Putaran Perjuangan

“Perjuangan itu dirancang oleh orang alim, digerakkan oleh mereka yang ikhlas, diperjuangkan oleh sang pemberani dan dinikmati oleh si pengecut.”

Begitu antara intipati pesan seorang guru dalam pertemuan ringkas dengan anak muridnya. Pesanan serba ringkas, namun terkandung seribu hikmat. Itulah gambaran putaran perjuangan yang sentiasa berputar dalam kehidupan kita.


Hakikatnya kehidupan ini satu perjuangan. Setiap kita hidup mempunyai perjuangan masing-masing. Ada yang sekadar untuk hidup, mencari sesuap nasi bagi meneruskan kehidupan, yang ibaratnya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Ada taraf perjuangan lebih sedikit, berjuang untuk mengubah status kehidupan keluarga daripada tahap miskin fakir kepada lebih berada dan selesa.

Ada pula yang berjuang untuk memajukan diri dan kerjaya sehingga mencapai kejayaan dalam erti kata memiliki nikmat keduniaan berupa harta, kekayaan, ramainya bilangan anak dan saudara.

Tidak kurang juga yang melihat perjuangan itu sebagai satu perjuangan yang melonjakkan sesuatu idealisme dan ideologi, membawa perubahan kepada minda dan kehidupan masyarakat, membawa umat daripada satu tahap ke tahap yang lebih baik di dunia ini.

Ramai juga yang berjuang untuk kepentingan kelompok dan kumpulan tertentu, atas matlamat dan tujuan tertentu, demi cita-cita dan harapan tertentu. Ada berjuang untuk menegakkan sesebuah perjuangan yang digagaskan atas dasar dan prinsip tersendiri, yang diyakini benar oleh pengikutnya.

Dan ramai juga yang mendakwa memperjuangkan kebenaran dan keadilan, bersendikan Islam dan berasaskan al-Quran dan sunnah yang menyeru umat kepada kebaikan dan mencegah kejahatan.

Namun masih ramai yang seakan-akan berjuang atas dasar yang batil; sekadar memuaskan nafsu serta kepentingan peribadi dan kelompok, yang berpaksikan matlamat menghalalkan cara.

Berkiblatkan Ilmu dan Orang Berilmu

Menuntut ilmu juga satu perjuangan, memerlukan komitmen dan kesungguhan untuk mencapainya. Membina keluarga bahagia juga satu perjuangan, untuk mewariskan bumi ini kepada generasi yang soleh. 

Menyebarkan kebenaran juga satu perjuangan untuk menghapuskan kezaliman dan kebobrokan manusia. 

Mendidik jiwa dan roh juga satu perjuangan untuk menuju Tuhan Rab al-Jalil.

Jika kita benar-benar merenung mana-mana perjuangan, ia pasti akan dimulakan oleh orang alim. Merekalah yang mengagaskan falsafah dan dasar-dasar perjuangan.

Inilah hikmah Allah SWT membangkitkan para Nabi dan Rasul untuk setiap umat dan pada setiap zaman, untuk membawa kembali umat manusia kepada landasan perjuangan kehidupan yang sebenar.

Selepas kewafatan junjungan Nabi Muhammad SAW, tugas ini diwarisi oleh khalifah, ulama' dan mujaddid yang bangkit silih berganti sepanjang sejarah perjuangan umat ini.

Kelompok kedua dalam perjuangan ialah mereka yang ikhlas dalam perjuangan. Mukhlisin akan mejadi pengikut dan murid setia bagi para alim yang memulakan perjuangan tadi.

Mereka akan lahir sebagai pengikut yang jujur dengan perjuangan, sanggup berkorban demi memenangkan perjuangan dan mempunyai semangat juang yang tinggi. 

Keikhlasan mereka menjaga keaslian perjuangan dan membolehkan perjuangan itu diwarisi oleh generasi seterusnya. Ini gambaran generasi para sahabat yang ibarat bintang-bintang yang bergemerlapan, mewarnai keindahan perjuangan.

Berani Mengatasi Dugaan

Namun begitu, perjuangan pasti berhadapan dengan ujian dan cabaran

Ia ibarat lautan yang bergelora. 

Perjuangan itu mungkin menghadapi gelombang yang lebih hebat lagi.

Perjuangan untuk hidup, melangsungkan kehidupan, mencari erti kebahagiaan, cita-cita dan harapan memang akan berhadapan dengan pelbagai fitnah dan rintangan.

Jadi, hanya mereka yang berani sahaja akan tegar meneruskan perjuangan.

Sang pemberani akan utuh mempertahankan prinsip perjuangan, meskipun ramai yang telah lari meninggalkan barisan perjuangan. 

Mereka akan terus mara dalam perjuangan, sehingga titisan darah yang terakhir. 

Sang pemberani pasti meniupkan roh kemenangan dan kejayaan yang membakar semngat rakan seperjuangan. Sang pemberani juga akan bersabar dengan derita perjuangan kerana itu merupakan mahar untuk mencapai syurga Allah SWT.

Perjuangan memerlukan lebih ramai sang pemberani yang akan mendukung dan menopang perjuangan ke tahap jaya.

Mereka yang mahu menerobos perjuangan kehidupan, perlu memiliki keberanian dalam berjuang. Sifat berani adalah fitrah yang dianugerahkan kepada mereka yang berjiwa menang. 

Berani kerana benar, takut kerana salah

Pengecut Berjiwa Parasit

Namun tidak dinafikan, dalam putaran perjuangan, ada sekelompok yang hanya duduk sahaja menunggu kemenangan, sekadar bercita-cita dengan menangguk di air yang keruh. Inilah kelompok pengecut yang berjiwa kecil.

Jiwa kerdil mereka menjadikan mereka seperti parasit yang hanya menumpang kejayaan orang lain untuk kepentingan diri sendiri. Kelompok ini tidak jujur dengan perjuangan, tetapi antara yang terawal mendabik dada merayakan kemenangan. 

Berawaslah kita daripada kelompok ini. Marilah kita menetapkan pendirian kita. 

Di mana kita? 

Dalam kelompok mana? 

Adakah kita ingin tergolong dalam kalangan kelompok pertama, kedua atau ketiga? 

Atau sekadar berpada sebagai si pengecut yang menunggu sahaja peluang atas perjuangan orang lain?


Marilah kita menjadi manusia mulia yang bersama-sama dengan kelompok para pejuang. Perjuangan memerlukan gabungan mereka yang alim, ikhlas dan berani tetapi tidak si pengecut.


Tepuk dada, tanyalah diri kita

Di manakah kita?

Wallahua'lam