"Wahai umat manusia! Diberikan satu perbandingan, maka dengarlah akannya dengan bersungguh-sungguh. Sesungguhnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya. Dan jika lalat itu mengambil sesuatu daripada mereka, mereka tidak akan dapat mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah belaka), lemah yang meminta (daripada mendapat hajatnya) dan lemah yang kena minta (daripada menunaikannya)"
(surah al-Hajj, 73)
Kiasan yang diketengahkan dalam ayat ini menunjukkan betapa lemahnya berhala-berhala yang disembah oleh orang kafir. Kebodohan orang kafir menyebabkan mereka masih mengharapkan berhala-berhala yang lemah itu. Allah SWT mendatangkan kiasan ini supaya mereka berfikir, bagaimana tuhan-tuhan yang mereka sembah tidak mampu mencipta walau seekor lalat sekalipun.
Bukan setakat itu sahaja, bahkan sekiranya lalat itu mengambil sesuatu daripada mereka, nescaya mereka tidak mampu mengambilnya semula.
Menurut Ibn 'Ashur, sekiranya makhluk yang lemah seumpama lalat itu tidak mampu dicipta, apatah lagi makhkluk yang lebih besar dan hebat seperti langit dan bumi, maka sudah tentu jauh panggang dari api. Di samping itu, tuhan-tuhan yang disembah oleh orang kafir itu langsung tidak boleh bergerak serta tidak mampu untuk menyelamatkan sesuatu, jadi keadaan ini dengan sendirinya menafikan sifat-sifat ketuhanan.
Menurut Ibn 'Abbas pula, golongan Musyrikin itu telah menyapu berhala mereka dengan za'faran dan madu, lalu datang lalat dan memakannya.
Berpaut pada Dahan yang Rapuh
Penggunaan kiasan dalam ayat ini bertujuan mengemukakan hujah yang mantap tentang kebatilan orang kafir yang telah "berpaut pada dahan yang rapuh".
Menurut al-Qurtubi, Allah SWT mendatangkan hujah dalam bentuk kiasan dalam ayat ini adalah untuk memberikan kefahaman yang lebih jelas. Ayat yang bermaksud, "...sesungguhnya mereka yang kamu seru dan sembah, selain daripada Allah itu.." memberikan pengertian berhala yang disembah oleh golongan Musyrikin yang berada di sekeliling Ka'bah yang berjumlah 360 buah berhala.
Allah SWT telah menggunakan hujah yang berbentuk pertanyaan agar manusia berfikir dengan logik akal mereka, mampukah berhala ciptaan manusia itu menolong orang yang memerlukan pertolongannya?
Daripada ayat ini, jelaslah bahawa berhala-berhala yang disembah itu tidak berupaya mencipta walau seekor lalat sekalipun. Malahan berhala-berhala itu tidak dapat berbuat apa-apa sekiranya lalat itu mencuri makanan daripada mereka. Hujah yang telah diberikan dengan jelas menunjukkan kelemahan berhala-berhala yang disembah oleh orang Musyrikin itu. Hujah itu juga sebenarnya begitu realistik dapat diterima oleh akal yang waras dan sempurna.
Mukjizat al-Quran amat terserlah kerana sehingga ke hari ini manusia bukan sahaja tidak dapat mencipta seekor lalat, bahkan manusia juga gagal untuk membuat sesuatu alat yang setanding dengan keunikan yang ada pada lalat.
Walaupun manusia sudah mencipta kapal terbang dan helikopter dengan mengambil lalat sebagai model, namun seekor lalat terlalu unggul jika dibandingkan apa-apa jua teknologi yang direka oleh manusia. Ini kerana, ia seekor "makhkluk hidup". Kapal terbang dan helikopter hanya mesin yang mampu bergerak untuk seketika waktu, sebaliknya lalat sentiasa bergerak malah berkembang biak menghasilkan generasi yang serupa.
Lalat Luar Biasa
Lalat tidak terbang dalam garis lurus. Lalat dapat ke mana-mana sahaja yang dikehendakinya dengan melakukan gerakan yang lincah. Contohnya, ia dapat melakukan gerakan "zig-zag" di udara dan melakukan peralihan mengejut. Ia dapat mendarat di atas sebarang permukaan walau sesukar mana sekalipun. Ia dapat mendarat di atas syiling atau dinding menegak dengan mudah. Tiada satu pun mesin terbang yang direka dan dicipta oleh manusia dapat melakukan semua perkara ini. Boleh dikatakan bahawa lalat ialah kehidupan terbang terbaik di dunia.
Sebagai contoh, lalat dapat terbang sebaik sahaja ia menetas. Seekor lalat juga dapat mengepakkan sayapnya sekitar 500 hingga 1000 kali setiap saat.
Sebagaimana yang diketahui bahawa lalat merupakan haiwan kecil dan tidak mempunyai apa-apa kelebihan pada pandangan manusia. Namun Allah SWT telah mendatang perumpamaan dan kiasan dengan lalat bagi membuka minda dan pemikiran masyarakat jahiliah yang menyembah berhala dan tidak beriman kepada Allah SWT. Berhala yang mereka semba tidak mempunyai apa-apa kuasa.
Buktinya ialah haiwan sekecil lalat pun tidak mampu dicipta oleh tuhan-tuhan yang mereka sembah itu. apatah lagi sekiranya lalat tersebut mengambil sesuatu daripada berhala, ia tidak dapat mengambilnya semula. Hal ini menunjukkan sifat lemah orang yang menyembah berhala dan berhala yang mereka sembah.
Lalat yang Terpilih
Terdapat hikmah tersendiri yang hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui dengan sebenarnya tentang pemilihan lalat dalam perumpamaan dan kiasan dalam ayat di atas. Sekiranya sekadar untuk memberikan suatu contoh meminta manusia menciptakan sesuatu, Allah SWT boleh sahaja mengungkapkan atau memberikan contoh dengan haiwan-haiwan lain atau serangga-serangga yang lain. Namun apabila lalat dipilih, sudah tentu ia mempunyai hikmah yang tersirat yang sewajarnya difikirkan oleh manusia yang beriman kepada Allah SWT.
Menurut al-Qurtubi, lalat dipilih dalam kiasan ini berdasarkan empat faktor khusus yang terdapat padanya iaitu hina, lemah, kotor dan jumlah yang banyak. Oleh sebab itu penciptaan lalat yang kecil itu dengan sifatnya yang sedemikian pun tidak dapat ditandingi oleh sesiapa jua dari sudut penciptaannya, maka tidak sewajarlah seseorang itu mensyirikkan Allah SWT.
Pemilihan lalat sebagai kiasan dalam al-Quran juga adalah seumpama pemilihan nyamuk. Hal ini kerana lalat merupakan serangga yang umum dan mempunyai taburan yang meluas di seluruh pelusuk muka bumi. Oleh yang demikian, sekiranya serangga umum yang mudah didapati pun tidak dapat dicipta oleh manusia, apatah lagi untuk mencipta sesuatu yang lebih ganjil. Ia sekaligus menunjukkan kelemahan manusia dan menzahirkan mukjizat yang terdapat di dalam al-Quran.
Racun dan Penawar dalam Satu
Pemilihan lalat dalam ayat ini juga memberikan maksud yang besar dan mendalam kerana lalat mempunyai pengaruh dalam kesihatan manusia. Sehingga kini, lalat merupakan antara serangga yang menjadi punca utama masalah kesihatan manusia dan haiwan ternakan di seluruh dunia. Pelbagai jenis penyakit yang melibatkan lalat terdapat di seluruh dunia atau khususnya di satu-satu kawasan geografi dunia. Sememangnya banyak mikro-organisma yang bersekutu dengan lalat. Mikro-organisma terdiri daripada jenis-jenis bakteria, virus, protozoa, kulat dan juga cacing-cacing nematod yang menyebabkan pelbagai jenis penyakit kepada manusia dan haiwan.
Lalat merupakan sejenis serangga yang mempunyai sepasang sayap tetapi berbeza daripada nyamuk kerana mulutnya tidak seperti paruh yang tajam. Mulut lalat berupa suatu struktur yang berfungsi untuk menjilat. Lalat merupakan agen pembawa atau pemindah pelbagai jenis organisma patogen yang boleh menimbulkan pelbagai penyakit sama ada pada manusia atau haiwan ternakan. Seekor lalat dapat memindahkan lebih daripada 30 jenis bakteria yang membawa penyakit dan ia membawa bersamanya lebih kurang lima juta bakteria.
Oleh kerana lalat merupakan agen yang membawa penyakit, maka Nabi SAW menyuruh agar dineutralkan racun yang ada pada lalat sekiranya ia jatuh ke dalam air. Sabda Nabi SAW dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari RH, maksudnya:-
"Apabila lalat jatuh ke dalam minuman kamu, maka hendaklah ditenggelamkan lalat tersebut kemudian dibuangkan, kerana pada salah satu sayapnya membawa penyakit dan pada yang satu lagi mengandungi penawar."
Berdasarkan hadith Nabi SAW ini, Prof Dr. Mustafa Ibrahim Hasan, Pengarah di Pusat Kajian Serangga Pembawa Penyakit Universiti al-Azhar, Mesir telah membuat kajian yang bertajuk Penyakit dan Ubat pada Dua Sayap Lalat. Kajian beliau mendapati bahawa:-
1. Terdapat sejumlah bakteria yang pelbagai dan banyak pada kedua-dua sayap lalat, tidak seperti sayap nyamuk yang hanya mengandungi sedikit bakteria sahaja.
2. Didapati juga bakteria baik yang terdapat pada sayap lalat adalah lebih banyak dari bakteria jahat.
3. Terdapat bakteria baik yang banyak pada sayap kanan semua jenis lalat.
Bakteria baik mampu bertindak mematikan segala jenis bakteria lain yang wujud pada lalat termasuk bakteria-bakteria yang memindahkan virus penyakit pada manusia. Kajian juga mendapati bahawa bakteria baik ini mampu bertindak "membunuh" bakteria lain dalam jangka waktu yang amat pendek.
Rasulullah SAW menyuruh agar ditenggelamkan lalat itu dengan segera ke dalam air kerana bakteria hanya aktif dan mampu bertindak apabila wujudnya "perantaraan" seperti makanan atau minuman yang terdapat di dalam sesuatu bekas. Melalui "perantaraan" tersebut, bakteria jahat dan bakteria baik akan "bertarung" dan natijahnya bakteria baik akan menghapuskan segala bakteria yang jahat.
Mukjizat al-Quran amat terserlah sekali melalui penggunaan kiasan mengenai lalat ini. Walaupun ia hanyalah seekor serangga yang kecil, namun makhluk ciptaan Allah SWT ini sangat unik. Ia sekaligus membuka ruang kepada manusia untuk berfikir dan merenung kehebatan dan kekuasaan Allah SWT.
Wallahua'lam.
Blogger Comment
Facebook Comment