Penuhi Keperluan Dan Keinginan Ibu Bapa

Ibu bapa ialah manusia biasa yang tidak lepas daripada mempunyai keperluan dan keinginan tertentu. Sebagai anak, kitalah insan yang paling dituntut untuk memenuhi keperluan hajat mereka sebagaimana mereka sering mencukupkan hajat dan keperluan kita semasa kecil.


Hajat ibu bapa tidak menentu.

Hajat ibu bapa yang sudah berusia, bukan sahaja berbentuk wang tinggit dan makanan, malah perhatian, kasih sayang dan sebagainya. Apabila ibu bapa berhajatkan kepada makanan, kita penuhilah hajat mereka itu walau terpaksa bersusah payah mendapatkannya.

Kadangkala mereka teringin untuk merasai sesuatu yang tidak pernah dirasai.

Tiada salahnya kita sebagai anak memasakkan, membelikan atau membawa mereka makan ke tempat yang mereka ingini. Jika isteri mengidam, suami bersusah payah memenuhinya. Begitulah juga ibu bapa yang mengidamkan sesuatu, lebih berhak dipenuhi hajatnya itu.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Aishah berkata:-

‘Katakan padaku wahai Rasulullah, siapakah yang paling besar haknya ke atas seorang wanita?’

Baginda menjawab:-

‘Suaminya.’

Aishah bertanya lagi:-

‘Kalau atas seorang lelaki?’

Baginda menjawab:-

‘Ibunya.’” 
Hadith Riwayat al-Hakim, hadith sahih
Menunaikan Hajat Ibu Bapa Berupa Makanan

Sepertimana yang kita tahu, ibu bapa terutamanya yang telah tua baisanya mempunyai keinginan selera yang kadangkala pelik daripada biasa.

Sebagai contoh, mereka teringin makan kambing bakar, mereka juga enggan makan makanan lain.

Padahal pada usia mereka, harus mengurangkan makanan tertentu yang memudaratkan agar dapat mengelak daripada penyakit yang berbahaya.

Jika mereka menginginkan makanan yang boleh menjejaskan kesihatan seperti yang tinggi kolesterol bagi pesakit jantung dan darah tinggi, terangkan kepada mereka akibatnya dan jika mereka tetap berhajat juga, berilah dalam kadar yang berpatutan.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud:-
“Perlakuan yang baik adalah dengan memberikan makanan mereka yang lapar dan memberi mereka pakaian jika mereka tidak memiliki pakaian.” 
Hadith Riwayat at-Tirmizi
Bantulah ibu bapa dalam memandu hajat dan keinginan mereka kepada hajat dan keinginan yang baik dan tidak memudaratkan. Doronglah mereka agar menjaga kesihatan. Berilah nasihat-nasihat yang baik dan berhikmah.

Jika mereka tidak mahu berubah daripada tabiat selera pemakanan yang agak berisiko, ajaklah mereka melakukan aktiviti-aktiviti kesihatan.

Anak-anak juga boleh menerangkan kepada ibu bapa secara langsung atau tidak langsung akibat penyakit itu bagi meningkatkan kesedaran mereka untuk menjaga kesihatan. Contoh yang praktikal, sesekali bawalah mereka menziarahi hospital dan bercerita tentang penderitaan pesakit-pesakit di situ.


Bermula pada Tatacara Makan
  • Makan buah sebelum sarapan, sebelum makan tengahari dan makan malam
  • Elakkan minum air ketika sedang makan. Minum air sekitar 15-30 minit selepas makan
  • Seeloknya makan sebelum Maghrib (kecuali waktu puasa)

Tip Kesihatan: Anak dan Ibu Bapa
  • Banyakkan makan makanan seimbang, sayur dan buah-buahan serta kurangkan makanan berlemak, kafein dan makanan ringan
  • Gunakan pelembap yang sesuai untuk melembapkan kulit. Semakin meningkat usia seseorang terutamanya wanita, kadar kelembapan kulit semakin berkurangan
  • Elakkan daripada pancaran cahaya matahari dalam jangka masa yang panjang kerana ia boleh mengering dan menggelapkan kulit
  • Lakukan senaman sekurang-kurangnya tiga kali seminggu
  • Minum banyak air untuk melambatkan proses penuaan dan kekeringan kulit. Ia juga boleh membantu proses penghadaman dan membuang toksin dalam badan
  • Digalakkan mengambil makanan tambahan (supplement) seperti vitamin untuk menyokong tubuh
  • Elakkan bermekap tebal terutamanya wanita kerana ia akan menyebabkan wanita itu kelihatan lebih tua
  • Sentiasa positif dan ceria bersama-sama insan yang tersayang untuk mengelakkan sebarang tekanan

Tunaikan Apa Jua Keinginan Ibu Bapa

Hajat dan permintaan daripada ibu bapa tidak terbatas kepada makanan sahaja.

Anak-anak perlu memastikan segala kehendak ibu bapa seperti pakaian, barang keperluan harian dan keinginan untuk melancong sedaya upaya dipenuhi mengikut kemampuannya.

Amat seronok jika sekali sekala anak-anak membawa kedua-dua orang tuanya pergi melancong ke tempat-tempat peranginan agar mereka dapat menenangkan fikiran dan berehat dalam suasana yang nyaman. 

Anak-anak juga dapat mengeratkan lagi kasih sayang dan kemesraan dengan mereka.

Bagaimana Menunaikan Hajat Ibu Bapa

Jika keinginan ibu bapa itu agak berat, contohnya keinginan untuk menunaikan haji atau umrah, sedangkan anak-anak sendiri mempunyai beban kewangan yang banyak, bagaimana untuk melaksanakannya?

Anak-anak boleh bekerjasama dengan adik-beradiknya yang lain bagi menunaikan hajat mulia ini. Mulakan menabung setiap bulan khas untuk menampung kos perjalanan haji ibu bapa nanti.

Walaupun mungkin agak lambat barulah hajat ini dapat dipenuhi, namun usaha yang ditunjukkan si anak dapat membahagiakan hati ibu bapa. Usaha itu akan membuatkan mereka berasa amat disayangi dan dihargai.

Tidak Menunaikan Hajat ke Arah Maksiat atau Kederhakaan pada Allah SWT

Jika ibu bapa kita mensyirikkan Allah SWT dan selalu melakukan dosa-dosa besar, kita mesti tetap menghormati dan mengasihi mereka. Tunjukkan akhlak yang baik biarpun mereka tidak pernah berakhlak baik dengan kita.

Nasihatilah mereka secara berhikmah.

Namun, jika mereka meminta kita untuk melakukan dosa besar, maka dalam konteks ini, hajat mereka itu tidak wajar dipenuhi. Biarpun mereka memaksa kita untuk melakukannya, kita mesti tegas mengutamakan Allah SWT daripada ibu bapa kita.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat kebaikan kepada kedua-dua ibu bapanya. 
Dan jika mereka memaksamu mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti kedua-duanya. 

Hanya kepada-Ku tempat kembali kamu, lalu Aku khabarkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” 
Surah al-Ankabut 29:8
Wallahua'lam