Bayangkan jika akal berhenti daripada menjalankan fungsinya, pasti ia akan menjadi musibah yang paling bahaya bagi seorang manusia.
Apabila rosaknya akal, setiap anggota tubuhnya turut rosak dan terganggu.
Justeru bukanlah suatu yang menghairankan jika Islam sangat menjaga dan memberi perlindungan yang besar kepada akal agar tetap sejahtera dan berfungsi dengan baik.
Oleh sebab itu, umat Islam diharamkan melakukan sesuatu yang boleh menganggu dan merosakkan fungsi akal, sebagaimana Islam mengharamkan sesuatu yang dapat merosakkan hidupnya.
Ini kerana hilangnya akal dengan matinya seorang manusia adalah sama dengan hilangnya manusia daripada kamus kehidupan.
Apabila kita berbicara mengenai perubatan dalam Islam dan berubat dengan al-Quran, maka menjaga akal daripada sesuatu yang memabukkan merupakan sesuatu yang terpenting.
Jika seseorang telah kehilangan akalnya yang disebabkan oleh sesuatu di luar kehendaknya seperti menderita sesuatu penyakit, maka ia tidak disebabkan ia minum minuman keras atau sesuatu yang memabukkannya sehingga hilang akal dan tidak sedarkan diri, maka masyarakat akan memandang dirinya harus bertanggungjawab atas ‘kematian’ dirinya.
Peringkat Pengharaman Arak
Pada zaman jahiliyyah, bangsa Arab sudah terbiasa meminum beberapa jenis arak.
Kebiasaan tersebut terus berlaku sehinggalah mereka memeluk Islam iaitu sebelum diturunkan ayat-ayat yang mengharamkan minuman keras secara bertahap.
Kebiasaan tersebut terus berlaku sehinggalah mereka memeluk Islam iaitu sebelum diturunkan ayat-ayat yang mengharamkan minuman keras secara bertahap.
Peringkat 1
Saidina Umar al-Khattab RA selalu berfikir bahawa banyak pekerjaan penting perlu disiapkan oleh umat Islam pada waktu itu. Namun antara mereka ramai yang suka mabuk.
Oleh sebab itu, beliau mengadu kepada Rasulullah SAW dan berkata:-
“Ya Rasulullah, minuman keras telah merosakkan harta dan menghilangkan akal. Mari kita berdoa kepada Allah agar Dia menjelaskan kedudukan hukumnya kepada kita.”
Rasulullah SAW pun berdoa yang bermaksud:-
“Ya Allah, jelaskanlah kepada kami perihal hukum minuman khamar (arak) dengan penjelasan yang memuaskan kami.”
Kemudian turunlah satu ayat antara ayat-ayat yang mengharamkan khamar iaitu firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 219 yang bermaksud:-
“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah:‘Pada kedua-duanya ada dosa-dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya....’”
Ketika membaca ayat tersebut, umat Islam belum mendapat nas yang jelas tentang haramnya arak. Oleh sebab itu, sebahagian daripada mereka berhenti meminumnya, namun sebahagian yang lain masih meneruskan tabiat meminumnya.
Peringkat 2
Keadaan ini berterusan sehinggalah tiba suatu hari, ketika seorang sahabat mengimami solat dan tersalah membaca ayat al-Quran disebabkan mabuk sehingga para makmun mencela perbuatan imam tersebut.
Saidina Umar al-Khattab RA berdoa kepada Tuhannya:-
“Ya Allah, tambahkan penjelasannya kepada kami.”
Lalu turunlah ayat daripada surah an-Nisa' ayat 43 yang bermaksud:-
“Wahai orang yang beriman, janganlah kamu menghampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu sedar dan mengetahui apa yang kamu katakan.”
Peringkat 3
Seterusnya Saidina Umar al-Khattab RA berdoa lagi:-
“Ya Allah, tambahkan lagi penjelasan kepada kami.”
Maka turunlah ayat daripada surah al-Ma'idah ayat 90 yang bermaksud:-
“Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan.Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
Lalu Saidina Umar al-Khattab RA berkata:-
“Wahai Tuhan kami, kami benar-benar akan berhenti.”
Daripada semua ayat tersebut, jelas bahawa ayat-ayat tentang pengharaman arak tidak diturunkan sekaligus tetapi dengan cara bertahap.
Hikmahnya untuk mempersiapkan hati dan jiwa agar bersedia berhenti daripada terus meminum minuman keras dan untuk meninggalkan amalan kebiasaan bangsa Arab daripada minum minuman itu secara bertahap.
Hikmahnya untuk mempersiapkan hati dan jiwa agar bersedia berhenti daripada terus meminum minuman keras dan untuk meninggalkan amalan kebiasaan bangsa Arab daripada minum minuman itu secara bertahap.
Maksud Khamar
Setelah itu Rasulullah SAW menjelaskan dengan lebih tegas dan terperinci maksud perkataan khamar (arak) agar lebih jelas bagi manusia berkenaan minuman yang telah diharamkan atas mereka.
Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadith riwayat Muslim yang bermaksud:-
“Setiap sesuatu yang memabukkan adalah khamar dan setiap khamar adalah haram.”
Seterusnya Rasulullah SAW menyebut jenis-jenis khamar sebagaimana dalam sebuah hadith riwayat at-Tirmizi bahawa khamar ada yang berasal daripada gandum, ada khamar daripada barli, ada khamar daripada kurma, dan ada khamar daripada kismis.
Nabi SAW menyebut semua ini agar manusia tidak menyangka bahawa pengharaman itu hanya terhad kepada minuman yang memabukkan sahaja. Rasulullah SAW melarang segala sesuatu yang memabukkan yang menjadikan seseorang itu berkelakuan buruk tanpa sedar.
Rasulullah SAW juga melarang arak dalam apa-apa bentuk pun, sekalipun ditukarkan namanya agar tidak disebut sebagai khamar.
Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ahmad yang bermaksud:-
“Sesungguhnya kelak akan datang satu kaum daripada umatku yang meminum khamar, namun mereka tidak menamakannya sebagai khamar.”
Akibat Meminum Arak
Menurut ahli ilmu, orang yang meminum arak akan menghidap berbagai-bagai jenis penyakit. Sel-sel tubuhnya akan rosak. Seorang doktor pakar jantung, Dr. Muhammad Ibrahim, membahaskan pengaruh arak pada jantung bagi orang yang suka meminum arak.
Beliau berkata:-
“Khamar mempunyai kesan yang membahayakan bagi otot-otot jantung.Ia akan menghalang aktiviti jantung secara perlahan-lahan sehingga tidak dapat berfungsi dengan sempurna.Akhirnya, jantung tidak dapat bekerja secara total dan gagal berfungsi dengan baik.”
Dr. Mahmud Ahmad Najib menjelaskan bahawa orang yang minum arak akan mendapat kesan buruk pada hatinya dan akan menaikkan tekanan darah tinggi.
Keadaan ini akan menyebabkan muntah darah, koma dan lemah jantung yang membahayakan.
Selanjutnya beliau menegaskan bahawa orang yang ketagih minuman keras akan mendapat gangguan yang akan mempengaruhi kemampuan berfikir, jiwa, sikap dan perasaan yang berhubung dengan nilai-nilai kemanusiaan.
Dr. Hamid al-Ghawwabi menambah kesan buruk yang lain:-
“Minuman keras akan merosakkan sel-sel otak, yang menjadi pusat kawalan dan daya rasa.”
Oleh sebab itu, tidak menghairankan jika pemabuk tidak memiliki rasa malu. Pemabuk berjalan terhuyung hayang dan mengeluarkan kata-kata yang tidak terkawal. Bahkan ada juga yang menjadi gila.
Dr. Ghawwabi juga menjelaskan kemudaratan akibat meminum arak tidak hanya menimpa peminumnya, tetapi juga akan memberi kesan buruk kepada anak-anaknya. Anak-anak akan mudah ditimpa penyakit, akalnya lemah serta mempunyai kecenderungan untuk berbuat jahat, perkara keji dan berdosa.
Daripada kesan arak itu juga, ada yang melahirkan anak yang cacat. Demikianlah yang disebut oleh Abdul Mun’im Qindil dalam kitab beliau al-Tadawa bi al-Quran.
Wallahua'lam
Blogger Comment
Facebook Comment