Memaknakan Erti Syukur

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Dan Dialah yang telah mengurniakan kepada kamu daripada tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Sekiranya kamu menghitung nikmat Allah pasti kamu tidak dapat menghitungnya (satu persatu). Sesungguhnya manusia itu sangat suka menempatkan sesuatu bukan pada tempatnya serta tidak menghargai nikmat Tuhannya.” 
Surah Ibrahim 14:34
Kali ini kita akan membahaskan sifat syukur dan rahsia-rahsia yang terkandung di sebalik sifat yang sangat dituntut dalam Islam ini.

Boleh jadi kefahaman kita terhadap maksud syukur itu masih samar sehinggakan kita hanya memilih-milih waktu tertentu dalam menzahirkan kesyukuran kepada-Nya, sedangkan kesyukuran itu sebenarnya tidak mampu kita ucapkan kesemuanya kerana kurniaan nikmat Allah SWT terlalu banyak.

Syukur Dari Kaca Mata Tasawwuf

Syukur dari segi bahasa ialah suatu tindakbalas yang baik sama ada menerusi perkataan atau perbuatan yang baik terhadap kebaikan yang diterima oleh seseorang sebagai menghargai kebaikan itu.

Dari segi istilah tasawwuf pula, saya cuba menukilkan sebahagian pendapat ahli sufi dalam menjelaskan takrif sifat terpuji ini, seperti jadual di bawah:-


Namun secara kesimpulannya dapat difahami bahawa kesyukuran itu ialah pengakuan sifat lemah para hamba dalam mengagungkan zat-Nya yang kemudiannya diiringi dengan perlaksanaan ketaatan hanya kepada-Nya yang meliputi zahir dan batin.

Lemahnya Manusia Di Hadapan Pemberi Nikmat

Saya merupakan antara jutaan umat yang begitu teruja dengan karya-karya al-Allamah Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi, seorang musafir ulung abad ini yang meninggal dunia pada sekitar tahun 1998. 

Antara karyanya ialah Mukjizah al-Quran.

Pada mukaddimah kitab ini, al-Allamah Syeikh al-Sya’rawi membicarakan dengan panjang lebar mengenai kesyukuran.


Al-Allamah Syeikh al-Sya’rawi menyatakan bahawa sebijak mana pun manusia di dunia ini dengan pelbagai gelaran yang disandang dalam bidang kajian ilmu, percayalah tidak akan ada seorang pun manusia yang mampu membuat kajian dan penyelidikan tentang bilangan nikmat yang telah Allah SWT kurniakan.

Inilah kebenaran firman-Nya menerusi ayat suci al-Quran sebagaimana yang telah termaktub dalam surah Ibrahim ayat 34 di atas.

Malah seramai mana pun pakar bahasa sastera dan ahli pidato di dunia ini berkumpul untuk mencipta satu lagi kalimah bagi menyatakan terima kasih dan kesyukuran atas nikmat yang diperoleh, tidak akan ada kalimah yang terhasil benar-benar dapat menyatakan rasa syukur terhadap nikmat-nikmat Allah SWT yang telah kita perolehi itu.

Itulah kelemahan manusia. Jadi, seharusnya kita tunduk hanya kepada-Nya.

Lafaz Hamdalah

Allah SWT dengan kesempurnaan Zat-Nya, keagungan sifat-Nya dan ketinggian nama-Nya telah mengajar manusia lafaz kesyukuran yang layak bagi-Nya.

Dengan keagungan Allah SWT itu, manusia seterusnya mengharungi kehidupan dengan segala ketaatan kepada-Nya semata.

Atas dasar inilah Allah SWT memulakan kalam-Nya dalam Ummul-Kitab (surah al-Fatihah) dengan kalimah “Alhamdulillah”.

Bahkan ketika penulisan ini disusun, saya turut merasakan terlalu banyak kekurangan untuk melenngkapkan definisi syukur itu sendiri.

Mana mungkin hendak dizahirkan kalimah kesyukuran itu jika yang memuji itu seorang hamba yang penuh kekurangan di hadapan Tuhan yang berdiri dengan segala kesempurnaan?

Bahkan untuk melafazkan rasa syukur itu sendiri pun, manusia yang lemah ini menerima kalimah daripada-Nya jua. Oleh sebab itu, bersyukurlah kerana dikurniakan rasa hina di hadapan-Nya yang Maha Sempurna.

Wallahua'lam

Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment