Clubbing - Maksiat Purba Yang Dilihat Moden


Pengalaman belajar bahasa Inggeris bersama pelajar dari pelbagai negara membuka ruang kepada saya untuk melihat dunia yang lebih luas. Saya bertemu dengan ramai manusia yang berstatus Muslim, tetapi mempunyai pelbagai wajah.

“Saya dah rasa beberapa jenis alkohol di Malaysia. Menarik sekali.” Seorang Muslim Iran yang pertama sekali keluar dari negaranya bercerita penuh bangga. Kelab malam di ibu kota Kuala Lumpur dirayapinya setiap malam.

“Tiadakah arak di Iran, sehingga kamu terpaksa meminumnya di sini?” saya membalas.

“Ada, tetapi dijual secara haram. Sukar didapati.” Lelaki yang 10 tahun lebih muda daripada saya itu menjawab.

Kemudian dia menyambung, “Saya rasa ingin tukar mazhab. Jadi Sunni mungkin lebih mudah daripada menganut Syiah.”

Dia menambah bahawa dirinya begitu tertarik dengan keterbukaan negara Sunni di Malaysia, yang bebas untuk membuat apa-apa sahaja dosa.

Bodoh! Hati saya membentak.

“Kamu nak ikut saya malam ini?” anak muda Iran itu mengajak rakan sebelah kirinya, seorang pelajar Rusia setelah tahu saya seorang Sunni yang taat. Hampir setiap malam dia akan bercerita tentang kelab malam yang dikunjungi, arak dan makanan haram yang diratah di bumi Malaysia ini.

Kehidupan sosial yang beraktivitikan maksiat.

Dibuka Apabila Gelap

Kelab hiburan, diperindahkan sebutannya oleh P. Ramlee sebagai “kalabul malami”, memang destinasi yang menjadi pilihan bagi hati-hati yang menggemarinya. Malahan, media dan produksi TV di Malaysia sering memaparkan kelab malam sebagai destinasi pengubat masalah hidup yang membelenggu. Medan pertemuan manusia socialite ini hanya beroperasi apabila menjelang malam hari, malah pengusaha di Malaysia menjadi “terlebih barat” dengan membukanya sehinga lewat pagi.

Nampaknya, budaya “clubbing” tidak pernah hilang daripada para pencinta dan pejuang maksiat. Budaya ini akan terus dipertahankan dalam jalur kehidupan mereka.

Lebih malang, apabila terdapat serbuan daripada pihak berkuasa agama terhadap kelab hiburan, pelbagai pihak bangkit mengkritik. Para liberalis akan kepanasan berhujah bahawa kesalahan moral tidak patut diangkat sebagai suatu perundangan, malah dosa peribadi tidak patut diambil tahu oleh pemerintah. Para kapitalis pula asyik mengira angka kerugian yang tidak pernah ditunjukkan dengan kajian empirikal. Para pendukung sekularis juga bersuara sumbang mengkritik negara ini agar jangan cenderung mengikut jalan Taliban. Dunia moden ini menyaksikan pendosa dan ahli maksiat sering kali kelihatan terbela.

Tempat-tempat berkumpul ini tidak hanya berjenama kelab malam atau kelab hiburan. Malahan, ada juga yang berlabelkan pusat kesihatan, pusat kecergasan dan rumah kelab. Namun kandungan dan aktivitinya tetap sama.

Dosa Purba

Sebenarnya, cara hidup “ber-clubbing” yang sering dilihat moden itu ialah maksiat purba yang telah lama wujud dalam peradaban manusia. Aktviti yang kelihatan “cool” itu ialah warisan daripada kaum Nabi Lut AS.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-

“Kalian melakukan hubungan seks bersama lelaki, merompak di jalanan dan mendatangi tempat pertemuan untuk melakukan perbuatan mungkar.” (surah al-‘Ankabut, 29:29)

Kebanyakan kita hanya tahu bahawa kemurkaan Allah SWT yang menimpa kaum Nabi Lut AS disebabkan oleh kecenderungan orientasi seksual mereka yang melawan fitrah yang ditetapkan oleh Allah SWT. Sebenarnya, mereka turut melakukan dua lagi dosa iaitu merompak dan mendatangi kelab pertemuan untuk melakukan maksiat dan kemungkaran, sebagaimana yang diterangkan dalam ayat di atas. Apabila Nabi Lut AS berdakwah kepada mereka agar meninggalkan tiga maksiat tersebut, mereka mencabar Allah SWT dan Rasul-Nya agar segera menurunkan azab yang diancam ke atas mereka.

Ayat di atas juga menjelaskan bahawa sudah ber”clubbing” semenjak zaman dahulu lagi dengan pelbagai maksiat di dalamnya. Perkataan “nadi” itu bermaksud tempat pertemuan orang untuk berkomunikasi, sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Isfahani. (Al-Mudfradat fi Gharib al-Quran, jilid 1, halaman 486)

Perkataan “munkar” dalam ayat itu pula ditakrifkan oleh al-Isfahani sebagai setiap perbuatan yang dinilai oleh akal yang sihat sebagai suatu yang buruk atau jika tidak ditetapkan oleh akal tentang keburukan dan kebaikannya, syariat telah menganggapnya sebagai suatu yang buruk. (Al-Isfahani, al-Mufradat fi Gharib al-Quran, jilid 1, halaman 505)

Maksiat Kaum Lut

Rumusannya, perbuatan berkumpul di suatu tempat untuk melakukan kemungkaran adalah budaya hidup kaum Nabi Lut AS. Apabila meyebut kemungkaran, segalanya terhimpun di tempat itu, sama ada meminum arak, menikmati seks terlarang mahupun berjudi.

Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat ini menjelaskan bahawa kaum Nabi Lut AS melakukan dan membicarakan sesuatu yang tidak wajar di tempat pertemuan yang mereka berkumpul padanya dan tidak mengingkari perbuatan mungkar yang dilakukan antara satu sama lain.

Terdapat banyak pandangan ahli tafsir tentang jenis kemungkaran yang kaum Nabi Lut AS lakukan. Mujahid berpandangan bahawa kaum Nabi Lut AS melakukan hubungan seks di hadapan khalayak awam. Ada juga berpendapat yang mengatakan mereka suka melaga binatang (bagi tujuan perjudian). (Tafsir Ibn Kathir, jilid 3, halaman 412)

Terdapat sebuah hadith yang menerangkan maksud ayat ini. Ummu Hani’ RA melaporkan:-

“Aku bertanya kepada Rasulullah tentang maksud “mendatangi tempat pertemuan untuk melakukan perbuatan mungkar”. Baginda menjawab (maksudnya),“Mereka melontar batu kepada pengguna jalan raya dan mengejek-ngejek mereka.”” (HR al-Tirmizi, no. 3190. Dihukumkan sebagai hadith hasan oleh al-Tirmizi)

Al-Mubarakfuri ketika memberi komentar terhadap hadith di atas telah mengumpulkan pelbagai pendapat tentang jenis kemungkaran yang dilakukan oleh kaum Nabi Lut AS, sebagaimana yang disenaraikan oleh Ibn Kathir. Selain kemungkaran yang dinyatakan oleh hadith di atas, Saidatina Aisyah RA melaporkan bahawa mereka melakukan hubungan seks sesama lelaki secara terbuka di hadapan orang ramai di tempat itu. (Al-Mubarakfuri, Muhammad Abd al-Rahman bin Abd al-Rahim, Tuhfat al-Ahwazi, jilid 9, halaman 36)

Daripada perbincangan ini, jelaslah bahawa setiap perbuatan mungkar yang dilakukan di suatu tempat secara beramai-ramai sememangnya dimurkai Allah SWT. Ini kerana maksiat dan kemungkaran itu dilakukan secara terbuka, malah pelakunya berasa bangga, dan tiada seorang pun antara mereka yang menegur agar perbuatan maksiat itu dihentikan.


Inilah wajah “clubbing” yang klasik, yang nampaknya terus bertahan pada era moden dan tidak banyak inovasi yang ditawarkan oleh syaitan. Ringkas sahaja agendanya; arak, judi, muzik dan seks!

Hidup Bersosial Tanpa Dosa

Mengapa perlu bersosial di premis yang penuh fitnah dan yang membuka pintu kepada pelbagai dosa?

Tidak salah untuk duduk berkumpul, berinteraksi dan melakukan aktiviti bersama. Ini kerana manusia memang dicipta oleh Allah SWT sebagai makhluk yang suka bersosial. Namun, interaksi sesama manusia perlulah berada di atas landasan taqwa, iaitu rasa takut kepada Allah SWT. Manusia berhubung dengan manusia lain atas dasar takut kepada Allah SWT akan mencetuskan momentum untuk lebih dekat kepada Allah SWT.

Hakikatnya, manusia berhubung mengikut kecenderungan rohnya. Kaki masjid akan selesa berbicara dengan orang yang turut suka menghidupkan masjid. Manakala, ahli maksiat akan lebih gembira untuk melakukan dosa apabila duduk bersama-sama rakan sejenisnya. Dua jenis manusia ini sukar sekali berhubung hati. Inilah maksud bagi hadith yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW:-

“Roh adalah seperti para bala tentera yang terkerah, maka sesiapa yang mereka kenali mereka akan bersamanya. Dan sesiapa yang mereka tidak kenali, mereka tidak akan bersama.” (HR al-Bukhari No. 3158)

Al-Nawawi menerangkan maksud hadith di atas:-

“Ulama berkata, “Roh mempunyai kumpulan yang pelbagai atau jenis yang berbeza. Roh-roh tersebut saling mengenali antara satu sama lain kerana Allah telah menjadikan sesuatu yang menyebabkan mereka saling mengenali. Ada pendapat yang mengatakan ia adalah persamaan antara sifat-sifat dan ciri-ciri yang Allah jadikan. 

Ada pendapat yang mengatakan sesungguhnya roh itu diciptakan secara berkumpulan, kemudian dipisahkan ke dalam jasad masing-masing. Jadi, mana-mana roh yang mempunyai persamaan dari aspek sifat, mereka akan saling mengenali. Jika berbeza sifat, mereka akan menjauhkan diri dan meninggalkan. 

Dan berkata al-Khattabi dan selainnya bahawa maksud saling kenal-mengenali itu adalah apa yang Allah telah ciptakan ke atasnya daripada aspek kebahagiaan dan kesusahan ketika permulaan yang ketika itu roh mempunyai dua kumpulan yang berbeza. Setelah jasad bertemu di dunia mereka akan jadi serasi dan berselisih mengikut apa yang ditentukan ke atasnya. 

Maka, orang yang baik cenderung kepada yang baik. Orang yang jahat pula cenderung kepada orang yang jahat.” (al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim)

Para pendosa akan lebih berani apabla berhimpun bersama rakan seangkatan. Jiwa mereka rasa termotivasi untuk melakukan maksiat yang sama sebagaimana yang dinikmati oleh orang yang lain. Malahan, cerita tentang dosa yang dilakukan akan dikongsikan bersama, buat perencah kepada nafsu pendengarnya. Jiwa para pendosa yang berkumpul akan berbangga dengan dosa yang dilakukan dan mencabar orang lain untuk melakukan perbuatan yang sama.

Kita punya pilihan untuk memilih sama ada bersosial bersama “roh” yang bagaimana dan di mana.

Wallahua'lam.