Orang Besar, Semangat Besar

Kebesaran jiwa seseorang boleh dilihat pada sikapnya dalam menghadapi sesuatu. Orang besar sering berfikiran besar dan bersemangat. Dan orang kecil pula selalu berfikiran kecil dan tidak bersemangat.


Perbezaan ini jelas terzahir pada perbincangan yang berlaku antara Imam Ibn Jarir al-Tabari dengan murid-muridnya. Mari kita hayati kisahnya.

Suatu hari Ibn Jarir berkata kepada murid-muridnya:-

“Bersediakan kamu menyalin sebuah kitab tafsir yang akan aku karang?”

Mereka bertanya:-

“Berapa tebalkah buku itu tuan?”

Beliau menjawab:-

“30,000 jumlah muka surat.”

Sangat tebal!

Disebabkan sangat tebal, murid-muridnya berasa keberatan. Mereka berkata:-

“Umur kami akan habis sebelum menyelesaikan projek ini.”

Ibn Jarir kecewa dengan jawapan itu. Namun begitu, beliau meringkaskan kitab tafsirnya ini menjadi 3,000 jumlah mukasurat sahaja.

Beberapa lama kemudian, Ibn Jarir kembali mengajukan cadangan lagi. Beliau berkata:-

“Bersediakah kamu semua menyalin buku tarikh yang akan aku tulis? Aku akan menceritakan sejarah dunia sejak zaman Nabi Adam hingga ke hari ini.”

Murid-murid kembali bertanya:-

“Berapa tebalkan buku itu tuan?”

Beliau memberitahu bahawa ketebalan buku itu dijangkakan kira-kira 30,000 mukasurat. Setebal kitab tafsir cadangannya yang pertama.

Murid-murid Ibn Jarir kembali berasa keberatan. Ibn Jarir berkata:-

“Innalillah, semangat telah mati.”

Sepertimana buku tafsirnya, Ibn Jarir kembali meringkaskan buku tarikhnya menjadi setebal buku tafsirnya. Kedua-dua buku ini telah dicetak dan dapat kita nikmati hingga kini.

Orang Besar vs Orang Kecil

Kisah ini dapat anda temui dalam kitab Siyar A’lam al-Nubala’ dan Tazkirah al-Huffaz, kedua-duanya karya al-Hafiz al-Zahabi. Ibn Jarir dalam kisah ini ialah seorang ulama' yang sangat luas ilmunya.

Beliau tidak bergurau apabila mengatakan bahawa kitab tafsirnya akan mencapai ketebalan 30,000 mukasurat kerana beliau telah membayangkan kitab tersebut sejak awal, sebelum menulisnya lagi.

Kemampuan untuk membayangkan (visualise) memang sesuatu yang hanya dimiliki oleh ‘orang besar’. Ia dapat membayangkan hasil pekerjaan yang akan dibuat sebelum ia melangkah untuk melakukannya. 

“Begin with the end in mind”, kata Stephen Covey.

Kisah Ibn Jarir juga memperlihatkan kepada kita perbezaan psikologi orang besar dengan orang kecil. 

Orang besar selalu akan berkata:-

“Perkara ini boleh dilakukan!.”

Orang kecil pula selalu berkata:-

“Perkara ini mustahil dilaksanakan.”

Orang besar memiliki semangat yang membara, sebaliknya orang kecil selalu lemah semangat, bahkan kadangkala tidak mempunyai semangat langsung.

Semangat Pemuda Parsi

Allah SWT suka orang yang bercita-cita tinggi dan penuh semangat. Mereka tidak mengenal kata ‘mustahil’ setiap kali melakukan suatu tugasan, walaupun tugasan itu terlihat sangat sukar untuk dilakukan.

Sifat ini pernah dimiliki oleh bangsa Parsi suatu ketika dahulu.

Oleh sebab itu, Rasulullah SAW pernah memuji mereka dengan bersabda:-
“Andaikan agama (riwayat lain: iman, dan dalam riwayat lain: ilmu) tergantung di thuraya (bintang Taurus), nescaya ia akan dapat diraih oleh pemuda dari Parsi.” 
Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Sebahagian ulama' mengatakan bahawa hadith ini isyarat kepada Imam Abu Hanifah. Beliau memang berasal daripada keturunan Parsi dan terkenal kerana memiliki semangat dan cita-cita yang tinggi.


Setiap kali membahaskan hukum, Imam Abu Hanifah selalu berusaha untuk menyelami hingga ke dasarnya, lalu menyingkap ‘illah hukum dengan teliti sebagai qiyas hukum itu dengan perkara-perkara lain yang menyerupainya.

Beliau enggan bertaklid kepada sesiapa, malah berusaha untuk berijtihad sesuai mengikut kemampuannya.

Dengan semangat beliau ini, nama beliau kekal hingga ke hari ini, pandangan dan pendapat beliau tetap hidup dan diamalkan di serata negara Islam seluruh dunia.

Bersemangat Walau Sudah Berusia

Sikap penuh semangat selalu dianjurkan setiap saat. Walau sesempit mana pun situasi, kita tetap tidak boleh hilang semangat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Sekalipun kiamat telah tiba, sementara di tangan salah seorang kamu terdapat biji benih, apabila ia mampu untuk menanamnya, maka hendaklah ia menanamnya.” 
Hadith Riwayat al-Bukhari dalam Adab al-Mufrad
Kerana terkesan dengan ajaran hadith ini, para ulama' masih tetap rajin bekerja dan belajar meskipun mereka telah lanjut usia.

Al-Zarnuji berkata dalam kitab Ta’lim al-Muta’allim:-
“Hasan bin Zayyad mulai belajar fiqah apabila usianya telah mencapai 80 tahun. Sejak itu, beliau tidak pernah tidur di atas katil selama 40 tahun.”
Hasan bin Zayyad adalah salah seorang murid Imam Abu Hanifah dan Abu Yusuf di Iraq.

Al-hafiz al-Zahabi dalam Tazkirah al-Huffaz bercerita bahawa Ibn al-Jawzi belajar menghafal al-Quran dengan 10 qiraat dari Ibn al-Baqillani di Kota Wasit meskipun usianya mencapai 80 tahun.

Usia lanjut tidak pernah memadamkan semangat tokoh-tokoh besar untuk mempertingkatkan diri. Berapa pun usia anda, masih belum terlambat untuk menuntut ilmu.

Mereka yang Bercita-Cita Rendah

Apabila Allah SWT suka kepada orang yang bersemangat tinggi, Allah SWT membenci orang yang lemah semangat. 

Setiap kali peluang kejayaan menghampiri orang ini, ia melepaskannya begitu sahaja. 


Alasan yang sering dilaungkan:-

“Ini mustahil dilakukan!”

Orang seperti ini tidak akan melahirkan kejayaan dalam bidang apa pun yang diceburinya. 

Hakikatnya, orang malas berselindung di sebalik kalimat ‘mustahil’

Orang seperti ini telah mati meskipun nyawa mereka masih ada.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Kejarlah apa yang berguna untukmu, minta bantuan daripada Allah dan jangan lemah. Apabila ditimpa sesuatu, maka janganlah engkau berkata:-

‘Kalau begini, nescaya tidak akan begitu.’

Akan tetapi katakanlah:-

‘Ini takdir Allah.’

Sesungguhnya ‘kalau’ akan membuka pintu syaitan.” 
Hadith Riwayat Muslim
Sifat lain yang terdapat pada orang ini ialah takut mengambil risiko. Sedangkan untuk mengecapi kejayaan, perlu berhadapan dengan risiko. 

Saidina Muawiyah bin Abu Suffian RA berkata:-
“Sesiapa yang menginginkan sesuatu yang besar, maka ia tidak boleh takut menghadapi risiko yang besar.”
Nilai Seseorang

Ibn Rajab berkata:-
“Nilai seseorang ditentukan oleh cita-citanya.”
Ucapan ini ada benarnya. Apabila cita-cita seseorang hanya untuk kebaikan dirinya, maka dia seorang yang ego. Jika cita-cita itu meluas sehingga meliputi seluruh rakyat di negerinya, maka ia seorang nasionalis.

Namun, jika cita-cita itu lebih tinggi lagi meliputi bumi ini, maka ia seorang wali Allah SWT yang sangat disegani.

Abu Sulaiman al-Darani berkata:-
“Redha terhadap ketentuan Allah dan belas kasihan terhadap seluruh makhluk ialah sifat Rasul-Rasul Allah.”

Semoga Allah SWT menerbitkan semangat dan cita-cita yang tinggi dalam hati kita sehingga kita termasuk dalam kalangan wali-walinya yang dikasihi.

Aamiiin ya Rab al-Alamin.

Wallahua'lam

Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment