Mendidik si Anak dalam Hukuman

Memang sudah fitrah anak yang masih kecil terutama yang nakal dan hiperaktif adakalanya amat menggusarkan ibubapa. Maka timbul rasa kurang senang sehingga bertindak secara keterlaluan dalam menghukum. Islam melalui panduan yang diperturunkan Rasulullah SAW banyak memberi gambaran jelas bagaimana kita boleh bertindak secara tepat dalam permasalahan menghukum anak.


Diceritakan oleh Muawiyah bin Salih RA:-

Ada lelaki datang menemui Rasulullah SAW lalu berkata:-

"Wahai Rasulullah, ahli keluargaku tidak taat kepadaku. Apakah yang patut aku gunakan untuk menghukum mereka?" 

Lalu jawab Baginda SAW:-

"Maafkanlah saja". 

Kemudian Rasulullah SAW menyebut hal yang sama pada kali kedua bahkan juga pada kali ketiganya. Seterusnya Baginda SAW mengatakan:-

"Jika kamu perlu menghukum, hukumlah mengikuti kadar kesalahan yang dilakukannya dan jauhilah dari memukul pada bahagian muka." (HR At-Tabrani)

Jika dirujuk sebaik-baiknya melalui hadith ini, sebagai ketua keluarga sebaiknya menggunakan pendekatan memaafkan kesalahan dilakukan ahli keluarga khususnya anak. Namun, Rasulullah SAW tidak melarang menggunakan kaedah hukuman. Bagaimanapun hukuman seharusnya sepadan dengan bentuk atau tahap kesalahan serta dilarang memukul bahagian muka.

Sebenarnya panduan Rasulullah SAW itu tersirat dua makna iaitu dari perspektif psikologi dan fisiologi

Ditinjau dari aspek psikologi, pendekatan memberikan kemaafan adalah kaedah berlemah lembut dalam memberi teguran. Dengan cara demikian, perasaan anak yang masih kecil tidak akan terguris. Ini penting supaya jiwa anak tidak terkongkong yang kemungkinan akan menyebabkan terbantutnya perkembangan minda positif.



Zaman sekarang ini, banyak sudah terjadi anak yang bertindak lari dari rumah. 

Seharusnya ibu bapa mengambil berat isu ini. Salah satu penyebabnya, tindakan membabi buta dalam menghukum dan seterusnya jiwa anak berasa tertekan. Selain itu, dari sudut ilmu psikologi juga pernah dinyatakan bahawa anak yang kerap dihukum akan menjadikan hatinya keras dan berkelakuan kasar semasa bergaul dengan rakan sebaya.
Untuk membimbing anak beristiqamah pada jalan benar dan menepati kehendak Islam, tidak hanya terletak pada kaedah merotan dan memukul saja. Sebaliknya ibu bapa seharusnya mampu mempelbagai teknik khususnya teknik dorongan dalaman.
Mendidik anak perlu menggunakan kepelbagaian teknik yang berterusan contohnya dengan memberikan pemahaman jelas, tepat, pengajaran dan peringatan supaya aqidah anak bertapak kukuh dalam jiwa mereka.
Kaedah secara kekerasan akan hanya mengundang rasa dendam kesumat dalam hati anak dan jika perasaan itu dibiarkan bersarang di jiwa mereka, akan menjadi sebati dengan diri. Keadaan itu sangat berisiko tinggi untuk menjerumuskan anak ke kancah yang negatif.
Rafi’ bin Amru al-Ghifari pernah menceritakan:-

“Saya seorang kanak-kanak yang sering membaling pokok tamar kepunyaan orang Ansar. Saya kemudian ditangkap lalu dibawa menemui Rasulullah SAW. Baginda SAW bertanya kepadaku:- 

"Kenapa kamu selalu membaling pokok tamar kepunyaan orang lain?"

Lalu saya jawab:- 

"Untuk memakan buahnya."

Baginda SAW memberi nasihat kepadaku:-

"Jangan baling pokok tamar kepunyaan orang lain. Kamu boleh makan setiap buah yang jatuh di bawahnya."

Seterusnya Baginda Rasulullah SAW mengusap kepada saya sambil berkata:- 

"Ya Allah, Ya Tuhanku. Kenyangkanlah perutnya (dengan tamar yang gugur itu).” (HR Ibnu Majah)
Lihatlah betapa halus dan lembutnya teknik pendidikan Rasulullah SAW. Kanak-kanak yang bersalah ditegur dengan pola psikologi sangat menyentuh jiwanya kerana disamping memberi nasihat Baginda SAW juga menggunakan teknik sentuhan.
Sebenarnya, teknik sentuhan terhadap badan anak akan memautkan keakraban utuh seterusnya berkeupayaan menjana penyerapan fahaman terhadap apa yang diajar.
Bagaimanapun, Islam tidak pernah menghalang teknik menghukum tetapi dengan bersyarat hendaklah dilakukan pada masa bersesuaian. Ingatlah, kaedah pukulan tidak sesuai untuk semua anak, semua situasi atau semua kesalahan.
Kaedah menghukum dengan rotan misalnya digunakan selepas kaedah penjelasan pemahaman dan nasihat dilakukan terlebih dulu. 


Pesan Nabi SAW:-

“Suruhlah anakmu menunaikan solat ketika berumur tujuh tahun dan pukullah jika berumur 10 tahun (jika tidak menunaikan solat juga) dan pisahkanlah tempat tidur anak (lelaki dan perempuan).” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Wallahua'lam.
Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment