Anakku, Siapa Tuhanmu Nanti?

Setiap anak yang lahir, mendengar kalimah tayyibah

Penyaksian bahawa tiada Tuhan yang layak disembah selain Allah SWT dan Muhammad SAW sebagai utusan-Nya

Azan dan iqamat itu bagai memperingatkan setiap kita yang lahir agar bersedia melaksanakan misi di dunia sebagai hamba dan bertunjangkan kalimah syahadah itu.

Kemudian, detik pun berlalu. 

Kaki si anak yang asalnya sebesar dua jari mula membesar. Satu demi satu peringkat ‘kepandaian’ menjadi perhatian dan bualan ibu bapa. 

Dalam pada itu, pelbagai impian dan harapan turut diserapkan dalam minda anak-anak. 

Ada juga yang awal-awal lagi sudah ditanam cita-cita, apabila besar ingin menjadi apa. Segala jangkaan dan harapan ibu bapa diterjemahkan dalam jadual kehidupan anak-anak.

Demi memastikan anak genius dan meraih kerjaya idaman ibu bapa, pelbagai aktiviti dan rejim pembelajaran mula diasak dan didisiplinkan seawal setahun dua usia mereka.

Ini cerita realiti hari ini. 

Subur dalam masyarakat perasaan yang sentiasa risau akan anak-anak mereka. Risau ketinggalan tumbesaran berbanding rakan sebaya. Risau akan kekurangan bakat yang dipamerkan anaknya. Risau akan kerjaya yang bakal diceburinya.

Risau akan kemampuan kewangan dalam menyekolahkan mereka di institusi terbaik. Risau akan pandangan orang lain terhadap anaknya dan sebagainya.

Namun, berapa ramaikan antara kita yang risau akan agama mereka?

Kerisauan Para Anbiya'

Al-Quran merakankan banyak watak bapa berbanding ibu. Interaksi bapa dengan anak-anak mereka diceritakan semula oleh Allah SWT sebagai pedoman. Mereka ialah Nabi Ibrahim AS, Nabi Yaakob AS dan Luqman al-Hakim.

Sebagai bapa, mereka proaktif memikirkan keadaan anak-anak setelah ketiadaan mereka nanti.

Kerisauan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Yaakob AS telah dirakamkan dalam al-Quran yang bermaksud:-
“Dan Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya. Demikian pula Yaakub, katanya:-

‘Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini untuk menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam.’

Adakah kamu hadir ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika dia berkata kepada anak-anaknya:-

‘Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?’

Mereka menjawab:-

‘Kami menyembah Tuhanmu, Tuhan datuk nenekmu Ibrahim, Ismail dan Ishak iaitu Tuhan yang Maha Esa dan kepada-Nya sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman).’” 
Surah al-Baqarah 2:132-133
Lihatlah, anak-anak asuhan rumah kenabian tetap dirunsingkan oleh ibu bapa mereka. 

Anak-anak tiu tetap ditanya tentang pegangan agama selepas kewafatan mereka. 

Anak-anak diajak berikrar dan berjanji setia untuk hidup dan mati di atas jalan iman.

Bandingkan pula sejauh mana kerisauan kita. 

Adakah selari dengan apa yang dikhuatiri oleh Baginda berdua? 

Para Nabi ini risau akan iman anak-anak mereka, bukannya pembahagian harta pusaka. 

Jika para Nabi risau tentang agama anak mereka, sewajarnya kita lebih risau lagi.

Mengusul Nasihat

Penekanan para Nabi ini difahami dengan jelas oleh Ibn Kathir

Beliau mentafsirkan ayat ini:-
“Ertinya, berbuat baiklah ketika menjalani kehidupan ini dan berpegang teguhlah kepada agama ini, sudah pasti Allah SWT akan menganugerahkan kematian kepada kalian dalam keadaan Islam kerana seseorang yang meninggal dunia dalam agama yang diyakininya akan dibangkitkan dalam agama yang dianutinya ketika meninggal dunia.”
(Rujukan: Tafsir Ibn Kathir, jilid 1, halaman 186)

Pesan para Nabi ini ialah supaya kita hidup dan mati atas jalan Islam.

Kerisauan ini bukan sahaja ketika menjelang kematian, bahkan sewajarnya turut meliputi segenap waktu terutamanya ketika ketiadaan kita. 

Bagaimanakah agama anak-anak kita ketika mereka bersendirian, sama ada sewaktu belajar ataupun bekerja?

Pesan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Yaakob AS bukan untuk anak-anak kecil. Tetapi, mereka ialah anak-anak yang telah dewasa. Maka, tidak wajar untuk kita berhenti memantau agama anak kita atas alasan mereka sudah dewasa dan tidak memerlukan nasihat.

Agama itu nasihat, maka nasihatilah anak-anak agar berpegang dengan aqidah Islam tanpa jemu biarpun mereka sudah begitu dewasa sebagaimana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Agama itu nasihat.” 
Hadith Riwayat al-Bukhari
Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan bahawa majoriti ajaran agama merupakan nasihat. Selanjutnya, Ibn Hajar menyambung:-
“Nasihat bagi sesama kaum Muslim adalah dengan menyayangi mereka, melakukan sesuatu yang bermanfaat bagi mereka, mencintai mereka sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri dan membenci apa-apa yang mereka benci sebagaimana dia membencinya berlaku pada dirinya sendiri.”
(Rujukan: Fath al-Bari, jilid 1, halaman 138)

Nasihatilah anak-anak dengan mengajar mereka aqidah yang sahih, menerangkan kepada mereka perkara-perkara yang boleh membatalkan aqidah, menjelaskan pemikiran musuh Islam yang ingin merosakkan aqidah umat Islam dan juga meluruskan pandangan hidupnya melalui kacamata aqidah islamiah.

Memantau Agama Anak-Anak

Saya berkongsi cerita salah seorang sahabat saya sewaktu beliau menunaikan umrah di al-Haram, di sana beliau berkenalan dengan seorang anak muda dari India.

Beliau bertanya, mengapa dia menjadi tetamu Allah SWT.

“Datuk saya menghantar saya ke sini sebelum saya bertolak terus ke Amerika untuk menyambung pelajaran.”, jawabnya panjang.

“Mengapa perlu menunaikan umrah?”, beliau bertanya lagi.

“Agar iman saya kuat sepanjang berada di Amerika nanti, insya-Allah.”, jawapannya itu disambut diam. 

Penuh doa kepada Allah SWT.


Apabila berjauhan dengan anak yang disayangi, apa yang dirisaukan oleh kita sebagai ibu bapa?

Tidak cukup biasiswa, tidak cukup makan, huru-hara di negara tersebut, gempa bumi dan bencana alam? 

Risaulah tentang agama mereka sebagaimana datuk anak muda tadi. Fikirkan betapa kuatnya mereka akan memegang bara api ini dalam menempuh cabaran hidup.

Bagaimana dengan solat mereka yang waktunya menguji iman? 

Bagaimana agama rakan-rakan mereka? 

Bagaimana cara mereka beragama? 

Adakah peluang mereka menambah ilmu agama di sana? 

Bagaiman sistem sokongan masyarakat Muslim di sana?

Menghantar mereka berjauhan daripada ibu bapa memerlukan pedoman. Hadith ini ialah kerangka pedoman tersebut. Semasa Abdullah bin Abbas membonceng di belakang Rasulullah SAW, Baginda SAW bersabda yang bermaksud:-
“Wahai anak muda, aku perlu mengajarimu beberapa kalimah. 

Jagalah Allah (mentaati perintah-Nya) dan Dia akan menjaga dirimu. 
Peliharalah Allah dan Dia akan memeliharamu. 

Jika engkau bermohon, maka mohonlah kepada Allah. 
Jika engkau mahu meminta pertolongan, mintalah pertolongan kepada Allah.” 
Hadith Riwayat at-Tirmizi
Hadith ini menggambarkan keprihatinan Rasulullah SAW terhadap agama Abdullah bin Abbas, seorang anak muda. Rasulullah SAW mengajarnya beberapa perkara penting dalam hidup beragama.

Malahan, Baginda SAW menyentuh perkara yang praktikal untuk diamalkan, sekaligus memberi kesan pada keimanannya. 

Ingatkan kalimah yang sama kepada zuriat kita.

Duka Nabi Nuh AS Jangan Berulang

Nabi Nuh AS berjuang dengan dakwah tauhid selama 950 tahun tetapi tidak berjaya membawa walau seorang pun anaknya untuk beriman kepada Allah SWT. Azab berupa banjir besar yang datang, tetap mahu dilawan.

Apabila seruan iman disampaikan, anaknya enggan menerimanya. Enggan beriman bermaksud enggan diselamatkan. Cukup pahit untuk ditelan oleh seorang bapa.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Dan Nabi Nuh memanggil anaknya yang berada di tempat yang terpisah daripadanya:-

‘Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami dan janganlah engkau berada bersama-sama orang yang kafir.’

Anaknya menjawab:-

‘Aku akan berlindung di sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelami air.’

Nabi Nuh berkata:-

‘Hari ini tidak ada sesuatu pun yang dapat berlindung daripada azab Allah kecuali orang yang dikasihani-Nya.’

Dan dipisahkan antara kedua-duanya oleh ombak besar itu, lalu menjadilah dia daripada orang yang ditenggelamkan.” 
Surah Hud 11:42-43
Setelah kapal berlabuh, Nabi Nuh AS tidak berputus asa untuk memohon keselamatan daripada Allah SWT untuk anaknya. Namun permintaan itu ditolak Allah SWT, malah Allah SWT menafikan status anak tersebut kerana keengganannya beriman.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Dan Nuh merayu kepada Tuhannya dengan berkata:-

‘Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku itu adalah benar dan Engkau adalah sebijak-bijak hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya.’

Allah SWT berfirman:-

‘Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah daripada keluargamu. 

Sesungguhnya perbuatannya itu bukanlah amal soleh, maka janganlah engkau memohon kepada-Ku sesuatu yang engkau tidak ketahui. 

Sebenarnya Aku melarangmu daripada menjadi orang yang jahil.’” 
Surah Hud 11:45-46

Iman memang tidak boleh diwarisi, tetapi menjadi kewajipan ibu bapa untuk mencorakkan kain putih anaknya.

Sebagaimana Rasulullah SAW bersabda yang dinyatakan oleh Abu Hurairah RA yang bermaksud:-
“Tidaklah setiap orang yang lahir melainkan dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani ataupun Majusi.” 
Hadith Riwayat al-Bukhari
Sentiasalah memberi pesan kepada anak-anak seperti pesanan Luqman kepada anaknya menerusi firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Dan tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya:-

‘Wahai anakku, janganlah engkau mempersekutukan Allah. 
Sesungguhnya perbuatan syirik itu satu kezaliman yang besar.’” 
Surah Luqman 31:13
Moga-moga apabila pesan Luqman ini tersemat dalam jiwa anak-anak, maka duka Nabi Nuh AS tidak berulang dalam sejarah hidup kita.

Wallahua'lam