Cinta Fitrah, Cinta Fitnah Dan Cinta Barakah

SMS, call dan chatting siang malam akhirnya mengheret si dara dan si teruna yang saling merindu dan bercinta untuk berdating

Awalnya sekali. Kemudian, berkali-kali.

Ayang, abang sanggup lakukan apa saja untuk ayang.”, janji si teruna.

Ayang juga sanggup serahkan jiwa dan raga demi abang.”, balas si dara dengan wajah berbunga-bunga.

Jika benar kata ayang, apa buktinya?

Sudah!

Kuat sekali magnet teruna dan dara. 

Tidak hairanlah Allah SWT melarang menghampiri zina sama ada dengan hati, lisan ataupun perbuatan, apatah lagi berzina. 

Sama ada sengaja atau tidak, bercinta sebelum berkahwin amat terdedah kepada ‘nyamuk-nyamuk ikhtilat’ (pergaulan bebas menghampiri zina).

Pernahkah kata dan janji seindah teruna dan dara kita lafazkan kepada Pencipta dara?

Bukankah Dia yang terlalu mencintai kita lebih berhak mendapat cinta kita?

Di manakah Allah SWT di hati kita?

Fahamkah Kita Apa Itu Cinta?


Semua orang tahu bahawa cinta teragung itu ialah cinta kepada Allah SWT. Mencintai sesuatu itu pula mestilah kerana Allah SWT. Tetapi kenapa ‘pengetahuan’ yang sudah tersedia tersebar ini masih menyaksikan ramai manusia mensia-siakan peraturan cinta oleh-Nya?

Ya, manusia sering tahu secara tepat tetapi tidak faham secara jelas.

Apa itu cinta?

Apakah pula yang sepatutnya kita faham tentang cinta?

Imam Ibn Qayyim al-Jawziyyah mencoret dalam catatannya Rawdah al-Muhibbin wa Nuzhah al-Mushtaqin (Taman Orang yang Cinta dan Rindu) bahawa ada lebih 60 istilah yang dikaitan dengan cinta.


Antaranya ialah al-mahabbah (kasih sayang), al-tatayum (perhambaan), al-sawbah (rindu yang cenderung kepada kebodohan), al-ish (asyik), al-hawa (keinginan) dan banyak lagi.

Daripada 60 istilah yang pelbagai ini, cinta boleh dibahagikan kepada tiga kiasan:-

#1 Adakalanya cinta menjadi seperti singa dan pedang, berkuasa, mulia dan gah di tangan pejuang


Cinta ini menjadikan yang hina menjadi mulia, yang miskin menjadi kaya jiwa, yang kaya menjadi dermawan dan yang melarat menjadi terhormat. Inilah cinta yang Allah SWT redha iaitu cinta kepada Allah SWT, Rasulullah SAW, ilmu, keluarga, perjuangan dan seumpamanya.

#2 Adakalanya cinta menjadi bencana besar


Mengundang 1001 akibat, sengsara, derita dan penyesalan. 

Cinta inilah yang menjatuhkan seorang pemimpin hebat seperti Bill Clinton kerana seorang wanita bernama Monica Lewinsky. Begitu juga cinta ini merosakkan populariti si Raja Golf Dunia, Tiger Woods kerana skandal seksnya dengan ramai wanita.

#3 Adakalanya juga cinta menjadi seperti arak yang memabukkan


Khayal dan tenggelam. Hilang arah dan pedoman. 

Inilah cinta sebelum pernikahan. Cinta ini banyak ditagih oleh anak-anak muda pada zaman ini. Keasyikan mereka membuatkan akal yang mabuk tidak mampu menikmati lazatnya nasihat.

Cinta Fitrah


Prof. Syeikh Abdullah Nasih Ulwan dalam bukunya al-Islam wa al-Hub menulis:-

“Cinta itu ialah kecenderungan kepada sesuatu.”

Wujudkah manusia sihat yang tidak cenderung kepada sesuatu?

Rasa minat, kagum, rindu, teringat, suka, cinta dan sayang kepada seseorang ialah fitrah setiap insan. Perasaan indah ini singgah mengusap di setiap hati. Tiada siapa terkecuali. Semua orang akan merasainya. 

Itu petanda seseorang itu normal dan sihat. Fitrah ini tetap fitrah apabila ia berhias istighfar dan mujahadah.

Soal cinta amat akrab dengan soal hati. Oleh sebab itulah hati perlu berada dalam keadaan sentiasa berhati-hati dengan memperbanyakkan istighfar. Bimbang rasa suka, cinta dan sayang yang suci itu terheret menjadi rasa ingin selalu berbalas SMS, call dan kerap berjumpa.


Setiap dosa besar bermula dengan dosa kecil. Setiap jenayah anggota bermula daripada dosa hati. Tidak hairanlah Rasulullah SAW dan generasi salafussoleh amat berhati-hati dengan memperbanyakkan istighfar setiap hari meskipun mereka bukanlah pendosa.

Daripada al-Aghar bin Yasar al-Muzani RA berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Wahai sekalian manusia, minta ampunlah (istighfar) kepada Allah SWT. 

Sesungguhnya aku meminta ampun dan bertaubat kepada Allah 100 kali setiap hari.” 
Hadith Riwayat Muslim
Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar dan bertaubat kepada Allah dalam satu hari lebih daripada 70 kali.” 
Hadith Riwayat al-Bukhari

Cinta Fitnah


Hati yang menjadi raja kepada jasad boleh mengarahkan anggota badan seperti lidah, tangan, kaki, mulut dan telinga untuk bertindak bertentangan dengan panduan syariat. Apabila lisan dan perbuatan mula melaksanakan arahan hati itu, ketika inilah fitrah menjadi fitnah.

Fitrah boleh dinodai serakah. 

Walaupun hati akur bahawa fitrah cinta ialah anugerah Allah SWT, ironinya, hati juga ingkar bahawa bahawa fitrah cinta itu ada peraturannya daripada Allah SWT

Apa-apa yang Allah SWT perintahkan, ditinggalkan. Demi cinta, segala-galanya menjadi ‘halal’ belaka. Kerana si dia, Allah SWT dipersia-siakan.


Urusan antara lelaki dan perempuan apada asalnya dibolehkan. Namun, ramai orang yang beralasankan ‘urusan’ untuk menghalalkan ikhtilat terlarang. Call, SMS, dating, chatting tanpa urusan kian membarah sebagai budaya. 

Sekadar ingin bertanya antara teruna dan dara:-

“Dah makan ke?”

“Tengah buat apa tu?”

“Esok nak pakai baju warna apa?”

“Dah tidur ke?”

Adakah ini dikatakan urusan?

Perlukah berurusan dengan soalan-soalan ini?

Bukankah ini boleh mengheret seseorang kepada langkah seterusnya?

Adakah ini boleh membawa seseorang makin ingat mahupun sebaliknya makin lalai kepada Allah SWT?

Wallahu a’lam.

Manusia tidak berhak menghukum hati sesiapa. Bertanyalah sendiri kepada Pencipta hati masing-masing.

Cinta Barakah


Cinta fitrah yang dipelihara kesuciannya akan berbuah barakah. Barakah itu mungkin di dunia, mungkin juga di akhirat. Lebih indah jika barakah itu pada kedua-duanya sekali, di dunia dan di akhirat.

Orang yang mempersiapkan diri dengan peribadi Muslim, insya-Allah akan dianugerahkan bait al-Muslim (rumahtanga Muslim). Orang yang berusaha menjadi soleh, insya-Allah akan dimudahkan Allah SWT mendapat orang yang solehah.

Cinta yang barakah akan terus bersemarak indah dalam ikatan nikah. Ia melengkapkan separuh agama, namun, andai tiada jodoh di dunia, cinta fitrah yang terpelihara akan terus mendapat barakah dengan meneguk lazatnya ‘redha’ pada ketentuan-Nya.

Perkahwinan bukanlah matlamat cinta

Ia cuma alat untuk lebih mudah mendapat cinta-Nya. Sama ada cinta fitrah itu dianugerahkan perkahwinan atau tidak, ia tidak dapat menghalang seseorang untuk mendapatkan cinta Allah SWT

Dialah sebenar-benarnya hakikat cinta!

Wallahua'lam