Mengkritik pandangan seseorang adalah satu budaya ilmu yang biasa berlaku pada zaman awal Islam. Para ulama' silam mengkritik sesuatu pandangan sebagai satu cara untuk menyemarakkan dan menyuburkan lagi nilai keilmuan mereka.
Ada antara mereka menulis dan menghasilkan karya-karya agung bagi tujuan mengkritik atau menolak pandangan orang yang berbeza dengan mereka.
Imam al-Suyuti menulis kitab al-Rad ‘ala man Akhlada ila al-‘Ard wa Jahila an al-Ijtihad fi kul ‘Asr Fard untuk menolak pandangan ulama' yang mengatakan zaman ijtihad telah berhenti.
Mengkritik untuk Menyatakan Kebenaran
Perkembangan ilmu kritikan boleh dikaitkan dalam ilmu ‘al-Jarh wa al-Ta’dil’ iaitu ilmu berkaitan para perawi dalam proses periwayatan hadith.
Ini kerana, untuk mengetahui hadith atau riwayat sahih dan daif, ulama' perlu mengetahui status-status perawinya. Para ulama' mula menerangkan hal-hal berkaitan perawi dan mengkritik mereka supaya dapat dibezakan antara hadith yang sahih daripada hadith yang daif.
Ini kerana, untuk mengetahui hadith atau riwayat sahih dan daif, ulama' perlu mengetahui status-status perawinya. Para ulama' mula menerangkan hal-hal berkaitan perawi dan mengkritik mereka supaya dapat dibezakan antara hadith yang sahih daripada hadith yang daif.
Tujuan atau maqasid utama mereka mengkritik adalah untuk memberi sumbangan kepada syariat dan memelihara sumber rujukannya. Perbuatan mereka tidak termasuk dalam kes umpatan. Sebagaimana Rasulullah SAW pernah bersabda kepada Fatimah binti Qais RA ketika beliau bertanya kepadanya mengenai dua lelaki yang ingin meminangnya:-
“Adapun Abu Jahm, dia tidak meletakkan tongkat dari bahunya. Manakala Muawiyah, dia seorang yang miskin, tiada harta.”
Berdasarkan hadith ini, para ulama' menegaskan harus mengkritik seseorang dengan menyebut sifat-sifatnya atas tujuan nasihat.
(Rujukan: HR Muslim, jilid 5, halaman 240)
Mengapa ada Ulama' Mengkritik Pandangan Ulama' Lain
Jawapan yang paling tepat itu lumrah kehidupan dan satu hakikat yang tidak boleh dinafikan bahawa perselisihan pendapat tetap akan wujud.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah ia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu.(Tetapi ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan.Kecuali orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu dalam agama Allah) dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia.”Surah Hud 11:118-119
Jadi, kita dapat melihat wujudnya perdebatan, budaya mengkritik dan menolak pandangan orang lain bertujuan menyatakan kebenaran dan menegur kesalahan seseorang.
Secara tabii, seorang manusia tidak akan terlepas daripada melakukan kesalahan.
Menegur kesalahan seseorang termasuk dalam perintah amar maksruf nahi mungkar.
Tetapi menegur dan mengkritik ada cara dan kaedahnya.
Berlaku Adil dalam Mengkritik
Dalam suasana dunia moden hari ini, barangkali kita mudah melihat, mendengar dan membaca pandangan-pandangan seseorang sama ada melalui buku, blog, wesite, YouTube dan medium-medium lain yang banyak lagi dalam dunia global.
Namun realitinya, sesetengah individu agak terlalu cepat mengkritik pandangan seseorang, sehingga melupakan kebaikan orang yang berbeza pandangan dengannya. Lebih buruk lagi apabila orang yang dikritik itu seorang ulama' yang diterima oleh masyarakat dunia.
Adakah apabila kita tidak bersependapat dengan seseorang, lalu kita terus menghapuskan segala kebaikan dan jasa yang ada pada dirinya?
Apakah kita menjadi orang yang hanya celik pada keburukan dan kesalahannya sahaja?
Janganlah kita menjadi terlalu kedekut untuk menyebut kebaikan orang yang dikritik kerana mungkin kita akan terjerumus dalam golongan manusia yang mengurangkan hak manusia.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Dan janganlah kamu merugikan manusia dengan benda-benda yang menjadi haknya dan janganlah kamu menyebarkan bencana kerosakan di muka bumi.”Surah Hud 11: 85
Menjadi kewajipan kita untuk berlaku adil dalam mengkritik pandangan seseorang. Adil yang dimaksudkan adalah dari segi menyebut kebaikan dan keburukannya serta buatlah pertimbangan antara kedua-duanya.
Tiada manusia di dunia ini yang boleh terlepas daripada kesalahan.
Oleh sebab itu, apabila seseorang ingin mengkritik pandangan orang yang lain, maka janganlah melupakan segala kebaikan yang ada pada diri orang tersebut hanya disebabkan keburukan yang ada padanya.
Lebih bahaya lagi daripada itu, janganlah dikambus segala kebaikan seseorang disebabkan permusuhan antara kita dengan dirinya.
Lebih bahaya lagi daripada itu, janganlah dikambus segala kebaikan seseorang disebabkan permusuhan antara kita dengan dirinya.
Contohilah al-Imam al-Zahabi, seorang tokoh Islam yang terkenal; menulis sejarah hidup para ulama' silam. Beliau tidak lokek untuk menyebut kebaikan yang ada pada mereka yang dikritik.
Antara pandangan beliau terhadap al-Waqidi:-
“Al-Waqidi sekalipun tiada berselisih pada kelemahannya (dari segi riwayat), namun beliau seorang yang bercakap benar dan besar pekertinya.”Kitab Siyar A’lam al-Nubala’, jilid 142, halaman 7
Inilah yang ditegaskan oleh Muhammad bin Sirin:-
“Kamu telah menzalimi saudaramu, jika kamu hanya menyebut keburukannya dan kamu tidak menyebut kebaikannya.”
Seorang ulama' yang mengkritik pandangan ulama' yang lain, akan cuba mencari alasan keuzuran bagi ulama' itu.
Saidina Umar al-Khattab RA berpesan:-
“Janganlah kamu menyangka satu kalimah yang keluar dari mulut seorang Muslim itu satu kejahatan, sedangkan kamu mendapati adanya takwilan pada kebaikan.”Kitab Jami ‘al-Ahadith, al-Suyuti, jilid 29, halaman 16
Muhammad bin Sirin juga berkata:-
“Jika sampai kepadamu sesuatu (yang negatif) mengenai pandangan saudaramu, maka carilah alasan keuzuran untuknya. Jika kamu tidak mendapati sebarang keuzuran, maka katakanlah barangkali dia mempunyai alasan keuzuran.”Riwayat al-Baihaqi, Shu’ab al-Iman, jilid 7, halaman 376
Pesanan salafussoleh ini merujuk kepada hubungan persaudaraan sesama Islam, bagaimana pula keadaannya jika hubungan tersebut antara seorang murid dengan gurunya?
Atau orang awam dan penuntut ilmu dengan ulama'?
Sudah tentu penekanannya lebih kuat. Janganlah hanya kerana tidak cenderung dengan pandangan seseorang, lebih-lebih lagi pandangan seorang ulama', maka terus kita menidakkan keilmuannya.
Ibn Taimiyyah, tokok mujaddid terkenal ada menulis buku Raf’ al-Malam an al-A’immah al-A’lam (Menghilangkan Celaan daripada Para Alim Ulama' Agung). Bacalah tulisan beliau dan ingatlah kata-katanya:-
“Setiap ummah (sebelum kebangkitan Nabi Muhammad SAW), maka ulama'’nya ialah orang paling jahat. Melainkan orang Islam, maka sesungguhnya ulama' mereka ialah insan yang terbaik.Kerana sesungguhnya mereka ialah penganti kepada Rasulullah SAW untuk umatnya. Mereka ialah penghidup pada apa yang telah mati daripada sunnah-sunnah Baginda SAW.Dengan sebab mereka al-Quran dibangunkan dan dengan al-Quran mereka bangkit. Dan dengan sebab mereka al-Quran berbicara dan dengan al-Quran mereka berbicara.”Ibn Taimiyyah, Raf’ al-Malam, halaman 11-12
Wallahua'lam
Blogger Comment
Facebook Comment