Ibadah Yang Belum Matang


"Bagaimanakah selayaknya untuk seseorang itu bertindak bagi mengelak maksiat dalam hatinya, setelah segala amalan pencegahan seperti membaca al-quran, berzikir dan qiyamulail telah dilakukan, namun maksiat masih membelenggu. 

Apakah cara untuk mengatasi masalah ini?"

Sukarnya Menjaga Hati

Bila memikirkan jawapan daripada soalan ini, ramai mengaku yang menjaga hati sebagau "rumah" bagi jasad luaran bukan suatu tugas yang mudah.

Syaitan dan Iblis yang begitu konsisten menyesatkan manusia, sentiasa memiliki teknik dan taktik licik dan cerdik. Ditambah pula dengan kerjasama nafsu ammarah yang selalu mengajak kepada keburukan dan dosa.

Sungguhpun telah melakukan kebaikan dan amal soleh, tanpa pengawasan dan sikap berjaga-jaga, seseorang itu dengan mudah boleh terjebak dalam perangkap dosa tanpa disedari. Dosa hati akan memusnahkan amalan. Penyakit riyak, 'ujub, sum'ah dan pelbagai lagi hasil tusukan halus jarum hasutan syaitan laknatullah.

Lantaran itu, hati yang sihat sempurna ialah hati yang dipenuhi dengan nilai ibadah yang benar iaitu melakukan setiap suruhan dan perintah hanya kerana Allah SWT. Hati sebegini mampu memahami manfaat dan hikmah daripada sesuatu perintah Allah SWT. Tidak menambah atau menguranginya. Mengerti dengan tahap kesedaran yang amat dalam, bahawa perintah yang dilakukan bukan kerana menjalankan tanggungjawab sebagai hamba semata-mata, tetapi lebih daripada itu, merasai ghairah dan kenikmatan dalam melaksanakan suruhan Tuhan yang Maha Esa.

Bukan Minta Balasan

Seorang anak bertanyakan sesuatu pada walid dan ummi seusai solat berjemaah bersama-sama.

"Walid nak tanya, kenapa Allah perintahkan kita menunaikan solat, berpuasa, membaca al-Quran, berzikir dan sebagainya?"

"Allah suruh kita solat, puasa dan lain-lain sebab nak balasan ke?" celah ummi pula.

"Taklah Ummi. Allah nak kita jadi orang baik la." jawab si anak mendahului, sebelum sempat walid berkata apa-apa.

"Kalau kita tak solat, Allah rugi tak?" tanya ummi lagi, menggasak si anak dengan soalan yang pasti menguji mindanya.

"Kitalah yang rugi kan, walid?" jawab si anak kembali, memandang pada walid seolah-olah meminta kepastian.

"Bagus, betul tu. Allah tak rugi apa-apa kalau manusia tak mahu beribadah dan taat kepada-Nya. Tetapi yang rugi ialah manusia itu sendiri. Allah sentiasa mendengar dan melihat, manusia sahaja yang menjauhkan diri dengan melakukan maksiat." terang walid selepas itu.

"Kekuasaan Allah tidak bertambah sedikit atau berkurangan pun walau semua manusia mengerjakan perintah-Nya. Dan kemuliaan Allah tidak berkurangan sedikit pun walau seluruh manusia berpakat untuk melakuka maksiat pada-Nya. Semua itu sama sekali tidak memberi apa-apa kesan bagi Allah" tambah walid lagi.

Si anak mendengar dengan penuh keinsafan.

"Apa yang perlu kita faham, Allah perintahkan solat, puasa dan ibadah lain bukan sebagai balasan kepada apa yang telah diberi-Nya kepada kita, tetapi semua itu sebagai salah satu bentuk kasih sayang Allah pada kita." kata walid sambil mengusap ubun-ubun si anak bagi menjawab soalan yang mula-mula ditanyakan tadi.

"Sayangnya Allah pada kita....." si anak membalas semula, hatinya tergerak akan kebesaran dan sifat pengasih serta sifat pemurah Allah SWT pada semua hamba-hamba-Nya.

Matangkan Ibadah

Memang benar, Allah SWT sebagai Tuhan yang Maha Kaya dengan sifar ar-Rahman (Maha Pemurah) dan ar-Rahim (Maha Pengasih) menawarkan manusia peluang untuk meraih redha dan maghfirah (keampunan) daripada-Nya.

Tujuan perintah dan gesaan agar manusia melaksanakan ibadah yang benar, bermujahadah (bersungguh) melawan nafsu yang membuat onar, bertaubat daripada segala khilaf dan salah adalah supaya kelak kita kembali kepada-Nya bersama jiwa mutma'innah (tenang), bersih daripada noda dan dosa sebagaimana lahirnya kita ke dunia.

Firman Allah SWT yang bermaksud:-

"Hai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hamba-Ku dan masuklah ke dalam syurga-Ku." (surah al-Fajr, 89:27-30)

Oleh sebab itu, dalam usaha meraih hati yang sihat sempurna, antara perkara pertama yang boleh dilakukan adalah dengan mematangkan ibadah yang dilakukan seharian. Matang, dalam erti kata tiada maksud yang berselindung di sebaliknya.

Solat wajib dan sunat yang didirikan bukan kerana inginkan kekayaan dan pangkat, sedekah yang dihulurkan bukan untuk meraih pujian masyarakat, puasa yang dilaksanakan bukan semata-mata kerana ingin cantik dan sihat tetapi semua ibadah ini dilaksanakan semata-mata ikhlas kerana Allah yang Maha Hebat.

Umpama Anak Kecil

Jika kita melihat dari tabiat seorang anak kecil yang masih belum mumayyiz (belum kenal erti dosa dan pahala), jika kita inginkan mereka berbuat sesuatu ataupun menuruti perintah kita sebagai ibubapa, pastinya kita akan mengumpan mereka dengan gula-gula dan makanan kegemaran mereka. Dari proses ini membuatkan hati akan terdetik bahawa setiap yang berlaku kepada anak kecil itu adalah satu bentuk pendidikan daripada Allah SWT untuk kita juga sebenarnya bagi menilai diri sendiri.

Betapa anak yang masih kecil tidak memahami kebaikan daripada mandi untuk kesihatan tubuhnya dan kebersihan diri, sehingga terpaksa diumpan.

Begitulah perumpamaan ibadah yang belum matang. Laksana anak-anak kecil yang memerlukan umpan! Perlaksanaannya hanya tertark dengan maksud dunia yang ditawarkan di sebaliknya. Jika tiada, hilanglah kesungguhan dan keghairahan dalam jiwa.

Oleh sebab itu, amat penting untuk memastikan ibadah yang dibuat adalah didasari ilmu. Biarpun sedikit tetapi istiqamah. Itu akan lebih mudah untuk menerapkan ikhlas kepada Allah SWT. Rasulullah SAW pernah menegaskan hal ini dalam sabda Baginda SAW yang bermaksud:-

"Sebaik-baik amalan yang disukai Allah ialah amalan yang sentiasa dilakukan walaupun sedikit." (HR al-Bukhari)


Usaha Tambahan

Antara usaha yang kita dapat lakukan bagi memastikan hati sentiasa terarah kepada ketaatan dan terhindar daripada godaan syaitan yang menyesatkan ialah:-

Melazimi istighfar dan taubat walaupun belum melakukan dosa yang berat. Firman Allah SWT yang bermaksud:-

"Dan segeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhanmu dan syurga yang terbentang seluas langit dan bumi, disediakan bagi orang yang bertaqwa." (surah 'Ali Imran, 3:133)

Menginsafi dengan hati yang tulus bahawa setiap kebaikan yang dilakukan adalah kerana rahmat Allah SWT dan petunjuk-Nya, lantas ia menjadi pendorong untuk lebih merendah diri, tidak sombong, berbelas kasihan serta mendoakan mereka yang belum menerima hidayah Allah SWT.

Menginsafi bahawa setiap kejahatan atau kemungkaran yang dilakukan adalah kerana kealpaan dan kelalaian. Dengan itu, usahakan mujahadah yang berterusan melawan bisikan syaitan.

Berkawanlah dengan teman yang soleh atau solehah yang sentiasa membawa sahabatnya dekat kepada Allah SWT dan bukan sebaliknya. Kebaikan yang ada diterima, keburukan yang terlihat dinasihati penuh cinta. Sahabat yang baik kerana Allah SWT bukan sekadar menyayangi sahabatnya yang lain kerana dunia tetapi lebih daripada itu kerana inginkan kebahagiaan di akhirat sana agar dapat dikecapi bersama-sama.

Kita yang Bernama Manusia

Akhirnya, amri kita renungi, bahawa sebagai manusia biasa, kita memang tidak akan pernah sunyi daripada dosa sama ada sengaja dilakukan tatkala nafsu menguasai minda dan jiwa atau lebih-lebih lagi yang tidak disengajakan kerana sifat lalai dan lupa ini.

Allah SWT mencipta manusia dan jin bukan untuk melahirkn hamba-Nya yang sifar dosa tetapi tujuan daripada penciptaan ini adalah untuk mengabdikan diri sepenuhnya kepada Dia yang Maha Mencipta. Tiada manusia yang berdosa kecuali para nabi dan rasul yang mulia.

Firman Allah SWT yang bermaksud:-

"Katakanlah, "Wahai hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dengan rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa semuanya. Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."" (surah al-Zumar, 39:53)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:-

"Demi nyawaku di tangan Allah. Sekiranya kamu (manusia) tidak melakukan dosa, nescaya Allah akan melenyapkan kamu dan mendatangkan satu kaum lain yang berdosa lalau mereka menyesal dan meminta keampunan Allah, kemudia Allah akan mengampunkan mereka." (HR Muslim no 2749)

Namun perlu diingat, al-Tibi menjelaskan:-

"Bukanlah hadith ini untuk menggembirakan puak-puak yang sibuk melakukan dosa sebagaimana yang disangka oleh orang sebagaimana yang disangka oleh orang yang tertipu dan terpedaya tetapi hakikatnya, ia bagi menjelaskan bahawa dibangkitkan para nabi bagi menhalang manusia dari terus ditutupi dosa-dosa, lalu menerangkan keampunan Allah serta membangkitkan semangat ahli maksiat untuk bertaubat" (Tuhfah al-Ahwazi Jil 7, halaman 193)

Kerana itulah, teruskan mengharap kasih sayang-Nya. Basahkan bibir dengan ucapan istghfar dan kembalilah kepada-Nya dengan taubat yang sebenar-benarnya.

Itulah "taubatan nasuha"....

Pintalah keampunan kerana rahmat-Nya sangat luas mengatasi dosa semua manusia di dunia ini.

Wallahua'lam.