Serius Menjaga Solat Subuh

Kita biasa mendengar orang berkata:-

“Sesiapa yang tidur selepas Subuh tertutup pintu rezekinya.”

Mengapa Subuh dan apa rasionalnya pintu rezeki tertutup untuk mereka?


Saya percaya bagi mereka yang bekerja makan gaji, isu ini tidak timbul kerana pada hujung minggu mereka boleh tidur semahunya. Hari tidak bekerja, gaji tetap dibayar. Sama ada mereka tidur selepas Subuh atau tidak, rezeki tetap ada.

Malah sesetengahnya bukan hanya tidak bangun untuk solat Subuh, tetapi terus tidur sehingga tengahari kerana gaji bulanannya tetap sama. 

Jadi , berdasarkan itu, kurang tepatlah kenyataan di atas bagi mereka.

Namun, kalau dinilai dari sudut kesihatan, ada juga kebenarannya. Apa tidaknya, kalau tidur dalam tempoh yang lama, akan ditimpa penyakit. 

Bagaimana?

Ya, kalau tidur selepas Subuh tubuhnya akan lemah. Bayangkan kalau mereka bersikap begitu, boleh jadi umurnya akan pendek. Dengan itu, sumber pendapatannya akan terhenti.

Sebenarnya Rasulullah SAW telah mengingatkan umat Islam dalam hadith Baginda SAW yang bermaksud:-
“Berpagi-pagilah (Subuh) dalam mencari rezeki, sesungguhnya berpagi-pagi itu ada keberkatan dan kejayaan.” 
Hadith Riwayat at-Tabrani dalam Kitab al-Awsat
Rasulullah SAW mahu umat Islam bangun awal untuk mencari rezeki kerana Allah SWT menurunkan rezeki dan keberkatan pada waktu pagi. Maknanya, kalau mereka bangun lambat, keberkatan sudah tiada. Maka rezeki juga akan menjadi kurang. 

Sebab itu Abdullah Ibn Abbas (Ibn Abbas) ketika melihat anaknya tidur pada waktu pagi, beliau berkata kepada anaknya:-
“Bangun! Adakah kamu tidur pada waktu rezeki dibahagi-bahagikan?”

Punca Kemunduran Umat


Realiti yang dapat dilihat di negara ini, orang Cina yang beragama Buddha akan bangun awal pagi apatah lagi kalau mereka golongan peniaga atau petani. Mereka bangun sebelum orang Islam bangun untuk solat Subuh.

Lihatlah, kalau mereka membuka kedai, perkara pertama yang dilakukan ialah sembahyang dengan menyalakan colok di hadapan gerai atau kedai mereka.

Keadaan yang sama berlaku bagi orang India yang beragama Hindu. Mereka bangun awal pagi sebelum matahari terbit. Apabila matahari terbit, mereka akan menyembah Tuhan mereka dengan menghadap matahari.

Istiqamah mereka dalam hal ini menjadikan mereka berjaya dalam mencari rezeki.

Jelas di sini, mereka yang hendak berjaya perlu mendisiplinkan diri bangun awal sebelum Subuh. Tetapi, persoalannya berapa ramai umat Islam turut berdisiplin seperti di atas?

Walaupun banyak hadith Rasulullah SAW yang mengajar kita ke arah itu, sudah banyak panduan dan disiplin yang disediakan untuk kita ikut, tetapi bagaimana dengan kehidupan umat Islam kini?

Bolehkah mereka bangun awal pagi untuk solat Subuh dan keluar bekerja awal pagi?

Ya, kalau kita ke masjid waktu Subuh, jemaahnya hanya satu saf berbanding waktu Maghrib dan Isyak

Ertinya masih ramai yang bangun lambat lalu melakukan solat Subuh bersendirian di rumah. Malah ada juga yang tidak melakukan solat Subuh, lalu terus keluar ke tempat kerja. 

Demikian sikap mereka yang bekerja. 

Lain halnya bagi si penganggur, mereka akan terus sambung tidur sampai matahari naik segalah.

Kalau begitulah keadaan orang Islam pada zaman ini, apakah mereka mampu mencipta kejayaan seperti yang dimiliki oleh kaum Cina dan India di atas?

Inilah realiti orang Islam pada hari ini, malah inilah jawapan kenapa umat Islam mundur dalam segala lapangan. Kalau adapun yang berjaya, keberkatannya tiada.

Rasulullah SAW ketika melewati anaknya, Saidatina Fatimah RA, didapati beliau sedang berbaring pada waktu pagi, maka Baginda SAW bersabda yang bermaksud:-
“Wahai anakku, bangunlah dan hadaplah rezeki Tuhanmu, dan janganlah engkau tergologn dalam kalangan orang yang lalai. Sesungguhnya Allah membahagikan rezeki manusia antara terbit fajar hingga terbit matahari.” 
Hadith Riwayat al-Baihaqi
Inilah panduan yang Rasulullah SAW berikan agar bangun awal dan tidak boleh tidur pada waktu pagi dan terus bekerja mencari rezeki. Di dunia ini, kita tidak boleh rasa senang hati tidur dan mengharapkan rezeki datang melayang.

Bangunlah Segera Wahai Umat Islam


Umat Islam diperintahkan agar bangun awal sebelum terbit fajar lagi. Umat Islam disarankan agar mendirikan solat sunat Tahajud dan Witir sebelum masuk waktu Subuh. Sebaik sahaja masuk waktu solat Subuh, mereka diminta pula melakukan solat sunat Fajar.

Walaupun solat ini termasuk dalam kategori sunat, percayalah, solat itu yang menjadikan solat Subuh senjata yang digeruni musuh.

Bayangkan kalau semua umat Islam boleh melakukan solat Subuh sama seperti solat Jumaat, dan solat itu dilakukan setiap pagi, tidakkah keadaan itu boleh menjadi senjata kekuatan umat Islam. Kalau setakat seminggu sekali umat Islam berkumpul, apalah ertinya kepada Islam?

Hal ini kerana solat Jumaat hanya berjaya menonjolkan syiar Islam tetapi belum betul-betul menggerunkan musuh.

Mungkin sebahagian anda pernah mendengar kenyataan tokoh Yahudi mengenai sikap umat Islam. Di sini saya paparkan sebahagian yang ditulis:-
“Pernah seorang Yahudi menyatakan bahawa mereka tidak takut dengan orang Islam kecuali pada satu hal iaitu apabila jumlah jemaah solat Subuh menyamai jumlah jemaah solat Jumaat.”
Kebanyakan kita tidak sedar, betapa sudah banyak peluru kita hilang entah ke mana. Oleh sebab itu musuh kita; Yahudi sudah tidak takut dengan kita. Malah mereka kini boleh menghancurkan kita kalau mereka mahu.

Dari segi agama, mereka telah berjaya merosakkan aqidah umat Islam. Pada masa yang sama mereka berjaya melalaikan kita agar tidak berminat untuk melakukan solat Subuh.


Menyedari keadaan itu, umat Islam perlu kembali menghayati ajaran Islam dengan memenuhkan masjid pada waktu solat Subuh. Mungkin untuk memulakannya agak sukar kerana sudah terbiasa bangun lambat

Inilah cabaran yang perlu disahut oleh umat Islam.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:-
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan begitu saja dengan berkata:-


‘Kami telah beriman?’

Sedangkan mereka tidak diuji lagi? 

Sesungguhnya kami telah menguji orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar dan sesungguhnya, Dia mengetahui orang yang dusta.” 

Surah al-Ankabut 29:2-3

Munafik Musuh dalam Selimut


Perlu dijelaskan di sini, golongan yang banyak mengagalkan kemajuan Islam dan kecemerlangan umatnya ialah golongan munafik. Mereka ini bukan sahaja tidak serius melaksanakan perintah Allah SWT, malah cuba menghasut orang Islam yang lain bersikap sepertinya.

Rasulullah SAW menjelaskan sifat orang munafik dalam hadithnya yang bermaksud:-
“Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafik ialah solat Isyak dan solat Subuh. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung dalam dua solat itu, nescaya mereka akan mendatangi kedua-duanya walaupun dengan merangkak. 


Sungguh, aku ingin menyuruh melaksanakan solat, lalu solat itu ditegakkan, kemudian aku perintahkan orang lain untuk solat bersama orang ramai. 

Kemudian beberapa orang lelai berangkat bersamaku dengan membawa kayu yang terikat, dan segera mendatangi suatu kaum yang tidak menghadiri solat berjemaah, sehingga aku bakar rumah mereka.” 

Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Dalam hadith yang lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Sesunggunya dua solat iaitu Isyak dan Subuh ialah solat yang berat bagi orang munafik. Sesungguhnya apabila mereka mengetahui apa yang ada dalam solat Subuh dan Isyak, nescaya mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak.” 
Hadith Riwayat Ahmad dan an-Nasa'i
Sebenarnya ganjaran pahala untuk solat Subuh mengatasi keindahan dunia sebagaimana hadith Rasulullah SAW yang bermaksud:-
“Sesiapa yang menunaikan solat Subuh, maka dia berada dalam jaminan Allah SWT. Kerana itu, janganlah kamu mencari jaminan Allah SWT dengan sesuatu (selain daripada solat), yang pada waktu kamu mendapatkannya, lebih-lebih lagi kamu takut tergelincir ke dalam api neraka.” 
Hadith Riwayat Muslim
Apabila golongan munafik telah memenuhi sesuatu kariah atau negeri, maka masjid tidak akan dipenuhi oleh umat Islam lagi, lebih-lebih lagi pada waktu Subuh. Apabila keadaan ini terjadi, musuh Islam akan memandang umat Islam golongan yang lemah. 

Dengan itu, mereka boleh mempermainkan malah memperbodohkan umat Islam.

Atas kesedaran itu, selamatkan diri kita daripada sifat munafik

Untuk itu, umat Islam perlu memenuhkan masjid pada waktu Subuh seperti solat Jumaat

Ini sahaja yang boleh mengembalikan kekuatan Islam termasuk dalam soal ekonomi.

Biasakan Diri dengan Solat Dhuha


Bagi merealisasikan kemenangan Islam dalam semua bidang, Islam menganjurkan umat Islam melakukan solat sunat Dhuha

Waktu Dhuha bermula 28 minit selepas terbit matahari (waktu syuruk) sehingga tergelincir matahari. 

Percayalah, mereka yang istiqamah melakukan solat Dhuha ini akan diberi ganjaran termasuk dibukakan pintu rezeki.

Alangkah indahnya jika semua umat Islam boleh melakukan solat Dhuha selepas sama-sama menunaikan solat Subuh. Selain mereka terhindar daripada golongan munafik, mereka juga akan diberikan rezeki yang tidak disangka-sangka.

Jadi, apa yang menghalang kita daripada menunaikan solat Subuh dan solat-solat sunat yang mengiringinya?

Bukankah solat ini suatu bahagian yang begitu besar berbanding dua ini dan seisinya?

Sudah sampai masanya umat Islam keluar dari zon selesa lalu mengharapkan kejayaan tanpa usaha.

Sesungguhnya kejayaan yang dimaksudkan itu sangat bergantung kepada diri kita sendiri, bukan orang lain. Kalau kita boleh mendisiplinkan diri dalam perkara di atas, maka umat Islam mampu menguasai ekonomi dunia.

Wallahua'lam

Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment