Budaya merokok di kalangan umat Islam masih lagi berterusan bahkan lebih membimbangkan sejak akhir-akhir ini. Mana tidaknya, apabila masa kini rokok dijelmakan dalam pelbagai bentuk baru seperti e-rokok dan shisha.
Sebelum mengulas lanjut tentang perkara ini, kita rujuk kepada fatwa rokok berdasarkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Malaysia.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Malaysia telah memutuskan merokok adalah haram pada pandangan Islam.
Hal ini disebabkan oleh:-
- Kajian perubatan mendapati sebatang rokok mengadungi pelbagai jenis racun. Setiap sedutan membuatkan perokok menghidu 4000 bahan kimia yang memudaratkan.
- Mengakibatkan penyakit-penyakit serius seperti barah kerongkong dan mulut, strok, ulser, emfisema paru-paru dan banyak lagi penyakit merbahaya.
Berlakunya Pemborosan
Kebanyakan daripada kita bersetuju bahawa budaya merokok semakin membimbangkan. Jika dahulu budaya ini hanya dalam lingkungan golongan lelaki sahaja, kini telah mula melibatkan kaum wanita malahan para remaja seawal usia belasan tahun.
Lebih mejengkelkan apabila mereka merokok di tempat awam.
Bahkan pernah juga terlihat seisi keluarga merokok bersama-sama daripada bapa, emak, hinggalah ke anak-anaknya. Tidak cukup dengan itu, mereka sampai berkongsi dan bertukar-tukar rokok.
Perkara ini mampu mengundang kegusaran apabila dilihat budaya sebahagian masyarakat Islam masa kini yang semakin merudum kualitinya.
Tambahan pula, rokok telah dimodenkan mengikut arus perdana.
Kini e-rokok dan shisha sudah mengambil tempat di hati perokok tegar. Istimewanya, kedua-dua jenis rokok ini lebih ‘mesra’ perokok kerana disediakan dalam pelbagai perisa seperti strawberi, mangga, vanila dan sebagainya.
Hakikatnya, rokok jenis ini telah berjaya ‘merekrut’ perokok baru dalam kalangan kaum wanita dan remaja khususnya.
Akhirnya, masalah ini masih berterusan dan fatwa haram yang dikeluarkan hanya tampak sebagai tugasan para mufti sahaja. Bukan lagi untuk menyelamatkan umat Islam daripada kebinasaan.
Fatwa Para Ulama' Dunia tentang Rokok
Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan fatwa bahawa merokok, menanam tembakau dan meniagakannya adalah haram kerana terdapat kemudaratan.
Dr. Abdul Jalil Shalaby, ulama' Mesir mengatakan bahawa merokok adalah haram kerana memudaratkan perokok dan masyarakat.
Al-Imam Abdul Halim Mahmud melalui kitabnya Fatawa al-Imam Abdul Halim menfatwakan merokok itu makruh jika tidak memudaratkan. Apabila mendatangkan mudarat, ia diharamkan.
Bekas mufti Mesir, Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf pula mengatakan hukum asal tembakau adalah harus selagi tidak mengubahnya menjadi haram.
Namun, penciptaan rokok mengubah hukum asal tembakau kepada haram kerana bahayanya boleh meruntuhkan lima asas utama yang wajib dipelihara oleh setiap Muslim iaitu agama, nyawa, keturunan, akal dan harta.
Pilih Untuk Sihat
Mari kita jadikan sabda Rasulullah SAW sebagai satu motivasi dalam hidup kita.
Rasulullah SAW menyebut yang bermaksud:-
“Muslim yang kuat lebih dicintai Allah daripada Muslim yang lemah.”Hadith Riwayat Muslim
Allah SWT lebih mencintai hamba-Nya yang kuat dan sihat dari sudut fizikal dan spiritualnya. Pengharaman sesuatu itu hakikatnya untuk melindungi umat manusia daripada kemudaratan terutamanya yang boleh membawa kepada kematian.
Sudah tentu mereka yang memiliki iman dan fizikal yang kuat itu lebih sempurna ibadah dan ketaatannya kepada Allah SWT. Bahkan ini adalah salah satu tanda kita menghargai dan mensyukuri nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada kita.
Jika diteliti daripada sunnah Rasulullah SAW, semuanya membawa kepada aspek penjagaan kesihatan secara tidak langsung.
Antara termasuklah:-
Sunnah Makan
Membantu penghadaman dan menyihatkan tubuh badan. Sebagai contoh, kita diajar agar tidak makan berlebihan dan tidak makan sambil bersandar.
Sunnah Tidur
Memastikan kita mendapat tidur yang cukup dan berkualiti. Bahkan teknik tidur mengiring itu membantu memori menjadi lebih cerdas.
Sunnah Berjalan
Kita diajar mengikuti cara Nabi SAW yang berjalan pantas. Mengikut kajian perubatan, cara ini membantu meningkatkan metabolisme seseorang dan mengindarkan dirinya daripada kegemukan.
Sunnah Bersugi
Selain menjaga aspek kebersihan, sunnah ini membantu dari sudut kesihatan. Antaranya termasuklah menjauhkan daripada penyakit mulut, gusi dan memberikan nafas yang segar.
Sunnah Tersenyum
Ini teknik yang diajarkan oleh Baginda SAW dan diakui melalui kajian di Barat.
Budaya murah senyuman membuatkan otot wajah kita lebih relaks berbanding ketika kita berwajah masam.
Bahkan, dengan senyuman kita bukan sahaja melahirkan ketenangan hati tetapi turut juga membuatkan orang sekeliling kita mendapat cas positif untuk turut tersenyum. Akhirnya terbinalah masyarakat sekeliling yang lebih positif dan aktif.
Ayuh Muslim semua, di samping kita dapat menjaga kesihatan rohani dan iman kita, jangan dilupakan soal jasmani. Usah sesekali memudaratkan jasad kita dengan sebab nafsu dan kejahilan diri.
Tinggalkan rokok dan perkara lain yang memudaratkan diri, dan budayakanlah amalan hidup yang sihat.
Tepuk dada, bisikkan di dalam hati:-
“Saya pilih sihat!”
Wallahua'lam
Blogger Comment
Facebook Comment