Merokok Kala Usia Remaja


Sama ada seseorang itu muda atau tua, jika mengambil rokok bermakna bersama-sama membakar diri. Apakah perasaan ibu bapa jika anak-anak kita pada usia muda menghisap rokok?

Lebih membimbangkan kala anak-anak baru menginjak sekolah menengah, mereka sudah mula berjinak-jinak dengan rokok. Apakah mereka kesan dan akibatnya apabila merokok menjadi ketagihan? Apakah merokok ini memberi manfaat yang lebih banyak atau hanya merugikan diri?

Walaupun kerajaan giat mengiklankan berkenaan bahaya merokok kepada kesihatan dan menaikkan harga rokok, namun ia masih menjadi "keperluan" penghisapnya. Bayangkan jika seseorang itu mempunyai pendapatan yang rendah dan memerlukan rokok setiap hari, berapa banyakkah wang yang telah dibelanjakan untuknya? Katakan sekotak rokok dihabiskan sehari yang berharga RM10, ini bermakna sebulan dia telah membelanjakan RM300. Wah, ia menyamai belanja dapur sebulan!

Kenapa Merokok?

Ibu bapa perlu memerhatikan perkembangan anak-anak remajanya. anak-anak yang merokok biasanya berpunca daripada dua perkara:-

1. Suka Mencuba

Keinginan ingin mencuba sesuatu yang baru memang telah menjadi tabiat remaja. Sekiranya mereka memerhati seseorang merokok, hati akan tertanya-tanya, apakah rasanya jika sedut dan menghembus asap rokok yang berkepul-kepul itu?

"Seronok, cuba awak hisap. Tak tahu macam mana nak cerita nikmatnya." Ini antara kata-kata anak remaja yang kemudian menyuakan rokok yang dihisap kepada kawannya. 

Walaupun si anak tahu bahawa ibu ayah melarangnya merokok, namun hati mendesak-desak untuk mencuba. Sekadar mencuba. Namun biasanya, apabila sudah merasai "nikmat" merokok itu, mereka akan mula berjinak-jinak bermula dengan menghisap sebatang dua rokok, akhirnya jumlah puntung rokok yang dihisap meningkat seiring dengan ketagihan yang juga meningkat.

2. Tekanan Hidup

Mereka mungkin mengalami tekanan misalnya tidak mendapat kasih sayang atau perhatian daripada keluarga. Gagal memahami atau ketinggalan dalam pelajaran juga boleh menimbulkan tekanan, dipandang hina dan sebagainya. Bagi melupakan masalah yang dihadapi atau mencari ketenangan, remaja nekad untuk merokok atas dorongan kawan-kawan atau diri mereka sendiri. Setelah mencuba, terbukti rokok memberikan sedikit kelegaan. Bahayanya apabila terdapat kawan-kawan yang sentiasa menghulurkan rokok untuk keseronokan, maka nafsu tidak berdaya lagi untuk menolak. Akhirnya jadilah si anak tadi seorang perokok.

Jalan Keluar kepada Masalah Rokok

Apa yang ibu bapa boleh lakukan supaya anak-anak berhati-hati dan menjauhi amalan merokok? Tiada masalah tanpa jalan keluar. Ambilah beberapa langkah berikut:-

1. Tanamkan Jiwa Tauhid Sejak Kecil

Anak-anak perlu memahami bahwa Allah yang Maha Mengasihi tidak suka atau bencikan perbuatan merokok. Allah SWT sangat mengasihi hamba-Nya sehingga Dia tidak mahu setiap daripada kita jatuh dalam kebinasaan sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:-

".....dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu dalam kebinasaan." (surah al-Baqarah, 2:195)

Rasulullah SAW melarang melalui mafhum sabdanya:-

"Tiada mudarat dan tidak boleh memudaratkan." (HR Imam Malik dan Ibn Majah)

Bayangkan wajah ibu kita yang membesarkan kita pabila tergores hatinya dengan apa yang kita lakukan jika merokok. Lebih-lebih lagi Allah yang Maha Pengasih pasti murka apabila kita melanggar larangan-Nya.

2. Ibu Bapa Semestinya Tidak Merokok

Faktor utama dalam membanteras apa jua sikap negatif pada anak-anak adalah bermula daripada sikap ibu dan bapa.

Kalau si bapa selamba merokok di rumah, bagaimana dia mahu melarang anaknya merokok? Adakah cukup dengan alasan, "Kamu budak-budak lagi.....Orang dewasa lain, tak apa kalau merokok."

Ataupun kita memberi alasan anak-anak tidak merokok kerana belum mempunyai belum mempunyai duit sendiri atau belum bekerja lagi. Nanti mereka pula beralasan, kami merokok bukan dari ibu bapa pun tetapi daripada kawan-kawan!

Jadi cara terbaik adalah si bapa sendiri tidak merokok. Kalaupun terpaksa jua merokok atas sebab sukar berhenti atau dalam fasa untuk berhenti, pastikan tidak merokok di hadapan anak-anak.

3. Fahamkan Anak-Anak Kesan Merokok

Sedari kecil, anak-anak perlu didedahkan tentang bahayanya merokok supaya mereka membencinya. Biarlah kebencian kepada rokok umpama jijiknya kita kepada daging khinzir. Bagaimana kita boleh menunjukkan reaksi hendak termuntah sebaik sahaja disebut daging khinzir sedangkan kita belum memakannya? Itulah kejayaan yang ditanamkan sejak kecil iaitu rasa jijik, kotor dan kalau boleh, tidak mahu lihat pun rokok tersebut. Begitulah rasa jijik dalam jiwa anak-anak terhadap rokok perlu ditanam.

Ceritakan fakta tentang bahaya rokok kepada kesihatan, impaknya kepada ekonomi keluarga dan mudaratnya kepada orang lain yang terhidu asapnya. Bahayanya boleh menjadi punca penyakit jantung, kanser paru-paru dan kematian kala usia muda. Oleh kerana banyak mudaratnya, maka kebanyakan ulama' menjurus kepada haram hukumnya merokok.

Ia dihukumkan haram berdasarkan telah terbukti rokok memudaratkan kesihatan. Kenyataan ini bukan lagi di peringkat awal kajian, malah ia telah terbukti secara sah. Ada fakta yang menyatakan menghabiskan sebatang rokok boleh memendekkan umur sebanyak 3 minit sehari.


Mudarat rokok:-
  • Memendekkan usia
  • Penyebab pelbagai penyakit seperti kanser paru-paru, sakit jantung, angin ahmar (strok) dan sebagainya.
  • Membahayakan kesihatan anak-anak akibat asap rokok orang dewasa
  • Menyebabkan ketagihan
  • Membuatkan bau mulut yang tidak menyenangkan
  • Membazirkan wang dan waktu
  • Mempercepatkan proses penuaan (rambut cepat beruban dan kulit mudah berkedut)
  • Mempercepatkan menopaus (putus haid) bagi wanita
  • Punca gigi menjadi kuning
  • Mudah letih dan kurang cergas
  • Menjejaskan sistem reproduktif seperti masalah mati pucuk

Merokok juga boleh mendedahkan anak-anak kepada pergaulan dengan teman-teman yang kurang berakhlak dan berkumpul di tempat-tempat yang tidak sihat. Merokok memerlukan wang yang dibazirkan untuknya. Sedangkan anak-anak kebanyakannya belum bekerja. Mereka masih belajar. Tentulah kos membeli rokok ini diambil daripada belanja harian sekolah atau sumber-sumber lain yang tidak sepatutnya diperisa-siakan. Sebarang pembaziran lebih-lebih lagi yang memudaratkan sangat dibenci Allah SWT.

4. Jangan Terlepas Pandang Setiap Anak-Anak

Ibu bapa perlu mengesan setiap perubahan yang mungkin berlaku. Jika anak-anak seperti merahsiakan sesuatu, selidiklah apa yang tidak kena. Tinjau atau teliti keadaan bilik tidur anak-anak, periksa isi beg sekolah, pantau kemajuan pelajrannya dan ambil tahu dengan siapa mereka berkawan. Jika kawan-kawannya adalah daripada latar belakang keluarga yang bermasalah, kita hendaklah rajin berbincang dan memberi panduan supaya anak-anak tidak terikut-ikut idea atau kelakuan kawan yang mungkin tidak baik.

Adakalanya anak-anak merasakan bilik tidur mereka tidak boleh dicerobohi sekalipun oleh ibu bapa. Walhal dalam bilik-bilik itulah tersembunyi "khazanah-khazanah" tidak baik. Mungkin di belakang lipatan baju-baju tersorok "lighter" atau CD lucah. Mungkin di bawah katil tersorok surat-surat amaran daripada pihak sekolah kepada ibu bapa akan perihal disiplin anak-anak. Mungkin terdapat beberapa puntung rokok yang dibuang di belakang almari buku dan sebagainya.

Pokoknya ibu bapa perlu ada sedikit rasa curiga supaya anak-anak terus mendapat perhatian yang sepatutnya.

Bagi anak-anak remaja yang telah terlibat dengan rokok, ibu bapa perlu memainkan peranan memujuk dan menasihati dengan kasih sayang. Si bapa yang merokok mestiah tekad berusaha berhenti merokok demi anak-anak. Semuanya hendaklah diusahakan atas dasar iman, kemahuan dan mujhadah yang berterusan. Nasihatkan anak-anak supaya mengurangkan masa bertemu dengan kawan-kawan yang kuat merokok. Selalulah panjatkan doa supaya Allah SWT menguatkan jiwa dan menetapkan hati supaya rokok mampu dijauhi. Niatkan setiap perubahan adalah kerana Allah yang Maha Mengasihi. Semuga usaha yang berterusan dibantu dan diberkati Allah SWT.

Wallahua'lam.