Segera Menyahut Panggilan Ibu Bapa

Apabila ayah atau ibu memanggil, segeralah si anak menyahut panggilan mereka. Jangan apabila sudah lama dipanggil baru kita datang. Jika perbuatan ini dilakukan dengan sengaja, yakni memang sengaja melukakan hati ibu bapa dan kesengajaan yang berulang-ulang itu mungkin boleh mengheret kita menjadi anak derhaka.
Naudzubillah.

Panggilan ibu lebih utama daripada panggilan jihad. Menyahut panggilan ibu merupakan fardhu ain iaitu wajib ke atas setiap individu. Ia lebih utama daripada jihad, namun ia bukan alasan untuk tidak mahu berjihad jika terdapat seruan jihad. 

Muslim yang bijak akan berusaha semaksimum mungkin untuk mengatur dan menyeimbangkan dua bentuk kewajipan itu. Jika tidak mampu, maka berbakti kepada ibu bapa lebih utama.

Abdullah Ibn Umar RA berkata:-

"Ada seseorang datang kepada Nabi SAW dan meminta izin untuk pergi berjihad. Kemudian Baginda bertanya,"Apakah kedua-dua orang tuamu masih hidup?" 

Dia menjawab,"Ya." Baginda kemudian bersabda,"Pada mereka berdua sajalah kamu berjihad." (HR al-Bukhari dan Muslim)

Hadith ini menunjukkan bahawa taat kepada orang tua itu lebih besar daripada jihad fi-sabilillah kerana Rasulullah SAW sendiri menyuruh orang itu berbakti kepada orang tua. Seseorang itu tidak boleh keluar untuk berjihad jika tidak diizinkan oleh kedua-dua orang tuanya itu lebih utama daripada jihad fi-sabilillah.

Begitu juga hadith daripada Abdullah bin Mas'ud RA turut menerangkan besarnya pahala berbuat baik kepada ibu bapa sehingga Rasulullah SAW meletakkan kedudukannya lebih tinggi daripada berjihad di jalan Allah SWT.

Abdullah bin Mas'ud RA pernah bertanya kepada Rasulullah SAW,"Amalan apakah yang paling dicintai oleh Allah SWT?" 

Baginda menjawab,"Solat tepat pada waktunya." Abdullah bertanya lagi,"Lalu apa lagi?" Baginda menjawab lagi, "Jihad di jalan Allah." (HR al-Bukhari dan Muslim)

Bencana Derhaka

Abdullah bin Amru bin al-Ash berkata, "Seseorang menghadap Rasulullah SAW seraya berkata:-

"Aku berbaiah kepadamu untuk berhijrah dan berjihad semata-mata kerana inginkan pahala daripada Allah."

Baginda lantas bertanya:-

"Apakah salah sseorang daripada kedua-dua orang tuamu masih hidup?"

Beliau menjawab:-

"Ya, bahkan kedua-duanya masih hidup."

Baginda bertanya:-

"Lalu kamu hendak mencari pahala daripada Allah?"

Ia menjawab:-

"Ya."

Baginda bersabda yang bermaksud:-

"Kembalilah kepada orang tuamu dan temanilah mereka dengan baik." (HR al-Bukhari dan Muslim)

Imam at-Tirmizi RH meriwayatkan daripada Saidina Ali RA yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:-

"Jika umatku telah melakukan 15 sifat, maka bencana akan menimpa mereka (antaranya ialah) jika seorang lelaki telah mematuhi isterinya, menderhakai ibunya, berbakti kepada teman karibnya dan mengacuhkan (merendahkan) ayahnya."

Dalam satu kisah yang lain, Imam Abu Daud RH dan Imam at-Tirmizi RH pernah meriwayatkan tentang Ibn Umar RA yang memiliki seorang isteri yang sangat dicintainya. Namun isterinya itu sering menyebabkan Ibn Umar RA sukar menyahut panggilan azan sehingga Saidina Umar al-Khattab RA tidak menyukainya. Saidina Umar al-Khattab RA menyuruh anaknya menceraikan isterinya itu. Rasulullah SAW sendiri menyuruh menceraikannya. Ibn Umar RA taat dengan rela hati akan suruhan ayah tercinta dan Rasulullah SAW.

Alaqamah yang Malang

Seorang sahabat Rasulullah SAW yang bernama Alqamah tidak dapat mengucap kalimah syahadah sewaktu tiba saat kematiannya. Puas diajar oleh para sahabat, namun Alqamah masih gagal mengucapkannya.

Sahabat sangat risau melihatkan wajah Alqamah yang pucat, mulut terkatup rapat serta kaki dan tangan kaku tidak bergerak. Lalu hal ini diadukan kepada Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW sudah sedia maklum bahawa Alqamah jadi begitu bukan kerana kurang amal ibadatnya tetap dia telah menderhaka kepada ibunya. lalu dipanggil ibunya, maka Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-

"Wahai ibu Alqamah, ampunkan dosa anakmu."

Namun ibu Alqamah enggan kerana Alqamah telah mengecilkan hatinya. Menurut ibu Alqamah, sebelum Alqamah berkahwin, dia adalah anak yang patuh, hormat dan begitu mengambil berat hal ehwal ibunya. Tetapi apabila telah berkahwin dia banyak melebihkan isterinya dan sering mengasari ibunya sehingga ibunya berkecil hati.

Melihat keengganan ibu Alqamah, Rasulullah SAW mengancam untuk membakar Alqamah. Menangis ibu Alqamah apabila diancam sebegitu kerana kasih pada anaknya itu terlalu mendalam. lalu dia pun mengampunkan dosa Alqamah.

Sebaik sahaja ibu Alqamah mengampunkannya, dengan mudah Alqamah mengucapkan dua kalimah syahadah sebelum menghembuskan nafas yang terakhir.

Jika Dipanggil Pulang, Segeralah Menyahutnya

Begitulah juga halnya jika kedua-dua ibu bapa meminta kita sebagai anaknya untuk pulang ke kampung. Walau sesibuk mana pun, seseorang anak itu perlu berusaha untuk memenuhinya, terutamanya ketika ibu bapa sakit, kecemasan, kematian saudara terdekat atau pada waktu-waktu cuti dan musim-musim perayaan.

Jika anak itu benar-benar sibuk, cubalah fahamkan ibu bapa dengan hikmah dan lembut. Menangi hati mereka dengan kiriman hadiah dan salam ingatan. Sebarang alasan yang sengaja dibuat-buat biasanya dapat dihidu oleh hati sensitif mereka dan boleh menyebabkan kedua-duanya tersinggung. Sesibuk mana pun anak-anak, peruntukkanlah masa untuk menjenguk ibu bapa walaupun hanya seminit dua.

Ibu Bapa Non-Muslim

Selain daripada itu, seorang anak perlu sentiasa mengingati ibu bapanya. Antara bukti kita mengingati kedua-duanya adalah dengan sentiasa mendoakan keselamatan mereka bukan sahaja di dunia malahan di akhirat. Ini memastikan kita tidak terputus hubungan dengan kedua-duanya. Walaupun jarang bersua tetapi hubungan jiwa tetap ada.

Perintah menyahut panggilan ibu bapa ini tidak terbatas kepada anak yang ibu bapanya Muslim sahaja tetapi ia tutur merangkumi ibu bapa yang bukan beragama Islam yang mempunyai anak yang memeluk Islam. Anak-anak ni disarankan agar berbuat baik kepada kedua-duanya seperti menziarahi dan menjaga mereka serta menunjukkan akhlak yang baik kepada kedua-duanya.

Ketaatan seorang anak yang mempunyai ibu bapa yang bukan Islam tidak terbatas tetapi yang dilarang adalah dalam urusan agama. Ini adalah kerana kita tidak boleh taat kepada orang yang mengajak kepada derhaka dan maksiat kepada Allah SWT, apatah lagi mempersekutukan-Nya.

Daripada Asma' binti Abu Bakar RA katanya:-

"Ibu saya masih Musyrik pada masa Rasulullah SAW datang kepada saya, maka saya memohon petunjuk kepada Rasulullah SAW di mana saya berkata,"Ibu saya datang dengan mengharapkan agar saya dapat berhubung dengan baik, maka apakah boleh saya berhubung dengan dia?" Baginda menjawab,"Boleh, berhubunglah dengan ibumu."" (HR al-Bukhari dan Muslim)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:-

"Tidak ada ketaatan kepada seorang pun dalam maksiat kepada Allah, (kerana taat hanya dalam urusan kebaikan." (HR al-Bukhari, Muslim dan al-Nasa'i)

Demikianlah Islam menggalakkan anak-anak supaya mentaati ibu bapa dan beradab serta berakhlak mulia ketia berhadapan dengan mereka.

Merekalah orang pertama terlebih dahulu menyahut panggilan kita sebagai anak. Setiap tangisan, rengekan, permintaan sejak kita lahir terus diberikan perhatian. Tanpa bertangguh mereka segera memenuhi keperluan kita sebagai cahaya mata mereka. 

Kadangkala belum sempat bersuara, sekadara muka mencebik, mimik muka atau bahasa badan yang mengisyaratkan kita inginkan sesuatu atau memerlukan sesuatu, segera mereka dekati kita.

Apakah kita masih punya seribu satu alasan untuk mengesampingkan keperluan ketika mereka pula memerlukan kita?

Wallahua'lam.
Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment