Di akhirat nanti yang ada hanya penyesalan atau kepuasan jiwa. Sesiapa yang tidak ingin menyesal di akhirat kelak, siapkanlah bekalan dari sekarang di dunia ini.

Jangan biarkan dunia, nafsu, syaitan dan kawan-kawan memesongkan kita dari jalan menuju Allah SWT.

Ditertawakan Tanpa Simpati

Untuk ahli neraka yang suka mempersendakan dan mentertawakan hamba-hamba Allah SWT di dunia, mereka akan ditertawakan di akhirat kelak. Ini suatu bentuk seksaan batin yang tidak kalah beratnya dengan pelbagai seksaan yang lain.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Sesungguhnya orang yang berdosa mereka sering mentertawakan orang yang beriman. 

Dan apabila orang yang beriman lalu di hadapan mereka, mereka saling mengerdipkan mata. 

Dan apabila mereka kembali kepada kaumnya, mereka kembali dengan gembira (mempersendakan keadaan kaum Muslimin). 

Setiap melihat orang Mukmin, mereka akan mengatakan: 
“Sesungguhnya mereka itu benar-benar orang yang sesat.”

Padahal mereka tidak diutus untuk menilai orang Mukmin. 
Maka pada hari ini, orang yang beriman mentertawakan orang kafir. 

Mereka (duduk) di atas divan-divan sambil memandang: 
“Apakah orang kafir itu telah diberi ganjaran terhadap apa yang dikerjakan oleh mereka dahulu?”” 
Surah al-Mutaffifin 83:29-36
Ayat-ayat ini menjadi penghibur bagi orang yang teguh berpegang kepada hukum Allah SWT di tengah pandangan sinis dan hinaan orang yang membencinya, sama ada daripada orang kafir ataupun pihak munafiqin yang mengaku beragama Islam.

Biarkan mereka tertawa untuk sementara waktu di dunia ini.

Di akhirat kelak, kita akan tertawa melihat mereka menanggung seksaan yang sangat hebat. Dan orang yang terakhir tertawa, ia akan tertawa lebih panjang.

Allah SWT Enggan Mendengar

Antara seksaan batin yang paling berat adalah putus asa. Yakni, apabila harapan untuk keluar daripada keadaan buruk ini tertutup sama sekali. Mereka mengeluh kepada Allah SWT, namun keluhan itu dibalas dengan herdikan yang sangat kasar.

Dalam surah al-Mu’minun diceritakan keadaan tersebut.

Ahli neraka berkata:-
“Ya Tuhan kami, keluarkan kami dari neraka (dan kembalikan kami ke dunia). 

Jika kami kembali (juga kepada kekafiran), sesungguhnya kami adalah orang yang zalim. 

Allah berfirman:-

“Tinggallah kamu dengan hina di dalamnya dan janganlah kamu berbicara dengan Aku lagi!””
Surah al-Mu’minun 23:107-108
Ucapan Allah SWT ini begitu kasar kepada mereka, seperti seseorang mengherdik seekor anjing untuk menjauhkan haiwan ini daripadanya. Seolah-olah selepas kejadian ini, Allah SWT tidak lagi berkenan berbicara dengan ahli neraka selama-lamanya.

Imam Fakhrurrazi berkata:-
“Ini adalah kata-kata terakhir yang dapat diucapkan oleh mereka. 
Selepas  itu, tiada lagi kata-kata selain pekikan dan lolongan seperti lolongan anjing.”
Seksaan Batin Di Dunia, Sebelum Di Akhirat

Beberapa seksaan batin ini sebenarnya pernah mereka rasakan di dunia sebagai akibat daripada gaya hidup mereka yang jauh daripada aturan Allah SWT. Secara zahirnya, mereka memang menikmati pelbagai kesenangan duniawi, tetapi sebenarnya mereka sedang mengalami seksaan batin yang amat hebat.

Mari kita renungi firman Allah SWT apabila menjelaskan tentang hakikat kesenangan hidup yang  dimiliki orang kafir dan munafiq di dunia, mafhumnya:-
“Maka jangan engkau mengagumi harta benda dan anak-anak mereka. 

Sesungguhnya Allah hendak menyeksa mereka dengan (harta dan anak-anak ini) di dunia dan kelak nyawa mereka akan dicabut dalam keadaan kafir.” 
Surah at-Taubah 9:55
Kita sering menyangka bahawa kebahagiaan yang dirasai oleh orang yang memiliki isteri yang cantik, rumah besar, jawatan tinggi, gaji yang banyak, kenderaan mewah, anak-anak yang sihat dan pelbagai kemudahan hidup yang lain.


Ayat ini menyangkal tanggapan tersebut.

Seringkali Allah SWT memberikan semua ini kepada seseorang hanya untuk menyeksa mereka di dunia, sebelum menerima seksaan yang lebih dahsyat di akhirat kelak.

Semakin banyak kekayaan yang diberikan, semakin banyak seksaan batin yang mereka rasakan.

Mereka hidup dalam ketakutan, cemas, hina diperbudakkan oleh hawa nafsu dan stres mengejar sesuatu yang tidak ada pengakhirannya. Itu belum lagi termasuk anak-anak yang sering menyeksa dengan pelbagai permintaan dan tingkah laku serta akhlak yang buruk.

Kedamaian Untuk Orang Yang Menuruti Hukum Allah SWT

Adapun orang yang hidup bersama-sama hukum Allah SWT, maka ia akan sentiasa hidup dalam kedamaian. Harta dan kedudukan duniawi tidak pernah menyedihkan hatinya kerana mereka hidup berdasarkan kehendak Allah SWT.

Apa yang ditakdirkan, diterima dengan penuh redha dan ikhlas. Mereka telah berada di dalam syurga sebelum meninggalkan dunia ini.

Semoga Allah SWT memasukkan kita semua ke dalam syurga dan menyelamatkan kita daripada kondisi ahli neraka.

Aamiiin ya Rabbal ‘alamiiin

Wallahua'lam

Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment