Forex Trading Dan Mencari Keberkatan Ramadhan

Pada hemat saya, kita boleh mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim pada bulan Ramadhan ini terbahagi kepada dua perkara yang utama; iaitu taqwa dan keampunan.

Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas dalam ayat 183 daripada surah al-Baqarah.

Manakala objektif mendapatkan keampunan ternyata daripada hadith sahih daripada Saidatina Aishah RA yang bertanya kepada Rasulullah SAW doa yang perlu dibaca tatkala menyedari tanda-tanda Lailatulqadar.

Maka doa ringkas yang diajar oleh Rasulullah SAW ialah doa meminta keampunan Allah SWT.


Bagaimanapun, kemampuan mendapatkan kesempurnaan pahala Ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan sikap kurang prihatin umat Islam hari ini berkaitan pendapatan dan perbelanjaan hartanya.

Masih ramai yang memasuki bulan Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram, sama ada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insurans, pelaburan dan kereta secara riba.

Ini sudah tentu akan memberi kesan yang amat nyata kepada kualiti ibadah yang terlibat pada bulan Ramadhan, kerana status orang yang terlibat dengan riba ibarat berperang dengan Allah SWT dan Rasul-Nya.

Tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera pada bulan “tanpa syaitan” ini, ia bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal kembali ke pangkal jalan pada bulan-bulan yang lain.

Abu Hurairah RA pernah meriwayatkan kisah seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan jauh, dalam keadaan rambutnya kusut masai, mukanya berdebu dan dia mengangkat tangan ke langit:-

“Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku!”

Sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram dan dia dibesarkan dengan memakan harta  yang haram

Maka, bagaimana mahu mengabulkan doanya?

(Rujukan: Hadith Riwayat Muslim no. 1015, jilid 2, halaman 73, Hadith sahih)

Samalah juga kesnya  bagaimana Allah SWT mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa sedangkan keretanya haram, rumahnya haram, insuransnya haram, kad kreditnya haram, simpanan banknya haram dan pendapatannya juga haram?

Benar, kita perlu bersangka baik dengan Allah SWT, tetapi bersangka baik tanpa meloloskan diri daripada sebarang unsur riba yang haram ialah satu penipuan, kata Imam Hasan al-Basri.

Selain daripada beberapa punca riba yang disebutkan tadi, umat Islam sekali lagi teruji dengan wang mudah, iaitu melalui perdagangan matawang asing yang dilaksanakan melalui pelbagai platform internet.


Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman pernah mengulas isu ini sejak tahun 2008, juga berhempas pulas melayan sebahagian bantahan, komentar dan rasa tidak puas hati para pedagang matawang asing (Forex Trader)

Semua artikel beliau boleh dirujuk di laman web; www.zaharuddin.net atas tajuk-tajuk berikut:-
  • Hukum Labur dan Berniaga Forex
  • Hukum Leverage dalam Forex Trading Haram
Muzakarah Khas

Pada tanggal 31 Mei 2011, telah diadakan satu muzakarah khas yang dihadiri lebih 200 orang ilmuwan syariah, ulama', ahli ekonomi, bankers dan para peguam, dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA) dan Persatuan Institusi Kewangan Islam Malaysia.

Tiga kertas kerja dibentangkan, yang disediakan bukan oleh individu tetapi dibuat secara berkumpulan. Ini bermakna kertas kerja tersebut wajar diberikan lebih kredibiliti kerana merupakan buah fikiran dan kajian secara kolektif yang sememangnya akan lebih kukuh dan mantap.

Bukan sekadar itu, malah kumpulan pengkaji juga telah mencuba sendiri berdagang melalui salah satu platform forex (tukaran matawang) bagi mendapatkan penjelasan maksimum sebelum menyimpulkan sebarang hukum.

Selain itu, mereka juga telah bertemu dengan penyedia platform forex itu sendiri di samping beberapa siri temubual dengan pedagang forex yang berpengalaman.

Jadi, dikira pedagang forex tidak boleh sama sekali mempertikaikan kefahaman para pengkaji kerana penyelidikan mereka jauh lebih mendalam, bukan sekadar pengalaman.

Bahkan penyelidik juga menerima informasi rasmi daripada pihak Bank Negera Malaysia selaku regulator.

Kumpulan Pertama


Kumpulan penkaji pertama dianggotai oleh Profesor Madya Dr. Muhammad @ Mat Som Sujimon, Dr. Marjan Muhammad, Ustaz Luqmanulhakim Hussain dan En. Wan Norhaziki Wan Abdul Halim.

Hasil daripada kajian mereka, dicatatkan kesimpulan berikut:-

Kesimpulan #1

Spot forex dijalankan oleh individu melalui platform Internet agak berbeza daripada konsep spot forex yang dijalankan pada peringkat interbank (antara bank).

Dari satu sudut, ia dibuat berdasarkan spot forex dari segi harga lani (value spot), tetapi dari segi penyelesaian ia tidak berlaku berdasarkan T+2. 

Malah penyelesaian tidak akan berlaku selagi pedagang tidak menutup posisi yang dibukanya.

Namun dari sudut yang lain, spot forex dilihat lebih mirip kepada forward forex kerana apabila pedagang membeli sesuatu matawang daripada broker, beliau tidak akan dapat memiliki matawang yang dibelinya.

Sebaliknya, pedagang akan menikmatinya setelah beliau menjualnya semula kepada broker pada waktu hadapan.

Apa yang membezakan spot forex oleh individu dengan forward forex ialah kadar tukaran matawang masa hadapan adalah tetap iaitu kadar yang dipersetujui pada tarikh transaksi.

Manakala kadar tukaran matawang dalam spot forex tidak tetap, tetapi berdasarkan turun naik harga pasaran matawang yang didagangkan.

Kesimpulan #2

Kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf sebarang urusniaga matawang asing yang dibuat melalui saluran-saluran yang tidak sah.

Malah terdapat peruntukan perundangan yang jelas berhubung larangan tersebut, iaitu melalui Seksyen 3(1) dan Seksyen 4(1), (2) dan (3) Akta Kawalan Pertukaran Wang (AKPW) 1953.

Mana-mana individu dilarang sama sekali berurusniaga matawang asing, kecuali setelah mendapat kebenaran Pengawal Pertukaran Asing, iaitu Gabenor Bank Negara Malaysia.

Kesimpulan #3

Berdasarkan beberapa isu syariah yang diketengahkan termasuk seperti di bawah, ternyata operasi spot forex secara online oleh individu tidak mengikut landasan syarak yang telah digariskan berhubung jual beli matawang (bay’ al-sarf):-
  • Isu qard = Leverage
  • Riba al-nasi’ah = Rollover interest
  • Qabd
  • Menjual matawang yang tiada dalam pegangan
  • Spekulasi yang melibatkan perjuadian
Kumpulan Kedua

Kumpulan kedua pula dari Universiti Utara Malaysia (UUM), dianggotai oleh Profesor Madya Dr. Asmadi Mohamed Naim, Dr. Hasniza Mohd Taib dan Dr. Muhammad Nazri Hussain.


Kertas kerja mereka menyimpulkan seperti berikut:-

Berdasarkan perbincangan di atas, perdagangan forex online tidak dibenarkan oleh syarak kerana adanya perkara-perkara yang menyalahi syarak iaitu:-

#1 Pembelian wang tunai dilakukan secara kredit, terang-terangan bertentangan dengan kontrak sarf dan mengandungi unsur riba

#2 Sekiranya pembelian kredit itu ditakrifkan sebagai pemberian pinjaman oleh broker, perkara tersebut masih termasuk dalam aktiviti yang dilarang syarak kerana mengandungi unsur mendapat manfaat daripada pinjaman dan larangan mengumpulkan “pinjaman” dan “jual beli”

#3 Menjual matawang secara menangguhkan penyerahan adalah dilarang oleh syarak. Syarat qabd (serah) dalam majlis tidak wujud dalam transaksi ini.

Keharusan melewatkan penyerahan (qabd) tidak boleh diaplikasikan dalam urusniaga ini kerana tidak termasuk dalam konsep darurat bagi transaksibona fide” (sebenar atau asli)

#4 Urusniaga broker secara online ini mengandungi unsur bay’ al-najsh iaitu peniaga menawarkan harga bukan untuk memiliki matawang, sebaliknya untuk memberi faedah kepada penjual melalui kenaikan harga

#5 Urusniaga ini juga mengadungi unsur ihtikar (membeli semua sekali barang supaya dapat dijual dengan harga yang tinggi) yang dilarang syarak

#6 Urusniaga ini juga mengandungi unsur perjudian yang bergantung kepada turun naik harga atau angka

Secara dasarnya, hampir kesemua kesimpulan yang dibuat oleh kedua-dua kumpulan ini adalah sama dengan kesimpulan yang telah Ustaz Zaharuddin Abd Rahman simpulkan sejak tahun 2008 yang lalu.

Jadi, beliau menyeru kepada semua pedagang matawang yang tidak berpuas hati dan menolak pandangan yang mengharamkan perdagangan matawang ini untuk berfikir kembali demi kebaikan iman dan pendapatan masing-masing.

Wallahua'lam

Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment