Gembirakan Hati Ibu Dan Ayah Bahagian 2

Peribadi yang hebat dan cemerlang sering dinilai melalui penampilan diri.


Jadi, gembirakan hati ibu bapa dengan mementingkan etika Islam dalam berpakaian. 

Pakai pakaian yang menutup aurat dan boleh memelihara maruah diri.

Hati ibu bapa akan tenang dan gembira melepaskan anak ke mana sahaja apabila mereka bijak menjaga penampilan dan kehormatan diri dan keluarganya. 

Tutur Kata Lambang Kesantunan

Selain itu, cara bercakap juga melambangkan peribadi seseorang.

Maksudnya, anak-anak perlu memastikan dia berkomunikasi dengan bahasa yang sopan dan menunjukkan bahawa dia menghormati orang lain. Hubungan yang hebat terjaga antara si anak dengan Allah SWT akan terlahir dalam halus dan sopannya dalam hubungan dia dengan orang lain.

Bentuk-Bentuk Akhlak

Bentuk-bentuk akhlak dengan Allah SWT:-
  • Mengenal Allah SWT dengan yakin
  • Merasakan kebesaran Allah SWT
  • Berasa takut dengan seksaan Allah SWT
  • Berasa sentiasa diawasi Allah SWT
  • Berasa rendah diri terhadap Allah SWT
  • Redha dengan setiap takdir dan ketentuan-Nya
  • Sabar dengan ujian Allah SWT
  • Mencintai Allah SWT lebih daripada yang lain dan selalu mengharapkan rahmat-Nya
  • Tawakal kepada Allah SWT dan mengharapkan rahmat-Nya
  • Rindu kepada syurga dan pertemuannya dengan Allah SWT
Bentuk-bentuk akhlak sesama manusia:-
  • Mencintai manusia sebagaimana mencintai dirinya sendiri
  • Berasa gembira dengan kegembiraannya begitu juga apabila bersedih
  • Mengharap kebaikan buatnya dan berdoa agar dijauhkan daripada bencana
  • Benci terhadap kejahatannya tetapi kasihan terhadapnya dan menasihatinya
  • Kebaikannya ditiru, kejelikannya diperbaiki dan dirahsiakan
  • Mengenang jasa dan membalasnya kerana Allah SWT
  • Memaafkannya dan sanggup meminta maaf
  • Berlapang dada dan bersangka baik dengan manusia

Andai Mereka Sudah Tiada

Doa anak-anak yang soleh dan solehah akan menjadi teman yang paling menggembirakan ibu bapa di alam barzakh selain sedekah jariah dan ilmu yang dimanfaatkan.

Setiap ketika ibu bapa ternanti-nanti hadirnya doa anak soleh. Bukannya harta kebendaan dan kemewahan yang diharapkan ibu bapa.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:-
“Apabila telah mati anak Adam, maka terputuslan amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan kepadanya.” 
Hadith Riwayat Muslim
Gembirakan Ibu Bapa Di Alam Kubur

Jika ibu bapa telah tiada, mungkin ada anak-anak berfikir, tiada lagi ruang dan peluang untuk menggembirakan ibu bapa. Jangan kecilkan dan hadkan skop menggembirakan ibu bapa hanya semasa mereka masih hidup.

Anak-anak boleh:-
  • Memperbanyakkan istighfar dan berdoa untuk mereka
  • Bersedekah amal jariah
  • Membayar segala hutang piutang
  • Melaksanakan semua wasiat yang mereka tinggalkan selagi wasiat tersebut tidak bercanggah dengan hukum syarak
  • Menghubungkan silaturahim dengan teman-teman dan kaum kerabat serta orang kesayangan ibu bapa
Cinta Rasulullah SAW Kepada Ibu Bapa

Rasulullah SAW sangat mencintai ibu bapanya.

Baginda SAW tidak pernah melihat wajah bapanya kerana bapanya meninggal dunia ketika Baginda SAW masih berada dalam kandungan ibu.

Baginda SAW lahir sebagai anak yatim.

Ibunya pula meninggal dunia ketika Baginda SAW masih kanak-kanak, menjadikan hidup Baginda SAW yatim piatu.

Namun, hal itu tidak pernah menyebabkan Baginda SAW lupa bahawa Baginda SAW pernah memiliki ibu bapa.

Apabila menginjak dewasa, Baginda SAW cuba mencari ruang berbakti kepada insan yang dicintai yang sudah dimakan bumi. Rasa kasih dan rasa ingin berbakti mendorong Baginda SAW meminta izin kepada Allah SWT agar diperkenankan sebuah pengampunan kepada ibu bapanya. 

Allah SWT tidak mengizinkannya namun masih mengizinkan Baginda SAW berbuat baik kepada mereka dengan menziarahi kuburnya.

Abu Hurairah RA meriwayatkan:-
“Nabi berziarah ke makan ibunya, lalu Rasulullah SAW menangis sehingga menangis orang yang ada di sekelilingnya. 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-

‘Aku meminta izin kepada Tuhanku untuk memohon keampunan baginya, namun Dia tidak mengizinkan aku. 

Aku kemudian meminta izin kepada-Nya untuk bersiarah ke kuburnya, lalu aku diizinkan. 

Maka ziarahlah kubur kerana sesungguhnya kubur itu dapat mengingatkan kepada kematian.” 
Hadith Riwayat Muslim no. 1622
Ringkasan Tanggungjawab Anak Terhadap Ibu Bapa
  • Apabila ibu bapa memanggil, anak harus segera menyahut dan hadir kepadanya.
  • Anak dilarang memanggil ibu bapanya dengan panggilan nama.
  • Bercakaplah dengan ibu bapa dengan gelaran yang mulia.
  • Anak-anak perlu berbicara dengan lemah lembut terhadap ibu bapa, jangan sesekali mengasarinya atau berlaku biadab.
  • Sentiasa merendahkan suara apabila bercakap dengan ibu bapa.
  • Apabila ibu bapa menyuruh untuk melakukan sesuatu, maka anak harus melaksanakannya dengan penuh taat selagi suruhan itu tidak berupa maksiat. Jika suruhan itu berupa maksiat sekalipun maka tolaklah dengan penuh rasa hormat dan meminta maaf.
  • Apabila berjalan bersama mereka, anak harus berada di belakangnya.
  • Apabila ibu bapa memerlukan layanan, maka anak harus melayaninya dengan penuh rasa hormat, walaupun kadang-kadang ibu bapa tidak berlaku adil terhadap anak-anak.
  • Sentiasa merendah diri apabila berada di hadapan ibu bapa dan cuba untuk menggembirakan hati mereka.
  • Apabila kita hendak keluar rumah atau ke mana sahaja, beritahu ibu bapa dan minta izin terlebih dahulu.
  • Jangan memasuki bilik orang tua kita sebelum meminta izin terlebih dahulu.
  • Apabila kedua-duanya memarahi atau pun memukul kita, terimalah ia sebagai hukuman dan jangan menunjukkan sikap kebencian atau marah kita kepada mereka.
  • Apabila ibu bapa memerlukan pakaian dan makanan, maka anak harus menyediakan sekadar kemampuan.
  • Setiap kali kita telah membuatkan mereka berasa sedih atau dukacita, segera menyesal atas keterlanjuran tersebut serta segera memohon maaf.
  • Jika kita sedang solat sunat, tiba-tiba ibu atau bapa memanggil, berhenti bersolat dan sahut seruan mereka walaupun seruan itu tidak ada perkara yang penting.
  • Jangan terlalu melebihkan isteri atau anak-anak daripada kedua-dua orang tua.
Anak mestilah rela terhadap ibu bapa sebagaimana dia rela terhadap dirinya sendiri. Setiap kali berdoa, doakan keampunan Allah SWT untuk ibu dan bapa dan berusaha dengan amalan yang soleh mengikut kemampuan sendiri.


Jika ibu bapa telah meninggal dunia, anak tinggikanlah martabat dan kemuliaan mereka.

Bayar hutang piutang yang masih ada dan sambung silaturahim serta hormati kenalan dan sahabat-sahabat kedua-dua ibu bapa. Jika mereka ada meninggalkan wasiat, tunaikan wasiat itu mengikut kemampuan kita.

Wallahua'lam