Dosa Minimum, Taubat Maksimum

“Ya Allah, ampunkanlah dosa yang sedang aku lakukan, yang telah aku lakukan dan yang akan aku lakukan.”


Kita, manusia bukan maksum, masih melakukan dosa dan berdosa.

Dosa itu terlalu abstrak; bukan boleh disentap, digenggam kuat lalu dihancurkan. Kesalahan dan maksiat pada diri seorang manusia juga sangat subjektif untuk didefinisikan dalam satu lembaran yang jelas. 

Dosa itu ada yang kecil, ada juga yang besar. Boleh jadi masa lalu atau sebentar tadi. 

Siapa yang dapat menjamin bahawa dirinya mampu bolos daripada melakukan dosa keesokan hari?

Manusia tidak terlepas daripada melakukan kesalahan. Terkadang, suruhan yang Allah SWT perintahkan ditinggalkan. Ajaran Nabi Muhammad SAW selalu dilupakan dan hanyut dalam kelekaan.

Dosa yang tidak dapat dihitung dalam perkiraan kita seharusnya menjadikan seseorang terdorong mencari jalan keluar. Kembali kepada fitrah dan sememangnya manusia mencari suatu yang tabii

Allah SWT Maha Penyayang lagi Maha Pengampun.

Yazid dan Yanqus

Analogi mudah kepada anak-anak; mereka dalam penjagaan ibu bapa setiap hari. Hari ini, anak yang disayangi menurut segala kata dan membuat sang ibu dan ayah tersandar lalu tersenyum lega.

Keesokannya pula. mereka membentak tidak mahu ke sekolah tanpa ada punca lalu menjadikan ibu ayah bingung dengan kejadian yang disaksikan mereka semalam.

Itulah manusia, ada naik (yazid) dan turunnya (yanqus)

Keinginan kepada kebaikan itu sentiasa ada, tetapi dorongan diri sendiri ada pasang surutnya. Apabila kadar ini tidak tetap, maka potensi manusia untuk melakukan kebaikan itu ada dan begitu juga dengan kejahatan dan dosa.

Seorang anak mempunyai seribu satu ragam yang tidak diketahui kalanya, begitu juga sepasang ibu ayah tidak menduga sikap mereka terhadap anak-anak untuk setiap ketika. Kadangkala, para pelajar memenuhi permintaan sang guru, namun ada ketika mereka didenda atas kesalahan yang dilakukan. 

Hari ini, solat Subuh kita bersama jemaah di masjid, tetapi dua hari kemudian solat itu Subuh ‘gajah’.


Itulah sikap manusia, yazid dan yanqus, bukan seperti para Nabi dan Rasul yang tahap keimanan mereka sentiasa meningkat. Namun, ketahuilah bahawa pengampunan Allah SWT itu tidak mengira masa, tidak naik turunnya dan sentiasa ada untuk mereka yang ingin kembali kepada-Nya.

Sejauh Mana Bahaya Dosa?

Melakukan kesalahan, dosa dan maksiat menjadi penghalang utama diri seseorang mendapat rahmat ilmu. Ilmu Allah SWT teramat luas dan ada cahaya padanya. Cahaya yang memberi suluhan dalam hidup setiap jiwa manusia yang bersih. 

Ya, yang bersih daripada kotoran dosa dan maksiat.

Imam as-Syafi'e pernah mengadu kepada Waqi’ (gurunya) tentang kelemahan beliau dalam menghafal.

Lalu diberitahu kepadanya agar meninggalkan perkara maksiat. Dia juga mengatakan bahawa ilmu ialah cahaya, dan cahaya Allah SWT tidak mungkin diberikan kepada orang yang berbuat maksiat.

Kuasa dosa terlalu kuat untuk menghancurkan benteng malu bagi seseorang. 

Dosa yang terzahir menjadikan manusia lupa bahawa Allah SWT Maha Agung dan melebihi segala-galanya. 

Lalu, tanpa segan silu melanggar semua yang dilarang-Nya dan terdorong untuk mempamerkan kesalahan tersebut kepada masyarakat. 

Sifat berani dan ego terlalu menguasai diri si pembuat dosa lalu mengabaikan sifat malu yang seharusnya menjadi kekuatan utama kepada diri mereka. 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Perasaan malu itu baik seluruhnya.” 
Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim

“Dengan nama Allah, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.”

Cukup mudah, amat indah. 

Mana mungkin seorang yang tergerak melakukan dosa akan mengungkapkan kata-kata yang disarankan ini. 

Mereka sebenarnya dengan sukarela telah menolak kasih sayang Allah SWT yang ingin diberikan. 

Golongan yang membuat perkara maksiat ini lebih memilih untuk menerima seksa dan laknat Allah SWT

Nah, itulah bahaya dosa

Menjadikan manusia lupa akan dirinya sendiri, alpa tentang tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT di muka bumi ini malah buta akan segala kebaikan dan nikmat yang Allah SWT janjikan untuk setiap perkara baik yang dilakukan.

Jauhilah Dosa dan Raihlah Taubat

Jangan sedih, usah gusar. 

Memang benar bahawa perkara yang berlalu tidak dapat diulang kembali untuk diperbetulkan. Keinginan untuk menjauhi dosa dan maksiat itu lebih utama daripada menangisi dan meratapi kejahatan yang telah dilakukan sebelum ini. 

Realisasikanlah keinginan tersebut dan berubahlah!

Daripada Anas RA katanya:-
“Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud):-

‘Allah SWT telah telah berfirman: 

“Wahai anak Adam, setiapkali engkau berdoa berharap kepada-Ku, Aku akan tetap mengampunimu atas segala dosa yang engkau lakukan, dan Aku tidak peduli. 

Wahai anak Adam, andai kata dosa-dosa kamu setinggi langit kemudian kamu memohon keampunan-Ku, nescaya Aku akan mengampunimu. 

Wahai anak Adam, andai kata engkau datang kepada-Ku dengan dosamu sepenuh bumi ini, kemudian engkau menemui-Ku dan tiada engkau menyekutui Aku dengan sesuatu pun, nescaya Aku akan datang kepadamu dengan keampunan sepenuh bumi pula.’” 
Hadith Riwayat at-Tirmizi
Meraih taubat memerlukan keazaman yang tinggi buat seseorang yang ingin berubah. Seharusnya, taubat yang paling tinggi itulah yang menjadi sasaran utama

Taubat yang paling tinggi martabatnya ialah taubat nasuha, taubat yang sebenar-benarnya dan murni. 

Sebagaimana dijelaskan dalam surah at-Tahrim ayat ke-8, Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Hai orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang yang beriman bersamanya, sedang cahaya mereka memancar di depan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan:-

‘Ya Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.’”
Dalam usaha meraih taubat, sesalilah segala dosa kejahatan yang dilakukan pada masa lalu, seterusnya berjanji untuk tidak mengulanginya

Dalam satu riwayat Ibn Majah terdapat seorang sahabat Nabi SAW mendengar Baginda SAW bersabda bahawa penyesalan itu ialah taubat

Taubat bukan hanya untuk si pembuat dosa. 

Sedangkan Nabi SAW yang terlepas daripada segala dosa seringkali memohon keampunan Allah SWT.

Mohonlah pengampunan Allah SWT. 

Mintalah agar Dia menerima taubat kita dan mengakulah akan setiap yang kita lakukan pasti ada kesilapan dan dosa yang terselit.

Taubat Diterima atau Tidak?

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Sesungguhnya aku Maha Pengampun kepada orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh.” 
Surah Taha 20:82
Kuasa Allah SWT terlalu hebat untuk kita nilai. 

Persoalan sama ada taubat yang dilakukan itu diterima atau tidak bukan menjadi perkara penting untuk menimbangkan sama ada ingin bertaubat atau tidak.

Sungguh, pasti Allah SWT menerima taubat bagi orang yang membuat kejahatan bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah an-Nisa' ayat ke-17 yang bermaksud:-
“Sesungguhnya penerimaan taubat di sisi Allah hanya bagi orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera bertaubat (dengan adanya dua sebab itu) maka mereka diterima di sisi Allah taubatnya dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
Pengampunan Allah SWT itu terlalu berharga. 

Gapailah ia walau setinggi mana ia berada.

Jangan biarkan diri kita terus jatuh sedikit demi sedikit sehingga tiada ruang lagi menemukan cahaya taubat. Apabila hati menjadi terlalu keras, kita akan berada dalam kesesatan dan kekal abadi sebegitu dan ketika itulah kita dapat melihat diri kita; bersendirian, tiada yang peduli. 

Naudzubillah!

Wallahua'lam