Setiap calon-calon ibu mithali akan terpilih untuk diberikan penghargaan berserta hadiah iringan. Penghormatan dan pengiktirafan diberikan kepada mereka atas pengorbanan yang tinggi kepada anak-anak. Pengorbanan yang dilakukan dalam keadaan serba kekurangan bukanlah satu perkara yang mudah. Sementelahan pula, ibu bapa itu sendiri bukanlah orang yang berharta, bukan juga terpelajar atau mungkin tidak bersekolah.
“Apakah rahsia makcik sehingga anak-anak semuanya berjaya ke menara gading?” begitulah ramai orang mengagumi si ibu mithali yang sudah berusia. Berbeza dengan ibu bapa kini, pening kepala membesarkan anak walau seorang dua. Anak-anak tidak mendengar kata, mudah melawan cakap dan banyak memberi masalah kepada sekolah dan masyarakat.
“Tidak ada rahsia apa-apa.” Biasanya begitulah jawapan merendah diri hati si ibu mithali. Mungkin bagi sesetengah orang yang menganggap cara didikan mereka agak “kekampungan” tetapi sebenarnya banyak melahirkan kejayaan kepada anak-anak. Namun setelah ditanya, kaedah mendidik mereka bukanlah “biasa-biasa” sahaja tetapi sebenarnya luar biasa.
Marilah kita lihat apakah didikan yang diterapkan oleh salah seorang ibu mithali yang menceritakan pengalamannya.
Mengahwini Pilihan Orang Tua
“Saya dinikahkan oleh keluarga dengan suami walaupun hati belum bersedia. Saya tidak mengenali suami dan sudah tentu tidak mengenal istilah cinta. Namun mungkin berkat doa orang tua, hidup yang dijalani bahagia dan mendapat anak-anak yang senang dibentuk.”
Mengahwini seseorang atas pilihan orang tua bukanlah satu perkara yang mudah. Tambahan pula apabila hati belum bersedia. Namun percayalah, ibu ayah yang baik pasti akan mencari menantu yang berakhlak baik dan mempunyai nilai-nilai yang baik. Misalnya taat kepada ibu bapa, rajin solat, sabar dan pelbagai lagi sifat mahmudah sebati dalam jiwa. Insya-Allah, perkahwinan akan berkekalan.
Beri Didikan al-Quran
Apabila mempunyai anak-anak, tanggugjawab ibu bapa menjadi lebih berat. Menerapkan nilai-nilai agama tidaklah semudah memberi makan kepada anak-anak. Mereka perlu dikenalkan dengan nilai-nilai tauhid dan akhlak. Tanamkan dalam hati anak-anak rasa diawasi oleh Allah SWT, sama ada dalam keadaan terang-terangan atau dalam keadaan sembunyi.
“Anakku, tinggalkan perbuatan buruk ini. Nanti Allah akan mencintai-Mu.”
“Anakku, jangan lakukan. Nanti Alah akan mengukummu.”
“Bagus anakku, terus lakukan kebaikan ini supaya mendapat kecintaan dan keredhaan-Nya.”
Begitulah kita perlu mengingatkan anak-anak bahawa setiap tindakan mereka perlu dikaitkan dengan Allah SWT. Biar terpasak dalam fikiran dan penglihatan mereka tentang Allah SWT sepanjang masa.
Kemudian seawal usia empat atau lima tahun, anak-anak diajar oleh ibu bapa sendiri membaca al-Quran. Jika tidak mampu, maka dihantar ke rumah ustaz untuk mengaji. Alangkah eloknya jika anak-anak dapat mengkhatamkannya sebelum memasuki alam persekolahan. Dan kemudian al-Quran dijadikan bacaan harian bagi melembutkan jiwa anak-anak.
Pada sebelah petang pula, anak-anak dihantar ke sekolah agama supaya persoalan fardhu ainnya selesai. Supaya kenal nama-nama Allah SWT, kenal akhlak Nabi Muhammad SAW dan para sahabat Baginda SAW.
Namun kita sedih melihat ibu bapa yang memandang ringan perkara ini. Anak-anak tidak dihantar ke sekolah agama kerana kononnya kasihan melihat mereka kepenatan pulang dari sekolah kebangsaan. Ada juga ibu bapa yang memberhentikan sekolah agama hanya kerana mengikut kata anak-anak yang rasa bosan atau tidak berminat. Walhal anak-anak lebih suka membuang masa di rumah kawan-kawan.
Disiplin Masa
Bimbing anak-anak supaya mereka pandai memanfaatkan masa. Misalnya mengatur masa untuk belajar, bermain, masa menonton televisyen (bukan boleh menonton sepanjang masa), masa makan, masa untuk membaca al-Quran dan masa untuk tidur. Jadual hidup mereka perlu kita aturkan supaya mereka terbiasa sehingga dewasa.
Jika anak-anak bermain di luar, tetapkan waktu yang mereka mesti pulang ke rumah. Misalnya pukul 6.30 mereka mesti pulang dan mandi. Malah mereka perlu berpakaian bersih dan bersedia untuk solat Maghrib. Jangan benarkan mereka berehat di hadapan televisyen yang akan melambatkan atau menggagalkan jadual yang ditetapkan. Setelah solat Maghrib, biarlah rumah riuh rendah dengan suara bacaan al-Quran anak-anak. Ibu bapa perlu duduk sekali membaca atau membetulkan kesalahan anak-anak dalam tajwid, makhraj dan sebagainya. Jika budaya ini terus dihidupkan, anak-anak akan terbiasa dan akan mula berasa kekurangan jika tidak membaca al-Quran.
Begitu juga waktu menonton, anak-anak hanya dibenarkan menonton rancangan-rancangan yang berfaedah dan baik untuk diri mereka sahaja. Misalnya rancangan berita, dokumentari, kisah hidup orang berjaya dan sebagainya. Ada ibu bapa yang menganggap menonton televisyen tidak membenarkan kesan negatif kepada anak-anak. Maklumlah mereka masih belum memahami apa yang dilihat. Walhal anak-anak lebih cepat memahami dan mudah meniru apa-apa sahaja yang tidak baik melalui rancangan berbentuk keganasan, kekerasan dan sebagainya.
Selalu Berkomunikasi
Kemahiran berkomunikasi perlu ada pada ibu bapa. Sentiasa berkomunikasi dengan anak-anak akan menyebabkan mereka banyak mendapat input berbentuk pengetahuan atau pengajaran dalm hidup. Komunikasi amat perlu supaya anak-anak dapat dimotivasikan dari semasa ke semasa supaya mereka terpimpin arah, bersemangat, berfikiran positif dan progresif.
Jika ibu bapa sentiasa sibuk dan jarang duduk bersembang dengan anak-anak, mereka akan mendapat lebih banyak input daripada orang lain misalnya melalui pembantu rumah (yang lazimnya kurang berilmu) atau kawan-kawan. Bagaimana anak-anak hendak belajar erti kesabaran jika di hadapannya ada banyak contoh orang yang tidak penyabar? Lebih-lebih lagi jika ibu bapa sendiri pun tidak penyabar. Bagaimana mereka hendak melawan sifat malas jika ibu bapa sendiri sendiri malas solat, malas memasak, suka membuang masa dan sebagainya? Percayalah, anak-anak lebih suka meniru apa yang nampak di hadapan mata berbanding apa yang didengar.
Oleh sebab itu, ibu bapa perlu selalu mendengar masalah anak dan berbincang tentang cara mengatasinya. Ada ketikanya ibu bapa perlu bercerita kisah lampau, memberitahu kesilapan-kesilapan yang pernah dilakukan masa kanak-kanak dan lain-lain sebagai satu teladan kepada mereka. Ini penting untuk mewujudkan jambatan emosi, saling mempercayai dan saling bertanggungjawab.
Kita boleh ceritakan bagaimana pengalaman hidup kita ketika dahulu ketika berhadapan dengan kemiskinan atau kegagalan. Bagaimana kegagalan itu menyebabkan kita hilang kawan, dipandang rendah dan sebagainya. Namun demi Allah SWT, kita bangun dan berusaha sehinggalah berjaya.
Ceritakan juga bahawa dalam kehidupan ini kita akan berjumpa berbagai-bagai ragam manusia. Ada terlampau baik, keras kepala, suka berhasad dengki, suka pentingkan diri sendiri dan sebagainya. Mungkin anak-anak akan berjumpa kawan-kawan sedemikian sama ada di sekolah, universiti, tempat kerja dan sebagainya.
Oleh sebab itu, anak-anak sudah dipersiapkan dengan ilmu supaya tidak memiliki sifat-sifat mazmumah. Dan mereka perlu diberikan panduan untuk berhadapan dengan manusia yang tidak berakhlak. Ketika anak-anak masih kecil dan duduk bersama kita, inilah peluang yang sewajarnya digunakan untuk berkomunikasi dan memberi input tentang banyak perkara.
Berdoa Untuk Anak-Anak
Akhir sekali, ibu bapa hendaklah selalu mendoakan anak-anaknya. Jika mempunyai lapan anak, sebutlah nama mereka satu persatu. Mohon supaya anak-anak sentiasa kekal dalam iman dan beramal baik. Semoga Allah SWT menjauhkan mereka daripada perkara-perkara yang merosakkan iman.
Berzikirlah sekalipun ketika mengacau gulai. Semoga apa yang dimasak dan dimakan menjadi berkat untuk anak-anak. Nampak macam kekampungan tetapi mungkin daripada usaha sebegini yang berterusan, kita akan dikurniakan anak-anak yang sentiasa sejuk mata memandang. Ingatlah selalu firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Peliharalah dirimu dan ahli keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu.” (surah al-Tahrim, 66:6)
Wallahua'lam.
Blogger Comment
Facebook Comment