Bersatu Di Dalam Saf Yang Satu

Firman Allah SWT dalam surah as-Saff, ayat 1 hingga 5 yang bermaksud:-
“Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! 

Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya. 

Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh. 

Dan (ingatlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya:- 

‘Wahai kaumku! Mengapa kamu menyakiti daku, sedang kamu mengetahui bahawa sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu?’

Maka ketika mereka menyeleweng (dari kebenaran yang mereka sedia mengetahuinya), Allah selewengkan hati mereka (dari mendapat hidayah petunjuk); dan sememangnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik - derhaka.”

Asbab-asbab Penurunan Ayat Ini

Daripada Abdullah bin Salam RA berkata:- 
“Kami duduk bersama sekumpulan sahabat Nabi SAW.  Kami berkata:- 

‘Jikalau kami tahu apakah amalan yang paling disukai Allah, tentu akan kami amalkan.’

Lalu Allah SWT turunkan ayat: 1-2 dari surah as-Saff sehingga akhir surah. Rasulullah SAW membacakan ayat ini kepada kami.” 
Hadith Riwayat al-Hakim
As-Saff di sini adalah kiasan tentang susunan yang teratur dan barisan tentera yang kemas dan penuh perancangan.

Menurut Qatadah di dalam tafsirnya tentang ayat 4 surah as-Saff yang bermaksud:-:

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.”

Katanya:-
“Adakah kamu tidak melihat pemilik sebuah bangunan, bagaimana ia tidak suka berlaku keretakan di dalam binaannya. 
Begitu juga Allah SWT tidak menyukai sesuatu percanggahan dan perselisihan dalam urusan agama-Nya. 

Allah SWT mengajar tentang barisan Muslimin di dalam peperangan mereka dan barisan di dalam solat mereka. 
Justeru kamu hendaklah menuruti perintah Allah SWT untuk mencapai kejayaan dan kemenangan.” 
(Rujukan: Kitab Ad-Dur Al-Manthur)

Barisan Yang Satu

Jelasnya Allah SWT menyukai barisan yang mengangkat panji agama-Nya, menolong dakwah-Nya dan menyebarkan fikrah-Nya hendaklah menjadi satu binaan yang mana batu-batanya saling tolong-menolong, kukuh-mengukuh dan pegang-memegang antara satu sama lain serta setiap batu bata menjalankan peranan dan fungsi masing-masing dan menutup kelompongannya. 

Ini kerana sesuatu binaan seluruhnya akan ranap sekiranya batu bata terpisah dan tercerai dari tempatnya sama ada terkehadapan atau terkebelakang dan sekiranya batu bata tersebut terpisah dari pegangan batu bata di bawahnya atau di atasnya atau di sebelahnya.

Sesungguhnya ianya adalah suatu gambaran tentang hakikat sebenar dan bukan semata-mata gambaran kosong. 

Gambaran tentang tabiat sebuah jemaah dan tabiat ikatan yang kukuh antara anggota di dalam sebuah jemaah iaitu ikatan perasaan, ikatan pergerakan di dalam sistem yang tersusun dan menuju kepada matlamat yang tersusun. 

(Rujukan: Kitab Fi Zilal)

Justeru, sekiranya kita benar-benar cintakan Allah SWT dan bersungguh-sungguh mengharapkan keredhaan-Nya, maka kita hendaklah mengutamakan kecintaan-Nya agar mengatasi kecintaan kita. 

Kecintaan kepada Allah SWT Wajib Diutamakan

Mendahulukan kehendak kekasihmu mengatasi kehendakmu sendiri, mendahulukan apa yang disukai oleh kekasihmu mengatasi yang disukai oleh dirimu sendiri.

Oleh itu, sekiranya Allah SWT menyukai seorang hamba yang berperang dalam bentuk seperti yang dinyatakan, maka orang yang tidak mengutamakan apa yang disukai Allah SWT mengatasi kesukaan dirinya sendiri. 

Ia sebenarnya telah memisahkan diri dari mendapat kecintaan Allah SWT.

Orang yang tidak memperolehi kecintaan Allah SWT, maka ia akan ditimpa kerugian dan kebinasaan yang lain. 

(Rujukan: Kitab Lataif al-Isyarat)   

Diwahyukan dengan ungkapan مَرْصُوصٌ  bermaksud yang tersusun adalah hubungan yang erat dan susunan yang kemas seakan-akan susunan demi susunan yang tidak ada ruang kosong atau kepincangan. 

Justeru, sesiapa yang mahukannya, maka sebarang perlakuannya hendaklah tiada percanggahan dengan apa yang dikatakannya.

Susunan yang kemas adalah satu tanda kepada kesatuan hati dan niat di dalam penyerahan kepada Allah SWT dan penentangan terhadap orang yang menentang agama-Nya. 

(Rujukan: Kitab Nuzum ad-Dirar

Demikianlah Allah SWT menyukai hamba-hamba-Nya yang beriman yang bekerja dan berjuang ke atas agama-Nya.  

Pengajaran dari Kisah Kaum Nabi Musa AS 

Di sini timbul satu persoalan, apakah yang menyakitkan Nabi Musa AS yang dilakukan oleh kaumnya? 

Apakah kaitan menyebutkan perbuatan yang menyakitkan Nabi Musa AS selepas menyebutkan ayat kecintaan Allah SWT kepada barisan yang tersusun?


Maksud kaum Musa AS menyakiti Baginda AS ialah mereka tidak taat dan mengikuti perintah Nabi Musa AS dengan sepenuhnya.

Hal ini seperti yang dikisahkan dalam al-Quran oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud:-
“(Nabi Musa berkata lagi):- 

‘Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang-orang yang rugi (di dunia dan di akhirat)’ 

Mereka menjawab:- 

‘Wahai Musa bahawasanya di negeri itu ada kaum yang gagah perkasa, dan sesungguhnya kami tidak akan memasukinya sehingga mereka keluar daripadanya; kemudian jika mereka keluar daripadanya, maka sesungguhnya kami akan masuk (ke negeri itu)’

Berkatalah dua lelaki di antara orang-orang yang takut (menyalahi perintah tuhan), lagi yang telah diberi nikmat (taufik) oleh Allah kepada keduanya:- 

‘Seranglah mereka melalui pintu itu, kerana apabila kamu memasukinya maka sudah tentu kamulah orang-orang yang menang; dan kepada Allah jualah hendaklah kamu berserah (setelah kamu bertindak menyerang), jika benar kamu orang-orang yang beriman’ 

Mereka (menolak dengan) berkata:- 

‘Wahai Musa, sesungguhnya kami tidak akan memasuki negeri itu selama-lamanya selagi kaum itu masih berada di dalamnya; oleh itu pergilah engkau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka. Sebenarnya kami di sinilah duduk menunggu’.” 
Surah al-Ma'idah 5:21-24
(Rujukan: Kitab at-Tahrir wa at-Tanwir)

Manakala sebab turun ayat yang menyebutkan perbuatan yang menyakitkan Nabi Musa AS selepas ayat kecintaan Allah SWT kepada orang-orang yang berperang pada jalan-Nya dalam barisan yang tersusun, adalah sebagai suatu peringatan kepada orang-orang beriman yang bekerja dan berjuang supaya tidak berlaku seperti yang pernah berlaku kepada kaum Musa AS yang tidak taat dan mengikuti perintah Nabi Musa AS sepenuhnya. 

Barisan yang Satu, Pimpinan yang Satu

Perlakuan menyakiti pimpinan yang sah ialah suatu perbuatan yang tidak disukai dan tidak diredhai Allah SWT dan tidak layak dilakukan oleh orang-orang yang mencintai Allah SWT serta mengutamakan keredhaan-Nya seperti perbuatan ini.   


 Di sini timbul persoalan lain, ungkapan صَفًّا (barisan) dan kesatuannya terdapat di dalam sesetengah hadith tentang peperangan.

Kita katakan:-
“Sekiranya kita mengikuti ungkapan صَفًّا di dalam al-Quran, kita akan dapati ianya terdapat dalam lapangan menegakkan hujah dan keterangan.”
Bukankah Firaun pernah berkata kepada ahli sihirnya, seperti yang dirakamkan Allah SWT di dalam firman-Nya yang bermaksud:-
"Oleh itu, satukanlah segala cara helah kamu, kemudian datanglah beramai-ramai dalam satu barisan untuk menentangnya; dan sesungguhnya beruntunglah orang yang menang pada hari ini"
Surah Taha 20:64
Iaitu, berhimpunlah dan berkumpullah kamu untuk mempersembahkan sihirmu tanpa berselisih di antaramu, kemudian buatlah satu barisan dan campaklah apa yang ada di tanganmu sekali, pastilah semua mata akan terbeliak dan terpesona.

Sihir kamu akan mengalahkan sihir Nabi Musa AS dan saudaranya. 

Jelas Firaun terlalu mengingini pada hari ini  untuk mencapai kemenangan. Namun beliau kalah dan tewas. 

(Rujukan: Kitab Tafsir Muyassar)  

Lalu pengikut dan pasukan tenteranya membuat barisan untuk memerangi orang yang bekerja dan berjuang untuk Islam seperti yang Allah SWT wahyukan di dalam beberapa ayat lain.

Namun perbezaan antara barisan musuh yang berdendam ke atas Islam dan orang yang bekerja untuk Islam, dan barisan orang-orang yang beriman dan yang bekerja untuk Islam, bahawa barisan orang yang bekerja dengan Islam adalah saling kasih-mengasihi, sayang-menyayangi, bertolong-tolongan dan kukuh-mengukuhkan sepertimana ungkapan مَرْصُوص  (yang tersusun).

Ya Allah, berilah kami kefahaman tentang agama dan ajarkanlah kami tentang al-Quran

Aamiiin

Wallahua'lam