Cukuplah Buatku Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW

Kami mulia dengan Allah,
dan Nabi sebagai kekasih-Nya yang mendampingi;
Dengan Nama Allah dan Rasul kami mulia,
bukan dengan pangkat dan kemegahan;

Mereka yang mahu menghina kami,
dari dekat mahupun jauh;
Kami hunuskan pedang kami,
cukup Allah dan Nabi bagi kami.

Saya bawakan satu bait qasidah yang diwarisi daripada para junjungan ahli Madinah yang mulia. Qasidah adalah seni melahirkan maksud dan perasaan. Qasidah digunakan untuk mengungkapkan keyakinan yang ada dalam hati, melalui lafaz-lafaz yang menerangi hati pendengarnya. Inilah seni umat Islam terdahulu yang perlu digilap kembali.

Sebelum ini kita ada bermonolog tentang soal kemuliaan Islam. Kita bicarakan betapa mulianya diri kita kerana Islam dan tidak sebaliknya. 

Persoalannya, sejauh dan sedalam mana rasa mulia kita itu?

Para sabiun al-awwalun telah terlebih dahulu menjawab persoalan di atas melalui bait-bait qasidah yang indah ini. Kemuliaan kita adalah selagi mana kita bersama Allah SWT dan Rasul-Nya. Mendampingi Rasulullah SAW yang mulia ialah jalan untuk kita menemui Allah SWT. Mendampingi Nabi Muhammad SAW yang mulia akan membawa kita ke hadrat Allah SWT. Mengikuti jejak Rasulullah SAW, junjungan kita akan memasukkan kita di bawah naungan Allah SWT yang Maha Mulia.

Dengan kemuliaan Allah SWT dan Rasulullah SAW, maka kita pasti akan beroleh pertolongan. Nusrah (pertolongan) Allah SWT, pasti datang untuk orang yang dimuliakan oleh Allah SWT, iaitu muqarrabin (yang dekat dan hampir dengan Allah SWT dan Rasul-Nya).

Apabila kita menjalani hidup ini dengan kemuliaan Allah SWT dan Rasul-Nya, maka apakah perlu lagi kepada pendamping yang lain? 

Pangkat dan kemegahan bukan lagi ukuran kemuliaan. Harta dunia bukan lagi hitungan. Rupa paras dan saiz fizikal juga bukan penentu, bahkan tiada yang dapat menandingi nilai dan neraca kemuliaan bersama Allah SWT dan Rasul-Nya. Inilah keyakinan umat terdahulu yang memacu dan mengangkat mereka menjadi peneraju keunggulan Islam.

Apabila nilai kemuliaan telah kita miliki, maka mempertahankan kemuliaan itu juga satu tugas mulia. Apabila Islam telah dapat dibangunkan, maka melonjakkan dan memastikan kesinambungan pencapaian Islam itu juga ialah kerja dan usaha yang mulia. Jika kita telah berubah ke arah kebaikan, maka istiqamah dalam kebaikan itu juga adalah sesuatu yang amat mulia.

Kenapa Lemah Dalam Istiqamah?

Memang sukar untuk istiqamah dengan kemuliaan. Betapa ramai yang mengaku tewas untuk mengekalkan momentum perubahan dan semangat hijrah. Tidak kurang yang hanya dapat bertahan dengan amal kebaikan dan perkara positif untuk seketika sahaja. 

Kenapa ini berlaku? Apakah punca kita gagal bertahan dalam kebaikan?

Jawabnya, kerana di sana ada faktor luaran dan dalaman yang akan melemahkan kita. Kurang stamina untuk beribadah. Beribadah tetapi tidak rasa seronok dan lazat beribadah. Mudah jemu dalam beribadah dan pelbagai perasaan yang mudah dipengaruhi oleh iblis dan syaitan akan meresap ke lubuk hati kita.


Ini belum lagi faktor luaran, berupa cemuhan orang, ejekan kawan, diperli dan dikutuk oleh teman istimewa, dicabar dan diugut oleh masyarakat, dihina dan direndahkan oleh musuh dan seribu satu macam lagi rintangan dan halangan untuk melakukan kebaikan.

Seorang wanita, yang sekian lama tidak menutup aurat atau mengenakan tudung, pasti menghadapi cabaran besar untuk berubah. Hendak memantapkan hati adalah satu hal yang lain, bahkan lebih besar adalah untuk berhadapan dengan mereka yang di sekelilingnya.

Azimat Pembangun Jiwa Pejuang

Itu baru contoh sukarnya untuk berubah memakai tudung atau pakaian yang menutup aurat. 

Bagaimana pula jika apa yang ingin diperjuangkan adalah sesuatu yang lebih besar dan mencakupi persoalan yang lebih berat dan meluas impaknya?

Seorang ketua pejabat yang ingin mewajibkan anak buahnya untuk solat berjemaah, mungkin menghadapi situasi yang sama. Seorang guru yang berhasrat mendidik anak muridnya dengan bacaan al-Quran, mungkin disanggah oleh oleh ibu bapa murid itu sendiri. Imam masjid yang ingin menganjurkan majlis ilmu kepada ahli kariahnya, pasti ada sahaja isu-isu yang dipersoalkan. Dan pelbagai ragam dan gelagat yang akan dapat kita catatkan apabila ada pihak yang ingin menganjurkan atau mempelopori kebaikan di tengah-tengah masyarakat.

Inilah bahagian akhir qasidah tadi, iaitu sebarang usaha menghalang kemuliaan Islam adalah suatu yang hina. Memperlekehkan kemuliaan Islam adalah suatu tindakan yang keji, dan mengejikan. Mempermainkan kemuliaan Allah SWT dan Rasul-Nya, mengundang kemurkaan dan kehinaan daripada Allah SWT ke atas pelakunya.

Para sabiqun al-awwalun dengan jelas menyebut bahawa sesiapa jua yang cuba menghina kita, menghina umat Nabi Muhammad SAW, menjatuhkan maruah diri kita, maka perlu dihadapi dengan penuh kemuliaan dan keyakinan.

Bahkan mempertahankan kemuliaan diri, Allah SWT, Rasul dan Islam, pasti dan perlu dilaksanakan walaupun dengan menghunus pedang dan senjata. Itulah gambaran kehebatan mereka yang terdahulu, dalam menjaga izzah diri mereka.


Jiwa yang mulia, pantang dihina. Peribadi yang mulia akan bangkit melenyapkan kehinaan. Prinsip yang mulia, pasti akan menggantikan sistem yang hina. Kemuliaan Islam, pasti akan menyimakan kegelapan jahiliyyah moden masakini.

Menghadapi semua cabaran dan halangan ini, maka cukuplah dengan Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW. Hasbunallah dan nabi (cukuplah Allah dan Nabi). Inilah azimat yang membangunkan kekentalan jiwa pejuang. Jika inginkan kekuatan jiwa, maka cukuplah bergantung kepada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW.

Wallahua'lam.
Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment