Umpama Mendaki Langit

Allah SWT berfirman dalam surah al-An'am yang bermaksud:-
“Sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi kepadanya petunjuk, nescaya Dia melapangkan dadanya untuk (memeluk agama) Islam. 
Dan sesiapa yang dikehendaki Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah ia sedang mendaki langit. 
Begitulah Allah menimpakan seksa kepada orang yang tidak beriman.” 
Surah al-An'am 6:125

Dalam ayat ini Allah SWT membuat perbandingan antara golongan yang mendapat hidayah dan petunjuk dengan golongan yang sesat dan ingkar kepada Allah SWT.

Golongan yang mendapat petunjuk ialah golongan yang sentiasa mencari kebenaran dalam hidup, maka mereka berasa lapang dengan segala ajaran Islam.

Manakala golongan yang disesatkan Allah SWT, iaitu golongan yang ingkar pula akan terasa sempit dada dengan Islam, ekoran mereka yang sengaja tidak mahu memahami segala hikmah terhadap sesuatu yang dijadikan oleh Allah SWT di muka bumi ini.

Al-Zamakhshari mengulas ayat ini menyatakan bahawa dalam kalangan hamba Allah SWT yang mendapat hidayah, hati mereka akan berasa lembut dan tertarik dengan Islam, lalu mereka dengan lapang dada menerima Islam sebagai agama yang dianuti.

Hal ini kerana Islam sebagai agama yang benar dan tidak ada ruang untuk mengingkarinya. 

Justeru, Allah SWT telah berfirman dalam surah Ali Imran ayat 19 yang bermaksud:-
“Sesungguhnya agama yang diredhai di sisi Allah hanyalah agama Islam.”
Menurut al-Zamakhshari lagi, sesiapa yang Allah SWT kehendaki kesesatan kepadanya iaitu mereka yang sengaja menolak petunjuk Allah SWT dengan memilih kekufuran berbanding keimanan, maka Allah SWT menjadikan dada mereka sempit dan sesak ketika berhadapan dengan Islam, lalu mereka menolak hidayah Allah SWT.

Syaitan pula membuatkan mereka berasa benar-benar sesak dan sukar untuk menerima Islam sebagai pegangan dan cara hidup.

Mendaki Langit

Golongan yang enggan menerima cahaya keimanan, sudah tentu akan dihiasi dengan keingkaran dan syirik. Lalu dada mereka itu sesak dan sempit ketika berhadapan dengan ajaran Islam.

Kesempitan dada mereka itu diumpamakan seperti orang yang sedang mendaki langit.


Kiasan yang terdapat dalam ayat ini membuktikan al-Quran itu suatu mukjizat yang hebat. Semasa ayat al-Quran ini diturunkan, manusia belum lagi mempunyai ilmu tentang penerokaan angkasa. 

Namun, pada zaman perkembangan ilmu sains dan teknologi kini, dapat difahami bahawa apabila seseorang itu semakin tinggi naik ke angkasa (langit), menyebabkan berlakunya kesesakan pada sistem pernafasan.

Semakin tinggi seseorang itu naik ke atas langit, semakin terasa sesak dadanya dan sukar bernafas kerana oksigen semakin berkurangan.

Itulah kiasan yang diberikan Allah SWT dalam al-Quran terhadap mereka yang menolak hidayah Islam. Mereka sentiasa berada dalam keraguan, waswas, tidak tenteram, rungsing dan sebagainya.

Menurut Bakri Sheikh Amin dalam bukunya al-Ta’abir al-Fanni fi al-Quran, hal ini menunjukkan seolah-olah Allah SWT menjelaskan kepada manusia; Islam itu ialah asas dalam kehidupan dan punca ketenangan. 

Tanpa Islam, manusia akan berada dalam kerungsingan seumpama mereka yang sesak nafas dan sempit dada.

Kemuliaan Islam

Islam ialah agama yang mulia dan sempurna. Maka, Islam telah menyususn dan memberikan panduan yang lengkap ke arah kehidupan yang baik dan sempurna.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Ma'idah ayat 3 bermaksud:-
“Pada hari ini, Aku (Allah) telah sempurnakan bagi kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”
Islam yang lengkap dan sempurna ini dianugerahkan oleh Allah SWT kepada manusia agar mereka dapat menuju kecemerlangan dalam kehidupan


Nikmat Islam mahal harganya, namun berapa ramai yang tahu menilai nikmat tersebut?

Dengan sebab itulah, penekanan pada ilmu merupakan perkara asas dalam Islam agar umat Islam tidak tergolong dalam golongan yang hanya menjadi ‘pak turut’ dalam segala perkara tanpa melihat kepada kebaikan dan keburukan dalam sesuatu perkara yang diamalkan dalam kehidupan.

Seseorang yang menghayati nilai Islam, sudah tentu dia akan menghargainya dengan sebaik mungkin. Lihat sahaja Yusuf Islam yang dahulunya dikenali sebagai Cat Steven, daripada seorang rockers bertukar menjadi seorang pendakwah Islam yang gigih.

Professor Dr. Maurice Bucaille, seorang tokoh perubatan Perancis yang terkenal dengan bukunya, The Bible, The Quran and Science tertarik dengan Islam melalui kajiannya terhadap ayat-ayat saintifik dalam al-Quran.

Seorang bekas pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Scotland yang berbangsa Inggeris memeluk Islam kerana kajian yang dibuatnya untuk mendapatkan Ijazah Doktor Falsafahnya itu sudah dijelaskan maklumatnya dalam al-Quran

Kajian beliau berkaitan kulit manusia yang tidak akan berasa sakit apabila dibakar berulang kali. Beliau terpegun apabila mendapati al-Quran ada membicarakan perkara tersebut melalui ayat 56 surah an-Nisa' yang bermaksud:-
“Sesungguhnya orang yang kufur dan ingkar pada ayat-ayat keterangan Kami (Allah), Kami akan bakar mereka dalam api neraka. 
Setiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan kulit lain untuk mereka supaya mereka terus merasai azab sengsara itu dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
Dalam ayat ini, jelas Allah SWT menyatakan bahawa kulit penghuni neraka yang hangus terbakar akan digantikan dengan kulit baru yang lain. Ia bertujuan agar penghuni neraka tersebut akan terus berasa sakit

Apabila menghayati ayat ini, tanpa ragu-ragu lagi beliau terus memeluk agama Islam.

Fenomena Kini yang Bercanggah dengan Ajaran Islam

Orang yang memeluk Islam dengan penuh keyakinan, hasil daripada ilmu yang dimiliki akan menghasilkan keimanan yang  mantap dan teguh kepada Allah SWT.

Akan tetapi, apabila Islam itu hanya dijadikan sebagai ikutan yang tidak didasarkan kefahaman yang jelas, maka akan wujud manusia yang Islamnya hanya pada nama. Lebih malang, ada pula yang mencampuradukkan budaya Islam dengan budaya luar yang merosakkan!

Justeru, tidak hairanlah apabila sebilangan remaja wanita yang bertudung, tetapi terbuka di bahagian lain. Mereka turut berpeleseran dengan orang yang bukan mahram dan akhirnya memburukkan imej Islam itu sendiri di mata masyarakat.

Maksiat dilakukan secara terang-terangan tanpa sifat malu. Begitu juga pemuda-pemuda yang waktu malamnya dihiasi dengan hiburan, seolah-olah hidup ini tiada tujuan dan matlamat. 


Ada juga yang mengucapkan Alhamdulillahketika menerima sesuatu kejayaan dalam program-program maksiat seolah-olah tiada nilai perkataan tersebut!

Perlakuan songsang itu sebenarnya menunjukkan betapa berjayanya musuh-musuh Islam menghancurkan akhlak umat Islam melalui racun ‘serangan pemikiran’ yang sekian lama telah dirancang.

Allah SWT mengingatkan perkara ini dalam ayat 217 surah al-Baqarah yang bermaksud:-
“Dan mereka (musuh Islam) terus memerangi kamu sehinggalah mereka memalingkan kamu daripada agama kamu, sekiranya mereka mampu.”
Sehubungan dengan itu, umat Islam sewajarnya kembali merenung apakah kehidupan kita pada hari ini menunjukkan kita benar-benar memahami Islam? 

Apakah umat Islam kini dapat menjadi ‘uswah hasanah’ kepada umat lain yang terkapai-kapai dalam kesesatan dan jauh daripada hidayah Allah SWT?

Kewajipan Hidup Secara Islam

Renungi secara penghayatan Islam dalam segenap aspek kehidupan. Syeikh Fathi Yakan telah menggariskan beberapa perkara penting agar dapat hidup secara Islam:-

1. Mengetahui tujuan hidup

Kehidupan songsang timbul akibat tidak mempunyai matlamat dalam kehidupan. Mereka akan mencedok apa-apa sahaja yang datang tanpa melihat baik buruknya.

Sedangkan Allah SWT telah menyatakan dalam surah al-Dhariyat ayat 56 tentang motif penciptaan manusia, yang bermaksud:-
“Tidak Aku (Allah) ciptakan jin dan manusia kecuali supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku.”
Justeru, apakah seseorang yang sudah akil baligh masih tidak mempunyai matlamat dalam khidupan mereka untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT?

2. Nilaian dunia berbanding akhirat

Kehidupan yang abadi ialah kehidupan di akhirat. Oleh sebab itu,seorang Muslim yang bijak, pandai menggunakan kesempatan hidup di dunia untuk kebahagiaan di akhirat.

Apakah seseorang yang tanpa segan silu melakukan maksiat di dunia akan memperoleh kebahagiaan di akhirat?

3. Menyedari tentang kematian

Allah SWT berfirman dalam surah al-Mulk ayat 2, bermaksud:-
“Dialah yang telah mentakdirkan adanyamati dan hidup (kamu), untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; siapakah antara kamu yang lebih baik amalannya dan Dia Maha Kuasa (membalas terhadap orang yang derhaka), lagi Maha Pengampun (bagi orang yang bertaubat).”
Adakah kita menyedari hakikat kematian yang tidak mengenal usia ini?

4. Memahami hakikat Islam

Orang yang berilmu dapat merasai kehebatan nilai Islam, lantas tidak akan membuang masa, terus mengejar keredhaan Allah SWT.

Terdapat segelintir daripada kita yang meninggalkan solat dan tidak menutup aurat, lalu menyatakan bahawa Allah SWT tidak melihat luaran, tetapi Allah SWT melihat hati seseorang.

Apakah kita tidak merenung hadith Nabi SAW yang bermaksud:-
“Sekiranya baik, baiklah keseluruhannya, dan sekiranya buruk, buruklah keseluruhannya, tidak lain dan tidak bukan itulah hati.” 
Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim

5. Mengetahui hakikat jahiliah

Saidina Umar al-Khattab RA pernah berkata:-
“Ikatan Islam akan terungkai satu persatu apabila wujud dalam masyarakat Islam itu mereka yang sudah tidak mengenal jahiliah.”
Persoalannya, apakah umat Islam pada hari ini sudah tidak mengenali jahiliah, sehingga ada yang sanggup menderhaka kepada ibu bapa, berhibur di luar batasan, berzina dan sebagainya?

Sehubungan dengan itu, jangan jadi orang yang sempit dada terhadap Islam. Sebaliknya, jadilah Muslim hakiki yang mendapat keredhaan Allah SWT di dunia dan akhirat.

Insya-Allah.

Wallahua'lam

Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment