Karakter Penghuni Syurga Dan Neraka

Daripada Harithah bin Wahib, bahawa suatu hari Rasulullah SAW bersabda kepada para sahabatnya yang bermaksud:-
“Mahukah kamu semua aku beritahu (sifat-sifat) ahli syurga?”

Para sahabat menjawab:-

“Ya.”

Baginda SAW bersabda lagi:-

“Setiap orang yang lemah dan dilemahkan (da’if mutada’af), andainya dia meminta kepada Allah, nescaya Allah akan mengabulkan permintaannya. 

Mahukah aku beritahu kepadamu (sifat-sifat) ahli neraka? 

Setiap orang yang suka bertengkar dengan kasar (‘utul), berlagak (jawwaz) dan sangat sombong (mustakbir).”

Hadith ini sahih dan diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim dalam kedua-dua kitab Sahih mereka. Ia mengandungi perkara yang penting untuk kita renungi bersama.

Ahli syurga dan neraka dapat dikenalpasti sejak di dunia lagi menerusi sifat-sifat yang terdapat dalam diri mereka. Rasulullah SAW memberitakan sifat-sifat itu dengan tujuan agar kita dapat bermuhasabah diri.

Ini kerana sifat-sifat ini menggambarkan kebanyakan ahli syurga dan ahli neraka. Sesiapa yang memiliki sebahagian daripadanya, dapat dipastikan akan masuk ke tempat yang telah ditetapkan baginya.

Sifat Ahli Syurga

Salah satu sifat ahli syurga ialah lemah dan dilemahkan, yakni orang fakir dan dihina. Mereka tidak pernah disanjung dan dipuji, malah sering diremehkan kerana keadaan hidupnya.

Demikianlah tafsiran makna kalimat (da’if mutada’af) ini menurut para ulama' termasuklah Imam an-Nawawi dan al-Hafiz Ibn Hajar.

Sebahagian ulama' mentafsirkannya dengan makna yang lain. 

Al-Qadi ‘Iyyad berkata:-
“Boleh jadi, kalimat lemah di sini bermakna; hati yang lembut, halus dan tunduk kepada keimanan.”
Apabila ditanya makna hadith ini, Ibn Khuzaimah menjawab:-
“Iaitu orang yang melepaskan dirinya daripada daya dan upaya sebanyak 20 hingga 50 kali setiap hari.”
Maksudnya, ahli syurga ini selalu menyedari kelemahan diri tanpa bantuan daripada Allah SWT.

Maka, dia memperbanyakkan kalimat la haula wa la quwwata illa billahyang bermaksud tiada daya dan upaya kecuali dengan (bantuan) Allah SWT.

Imam as-Syafi'e pernah berkata:-
“Lemah merupakan sifat manusia yang paling jelas. Sesiapa yang selalu menyedari sifat ini, dia akan memperoleh istiqamah bersama Allah SWT.”
Semua tafsiran ini tidak bercanggah antara satu sama lain, malah saling melengkapi

Ini dapat dirumuskan, ahli syurga memliki hati yang lemah lembut dan halus, selalu bersikap tawaduk dan menyedari kelemahan diri di hadapan Allah SWT.

Bukan mustahil bagi orang seperti ini seringkali diremehkan dalam pergaulan kerana sifat mereka yang enggan menonjolkan diri dan selalu mengalah

Padahal, jika mereka mengangkat tangannya untuk berdoa, Allah SWT pasti akan memustajabkan setiap apa yang dimintanya.

Al-Bara’ bin Malik, seorang Ahli Syurga

Salah seorang tokoh yang memenuhi sifat-sifat ini ialah al-Bara’ bin Malik al-Ansari. Beliau adalah saudara Anas bin Malik, khadam Nabi SAW. Al-Bara' merupakan seorang pejuang yang gagah berani dan bersuara merdu.

Anas bin Malik RA menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Betapa ramai orang yang kusut penampilannya, berdebu, berpakaian lusuh dan tidak dipedulikan manusia. 
Andai ia meminta kepada Allah, nescaya Allah akan mengabulkan permintaannya. Salah seorangnya adalah al-Bara' bin Malik.”
Pada hari penundukan Kota Tustar ketika pemerintahan Saidina Umar al-Khattab RA, tentera kaum Muslimin kewalahan (tidak berupaya) menghadapi musuh. Pasukan Parsi yang berkali-kali ganda bilangannya telah menyerang pasukan Muslimin sehingga mengalami kekalahan.

Tentera Muslimin segera berkata:-

“Wahai al-Bara', mintalah kepada Tuhanmu!”

Al-Bara' segera mengangkat tangannya dan berkata:-

“Ya Allah, aku meminta kepada-Mu. Tundukkanlah mereka untuk kami.”

Maka pasukan musuh dapat ditewaskan.

Peperangan berlanjutan kembali di Jambatan Sus. Pasukan musuh kembali mendesak kaum Muslimin. Mereka kembali meminta al-Bara' untuk berdoa kepada Allah SWT.

Al-Bara' berkata:-

“Ya Allah, aku meminta kepada-Mu, kalahkanlah mereka dan pertemukan aku dengan Nabi-Mu.”

Musuh kembali dapat ditewaskan.

Dan kali ini, al-Bara' syahid di medan perang seperti permintaannya. Sungguh indah orang yang selalu bersama Allah SWT.

Sifat Ahli Neraka

Apabila kita beralih kepada sifat-sifat ahli neraka sebagaimana yang disebutkan Nabi Muhammad SAW, keadaannya songsang 180 darjah. Ahli neraka digambarkan sangat kasar ucapan dan perbuatannya.

Mereka suka bertengkar dan kuat berselisih

Dalam setiap perdebatan, pantang bagi mereka untuk mengalah walaupun perkara itu sangat remeh. Malah, mereka enggan mengalah meskipun menyedari kesilapan daripada dirinya sendiri. Apabila diingatkan dan dinasihati, mereka segera menunjukkan reaksi marah.

Orang seperti ini sangat dibenci oleh Allah SWT. 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Manusia yang paling Allah benci ialah orang yang sangat kuat bertengkar.” 
Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Saidatina Aisyah RA

Antara sifat ahli neraka yang lain pula adalah sangat angkuh dan sombong. Keangkuhan itu sangat jelas kelihatan dalam penampilan gerak-gerinya. Apbila berjalan, langkah mereka seperti orang yang angkuh.

Apabila berbicara, lidah dan bibirnya dibentuk dengan gaya khas. Mereka selalu ingin berbeza daripada orang ramai dan meminta untuk dihormati.

Daripada Zaid bin Aslam, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Langit menangis melihat hamba yang diberikan kesihatan badannya, dilapangkan perutnya dan diberikan kenikmatan dunia, namun dia sangat zalim sesama manusia.” 
Hadith Riwayat Jarir al-Tabari dengan sanad mursal
Jangan Keras Hati

Semua sifat ini berpunca daripada satu sumber iaitu kekerasan hati.

Hati yang keras akibat daripada dosa-dosa yang telah menutupi cermin hati. Apabila hati telah keras, maka maksiat tidak lagi dirasakan sebagai dosa. Malah, maksiat itu terasa dirasakan begitu ‘manis’ dan ‘nikmat’.

Pemilik hati yang keras tidak memiliki belas kasihan. Ucapan dan sikapnya tampak kasar walaupun terhadap ibu bapanya, anak-anaknya, isteri atau suaminya dan apatah lagi kepada kawan-kawannya.

Hati yang kasar tidak tersentuh dengan kata-kata hikmah. Matanya kering kerana air mata yang tidak pernah dititiskan kerana nasihat. Suatu hari nanti, mata seperti ini akan dipaksa menangis kerana azab yang Allah SWT timpakan kepadanya.

Jika tidak di dunia, maka azab itu pasti menimpa di akhirat.

At-Tirmizi meriwayatkan daripada Ibn Umar RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Jangan terlalu banyak berbicara selain menyebut Allah. Sebab mereka yang banyak berbicara selain menyebut Allah akan mengeraskan hati. Sesungguhnya manusia yang paling jauh daripada Allah ialah pemilik hati yang keras.
Wallahua'lam