Umpama Batu Yang Licin


Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Wahai orang yang beriman! 

Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perbuatan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riyak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat.

Maka bandingan orang itu adalah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi).

(Demikian juga halnya orang kafir dan riyak itu). 

Mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun daripada apa yang mereka usahakan. 

Dan (ingatlah), Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.”
Surah al-Baqarah 2:264
Dalam ayat ini, Allah SWT memberi peringatan supaya tidak mengungkit-ungkit sebarang pemberian yang disedekahkan yang menyakiti orang lain.ini kerana sifat-sifat tercela ini seumpama perbuatan riyak dalam amalan yang akan mengakibatkan kebajikan yang dilakukan akan tertolak dan tidak diterima oleh Allah SWT.

Sesuatu yang tidak diragukan lagi bahawa riyak membatalkan pahala amalan ibadat yang dilakukan. Begitu juga perbuatan mengungkit-ungkit terhadap sedekah yang dikeluarkan akan mengakibatkan terbatalnya pahala sedekah itu.

Riyak merupakan penyakit hati yang menimpa sebahagian manusia yang mengharapkan keredhaan manusia dan ia merupakan ‘kanser’ dalam masyarakat.

Sebaliknya, ajaran Islam mengajar manusia agar melaksanakan sebarang amalan bertujuan hanya untuk mencari keredhaan Allah SWT. Oleh yang demikian, amalan sedekah bertujuan mendidik manusia agar membersihkan diri dan harta disamping mengukuhkan ikatan persaudaraan sesama insan.

Jadi, melalui ayat ini, Allah SWT menyuruh orang beriman agar tidak membatalkan pahala sedekah mereka dengan mengungkit-ungkit serta menyakiti golongan yang berhak menerima sedekah.

Menurut al-Suyuti dalam Tafsir al-Dur al-Manthur, perumpamaan yang telah diutarakan oleh Allah SWT dalam ayat ini ialah air hujan yang lebat akan menghilangkan tanah subur yang terdapat pada batu licin.

Jadi, batu licin iitu tidak berguna lagi kerana tiada sebarang tumbuhan yang dapat hidup di atasnya.

Ia samalah seperti amalan-amalan kebaikan yang dilakukan oleh orang kafir dan munafik yang tidak berguna langsung di sisi Allah SWT, bahkan amalan-amalan tersebut dihapuskan oleh Allah SWT.

Riyak Tidak Layak Bagi Muslim

Menurut Abu Su'ud pula, mereka yang mengeluarkan sedekah secara riyak tidak akan menikmati faedah dan manfaat daripada apa yang disedekahkah, malahan mereka juga tidak akan menerima sebarang ganjaran pahala daripada Allah SWT sebagaimana ayat-Nya dalam surah al-Furqan ayat 23 yang bermaksud:-
“Dan Kami hadapkan segala amalan yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan.”
Riyak ialah sifat bagi orang munafik.

Menurut al-Wahidi dalam al-Wajiz fi Tafsir al-Kitab al-Aziz, orang munafik yang melakukan sesuatu kebaikan hanyalah bertujuan untuk mengaburi mata orang Islam agar mereka dilihat sebagai orang beriman.

Mereka berharap agar mereka dilihat sebagai orang yang mempunyai amalan-amalan kebajikan.

Namun perbuatan mereka itu hanya seperti tanah di atas batu licin yang seolah-olah akan menumbuhkan tanaman, tetapi apabila tanah ditimpa hujan, ia akan terhakis dan meninggalkan batu itu sendirian.

Abu Hayyan al-Andalusi dalam kitab tafsirnya al-Bahr al-Muhit menyatakan bahawa, begitulah amalan-amalan mereka (orang kafir dan orang riyak) yang akan gugur satu-persatu laksana tanah yang terhakis akibat ditimpa hujan.

Kiasan yang digunakan dalam ayat ini untuk memberi pendidikan terhadap jiwa agar menghindari segala perbuatan yang mengundang kemurkaan Allah SWT, sebaliknya melakukan sesuatu amalan kebajikan dan ibadah itu semata-mata demi mencari keredhaan Allah SWT.

Skim Cepat Kaya di Sisi Allah SWT

Sesungguhnya amalan sedekah dan derma adalah amalan yang terpuji kerana ia dapat mengukuhkan hablumminannas (hubungan sesama manusia). Oleh yang demikian, beruntunglah sekiranya amalan tersebut diterima di sisi Allah SWT.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 261 bermaksud:-
“Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. 

Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiap yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”
Dalam ayat ini, Allah SWT mengumpamakan amalan sedekah di jalan Allah SWT itu seumpama sebiji benih yang mengeluarkan hasil sebanyak 700 biji. 

Malah, ia tidak terhenti sekadar itu sahaja, bahkan Allah SWT akan melipatgandakan lagi lebih daripada itu bagi sesiapa yang Dia kehendaki. 

Bayangkanlah bagaiaman RM1 yang disedekahkan pada jalan Allah SWT, maka hasilnya sebanyak RM700 di akhirat kelak. 

Jadi, tidak ada ‘skim cepat kaya’ di dunia ini yang boleh mengatasi ‘skim cepat kaya’ di sisi Allah SWT.

Dermawan Ramadhan

Nabi Muhammad SAW pula telah menyatakan dalam banyak hadith Baginda SAW mengenai keutamaan amalan sedekah ini.

Antaranya ialah sebuah hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari yang bermaksud:-
“Hindarilah api neraka walaupun dengan secebis buah tamar atau dengan satu pertuturan yang baik.”
Dalam hadith lain, Imam Ahmad meriwayatkan daripada Saidatina Aishah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Wahai Aishah, berlindunglah daripada api neraka walaupun dengan bersedekah secebis tamar kerana ia dapat mengenyangkan orang yang lapar.”
Apatah lagi derma dan sedekah yang dilakukan pada bulan Ramadhan, maka bertambahlah lagi fadhilat dan kebaikan bagi orang yang melakukannya. Nabi Muhammad SAW sendiri sangat dermawan pada bulan Ramadhan.


Hal ini dapat diperhatikan menerusi satu hadith Nabi SAW daripada Ibn Abbas RA yang bermaksud:-
“Rasulullah SAW ialah orang yang paling dermawan dan lebih besar kedermawannya pada bulan Ramadhan ketika Jibril menemuinya. 

Jibril biasanya menemuinya setiap malam Ramadhan, lalu tadarus al-Quran (dengan Nabi SAW). 

Sungguh Rasulullah ketika ditemui Jibril menjadi orang yang lebih bermurah hati dalam memberikan kebaikan, sehingga lebih banyak daripada tiupan angin.” 
Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Sehubungan dengan itu, berasaskan kepada hadith di atas dapat disimpulkan bahawa umat Islam sangat dituntut agar membudayakan amalan bersedekah terutamanya semasa menunaikan ibadah puasa pada bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan.

Dalam hadith lain, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:-
“Sesiapa yang memberi makanan berbuka puasa kepada yang berpuasa, maka baginya seumpama pahala orang yang berpuasa itu perolehi, tanpa mengurangi sedikit pun daripada pahala mereka.” 
HadithRiwayat at-Tirmizi, Ibn Majah dan al-Darimi
Demikianlah keutamaan bersedekah pada bulan Ramadhan.

Sedekah dengan Selain Harta

Sekiranya seseorang itu tidak mempunyai harta mahupun wang, adakah dia terlepas daripada merebut pahala sedekah?

Rasulullah SAW bersabda dalam hadith sahih diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, mafhumnya:-
“Sedekah ialah kewajipan atas setiap Muslim.”

Para sahabat bertanya:-

“Jika dia tiada apa-apa untuk disedekahkan?”

Baginda bersabda:-

“Buatlah kerja dengan tangannya lalu dia memberi manfaat kepada dirinya dan bersedekah.”

Mereka bertanya lagi:-

“Jika dia tidak mendapati perkara itu?”

Baginda bersabda:-

“Dia hendaklah membantu orang yang memerlukan dan dizalimi.”

Mereka bertanya lagi:-

“Jika dia tidak mendapati perkara itu?”

Baginda bersabda:-

“Dia hendaklah melakukan perkara baik dan menahan diri dari terlibat dalam perkara yang jahat. 
Sesungguhnya perkara itu sedekah baginya.”
Dalam hadith yang lain, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:-
“Setiap sendi manusia perlu pada sedekah. 

Setiap hari yang terbit matahari padanya, kamu mengadili (memperbaiki hubungan) antara dua orang (yang bertelingkah) adalah satu sedekah. 

Kamu membantu seorang lelaki menunggang kenderaannya atau kamu membantu mengangkat barangan kepadanya adalah satu sedekah. 

Kata-kata yang baik adalah satu sedekah. 

Setiap langkah kamu berjalan menunaikan solat adalah satu sedekah dan kamu membuang perkara yang menyakitkan daripada jalan juga satu sedekah.” 
Hadith Riwayat al-Bukhari
Pada zaman ini mungkin tidak ada masalah menaiki kenderaan kerana perkembangan teknologi, jadi reka bentuk kenderaan disesuaikan dengan keperluan manusia. 

Mungkin pada zaman dahulu seseorang terpaksa meminta pertolongan orang lain untuk menaiki kenderaan seperti unta dan kuda.

Namun pada kita kita, jika menaiki kenderaan awam seperti bas atau komuter, mungkin ada orang lain yang lebih memerlukan tempat duduk seperti orang tua, orang kelainan upaya (OKU) atau wanita yang sarat mengandung.

Memberikan ruang kepada mereka itu juga satu sedekah yamg diberikan ganjarannya oleh Allah SWT.

Dalam hadith tersebut juga dinyatakan bahawa membuang halangan atau perkara yang menyakitkan di jalan dianggap sebagai sedekah.

Termasuklah seseorang yang bertugas sebagai pegawai keselamatan atau pasukan ahli bomba yang melakukan kerja-kerja pembersihan pohon yang tumbang atau mengalihkan kenderaan yang menghalang lalulintas, ia dianggap sebagai sedekah dan ibadat jika melakukannya dengan ikhlas.

Walaupun tugas tersebut sudah menjadi tanggungjawabnya, tetapi dalam masa yang sama dia mendapat pahala.

Sedekah yang Tidak Diterima di Sisi Allah SWT

Bukan semua amalan sedekah itu diterima dan diberikan ganjaran pahala di sisi Allah SWT.

Allah SWT menegaskan dalam ayat 264 surah al-Baqarah yang bermaksud:-
“Wahai orang yang beriman! 

Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riyak), dan dia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat.”
Syeikh Muhammad al-Amin al-Shanqiti dalam tafsir Adwa’ al-Bayan meletakkan tiga asas utama dalam penerimaan amalan seseorang:-

  • Amalan tersebut mesti menepati apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW
  • Dilakukan dengan ikhlas kerana Allah SWT
  • Ditegakkan atas aqidah yang sahih
Al-Fudail bin 'Iyad ketika ditanya tentang apakah maksud ahsanu ‘amal (amalan yang terbaik), beliau menyatakan bahawa amalan tersebut ialah amalan yang menepati sunnah Nabi SAW dan amalan yang ikhlas.

Ikhlas adalah antara asas utama yang menjadi neraca kepada penerimaan sesuatu ibadat termasuklah amalan sedekah ini. Ikhlas merupakan roh kepada ibadat. Jika jasad tidak mempunyai roh, ia akan rosak dan busuk.

Begitulah juga jika amalan manusia tidak dilakukan dengan ikhlas, ia akan rosak dan menjadi seumpama bangkai yang busuk.


Bahkan ia lebih teruk keadaannya daripada jasad yang sudah menjadi bangkai kerana amalan tersebut tidak ada sebarang nilai di sisi Allah SWT.

Ibn Qayyim al-Jawziyyah dalam Madarij al-Salikin mentakrifkan ihklas sebagai tidak mencampurkan amalan dengan sebarang kekotoran yang didorong oleh nafsu

Contohnya mahukan supaya manusia rasa suka dengannya, mahukan pujian manusia atau mengelakkan daripada celaan mereka, mahukan penghormatan manusia, harta, perkhidmatan dan kecintaan mereka atau mahu mereka menunaikan hajatnya serta tujuan-tujuan lain yang semuanya memberi maksud berkehendak selain daripada Allah SWT biarpun apa bentuknya.

Oleh sebab itu, ikhlas memberi maksud memfokus niat hanya semata-mata kerana Allah SWT. Ikhlas adalah natijah kepada konsep ketauhidan kepada Allah SWT.

Amalan Binasa Tanpa Ikhlas

Imam al-Ghazali dalam Ihya 'Ulum al-Din telah menyifatkan kepentingan ikhlas melalui katanya:-
“Telah terbongkar bagi mereka yang memiliki mata hati dengan pandangan iman serta nur al-Quran bahawa tidak akan tercapai kebahagiaan melainkan dengan ilmu dan ibadat. 

Semua manusia akan binasa melainkan orang yang berilmu. 
Semua orang yang berilmu akan binasa melainkan orang yang beramal. 
Semua orang yang beramal akan binasa melainkan orang yang ikhlas. 
Orang yang ikhlas memiliki tempat yang mulia. 
Amalan tanpa niat adalah satu kepenatan. 

Niat tanpa ikhlas adalah riyak...”
Ibn Kathir dalam kitab tafsirnya telah menyatakan bahawa pada hari kiamat nanti, ketika Allah SWT menghitung amalan hamba-hamba-Nya berdasarkan apa yang telah mereka lakukan sama ada baik atau buruk, Allah SWT menyatakan bahawa orang Musyrikin tidak mendapat apa-apa yang mereka harapkan daripada amalan mereka.

Perkara ini berlaku kerana amalan mereka tidak mencukupi syarat yang ditetapkan dalam syarak, sama ada kerana ketiadaan keikhlasan dalamnya atau tidak mengikut syariat Allah SWT. Setiap amalan yang tiada keikhlasan dan tidak berdasarkan syariat yang diredhai adalah batal.

Amalan orang kafir tidak bebas daripada dua perkara ini, bahkan kadang-kadang kedua-duanya terdapat di dalamnya.

Moga kita dapat memperbanyakkan sedekah dengan penuh keikhlasan agar ia diterima di sisi Allah SWT. 

Aamiiin.

Wallahua'lam

Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment