Rebutlah! Peluang Hanya Sekali

Kita sering mendengar orang berkata:-

“Peluang datang hanya sekali sahaja.”

Anda percaya atau tidak?

Anda mungkin protes:-

“Mana boleh! 
Dunia ini masih panjang. Hidup harus diteruskan. 
Masih banyak masa lagi. 
Nanti akan ada peluang lain pula yang datang.”

Benar, anda juga betul. 

Tetapi, jika ada peluang lain yang datang selepas kita mengabaikan peluang pertama, itu peluang lain, bukan peluang yang telah berlalu itu.

Dan untuk kali kedua ini, adakah anda akan melepaskan peluang itu berlalu begitu sahaja buat kali kedua?


Jangan pelik ada orang yang mengabaikan setiap peluang yang datang kepada dirinya!

Mencari Privasi?

Untuk menuju ke destinasi yang jauh, sesekali anda memilih untuk menaiki bas ekspres kerana letih memandu atau bagi menjimatkan perbelanjaan perjalanan. Pada hari itu, orang tidak ramai kerana bukan hujung minggu, musim perayaan ataupun cuti sekolah. 

Jadi, bas juga tidak dipenuhi penumpang.

Anda sengaja mencari tempat duduk yang kosong, dengan harapan tidak ada orang lain yang akan duduk di sebelah anda kerana anda mahukan privasi.

Wujudkah privasi di dalam bas eskpres?

Kalau anda mahukan privasi, tempahlah bilik di dalam keretapi atau beli sahaja bot atau helikopter peribadi.

Orang Barat mengembara atau melancong mencari privasi dengan memandu karavan atau mobile home (rumah bergerak). Salah seorang rakan saya dan isterinya pernah tidur dua malam dalam karavan orang Melayu di Broome, Australia Barat.

Karavannya diparkir di taman karavan, siap dengan bekalan gas, air dan elektrik seperti rumah sendiri!

Sudah menjadi tradisi orang Melayu di Australia, mereka mengambil peluang menghormati tetamu dengan mempelawa tetamu bermalam di bilik tidur utama mereka, tidak kira berapa malam pun kita bertamu untuk memberi kebebasan privasi kepada kita!

Peluang Mengaut Pahala

Peluang untuk mengaut sebanyak mungkin pahala juga datang sekali sahaja. Jika anda tidak mengambil peluang membaca al-Quran pada bulan Ramadhan yang lalu, bermakna anda tidak berpeluang buat kali kedua sehingga datangnya Ramadhan tahun depan. Tapi itu sudah dikira peluang baru. 

Adakah anda akan melepaskan peluang itu sekali lagi?

Jika anda tidak mengambil peluang untuk memimpin tangan seorang makcik yang uzur keluar dari komuter, peluang itu akan direbut oleh orang lain.

Apakah perasaan anda hidup dalam susana persekitaran manusia berlumba-lumba membuat kebajikan, sedangkan anda cuma melihat sahaja?

Jika anda tidak mengambil kesempatan memberhentikan kereta anda di tepi sebatang jalan raya untuk menolong seseorang yang ditimpa kemalangan, ada banyak kemungkinan akan berlaku, antaranya:-
  • Orang itu akan mati kerana cedera parah atau pendarahan teruk
  • Orang lain yang lalu juga berpendirian seperti anda; tidak mahu menolong atau tidak ambil pusing
  • Anda akan menyesal apabila membaca di akhbar keesokan harinya, orang itu mati dalam perjalanan ke hospital dua jam selepas anda berlalu
  • Penumpang lain dalam kereta anda, sama ada keluarga atau kawan anda akan menyalahkan anda kerana sikap tamak dan mementingkan diri sendiri itu
Peluang seperti ini jarang berulang kali kedua, jika begitu, setiap detik perjalanan kehidupan harian kita ialah peluang yang perlu kita rebut. Masa terus berlalu dan mustahil untuk berulang. 

Peluang baru datang dan pergi sedetik kemudian.

Rebut Lima Sebelum Lima

Antara peluang yang harus anda rebut adalah seperti maksud hadith Rasulullah SAW ini yang bermaksud:-
“Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara:-

Masa muda sebelum tua
Masa sihat sebelum sakit
Masa lapang sebelum sibuk
Masa kaya sebelum jatuh miskin
Masa hidup sebelum mati”
(Rujukan: HR al-Hakim dan al-Baihaqi)

Ambillah peluang berbuat sebanyak mungkin kebajikan ketika masih muda kerana tenaga kita masih kuat, pemerhatian kita masih tajam dan pergerakan kita masih tangkas.

Rebutlah peluang ketika anda sihat kerana apabila sakit, anda tidak lagi mampu untuk berbuat apa-apa keputusan walaupun terhadap diri anda sendiri. 

Nasib dan urusan anda akan dikendalikan oleh orang lain.

Ambillah sebanyak mungkin peluang ketika anda ada masa lapang.

Orang yang sibuk tidak ubah seperti saat malaikat Israfil meniup sangkakala. Semua orang sibuk untuk menyelamatkan diri sendiri.

Jika anda mahu mengambil kesempatan untuk bersedekah, lakukanlah sekarang sebelum anda jatuh miskin. 

Ya, anda mungkin tidak jatuh miskin dari segi harta, tetapi anda akan menjadi seperti orang miskin apabila anda tidak ada kuasa lagi untuk menggunakan harta, wang dan simpanan anda.

Hatta, ada ketikanya, untuk mengunyah makanan yang berada di dalam mulut anda atau menyedut udara yang diberikan secara percuma oleh Allah SWT pun anda tidak mampu, saat itu kita akan menjadi miskin segala-galanya. 

Kita tidak ada peluang lagi!

Dan akhirnya kematian ialah penghujung kepada peluang yang ada. Kematian datang sekali dan tidak ada lagi kematian selepas itu apabila kita semua hidup di alam akhirat selama-lamanya.

Kebaikan Kepada Ibu Bapa

Ramai anak-anak yang sentiasa bertangguh untuk berbuat baik kepada kedua-dua orang tuanya dengan seribu satu alasan:-
  • Sibuk dengan tugas dan kerjaya yang tidak kunjung surut
  • Tidak ada cuti
  • Tidak cukup wang kerana banyak tanggungan
  • Ibu bapa tinggal jauh di pedalaman
  • Nantilah, minggu depan...bulan depan....tahun depan
Sedarkah kita bahawa ibu dan bapa kita tidak pernah memberi alasan sedemikian sewaktu mengandung, melahirkan dan membesarkan kita.

Ibu tidak pernah melengahkan tarikh kelahiran kita. Beliau tidak pernah lengah memberi susu badan, menyuapkan makanan dan minuman, memandikan, menyarungkan pakaian dan membersihkan tubuh badan kita daripada najis dan kotoran.

Bapa tidak pernah melengahkan masa pergi bekerja untuk mencari rezeki dan menyediakan nafkah untuk kita.

Beliau juga tidak pernah lewat menyediakan kemudahan dan prasarana asas serta memperbaiki rumah kediaman yang rosak demi keselamatan ahli keluarganya. Beliau menggunakan segenap peluang yang ada untuk survival.


Dan sekarang pada saat usia emas mereka, mampukah beberapa orang anak menjaga sepasang ibu bapa yang telah lanjut usia?

Jika kita tidak mengambil peluang yang datang sekali ini, jangan menyesal andai kita tidak berpeluang untuk berbakti kepada kedua-duanya apabila menerima berita kematian mereka.

Dan akhirnya, jangan lepaskan peluang  untuk kita bertaubat atas segala kesalahan kita kepada Allah SWT dan juga kepada manusia. Ringan-ringankan mulut untuk meminta maaf atau ringan-ringankan tangan untuk memohon ampun kerana sesungguhnya peluang itu datang sekali sahaja!

Wallahua'lam

Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment