Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat ke-185 yang bermaksud:-
“Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”
Melalui ayat ini, Allah SWT menyatakan bahawa antara kemuliaan dan fadhilat bulan Ramadhan ialah peristiwa penurunan al-Quran.
Imam al-Shanqiti dalam tafsir Adwa’ al-Bayan, beliau menyatakan ungkapan ‘yang padanya diturunkan al-Quran’ itu merujuk kepada apa yang dinamakan sebagai Lailatulqadar yang disentuh secara khusus fadhilatnya melalui Surah al-Qadr dan al-Dukhan.
Imam al-Tabari menyebut bahawa penurunan ini ialah penurunan al-Quran secara sempurna dari Lohmahfuz ke langit dunia.
Ramadhan adalah satu-satunya bulan yang disebut namanya dalam al-Quran. Nisbah rukun Islam yang ketiga iaitu ibadah puasa fardhu kepada bulan Ramadhan juga merupakan penambahan kemuliaan bulan Ramadhan.
Kemuliaan yang berganda kemuliaan.
Al-Quran ialah sumber kemuliaan kepada umat Islam. Imam al-Tabari menyimpulkan makna ‘menjadi petunjuk kepada sekalian manusia’ sebagai al-Quran yang akan menjadi petunjuk kepada manusia ke arah jalan kebenaran dan cara hidup yang betul.
Al-Quran ialah sumber hidayah untuk manusia. Sumber hidayah ini pula ada kaitan yang amat rapat dengan Ramadhan.
Bangun dan Berusaha Demi Menyebarkan Hidayah
Cuba kita renungkan sebentar, apabila Allah SWT menyatakan al-Quran ialah sumber hidayah untuk manusia, maka sudah tentu antara hidayah al-Quran dan manusia itu ada satu usaha.
Usaha untuk menyebarkan hidayah al-Quran kepada manusia lain dan membawa manusia ini untuk beriman berlandaskan petunjuk al-Quran. Usaha inilah yang dinamakan usaha al-Da’wah ila Allah iaitu usaha untuk menyeru manusia kepada Allah SWT.
Apabila Rasulullah SAW menerima wahyu pertama yang dibawa oleh malaikat Jibril a.s dari langit dunia ke muka bumi, yang ada hanya Rasulullah SAW dan Jibril a.s.
Bagaimana manusia lain mengetahui ayat pertama sehingga kelima Surah al-'Alaq ini?
Maka, jawapannya tidak lain dan tidak bukan kerana Rasulullah SAW telah bangun dan berusaha menyampaikan wahyu ini kepada manusia.
Usaha untuk menyeru manusia kepada hidayah al-Quran ini bukanlah semudah kita dengar kaset atau CD al-Quran, atau seringkas kita mendengar rakaman bacaan al-Quran di YouTube.
Demi Allah! Rasulullah SAW telah bangun dan menjalankan usaha menyeru manusia kepada Allah SWT ini dengan penuh pengorbanan dan susah payah.
Iktibar Badar
Kita sering menyebut, antara peristiwa besar yang berlaku dalam bulan Ramadhan ialah peperangan Badar al-Kubra. Ahli Badar atau disebut dengan istilah ‘Badari’ telah diredhai hidup mereka dan segala dosa mereka yang lalu dan akan datang telah diampunkan.
Kenapa?
Sudah semestinya kerana pengorbanan yang telah dipikul oleh mereka demi menyampaikan hidayah al-Quran ini kepada manusia dan membawa manusia kepada Allah SWT.
Pengorbanan dan susah payah di Badar adalah teladan sempurna.
Apakah sebenarnya susah payah yang telah ditanggung demi meninggikan kalimah Allah SWT di atas muka bumi ini?
Bukan sahaja berlaku semasa bulan ibadah puasa, malah bilangan kecil yang tidak seimbang dengan jumlah tentera musuh, kelengkapan yang paling minimum dan lebih memeritkan, majoriti ahli Badar terpaksa berhadapan dengan kaum kerabat terdekat mereka sendiri!
Badar ialah kisah bagaimana demi iman, seorang anak terpaksa bertempur dengan ayahnya. Seorang ayah terpaksa memancung kepada anaknya. Bukan sahaja pengorbanan fizikal dan harta benda, malah hati dan perasaan mereka juga telah dikorbankan terlebih dahulu.
Untuk apa?
Demi memastikan hidayah Allah SWT ini tersebar ke seluruh alam.
Oleh sebab itu, sempena Ramadhan kali ini, marilah kita renungkan dan bertanya kepada diri kita; apakah sumbangan yang pernah dan perlu kita lakukan untuk menegakkan usaha al-Da’wah ila Allah ini?
Sejauh manakah kita telah memenuhi keperluan ayat ini sebagai pengikut Rasulullah SAW?
Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Katakanlah (wahai Muhammad):-
‘Inilah jalanku.Aku dan orang yang mengikutku menyeru (manusia umumnya) kepada agama Allah berdasarkan keterangan dan bukti yang nyata.Maha Suci Allah (daripada segala sekutu dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku daripada golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain’.”Surah Yusuf 12:108
Wallahua'lam
Blogger Comment
Facebook Comment