Sihat Dengan Taharah

Islam agama yang mengambil berat persoalan kebersihan dan menekankan soal bersuci.

Bersuci dalam bahasa Arab disebut taharah.

Berdasarkan kajian, taharah apabila dilaksanakan, mampu menangkis pelbagai jenis penyakit. 

Jadi, Islam datang untuk menyucikan zahir dan batin.

Secara umumnya taharah bermaksud membersihkan badan, pakaian, tempat tinggal, jalan dan segala sesuatu yang dipakai atau digunakan oleh manusia untuk menjalani kehidupan seharian. 

Biasanya ulama' fiqah meletakkan bab taharah pada awal dalam kitab mereka dan banyak ayat al-Quran menyebut mengenai taharah

Orang yang memelihara kebersihan dan kesucian rohani dan jasmani termasuk dalam golongan orang yang dicintai Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 222 yang bermaksud:-
“Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertaubat dan menyukai orang yang menyucikan diri.”
Manakala dalam surah al-Muddaththir ayat 4, Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Dan bersihkanlah pakaianmu.”
Menghilangkan Hadas

Islam agama taharah

Islam bukan sahaja menekankan kebersihan zahir bahkan kesucian batin. Justeru, setiap lelaki diwajibkan mandi hadas besar apabila berjunub. Begitu juga perempuan diwajibkan mandi hadas besar apabila berjunuh, habis haid dan nifas.


Dalam sebuah hadith, daripada Saidatina Aishah RA, beliau berkata yang bermaksud:-
“Rasulullah SAW apabila mandi junub, Baginda memulai dengan membasuh kedua-dua telapak tangannya. 

Sesudah itu, Baginda menuangkan air dengan tangan kanannya untuk membersihkan kemaluannya dengan tangan kirinya. 

Kemudian, Baginda berwuduk seperti wuduk untuk mengerjakan solat. 

Seterusnya, Baginda mengambil air, lalu memasukkan jari-jarinya pada pangkal rambut kepala. 

Apabila Baginda berasa sudah rata, Baginda menuangkan air sepenuh kedua-dua telapak tangannya ke atas kepalanya sebanyak tiga kali. 

Kemudian Baginda meratakan air ke seluruh badannya. 

Selanjutnya Baginda membasuh kedua-dua kakinya.” 
Hadith Riwayat Muslim
Begitulah cara Rasulullah SAW menghilangkan hadas besar. Untuk menghilangkan hadas kecil, Rasulullah SAW mengajarkan kepada kita cara berwuduk.

Dalam sebuah hadith riwayat al-Bukhari dalam kitab Sahihnya, daripada Ibn Abbas RA, beliau berkata yang bermaksud:-
“Bahawasanya Rasulullah SAW ketika berwuduk, (Baginda memulakan) dengan membasuh muka, kemudian mencedok air (dengan telapak tangan) untuk berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung (dan mengeluarkannya). 

Sesudah itu, Baginda mencedok air dengan cara dengan cara begini, iaitu dengan kedua-dua telapak tangan, lalu digunakan untuk membasuh mukanya. 

Setelah itu Baginda mencedok air untuk membasuh tangan kanannya, lalu mencedok lagi untuk membasuh tangan kirinya. 
Kemudian, Baginda meyapu kepalanya. 

Kemudian (terakhir), Baginda mencedok air untuk disiram ke kaki kanan Baginda dan membasuhnya sehingga rata, lalu dicedok lagi untuk disiram ke kaki kirinya dan membasuhnya sehingga rata pula.”
Kemudian Ibn Abbas RA berkata:-
“Begitulah aku melihat Rasulullah SAW berwuduk.”
Hikmah Besuci dan Berwuduk

Setiap perkara yang diperintahkan Allah SWT sudah semestinya mengandungi hikmah tersendiri. Sebagai contoh, Nabi SAW sudah mengajar umatnya agar membasuh tangannya ketika berwuduk. 

Dalam sebuah hadith Imam at-Tirmizi meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Jika engkau berwuduk, maka selatlah jari-jemari kedua-dua tangan kamu dan kedua-dua kaki kamu.”
Kini, manusia sedar akan kepentingan membasuh tangan dari sudut kesihatan, malah diadakan kempen supaya manusia membasuh tangan agar terhindar daripada kuman dan bakteria, sehingga ada syarikat-syarikat yang mengeluarkan produk sabun khusus untuk membasuh tangan. 

Begitu juga turut ditampal poster-poster di klinik dan di tempat-tempat awam yang tertulis:-

“Tangan Bersih, Mencegah Penyakit”

“Tangan Bersih Hidup Sihat”

Namun, membasuh tangan hendaklah dilakukan dengan cara yang betul.

Dalam hadith lain yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya, daripada Abu Ayyub bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Alangkah baiknya antara umatku yang mahu menyelat (al-mutakhallilun).”

Para sahabat bertanya:-

“Siapakah orang yang mahu menyelat itu, ya Rasulullah?”

Baginda SAW menjawab:-

“Mereka ialah orang yang mahu menyelat ketika berwuduk dan mahu menyelat makanan. 

Menyelat ketika berwuduk maksudnya berkumur-kumur, menghirup air ke dalam hidung lalu mengeluarkannya (istinshaq) dan menyelat jari-jarinya (agar air wuduknya rata). 

Adapun menyelat makanan adalah dengan membersihkan sisa-sia makanan yang ada di celah-celah gigi, kerana tidak ada sesuatu yang lebih membuat dua malaikat tidak suka selain melihat sisa makanan yang ada pada celah gigi seseorang yang sedang solat.”
Begitu juga, membasuh muka mampu memberi kesihatan pada kulit luka dan bersih daripada segala kekotoran yang melekat padanya.

Menyegarkan Badan dan Mengembalikan Semangat

Allah SWT berfirman dalam surah al-Ma'idah ayat 6 yang bermaksud:-
“Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mendirikan solat, maka basuhlah muka kamu dan kedua-dua tangan kamu hingga ke siku, sapulah kepala kamu dan basuhlah kaki kamu sampai kedua-dua buku lali. 

Dan jika kamu berjunub, bersucilah.”
Meskipun tujuan utama mandi hadas besar dan berwuduk itu agar dapat bersuci dan membolehkan seseorang melaksanakan solat fardhu, membaca al-Quran dan melakukan pelbagai bentuk ibadat lain. 

Ia juga dapat memperbaharui semangat, menghilangkan fikiran yang kusut, mengembalikan tenaga dan memberikan kekuatan kepada seorang Muslim dalam melaksanakan pelbagai aktivitinya.

Ibn Qayyim al-Jawziyyah pernah berkata:-
“Mandi dan wuduk itu mendatangkan kesegaran badan dan kesedapan jiwa serta menghilangkan sebarang kekotoran yang diperoleh, antaranya yang disebabkan oleh jimak.”

Apabila seseorang itu mengamalkan berwuduk, ia bukan sahaja menjadikan tubuh badannya segar dan bersemangat, bahkan jiwanya akan menjadi suci.

Apabila seseorang itu marah, lalu dia berwuduk, secara langsung kemarahannya itu akan segera reda.

Seksaan Tidak Menjaga Kebersihan

Islam memandang besar pensyariatan taharah, sehinggakan orang yang cuai dan mengambil remeh kepentingan taharah diancam dengan seksaan.

Perkara tersebut memang telah dinyatakan oleh Nabi SAW dalam sebuah hadith yang bermaksud:-
“Pada suatu ketika, Rasulullah SAW pernah melalui dua buah kubur. 

Ketika itu Baginda mendengar jeritan dan rintihan daripada kedua-dua penghuninya yang diseksa, lalu Baginda bersabda (yang bermaksud):-

‘Kedua-dua penghuni kubur ini sedang diseksa, tetapi kedua-duanya bukan diseksa kerana dosa yang besar. 

Yang petama diseksa kerana tidak berhati-hati ketika kencing (sehingga air kencingnya terpercik pada pakaian atau tubuhnya, lalu dia solat begitu sahaja), manakala (penghuni kubur) yang satu lagi diseksa kerana suka menyebarkan api permusuhan sesama manusia.” 
Hadith Riwayat al-Bukhari
Hadith tersebut jelas menyatakan bahawa antara perkara yang menyebabkan azab kubur adalah seperti tidak menjaga kebersihan diri dan pakaian daripada najis.

Hal ini menunjukkan taharah termasuk prinsip dasar agama Islam.

Jadi, di sini kita telah mengetahui bahawa taharah merupakan bentuk penjagaan secara umum daripada penyakit, dan ibadat dalam Islam tidak sah tanpa taharah.

Wallahua'lam