Khusyuk Itu Roh Ibadah

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Sesungguhnya berjayalah bagi orang yang beriman iaitu mereka yang khusyuk di dalam solatnya.” 
Surah al-Mu'minun 23:1-2

Alhamdulillah segala pujian hanya bagi Allah SWT, Zat yang Maha Sempurna yang menurunkan kefardhuan solat kepada hamba-Nya agar manusia yang benar-benar menghayati roh solat itu mendapat kemenangan yang dijanjikan-Nya.

Pada kali ini, kita akan membicarakan tentang khusyuk terutama ketika kita berdiri menghadap-Nya.

Mudah-mudahan dengan sedikit pencerahan terhadap takrif ini akan sama-sama membangkitkan kefahaman terhadap roh solat ini dan seterusnya memberi kesan yang terbaik dalam kita menghayati maksud kehambaan.

Apakah maksud khusyuk?

Adakah khusyuk itu boleh dicari menerusi jalan menuntut ilmu semata-mata?

Al-Allamah Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat Allah SWT ini telah menukilkan kata-kata Saidina Ali bin Abi Talhah daripada Ibn Abbas RA, katanya:-
“Orang yang khusyuk seperti yang digambarkan oleh Allah SWT ini ialah mereka yang takut dan gerun terhadap Allah SWT serta mempunyai ketenangan batin saat berdiri menghadap-Nya dalam solat.
Pendapat ini turut diperakui oleh Mujahid, Hasan al-Basri, Qatadah serta al-Zuhri.

Erti Khusyuk

Sebenarnya para ulama' telah mendefinisikan kalimah ini dengan pelbagai takrif. 

Di sini saya cuba menukilkan pandangan para ulama' tasawuf terhadap kalimah ini:-

Hasan al-Basri berkata:-
“Khusyuk ialah rasa takut secara berkekalan untuk kepentingan menghidupkan hati.”
Syeikh Junaid al-Baghdadi berkata:-
“Khusyuk adalah rasa rendah hati kerana Allah SWT.”
Fudhail bin Iyas RA berkata:-
“Khusyuk ialah apabila berterusan dalam pengaduan terhadap Allah dalam semua perkara.”
Menurut Syeikh Abu Ali al-Daqqa pula, yang dimaksudkan dengan khusyuk ialah tunduknya hati kepada Allah SWT serta berakhlak dengan akhlak yang mulia.

Inilah antara definisi khusyuk di sisi ulama' tasawuf seperti yang dinukilkan oleh Syeikh Abu al-Qasim Karim Hawazin al-Qushairi dalam Risalah al-Qushairiyyah.

Namun sama ada kita sedar ataupun tidak, roh bagi setiap amalan ini juga merupakan sifat yang paling awal akan hilang dalam ibadah manusia sekiranya ia tidak diikat dengan makrifatullah.

Benarlah seperti apa yang diyatakan oleh Huzaifah al-Yamani bahawa perkara yang paling awal yang akan hilang daripada agama ialah sifat khusyuk.

Analogi Hamka

Haji Abdul Malik Karim Marullah atau lebih dikenali dengan Buya Hamka pernah membuat satu analogi yang begitu menarik dalam menghuraikan keindahan khusyuk

Hayatilah kata-kata Buya Hamka ini:-
“Orang yang tidak pernah khusyuk itu samalah seperti orang yang tidak mengunci jendela pada setiap malam agar tidak dimasuki pencuri. 

Pada saat tangannya menolak engsel, matanya memastikan ia benar-benar berhasil mengunci jendelanya bahkan telinganya sempat pula mendengar bunyi engsel menyelak pintu. 

Namun kerana kegagalannya untuk khusyuk, sebaik tiba di pembaringan, lantas ia bangun kembali sambil bertanya pada hati sendiri:-

‘Adakah aku telah mengunci jendela?’

Lalu, apa gunanya mata yang telah melihat, tangan yang bergerak dan telinga yang medengar sewaktu jendelanya dikunci?”
Subahanallah, amat benar sekali makna kata-kata Buya Hamka dalam mengungkapkan betapa khusyuk itu merupakan roh dalam setiap amalan hamba

Bahkan diriwayatkan bahawa para sahabat yang cedera dipanah musuh, telah berhasil dicabut panah yang masih melekat di betis mereka sedangkan mereka tenggelam dalam kekhusyukan ibadah pada-Nya.

Subhanallah!

Saya berdoa agar Allah Azzawajalla sentiasa membimbing kita dalam melaksanakan ketaatan kepada-Nya dan mudah-mudahan kita dianugerahkan khusyuk dalam beribadah agar dapat kita selami kemanisannya. 

Moga hidup yang singkat ini juga lebih bermakna sebelum berpindah ke perkampungan akhirat yang lebih baik serta kekal abadi.

Wallahua'lam