Mulut – Pencetus Dosa Atau Doa?

Biasa kita dengar ungkapan “kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa”. Itulah perumapamaan Melayu yang banyak mendidik bangsa kita pada masa dahulu agar berhati-hati sewaktu berbicara. 

Oleh sebab itu, kita melihat orang Melayu terkenal dengan sifat bersopan santun.

Walau bagaimanapun, terdapat juga sebilangan orang Melayu yang tidak sayang mulut.

Mereka bukan sahaja “cakap lepas” sehingga menyinggung hati jiran tetangga, malah suka membawa cerita, mengumpat dan menabur fitnah. 

Mereka bersikap sebegini supaya dapat memberi masalah pada pihak lawan.

Kita dapat melihat mereka seperti tidak mendapat apa-apa kesan negatif, sebaliknya mereka boleh bergembira atas penderitaan orang lain.

Kalau begitu halnya, perumpamaan itu tidak benar-benar mendidik orang Melayu.

Atau boleh jadi, mesej perumpamaan itu tidak merujuk kepada golongan di atas walaupun zahirnya perumpamaan tersebut menunjukkan seolah-olah kedua-dua belah pihak harus berasa bahananya.

Mulut Amanah Allah SWT

Jika kita merujuk kepada ilmu tasawwuf, “mulut” ini disebut “lidah”. Itulah hakikatnya. Mulut selain menjadi saluran untuk makan dan minum, ia juga menjadi medium komunikasi.

Maka sebab itu, mulut pada hari akhirat akan menjadi saksi atas apa yang dilakukan oleh tuannya. Ketika itu manusia tidak boleh menafikannya lagi.

Lidah merupakan salah satu daripada tujuh anggota manusia yang Allah SWT amanahkan kepadanya untuk dimanfaatkan dan dijaga sebaiknya. Jadi, semua anggota itu seharusnya dignakan mengikut kehendak Allah SWT.

Mulut atau lidah sebagai contoh diamanahkan supaya bercakap perkara yang baik, membaca al-Quran dan menyampaikan ilmu yang bermanfaat. Tetapi realitinya, anggota tersebut sering disalahgunakan oleh manusia, lalu menyebabkan hubungan sesama manusia rosak binasa.

Percayalah apabila manusia tidak menjaga amanah, mulut itu akan menjadi alat pemusnah kebahagiaan masyarakat.

Oleh sebab  itu, dalam ilmu tasawwuf disebutkan, bagi mengimbangi tujuh anggota tersebut, Allah SWT menciptakan tujuh buah pintu neraka. Maknanya, bagi setiap satu bahagian anggota itu, ada neraka yang dikhususkan untuknya. 

Ini termasuklah neraka untuk mereka yang tidak menjaga amanah lidah.

Tidak Sayang Mulut?

Sungguhpun Allah SWT telah menyediakan neraka khas bagi dosa lidah, masih ramai umat Islam yang tidak pandai menjaga lidah. Seolah-olah mereka telah merelakan diri untuk masuk ke dalam neraka tersebut. 

Mengapakah ini berlaku?

Apakah mereka tidak takut kepada neraka?

Kita mungkin tidak hairan dengan ahli politik yang setiap patah ucapannya boleh menyakitkan hati parti lawan. Ucapan yang berbentuk fitnah atau umpatan sudah menjadi asam garam dunia politik.

Mungkin antara sebabnya, sudah tidak fikir akan dosa dan pahala lagi. Malah, boleh jadi mereka tidak takut akan neraka atas sangkaan peluang untuk bertaubat masih ada.

Demikian juga sifat dua orang insan yang berebut kuasa dan sebagainya. Kata-mengata antara satu sama lain sudah menjadi lumrah. Persoalannya, adakah dengan mengata orang, pihak satu lagi boleh insaf dan bertaubat?

Tidak sama sekali.

Jadi apa faedahnya berbuat begitu?

Tidak gerunkah kita andai nanti dimasukkan ke dalam neraka bahana lidah ini?

Selain itu, wanita juga antara golongan yang kurang prihatin dalam soal menjaga lidah atau mulut. Menurut kajian, wanita bercakap lebih banyak perkataan sehari berbanding lelaki.

Namun antara perkataan yang keluar itu, kita tidak pasti berapa banyak pula yang digunakan untuk menuduh dan memerli orang lain dalam gurauan. 

Barangkali sedikit sahaja kata-kata yang berunsur nasihat.


Mulut Isteri Mencetuskan Dosa

Dalam sesetengah keadaan, suami menjadi mangsa bahana mulut dan lidah isteri. Mungkin kerana kesabaran yang tinggi atau sudah lali dengan sikap isteri, rumahtangga yang dibina masih boleh bertahan. 

Semoga balasan syurga menanti suami sebegini.

Kebanyakan isteri tidak sedar mulutnya penyebab utama keruntuhan rumahtangga yang dibina bersama. Hal ini kerana setiap ungkapan lidah turut menjadi doa. Dan doa itu pula mudah dikabulkan oleh Allah SWT jika sering diulang berkali-kali.

Berdasarkan pengalaman, ramai isteri dipengaruhi rasa cemburu yang keterlaluan. Ada isteri yang tidak boleh melupakan kesalahan suami dengan turut membalas kesalahan suami dengan turut melakukan kecurangan.

Dan tidak kurang juga menuduh suami curang hanya kerana panggilan telefon ataupun SMS.

Kalau anda seorang isteri, cuba renung sejenak apakah kata-kata anda semalam kepada suami?

Adakah seperti ini:-

“SMS lagi, perempuan mana pula tu?”

“Tu nak telefon janda manalah tu...”

“Balik lambat, ada dating dengan perempuan mana?”

Itulah antara contoh dialog yang diungkapkan oleh lidah para isteri. Tahukah anda, setiap ucapan itu jika diulang setiap saat dan hari, sudah boleh menjadi doa?

Bayangkan jika doa itu diaminkan oleh suami, pasti dikabulkan Allah SWT.

Namun dalam keadaan ini, masih ada isteri yang tidak sedar kesetiaan suaminya. Dia tidak menerima penafian itu sebaliknya terus mengekalkan tuduhan. Malah setiap kali suami menafikan, semakin banyak pula tuduhan dilontarkan.

Kesannya, suami tidak lagi rasa selesa dan mungkin dengan sikap itu suami pula tidak berminat untuk duduk di rumah lagi.

Tetapi apabila suami tidak balik ke rumah, cemburunya bertambah lagi. Lalu pelbagai sangkaan buruk boleh disenaraikan. Padahal si suami keluar dan tidak balik rumah seketika kerana tidak mahu memanjangkan isu yang ditimbulkan isteri.

Percayalah jika perkara ini terus berlaku tanpa ada keinsafan daripada isteri, suami akan benar-benar mencari perempuan lain. Jika dia beriman, tentu dia akan berkahwin dengannya, tetapi jika ia tidak beriman, takut-takut berlakunya penzinaan. 

Naudzubillah!

Jadi, benarlah kerana mulut badan binasa. Suami yang pada awalnya boleh setia dengan isteri, berkahwin dengan perempuan lain. Isteri yang selama ini takut dan bimbang kedudukan suaminya, akhirnya menjadi kenyataan. 

Kenapa?

Doa isteri telah diaminkan oleh suami dan ketika itu juga Allah SWT kabulkan.

Allah SWT Makbulkan Doa Yang Serius

Isteri yang  tidak mahu dirinya dimadukan, tidak mahu suami kahwin lagi tidak boleh disalahkan kerana itu fitrah isteri.

Dia tidak sanggup berkongsi kasih sayang dengan suaminya yang satu. Tetapi fitrah itu hendaklah diiringi dengan doa yang baik. Ingatlah, Allah SWT bersama-sama dengan sangkaan hamba-Nya.

Di sinilah kesilapan isteri. Kepulangan suami ke rumah disambut dengan pelbagai tuduhan, malah ugutan:-

“Abang jangan rapat sangat dengan ustaz tu, nanti berjangkit pula.”

Kebetulan ustaz itu baru sahaja berkahwin untuk kali kedua.

Mengapa digunakan lidah untuk mendoakan suami perkara negatif?

Jika buruk yang ita ucapkan, maka keburukan yang diperolehi.

Jika poligami yang dibayangkan, maka poligami yang akan diperolehi.

Tetapi jika secara diam kita berdoa kepada Allah SWT agar diselamatkan rumahtangga dan dikuatkan iman suami, tentu lebih baik daripada membuat tuduhan yang bukan-bukan.

Oleh sebab itu, jika kita melhat suami berbual-bual dengan wanita lain, jangan terus mengesyaki dia curang tetapi doakan keselamatan iman suami.

Apabila suami tidak dicurigai, nescaya dia boleh berbual-bual dengan wanita itu dengan selamat. Tentu hatinya akan tenang dan gembira.

Percayalah wahai isteri, jika anda sayang akan suami anda dan tidak mahu hidup bermadu, gunakan mulut untuk menghiburkan suami apabila dia pulang ke rumah.

Jika anda tidak pandai mendendangkan lagu buat suami, berbuallah dengan suami baik-baik tanpa menyinggung perasaannya.

Ingatlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:-
“Dan sebaik-baik wanita ialah mereka yang boleh menggembirakan kamu apabila kamu melihatnya, yang mentaati kamu apabila kamu menyuruhnya, dan dia memelihara maruahnya serta harta kamu ketika ketiadaanmu.” 
Hadith Riwayat at-Tabrani
Jelas di sini, mulut anda amat berharga untuk mencipta sebuah rumahtangga bahagia. Maka untuk mengekalkan hubungan yang baik antara suami isteri, jagalah lidah atau mulut daripada dosa walaupun kecil.

Tidak syak lagi perumpamaan Melayu, kerana mulut badan binasa adalah sebahagian daripada ajaran Islam.

Malah skop yang cuba diperluaskan dalam isu rumahtangga umat Islam. Jadi, baik isteri mahupun suami, mulai hari ini perlu mengawal mulut.

Tutuplah mulut daripada mendoakan suami atau isteri perkara negatif.


Wallahua'lam

Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment