Menjana Transformasi Melalui Roh Tauhid

Bayangkan, betapa dalam jangka masa yang sangat singkat, pemuka-pemuka Arab yang begitu ego seperti Amru al-Ash, Abu Sufyan Harb, Khalid Ibn al-Walid dan lain-lain sanggup meletakkan dahi ke tanah untuk sujud menyembah Allah SWT. Sedangkan sebelum memeluk Islam, untuk tunduk mengambil cemeti yang jatuh pun mereka tidak sanggup.

Dan tidak sampai 25 tahun selepas kedatangan Nabi Muhammad SAW, bangsa Arab yang pernah digelar “belalang padang pasir” (kerana kehinaan dan kelemahannya) itu telah bertukar menjadi bangsa pembina empayar yang dapat menguasai 2/3 dunia.

Perubahan yang dihasilkan oleh Islam ialah perubahan tanpa side-effect (kesan sampingan), bersifat integrated (bersepadu) dan global (menyeluruh).  Saidina Umar al-Khattab RA misalnya, bukan sahaja seorang pemimpin yang terkenal dengan kejujuran dan takutkan Allah SWT, tetapi beliau juga seorang yang produktif dalam tugas dan tanggungjawabnya.

Ini terbukti ketika beliau ditanya mengapa sedikit sekali tidur pada malam hari. Beliau menjawab, “Aku takut urusanku dengan Tuhan tidak selesai.” Ketika ditanya mengapa beliau kurang tidur pada siang hari pula, beiau menjawab, “Aku takut urusanku dengan manusia tidak selesai.” Ertinya, sebagai pemimpin negara, Saidina Umar al-Khattab RA sentiasa bekerja siang malam untuk berbakti kepada Allah SWT dan berkhidmat kepada rakyat.

Jelas sekali perubahan yang dilakukan oleh Islam terhadap manusia ialah perubahan yang bersepadu antara urusan Tuhan dengan urusan insan, ibadah dengan kerja, ganjaran material dengan pahala dan dunia dengan akhirat. Perubahan itu tidak bersifat “berat sebelah” atau pincang. Islam bukan sekadar mencari redha Allah SWT secara pasif tetapi ia satu proses dinamik yang melibatkan komitmen menegakkan kecemerlangan tamadun rohani dan material.

Islam tidak menghasilkan generasi rahib yang hanya akrab dengan Tuhan tetapi membelakangkan tanggungjawab sesama insan. Islam tidak menghasilkan umat yang hanya maju dalam bidang material dan pembangunan fizikal tetapi miskin akhlak dan budi. Jadi tidak hairanlah jika “the unique Quranic generation” (generasi al-Quran yang unik) pimpinan Rasulullah SAW itu berjaya mendapat keredhaan Allah SWT di akhirat dan juga menjadi pembina empayar di dunia!

Memperkasa diri bererti mengembalikan manusia kepada fitrahnya yang asal (tabii). Manusia pada asalnya telah pun mengenali Allah SWT.  Di dalam alam roh lagi satu perjanjian telah dimeterai antara hamba dengan Tuhan. Manusia telah berjanji untuk mentaati Allah SWT selaku hamba-Nya.

Janji di alam roh itu diingatkan semula dengan kedatangan para Rasul ke dunia. Dan janji yang sama diulang-ulang lagi dalam doa iftitah setiap kali solat. Setelah lahir ke dunia, manusia diberikan segala keupayaan untuk mengenali, mencari dan mengamalkan kebenaran. Untuk mengenal kebenaran yang dibawa oleh para rasul, manusia dibekalkan dengan unsur-unsur dalaman.


Unsur dalaman ini bersifat maknawi. Ia tidak dapat dilihat dengan mata biasa. Ia tidak dapat dipegang tetapi hanya dapat dirasa. Bahkan ia juga tidak dapat “dilihat” dengan fikiran semata-mata (mata akal). Ia mesti “dilihat” dengan hati (mata hati), itu pun hati yang mendapat cahaya dan petunjuk daripada Ilahi.

Lantaran itulah, kebanyakan manusia tidak mengambil berat soal roh sepertimana mereka begitu serius mengambil berat soal jasad dan soal material. Makanan dan pengubatan jasad dijaga dengan baik. Tetapi makanan dan pengubatan roh (yakni tauhid) diabaikan. Inilah puncanya mengapa ramai manusia gagal untuk mengubah sikap mereka. Jadi perlu difikirkan sejauh mana kita serius menanamkan roh tauhid dalam proses transformasi ummah.  

Wallahua'lam.