Belanja Sebulan Setahun Ditabung

Pejam celik, pejam celik...tiba-tiba Syawal sudah hampir di ambang pintu. Begitulah hakikatnya pantasnya masa berlalu. 

Rasanya baru sahaja kita merayakan Aidilfitri tahun lepas!

Dalam debaran menanti lebaran, suka duka bersarang di dada. 

Dengan kekalutan menjalani kehidupan seharian, kesibukan urusan pekerjaan serta kekusutan masalah kewangan, membuatkan kita alpa dengan perancangan menyambut hari mulia ini. 

Sedangkan tanpa perancangan yang betul, akan hambar sambutan yang penuh erti ini, malah boleh menimbulkan pelbagai komplikasi lain seperti penyakit darah tinggi bermusim dan juga tekanan emosi!

Lain Padang Lain Belalang

Perancangan apakah yang diperkatakan ini?

Sudah pasti saya akan menyentuh dan mengutamakan aspek perancangan kewangan dalam menyambut ketibaan Syawal. Dalam senario sekarang, apabila kos sara hidup semakin tinggi dan menuntut kita berjimat cermat, sudah tentu soal kewangan dan kaedah pengurusannya perlu diberi perhatian khusus.

Sama ada mereka yang sudah berkeluarga mahupun masih bujang, isu perbelanjaan berhemah sewajarnya menjadi amalan. Bagi yang mempunyai keluarga, sudah pasti keperluan itu semakin kritikal.

Maklumlah semakin banyak kepala, semakin banyak pula ragamnya; seperti lain padang lain pula belalangnya.

Membicarakan soal persiapan Aidilfitri, sukar menepis keinginan berbelanja yang mungkin didorong keseronokan meraikan Syawal. Manusia terpedaya dan tewas dalam ‘memberi hadiah’ kepada diri sendiri kononnya setelah ‘penat’ berpuasa sebulan.

Seringkali kecenderungan itu memerangkap kita untuk berbelanja melebihi kemampuan atas alasan ‘Hari Raya setahun sekali’.

Atas alasan ini juga, ramai antara kita sanggup menderita menanggung hutang tahun demi tahun kerana ingin beraya sakan! 

Ini termasuklah membeli kereta baru untuk balik kampung dengan tujuan membuktikan kepada orang kampung betapa taraf hidupnya telah meningkat berbanding tahun sebelumnya!

Islam tidak melarang umatnya mengutamakan keindahan dalam sesuatu perkara kerana keindahan itu ialah kesempurnaan yang boleh membangkitkan ketenangan.

Kita juga diharuskan melakukan apa-apa sahaja yang disukai demi keselesaan dirinya sendiri mahupun keluarga, tetapi bukanlah sampai melanggar batas syariat dan berniat untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah-megah kepada orang lain.

Rasulullah SAW bersabda dalam hadithnya yang bermaksud:-
“Tidak akan masuk syurga seseorang yang ada dalam hatinya perasaan sombong walaupun sebesar zarah.”

Seseorang lelaki berkata:-


“Sesungguhnya seseorang itu suka pakaian dan kasutnya cantik.”


Baginda SAW bersabda yang bermaksud:-


“Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan Allah suka kepada keindahan.”

Hadith Riwayat Muslim
Belanja Sebulan Menabung Setahun

Ibu bapa yang memiliki ramai anak tentu pening memikirkan soal bajet Aidilfitri. Bagi yang bijak merancang, modal atau wang belanja menyambut Hari Raya mungkin sudah dikumpulkan sejak Aidilfitri tahun lalu.

Secara praktikal, peruntukan RM 200.00 yang disimpan setiap bulan selama setahun atau 12 bulan, insya-Allah, pasti cukup membiayai sebahagian daripada perbelanjaan Aidilfitri kali ini. 

Peruntukan itu boleh ditambah mengikut keperluan seperti pertambahan ahli keluarga.


Dengan disiplin menyimpan secara konsisten, sambutan Aidilfitri boleh diraikan dengan keceriaan tanpa bebanan hutang menyesakkan dada. Perlu diingatkan bahawa seringkali golongan bujang juga terjebak dalam fenomena ‘kopak’ selepas Hari Raya kerana berbelanja luar kawalan.

Maklumlah mereka ini selalu mengutamakan konsep alah membeli menang memakai. Kalau membeli pun sudah kalah, bila pula nak merasai manisnya menang memakai!

Oleh kerana itu, orang bujang juga seeloknya mula menyemai tabiat menabung setahun untuk kegunaan Hari Raya.

Sepakat Membawa Berkat, Sehati Menambah Pekerti

Memandangkan kita masih berada pada bulan Ramadhan lagi, mungkin belum terlambat untuk memikirkan item perbelanjaan yang menjadi keutamaan dan bagaimana berbelanja dengan lebih bijak untuk Ramadhan dan Aidilfitri tahun ini.

Fikirkan dan kenalpasti perkara yang menjadi keperluan dan bukan sekadar kemahuan, dalam senarai item belanja raya.

Bincang dengan ahli keluarga yang lain untuk memutuskan item yang benar-benar diperlukan.

Jangan lupa mengutamakan toleransi dan timbang rasa apabila terpaksa mengetepikan permintaan salah seorang daripada ahli keluarga. Maklumlah sekali hati ‘terguris’, berkali-kali pula air mata menitis.

Insya-Allah, sepakat membawa berkat, sehati menambah pekerti.

Dalam Ria Menyambut raya, yang Miskin Jangan Dilupakan

Mari kita fikirkan bagaimana kita dapat memanfaatkan amanah harta kekayaan kita yang merupakan pinjaman daripada Tuhan Yang Maha Kaya untuk manfaat yang lebih besar selain daripada sekadar kenikmatan dan kesejahteraan diri sendiri dan keluarga sahaja. 

Adakah cara lain yang lebih baik dalam konsep berhari raya dan merayakan kemenangan setelah sebulan penuh berjuang melawan hawa nafsu pada bulan Ramadhan?


Sekiranya perlu, ajak anak dan isteri menziarahi mereka yang kurang bernasib baik seperti rumah orang tua dan anak-anak yatim, supaya mereka semakin menghargai setiap kemewahan yang dikecapi.

Dengan itu akan mewujudkan sikap berpuas hati dan bersyukur dengan apa yang ada dan dapat menghapuskan sikap suka membazir dan berlebih-lebihan.

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:-
“Makanan untuk seorang mencukupi untuk dua orang dan makanan untuk dua orang mencukupi untuk empat orang dan makanan untuk empat orang mencukupi untuk lapan orang.” 
Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Kita perlu membiasakan diri dengan sifat pemurah dan tidak bakhil untuk bersedekah kepada orang lain kerana hal ini akan memberikan ketenangan kepada diri, malah akan lebih disayangi oleh masyarakat kerena sesungguhnya, harta yang miliki terdapat hak-hak orang lain di dalamnya yang wajib kita tunaikan.

Hanya dengan tunduk dan melihat ke bawah (melihat orang yang lebih susah), barulah kita kurang merungut tentang apa yang kita tidak perolehi pada Hari Raya ini.

Latih anak-anak bersyukur menerima hanya sepasang baju baru tahun ini sedangkan kawan-kawan mereka menerima dua atau tiga pasang seorang. 

Ingatlah, di sana terdapat anak yang hanya mempunyai sepasang baju baru dalam masa dua tahun.

Alangkah baiknya jika kita dapat mendidik ahli keluarga agar tidak ‘alergi’ dengan jenama murahan kerana bersama jenama itu, datangnya harga yang akan ‘merobek’ bajet raya keluarga.

Malah sekiranya jumlah ahli keluarga ramai sehingga memerlukan dua buah kereta untuk balik ke kampun, berbincanglah sekiranya anak-anak yang lebih dewasa boleh balik kampung dengan menaiki bas ataupun keretapi sahaja supaya dapat menjimatkan kos perjalanan.

Rumah Terbuka

Menyentuh budaya menganjurkan rumah terbuka pula, sayugia diingatkan supaya membuat perancangan teliti agar tidak berlaku pembaziran yang dibenci Allah SWT.

Berhati-hati dalam merancang menu yang bakal dihidangkan kepada tetamu.

Seringkali undangan jamuan rumah terbuka yang banyak ‘bertimpa’ menyebabkan makanan yang dijamu tidak disentuh tetamu.

Mungkin lebih baik sekiranya adik-beradik dapat berpakat dan bekerjasama menganjurkan majlis rumah terbuka bersama untuk penjimatan berganda, begitu juga dalam kalangan jiran tetangga dalam sebuah taman perumahan. 

Alhamdulillah, masyarakat kita masih menyanjung tinggi budaya ziarah-menziarahi untuk saling mengeratkan silaturahim. 

Semoga Allah SWT menerima amalan kita semua.

Wallahua'lam