Solat Atau Makan?

Solat dan puasa adalah sebahagian daripada lima rukun Islam.

Kedua-duanya merupakan ibadah yang penting bagi umat Islam.

Namun begitu, kedua-dua ibadah ini berbeza antara satu sama lain.

Makan dan minum merupakan perkara yang boleh membatalkan solat dan puasa.

Dalam kitab Fiqh al-Ibadah, dinyatakan makan dan minum yang banyak membatalkan solat sekalipun pembuatnya lupa atau jahil tentang hukum batal solat.

Hukum ini berbeza dengan puasa. 

Puasa tidak batal dengan makan atau minum dengan banyak jika pelakunya jahil dengan syarat-syarat puasa disebabkan baru memeluk Islam, jauh daripada sumber ilmu atau lupa.

Oleh yang demikian, perbezaan antara puasa dan solat, mempunyai sebab-sebab tersendiri, antaranya:-
  • Solat merupakan keadaan berzikir, berlainan dengan puasa.
  • Solat mempunyai perbuatan-perbuatan tertentu dan mengikut turutannya. Maka, makan dan minum yang banyak boleh memutuskan turutannya, berbeza dengan puasa yang merupakan perbuatan menahan diri.
  • Syeikh Arsyad bin Abdullah al-Banjari dalam Sabil al-Muhtadin menyatakan bahawa bagi orang yang solat, ada perbuatan yang mengingatkan dirinya sedang solat. Oleh itu, ia dikira sebagai cuai apabila makan yang banyak secara terlupa. Maka solatnya batal.
Imam Nawawi RH berkata:-
“Sekiranya seseorang makan ketika solat dalam keadaan lupa atau jahil tentang hukum haramnya dalam jumlah yang sedikit, itu tidak membatalkan solat tanpa khilaf. 

Sekiranya dia makan dalam jumlah yang banyak, batal solatnya mengikut pendapat yang paling sahih.”

Jika Makanan sudah Terhidang

Dalam situasi begini, bagi orang yang belum bersolat dan berhajat untuk makan, maka makan adalah diutamakan. Bahkan makruh baginya melakukan solat dalam keadaan demikian. 

Ini bertepatan dengan hadith Nabi SAW yang bermaksud:-
“Tiada solat (tidak sempurna solat) dengan kehadiran makanan dan minuman dan menahan dua hadas.” 
Hadith Riwayat Muslim
Dalam hadith yang lain, Baginda SAW bersabda yang bermaksud:-
“Apabila diletakkan makan malam seseorang daripada kamu padahal solat hendak didirikan, maka mulakanlah dengan makan malam.” 
Hadith Riwayat al-Bukhari
Hadith-hadith ini menunjukkan bahawa makruh melakukan solat dalam keadaan makanan terhidang yang mana dia berhajat kepadanya. Perkara ini boleh menghilangkan khusyuk yang merupakan perkara penting dalam solat.

Imam Nawawi RH mengatakan lagi:-
“Ulama' Ashab kami dan selain mereka mengatakan makruh solat dalam keadaan demikian apabila waktu masih luas. 

Sekiranya dia makan atau bersuci dalam waktu yang sempit sehingga menyebabkan habis waktu, dia hendaklah solat dalam keadaan demikian sebagai menjaga waktu dan tidak boleh lagi melewatkannya.

Abu Sa’d al-Mutawalli meriwayatkan satu pendapat daripada sebahagian ulama' Ashab bahawa seseorang itu tidak akan solat dalam keadaan demikian. Bahkan dia hendaklah makan atau berwuduk walaupun berakhirnya waktu kerana maksud solat itu ialah khusyuk, bukan berakhirnya waktu.”

Menurut al-Munawi dalam Faid al-Qadir, perlu didahulukan kelebihan khusyuk hati berbanding kelebihan awal waktu.

Wallahua'lam