Tafsir Surah al-Layl

Surah al-Layl (اللَّيلِbermakna malam. Surah ini termasuk dalam golongan surah Makkiyyah dan dan diturunkan sesudah surah al-A’la

Ini merupakan pandangan jumhur ulama' manakala sebahagian yang lain seperti riwayat al-Mahdawi dalam al-Muharrar al-Wajiz mengatakan bahawa ayat 5-7 turun berikutkan tindakan Abu al-Dahdah al-Ansari yang membeli pokok kurma milik seorang munafiq yang telah bertindak mencungkil buah-buahan kurma yang dimakan oleh beberapa orang anak sahabat yang miskin. 

Tindakan yang tidak berperikemanusiaan ini menunjukkan sikap tamak yang melampaui batas terhadap anak yang tidak bersalah.

Nabi Muhammad SAW memberitahu tuan pokok agar berlapang dada kerana akan mendapat gantinya di syurga.

Malangnya dia enggan, menyebabkan Abu al-Dahdah tampil membeli pokok kurma itu dengan harga yang mahal untuk dihadiahkan kepada Allah SWT dan Rasul-Nya.

Menurut Ibn al-Jawzi dalam Zad al-Masir, sahabat yang mulia ini telah menggantikan pokok kurma ini dengan 40 batang pokok kurma yang lain untuk si munafiq itu. 

Ini disebabkan keyakinannya yang teguh terhadap janji Nabi SAW bahawa dia akan mendapatkan gantinya di syurga. Peristiwa ini dinyatakan oleh kebanyakan mufasirin termasuk Ibn Jarir, Ibn Athiyyah dan al-Alusi dalam tafsir masing-masing daripada Ibn Abbas RA.

Fadhilat Surah al-Layl


Surah ini terdiri daripada 21 ayat, 71 kalimat dan 310 huruf. Surah ini merupakan surah yang ke-9 dalam urutan penurunannya diwahyukan selepas surah al-A’la dan sebelum surah al-Fajr.

Antara intipati surah ini ialah huraian tentang kemuliaan Mukminin dan keutamaan amalan yang mereka lakukan serta bimbingan Allah SWT untuk mereka ke arah kebaikan.

Sebaliknya ahli maksiat iaitu penderhaka terhadap ketetapan Allah SWT, bagi mereka balasan yang setimpal di akhirat.

Menurut al-Biqa’i dalam Nazm al-Durar, antara maqasid atau terma utama surah ini ialah tauhid iaitu kekuasaan Allah SWT dengan kudrat-Nya mentadbir manusia dengan segala keperluan.

Disebutkan dalam tafsir Mahasin al-Ta’wil bahawa Nabi SAW berpesan kepada Mu'az yang dilantik menjadi imam agar mengasihani dan bertimbang rasa terhadap makmum, supaya membaca surah-surah yang sederhana panjang seperti surah al-A’la, al-Shams dan al-Layl.

Ini kerana agar tidak memberatkan mereka yang sakit, sedang bermusafir lalu singgah bersolat ataupun bagi yang mempunyai hajat yang ingin disempurnakan. 

Hadith ini menunjukkan kekerapan dan kecenderungan Baginda SAW mengamalkan surah ini kerana pertimbangan keadaan makmum.

Dalam tafsir karya al-Baidawi, dinyatakan sebuah hadith bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:-
“Sesiapa yang mengaji (mempelajari) surah al-Layl nescaya dia akan mendapat anugerah Allah Taala sehingga dia berasa puas dan dia akan diafiatkan oleh-Nya serta bebas daripada kesukaran dan dimerdekakan baginya di akhirat kelak.”
Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Demi (perhatikan) malam apabila telah menutupi dengan kegelapannya. Dan (demi) siang apabila telah terang-benderang. Dan (demi) yang menciptakan lelaki dan perempuan. Sesungguhnya usaha kamu sangat berbeza-beza.”
Surah al-Layl 92:1-4

Kekuasaan Allah SWT


Perkataan al-Layl dalam bahasa Arab merujuk kepada makna gelap dan kehitaman, lantaran itu, rambut yang hitam juga dikenali dengan 'layl'.

Malam merujuk kepada waktu kegelapan yang bermula dengan terbenamnya matahari yang berlaku apabila hilangnya cahaya merah di ufuk timur dan berakhir dengan terbitnya fajar. Malam yang panjang ini berbeza-beza julat kegelapannya.

Lalu apabila berakhirnya malam, muncul cahaya matahari yang menandakan datangnya siang.

Pengunaan kata kerja mudari’ (masa kini/present tense) dalam ayat yang pertama iaitu يَغشىٰ berbeza daripada kata kerja madi (masa lampau/past tense) dalam ayat yang kedua تَجَلّىٰ menunjukkan perbezaan gelap yang merupakan sesuatu yang tidak tetap sedangkan nur ataupun cahaya adalah sesuatu yang tetap sepertimana iman yang muncul bersama kedatangan Rasulullah SAW menyingkirkan kegelapan kezaliman syirik yang dianuti oleh orang Arab sebelum itu.


Dalam ayat ke-3 pula menunjukkan kekuasaan Allah SWT menerusi kejadian lelaki dan perempuan, jantan dan betina. Persenyawaan sperma dan ovum menatijahkan kejadian makhluk yang baru dengan kehendak daripada-Nya. 

Walaupun manusia mampu mengkaji ke peringkat asal-usul zat kejadian manusia menerusi ilmu DNA, kromosom dan sebagainya, namun mereka masih belum tentu mampu meleraikan ketentuan-ketentuan Allah SWT menjadikan seperti itu. Tentu ada hikmah di sebalik kejadian-Nya.

Selanjutnya dalam ayat ke-4 pula Allah SWT menjelaskan perbezaan kerja dan kecenderungan mansia dalam kehidupannya. Perkataan سَعيَكُم peringkat permulaannya bermaksud berjalan dengan cepat sebelum peringkat berlari.

Akhirnya ia berkembang sehingga membawa maksud kerja yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh

Kalimah شَتّىٰ merupakan kata jamak ‘shatit’ yang berasal daripada ‘al-shat’ yang bermakna bersebaran yang teramat sangat.

Menurut al-Imam al-Suyuti dalam al-Dur al-Manthur dan al-Wahidi dalam Asbab al-Nuzul, ayat keempat ini diwahyukan untuk memberitahu kita tentang perbezaan hala tuju Saidina Abu Bakar as-Siddiq yang menjadi uswah kaum Mukminin berbanding manusia yang memilih kesesatan walaupun telah diseru oleh Nabi Muhammad SAW untuk beriman.

Golongan yang menderita ini memilih laluan yang berbeza yang bertentangan dengan Saidina Abu Bakar as-Siddiq.


Inilah Umayyah dan Ubay bin Khalaf. Ini merupakan sebuah riwayat yang menjelaskan maksud ayat keempat surah ini.

Wallahua'lam