Semut Boleh Bercakap?

Apabila kita memerhatikan dinding rumah, kita mungkin akan melihat barisan semut yang teratur dan menuju ke arah sumber makanan. Barisan mereka begitu rapi dan teratur, tiada potong-memotong dan tiada yang menyerbu dari semua arah.

Kalau terdapat semut lain yang datang dari arah bertentangan, mereka seolah-olah berkomunikasi dengan berhenti seketika dan menyentuh sesungut rakan mereka. Mereka seolah-oleh sedang mengalirkan satu informasi kepada satu yang lain melalui sesungut yang disentuh.


Hasil dari pemerhatian ini, para saintis dahulu beranggapan bahawa semut berkomunikasi antara satu sama lain dengan menggunakan signal-signal kimia yang disebut sebagai feromon.

 Mereka menyatakan bahawa tiada cara lain untuk semut berkomunikasi melainkan hanya dengan signal kimia.

Mereka juga menempelak ayat-ayat al-Quran yang menceritakan kisah Nabi Sulaiman AS dan tentera-tentera Baginda AS dengan sekumpulan semut, kerana ayat tersebut menerangkan bahawa semut telah berkomunikasi dengan menggunakan bunyi.

Firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Dan dihimpunkan untuk Sulaiman tenteranya daripada kalangan jin, manusia dan burung lalu mereka diatur dengan tertib (dalam barisan). 


Hingga apabila mereka sampai di lembah semut, berkatalah seekor semut: 

‘Hai semut-semut, masuklah kamu ke dalam sarang-sarangmu, agar kamu tidak dipijak oleh Sulaiman dan tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari.’

Maka Baginda tersenyum dengan tertawa kerana mendengar perkataan semut itu, dan Baginda berdoa: 

‘Wahai Tuhanku! 
Berikan aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada kedua-dua orang ibu bapaku dan untuk mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai, dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-Mu yang soleh.’” 

Surah al-Naml 27:17-19
Sistem Komunikasi sebuah Koloni

Namun kemajuan teknologi audio membolehan para saintis membuat kajian demi kajian mengenai cara semut berkomunikasi antara satu sama lain dengan tepat.

Meskipun kita tidak dapat mengesan dengan pancaindera kita, semut sebenarnya mempunyai pelbagai kaedah untuk berkomunikasi. Mereka menggunakan deria tersebut setiap saat dalam kehidupan mereka, daripada mencari makanan kepada membina sarang mereka dan menyerang musuh.

Sistem komunikasi yang digunakan oleh mereka benar-benar memeranjatkan kita. Mereka mempunyai urat saraf berjumlah 500,000 yang dipadatkan di dalam badan mereka yang saiznya hanyalah 2 hingga 3 milimeter sahaja.

Kajian saintifik mengenai semut menunjukkan bahawa serangga kecil ini mempunyai organisasi sosial yang sangat tersusun. Berbeza dengan sebahagian serangga yang lain yang suka hidup sendirian dan tidak suka hidup berkelompok.

Semut-semut ini hidup dalam satu koloni yang terdiri daripada pelbagai sistem sosial yang tersusun seperti permaisuri, askar, pekerja dan sebagainya.

Sebagai salah satu keperluan untuk sebuah organisasi, mereka memerlukan satu sistem komunikasi yang berkesan. Adalah mustahil bagi satu koloni yang besar yang mempunyai organisasi yang tersusun tetap tidak mempunyai cara komunikasi dengan baik dan cekap.

Tentu sekali semut-semut ini mempunyai sistem komunikasi yang sangat efektif untuk menyusun anggota-anggota yang terlalu banyak dalam satu koloni.

Merakam suara Semut

Salah seorang saintis yang membuat kajian mengenai semut ialah Professor Jeremy Thomas dari Universiti Oxford.

Dalam kajiannya, beliau telah menggunakan perakam suara khas yang kecil untuk merakan suara permaisuri semut di dalam sarang.

Selepas beberapa ketika, perakam itu dimainkan semula ke arah sekumpulan semut di luar sarang untuk melihat respons semut-semut tersebut terhadap rakaman suara yang tidak mampu didengar oleh manusia itu.

Agak memeranjatkan apabila semut-semut di dalam sarang tersebut menjadi kaku dan menggerakkan sesungut mereka seolah-olah mereka dengar dan memberi respons pada bunyi rakaman yang dimainkan.

Semut-semut tersebut seolah-olah cuba memahami arahan yang dihasilkan oleh suara yang dirakam daripada permaisuri tadi. Kemudian sebahagian semut tersebut menghampiri perakam suara tersebut dan menyentuh dengan sesungut mereka seolah-olah ingin berkawan dengan perakam suara tersebut.

Professor Jeremy Thomas juga membuat kajian ke atas sejenis larva rama-rama yang mampu menghasilkan bunyi sama dengan bunyi yang dihasilkan oleh permaisuri semut tersebut.

Atas kelebihannya itu, larva rama-rama tersebut dibawa oleh semut ke dalam sarang mereka di mana ia diberikan perlindungan dan makanan oleh koloni semut.

Apabila koloni semut tersebut diganggu, semut-semut akan cuba melindungi dan menyelamatkan larva rama-rama tersebut sebelum menyelamatkan diri mereka.

Professor Robert Hicking juga merupakan salah seorang saintis yang banyak melakukan kajian mengenai semut. Beliau juga telah meluangkan masa bertahun-tahun hanya untuk membuat pemerhatian terhadap semut dan getaran bunyi yang mereka hasilkan.

Agak memeranjatkan apabila beliau menemui frekuensi bunyi yang dihasilkan oleh seekor semut berbeza apabila ia berkomunikasi dengan semut yang berlainan.

Pelbagai bunyi semut telah direkodkan dengan jayanya oleh beliau dan hasil kajian tersebut telah diterbitkan dalam Journal Sound and Vibration pada tahun 2006.

Selepas itu, dengan menggunakan alat perakam dan pembesar suara yang berteknologi tinggi, beliau telah berjaya mengubah frekuensi suara semut tersebut ke dalam frekuensi yang boleh didengari manusia.

Professor Robert Hicking menjelaskan bahawa semut tidak akan memberi respons kepada suara manusia. Namun apabila mereka menggunakan suara semut yang dirakam, semut-semut tersebut segera memberikan respons kepadanya.

Ini bermakna semut mempunyai bahasa mereka sendiri dan cara mereka berkomunikasi adalah seeprti manusia juga, iaitu dengan menggunakan bunyi.

Saintis akur al-Quran satu Mukjizat

Sistem komunikasi yang begitu canggih ini hanya diketahui oleh saintis beberapa tahun yang lepas.

Namun al-Quran telah pun menjelaskan kepada kita mengenai sistem komunikasi ini, melalui ayat-ayat al-Quran tersebut.

Kita dapat mengetahui secara jelas bahawa semut mempunyai bahasa untuk berkomunikasi dengan semut-semut lain dan Allah SWT menganugerahkan Nabi Sulaiman AS kebolehan mendengar dan memahami suara semut tersebut.

Saintis-saintis yang pada awalnya mengkritik hebat ayat-ayat al-Quran terpaksa menelan kembali kritikan itu selepas penemuan dibuat mengenai komunikasi sesama semut.

Mereka kemudiannya menarik kembali dakwaan mereka terhadap ayat al-Quran mengenai semut, sedangkan sebelum ini mereka hebat mencerca.

Wallahua'lam

Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment