Di Sebalik Pertukaran Malam Dan Siang

Terdapat banyak fenomena yang berlaku di sekeliling yang dianggap sebagai satu perkara yang biasa, mungkin kerana kita sering menyaksikannya.

Salah satu daripadanya ialah pertukaran malam dan siang.


Dalam al-Quran, terdapat banyak ayat yang menyebut mengenai fenomena ini dan ia dikaitkan dengan tanda-tanda orang yang berfikir.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, silih berganti malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal.” 
Surah Ali Imran 3:190
Allah SWT berfirman lagi yang bermaksud:-
“Dan pada penciptaan kamu dan binatang-binatang melata yang bertebaran (di muka bumi) terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) untuk kaum yang menyakininya. 

Pada pertukaran malam dan siang serta hujan yang diturunkan oleh Allah dari langit, lalu dihidupkan dengan air hujan itu bumi (tumbuh-tumbuhan) yang sesudah matinya, dan pada peredaran angin terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang menggunakan akal fikiran.” 
Surah al-Jathiyah 45:4-5
Sesungguhnya pertukaran malam dan siang bukan sekadar perubahan cahaya daripada gelap kepada cerah dan daripada tenggelam matahari kepada timbul semula matahari. 

Terdapat banyak perkara yang boleh dikaji dan difikirkan di sebalik fenomena ini seperti:-
  • Bagaimana bumi berpusing mengelilingi matahari dengan tepatnya iaitu selama 365 hari setahun?
  • Bagaimana siang dan malam mempengaruhi hidupan di atas muka bumi?
  • Bagaimana badan manusia dipengaruhi oleh fenomena tersebut?
Memikirkan mengenai alam ciptaan Allah SWT pasti akan menambahkan lagi keyakinan kita kepada-Nya.

Apa yang penting untuk difikirkan, fenomena yang dicipta Allah SWT tersebut adalah untuk kebaikan manusia bagi membolehkan mereka terus hidup di atas muka bumi ini. Terdapat banyak maksud tersirat di sebalik fenomena yang berlaku setiap hari.

Di sini disertakan beberapa contoh perkara tersirat yang boleh kita fikirkan bersama.

Paksi Bumi Mengelilingi Matahari

Dalam ilmu astronomi, pertukaran malam dan siang bergantung kepada putaran bumi di atas paksinya sambil mengelilingi matahari. 

Bahagian bumi yang menerima cahaya matahari menjadi siang dan bahagian bumi yang tidak menerima cahaya matahari akan menjadi malam


Sekiranya bumi tidak berputar pada paksinya, sudah tentu separuh daripada bumi akan sentiasa siang dan separuh lagi akan sentiasa malam. 

Ini menyebabkan pertukaran malam dan siang tidak akan berlaku.

Alangkah dahsyatnya keadaan bumi jika perkara ini berlaku. Sesetengah tempat yang sentiasa siang dan tempat yang lain sentiasa malam. Kawasan siang akan menjadi sentiasa panas dan kawasan malam akan sentiasa mengalami cuaca sejuk yang melampau.

Tidak akan ada hidupan yang mampu bertahan dalam kedua-dua keadaan tersebut termasuklah manusia.

Sebagai contoh, planet Uranus yang mengelilingi matahari dalam keadaan khatulistiwanya condong 98 darjah sama dengan orbitnya, sehingga menyebabkan separuh tempat sentiasa siang dan separuh lagi sentiasa malam dan hasilnya ia tidak sesuai untuk dihuni oleh sebarang hidupan. 

Uranus mengambil masa 84 tahun bumi untuk mengelilingi matahari. Oleh sebab itu, setiap tahun pada satu masa, setiap kutub ini akan menerima cahaya matahari secara berterusan dan bahagian yang lain hanya berada dalam bayang.

Ini menyebabkan separuh tempat sentiasa siang dan separuh lagi sentiasa malam dan hasilnya ia tidak sesuai untuk dihuni oleh sebarang hidupan.

Kesan ke Atas Tumbuh-Tumbuhan

Tumbuh-tumbuhan merupakan makhluk Allah SWT yang boleh menghasilkan makanan sendiri melalui proses yang dinamakan proses fotosintesis.

Fotosintesis merupakan asas utama kepada sumber tenaga dan makanan di muka bumi ini kerana rantai makanan untuk hidupan di bumi ini bermula daripada tumbuh-tumbuhan. 

Fotosintesis hanya akan berlaku dengan adanya cahaya matahari.


Dengan kehadiran cahaya matahari, tumbuh-tumbuhan hijau akan menyerap tenaganya dan menukarkan tenaga cahaya tersebut kepada tenaga kimia untuk memproses makanan. Ia hanya berlaku pada waktu siang dengan kehadiran cahaya matahari.

Apabila menjelang malam, suhu persekitaran mula menurun dan makanan dalam bentuk karbohidrat mula dihasilkan daripada tenaga yang diperoleh pada waktu siang tadi.

Kebanyakan tumbuh-tumbuhan akan mati dalam masa beberapa hari sahaja jika tidak berlaku pertukaran malam dan siang kerana tiada makanan yang mampu dihasilkan oleh mereka.

Bahkan sebahagiannya mungkin mati dalam masa sehari sahaja jika tiada pertukaran malam dan siang kerana mereka tidak dapat menghasilkan makanan untuk meneruskan kehidupan.

Jam Biologi Manusia

Kitaran normal kehidupan seseorang manusia ialah tidur atau rehat pada waktu malam dan bekerja pada waktu siang.

Secara saintifiknya, fenomena kitaran badan manusia ini disebut sebagai jam biologi atau circadian rhythm.

Ia bermaksud, dalam kehidupan seharian manusia yang melibatkan waktu 24 jam, badan kita mempunyai perubahan berkala yang melibatkan perubahan fisiologi, biokimia dan juga tingkah laku tertentu

Dalam bahasa mudah, ia bermaksud apa yang badan kita perlu buat pada waktu-waktu tertentu.

Faktor utama yang mempengaruhi jam biologi manusia ini ialah cahaya yang dikesan oleh bahagian otak depan kita yang disebut hypothalamus. Namun, cahaya yang mempengaruhi otak kita hanyalah cahaya tertentu yang begitu spesifik yang hanya terdapat pada cahaya matahari sahaja.

Dengan ketiadaan cahaya matahari pada waktu malam, hormon melatonin mula dirembeskan dannia bertanggungjawab untuk memberi rasa mengantuk kepada manusia. Pada waktu itu, aktiviti fizikal akan berkurangan sebagai persediaan untuk tidur.

Apabila badan manusia sedang tidur, denyutan jantung, kadar pernafasan dan juga tekanan darah menurun. Oleh kerana penggunaan tenaga berkurangan pada waktu ini, badan manusia mula menyimpan tenaga sepanjang malam untuk keperluan hari berikut.

Apabila Subuh menjelang, hormon melatonin di dalam badan mual berkurangan menyebabkan badan dirangsang semula untuk menjadi lebih aktif dan sesuai untuk bekerja.

Fisiologi, kadar denyutan nadi dan tekanan darah juga berubah pada waktu siang sebagai persediaan kepada badan kita untuk bekerja.

Di kebanyakan negara-negara maju seperti Jepun, purata setiap orang bekerja adalah selama 10 jam sehari dan ada juga yang bekerja lebih masa sehingga berbelas-belas jam sehari.

Tidak kira berapa lama mereka bekerja, mereka tetap mendisiplinkan diri untuk rehat dan tidur pada waktu malam.

Namun ada segelintir kecil individu yang bekerja pada waktu malam dan tidur pada waktu siang. 


Ini mengingatkan apa yang pernah berlaku kepada saya semasa di alam kampus, belajar pada waktu malam sehingga Subuh dan kemudiannya tidur sehingga tengahari (pada hari cuti).

Saya dapat merasakan betapa tidak sihatnya badan saya apabila melanggar jam biologi badan yang Allah SWT tetapkan ini. 

Semoga pancaindera yang Allah SWT kurniakan kepada kita dapat digunakan sebaiknya bagi memerhatikan kehebatan ciptaan Allah SWT, insya-Allah.

Wallahua'lam