Indahnya Syurga, Sebaik-Baik Ganjaran

Kali ini, menerusi ayat 8 hingga 16 surah al-Ghashiyah, Allah SWT menceritakan tentang keadaan nikmat dan anugerah buat hamba-hamba-Nya yang taat.


Hikmah penceritaan ini adalah untuk memotivasikan hamba-hamba-Nya yang taat agar meneruskan amal ibadah yang dilakukan oleh mereka.

Ganjaran Setimpal

Allah SWT berfirman dalam surah al-Ghashiyah; ayat 8-12 yang bermaksud:-
“Wajah (orang yang beriman pada hari itu berseri-seri. 

Berpuas hati dengan balasan amal usahanya (yang baik yang telah dikerjakannya di dunia). 

(Mereka tinggal menetap) di dalam syurga tinggi (tempat kedudukan darjatnya). 

Mereka tidak mendengar di situ sebarang perkataan yang sia-sia. 
Di dalam syurga itu ada mata air yang mengalir.”
Mereka merasakan kesungguhan yang telah dicurahkan di dunia dahulu sememangnya mendapat balasan yang menggembirakan hati. Amat berbaloi pengorbanan sewaktu di dunia dahulu. Syurga yang didiami pula dijadikan Allah SWT pada penempatan yang tinggi.

Lazimnya di dunia, ketinggian sesuatu tempat menjadikannya lebih istimewa berbanding tempat rendah yang menghalang penglihatan.

Syurga merupakan tempat kebaikan yang dilimpahi dengan aneka nikmat, maka dengan sebab itu Allah SWT memelihara mereka daripada perkara yang sia-sia.

Untuk menjadikan nikmat kehidupan di dalam syurga ini lebih tinggi dan sempurna, Allah SWT menjadikan di dalamnya mengalir air yang deras tanpa putus.

Dalam sebuah hadith daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:-
“Sungai-sungai di dalam syurga memancar daripada anak gunung kasturi." 
Hadith Riwayat Ibn Hibban dan Abi Hatim
Di dalam ayat lain, Allah SWT memberi bayangan bahawa terdapat pelbagai jenis air sungai yang mengalir di dalamnya.

Nikmat Syurga yang Tiada Tara

Selain itu, Allah SWT memberikan penegasan bentuk-bentuk nikmat di dalam syurga dalam ayat 13-16, yang bermaksud:-
“Di situ juga ada takhta (berhias) yang tinggi (tempatnya). 

Dan gelas-gelas minuman yang disediakan (untuk mereka). 
Dan bantal-bantal yang teratur (untuk mereka berbaring atau bersandar). 
Serta permaidani-permaidani yang terhampar.”
Di sini dilakarkan bahawa di dalam syurga itu mereka mendapat tempat duduk (سُرُرٌ) seperti takhta yang ditinggikan. 

Kata nama jamak ini berasal daripada kata nama tunggal yang lazimnya merujuk kepada tempat duduk yang mempunyai tempat sandar yang cukup luas bagi membolehkan seseorang itu berbaring di atasnya.

Ini disebabkan kerehatan yang dinikmati di syurga merupakan suatu yang bersifat infiniti.

Ia menjadikan seseorang yang berada di dalamnya tidak lagi dibebankan oleh tanggungjawab-tanggungjawab seperti di dunia yang sering membebankannya dahulu.

Jika di dunia, Mukmin tiada kesempatan untuk berehat, namun kini di syurga merupakan waktu untuk berehat sepenuhnya tanpa diganggu oleh komitmen-komitmen seperti di dunia dahulu.

Menurut Ibn Kathir, satu pandangan daripada Ibn Abbas, kerusi-kerusi hebat ini pada asalnya dalam keadaan rendah. Ia akan menjadi tinggi sebaik sahaja ahli syurga naik di atasnya.

Ini bersesuaian dengan gaya bahasa bentuk pasif yang digunakan, yang memberikan isyarat bahawa kerusi tersebut rendah tetapi kemudiannya ditinggikan atas kuasa Allah SWT. Tujuan ditinggikan tempat duduk ini adalah untuk memudahkan mereka menikmati pandangan tanpa batas.

Sesetengah ulama' tafsir mengatakan ketinggian yang dimaksudkan turut mengandungi maksud kualiti kehidupan dan kemuliaan darjat sebagai balasan ketabahan mereka menghadapi kesedihan dan kesukaran semasa di dunia dahulu.

Sayyid Qutub pula mengatakan bahawa perkataan tinggi (مَرْفُوعَةٌ) turut membawa maksud kebersihan dan kesucian.

Ahli-ahli syurga turut diberi minuman di dalam gelas yang siap terhidang dan mudah dicapai, sambil bersandar pada bantal-bantal yang tersusun rapi dengan permaidani (وَزَرَابِيُّ) yang tebal menghampari tempat-tempat (مَبْثُوثَةٌ) mereka, sedia untuk diduduki oleh penghuni-penghuni syurga ini.

Demikian pandangan yang dikemukakan oleh Ibn Abbas RA dan al-Dahhak.

Dalam ayat-ayat yang lain, ahli-ahli syurga sebenarnya dilayan oleh para isteri daripada kalangan bidadari yang indah jelita semasa berada di tempat ini.

Wallahua'lam