Menangani Masalah Khilaf Dalam Kehidupan - Bahagian 2

Dalam artikel sebelum ini kita telah membincangkan beberapa perkara asas dalam menangani masalah khilaf dan perbezaan pendapat dalam segenap aspek agama dan kehidupan. Kali ini disambung lagi beberapa dawabit yang perlu diaplikasi dalam menghadapinya.


5. Galakan Mengaji

Suasana atau persekitaran yang bebas dalam skop yang dibenarkan syarak akan menyuburkan pemkiran yang sihat, malah mampu melahirkan hasil yang kreatif dan inovasi. Jika seseorang itu terkongkong pemikirannya serta sentiasa dalam keadaan mengelak kritikan dan tohmahan orang lain mengenai pemikiran dan ideanya, nescaya akan mati dan tumpullah kreativitinya.

Sehubungan dengan itu, amatlah digalakkan untuk membuat kajian dalam bidang ilmu serta menyediakan suasana yang sesuai dengan kecerdikan dan perkembangan akal serta kreativiti.

Cuba kita perhatikan kisah teladan ini, bagaimana Saidina Umar RA sebagi seorang khalifah yang digeruni telah mendidik dan menyuburkan potensi yang dimiliki oleh Saidina Abdullah bin Abbas RA.

Ibn Abbas RA bercerita:-

Umar al-Khattab berkumpul bersama para sahabat yang pernah menyertai perang Badar untuk bermesyuarat dan beliau membenarkan aku menyertai mereka. Beberapa orang daripada mereka  berkata:-

“Kamu membenarkan budak lelaki ini masuk dan kami pun ada anak-anak yang sepertinya?”

Umar berkata:-

“Dia seorang yang kamu kenali.”

Suatu hari, Saidina Umar memanggilku untuk menyertai suatu perjumpaan bersama orang dewasa. Aku dapat menjangka beliau ingin memperlihatkan kemahiranku berhujah dengan mereka.

Umar bertanya kepada mereka mengenai tafsir surah al-Nasr yang bermaksud:-

“Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan. Dan kamu lihat manusia masuk agama Allah berduyun-duyun. Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah keampunan kepada-Nya, sesungguhnya Dia Maha Penerima Taubat.” (surah al-Nasr 110:1-3)

Ada yang menjawab tidak tahu, ada yag diam dan ada juga yang menjawab:-

“Setelah memberikan kemenangan, Allah SWT memerintahkan agar Rasulullah memohon keampunan dan bertaubat kepada-Nya.”

Umar kemudian berkata kepadaku:-

“Apa pula pendapatmu, wahai Ibn Abbas?”

Aku menjawab:-

“Ia bukan begitu. Sebenarnya Allah memberitahu Rasulullah tentang hampir waktu wafatnya dan Dia berfirman, “Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan” iaitu tentang pembukaan kota Makkah. “Dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berduyun-duyun” pula menunjukkan akan ketibaan waktu wafat Baginda SAW. “Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah keampunan kepada-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Menerima Taubat.”

Berkata Umar:-

“Apa yang aku faham, samalah dengan apa yang diperkatakan oleh Ibn Abbas ini.”

Saidina Umar bersetuju dan membenarkan pandangan Ibn Abbas.

(HR al-Bukhari no. 4294)

Jadi terbukti betapa pentingnya kebebasan untuk mengeluarkan pandangan, mengikut tahap ilmu dan kemampuan yang terdapat pada seseorang. Walaupun Ibn Abbas RA ketika itu belum cukup dewasa, tetapi Saidina Umar RA memberi peluang kepada beliau untuk mengemukakan pendapatnya walaupun di hadapan para sahabat lain dan ahli peperangan Badar yang lebih matang dan dewasa daripada beliau. Tetapi harus diingat, Saidina Umar RA memberi peluang ini kepada Ibn Abbas RA kerana beliau mengetahui dan menyakini akan ketinggian ilmu, kefahaman dan ketajaman fikiran Ibn Abbas RA.

6. Amal Ma’ruf Nahi Mungkar

Sifat amal ma’ruf nahi mungkar merupakan ciri-ciri orang Mukmin yang sebenar. Firman Allah SWT yang bermaksud:-

“Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma’ruf, mencegah daripada yang mungkar.” (surah al-Taubah 9:71)

Sepatutnya perkara ini menjadi pebincangan utama bagi para ulama’, pendakwah, para pelajar dan orang awam seluruhnya dengan cara ilmiah dan akademik, lemah lembut dan sabar serta mengharap pahala Allah SWT semata-mata.

Dalam melaksanakan tugas ini, beberapa perkara berikut perlu diambil kira:-

a. Tidak boleh ingkar dalam masalah itjihad yang dikhilafkan oleh ulama’ (la inkara fi masa’il ijtihad)

Masalah seperti ini tidak boleh diingkari seseorang ke atas orang lain, ini kerana semua ulama’ itu telah berijtihad untuk mencari kebenaran. Bagi setiap mujtahid itu ada pahala ijtihadnya, walaupun yang benar hanya satu pandangan sahaja (menurut sebahagian ulama’ usul al-fiqh)

Sebahagian ulama’ membezakan antara masalah ijtihad dan khilaf. Ijtihad ialah masalah yang tiada nas syarak, ia adalah hasil penelitian/kajian para ulama’. Berbeza dengan masalah khilaf, kerana khilaf adalah suatu masalah yang mempunyai nas yang jelas, cuma berbeza tafsiran dan pemahaman ulama’ tentangnya.

b. Banyak masalah khilaf yang mungkin mempunyai dalil yang jelas dan pendapat yang terang (rajih) tentangnya.

Dalam masalah khilaf ini, kita hendaklah mengajar dan membimbing masyarakat dengan bahasa dan uslub yang baik dan lembut, untuk memahami tentang hakikatnya yang sebenar serta menerima pendapat yang sahih.

c. Seorang muqallid (pengikut) tidak boleh mengingkari seorang muqallid yang lain.

Seseorang yang menjadi muqallid semata-mata kepada seorang ulama’ atau mazhab lain, tidak boleh dan tidak berhak mengingkari seorang muqallid mazhab yang lain, tanpa dalil yang jelas.

d. Tidak boleh ingkar bukan bermakna tidak boleh memberi nasihat.

Diceritakan oleh Imam as-Syafi’e RH:-

“Aku tidak akan menyuruh seseorang yang menyalahiku dalam masalah fiqah untuk bertaubat kepada Allah kerana taubat itu jika berdosa. Sedangkan manusia ini dalam dua keadaan yang sama ada mendapat dua pahala jika ijtihadnya betul dan satu pahala jika ijtihadnya tidak betul.”

Contoh ini menunjukkan bahawa ijtihad itu adalah satu medan yang luas, maka jangan disempitkan atau diketatkannya! Janganlah pula ada orang yang merasakan satu kesalahan besar apabila ada orang lain mengemukakan suatu perkara yang mereka tidak pernah mendengarnya, atau terus menganggapnya sebagai satu perbuatan yang mencelarukan umat Islam, bukan untuk menyuburkan keterbukaan pemikiran dan pemahaman masyarakat.

e. Mengambil kira fiqah kemaslahatan dalam inkar al-munkar (mengingkari kemungkaran)

Ini kerana tujuan mengingkari kemungkaran itu adalah untuk merealisasikan kemaslahatan dan menolak keburukan. Namun hendaklah dipastikan perbuatan mengingkari itu tidak membawa kepada kemungkaran yang lebih besar lagi!

f. Mengingkari secara berperingkat (tadarruj)

Untuk memindahkan manusia daripada kebiasaannya selama ini kepada sesuatu yang baru, adalah suatu perkara yang amat susah dan berat. Oleh sebab itu, jika ia tidak mempunyai kemaslahatan yang jelas dan kemungkaran itu bukanlah sesuatu yang jelas juga, maka tidak sepatutnya seseorang itu melakukannya. Sebagaimana yang telah dikatakan oleh Syeikh ‘Izzudin bin Abdul Salam RH.

7. Diskusi Secara Jelas Dan Terbuka

Isu khilaf jangan dianggap remeh atau kecil. Sesetengah orang yang mungkin ingin menjaga keadaan dan emosi, langsung tidak tahu memperkatakan tentangnya. Sedangkan ia suatu realiti yang wujud dalam kehidupan dan agama, malah kita tidak dapat lari daripadanya.

Keadaan ini seperti pesakit yang pergi ke hospital dan dia telah membuat satu laporan keputusan ujian yang palsu, tujuannya supaya orang mengatakan dia seorang yang sihat dan kuat, sedangkan penyakit penuh dalam tubuhnya. Iaitu tidak mahu menerima kenyataan!

Kita hendaklah menerima hakikat khilaf yang berlaku antara kita dengan sikap terbuka kerana ia akan membolehkan kita mengatasinya dan boleh menghapuskan khilaf-khilaf negatif antara kita.


8. Mencari Kefahaman yang Sahih dan Menghindari Musykilat dari Sudut Komunikasi

Banyak isu khilaf hari ini terhasil daripada cerita-cerita palsu dan khabar angin yang tidak dapat dipastikan. Manakala khilaf ulama’ terdahulu ada penjelasan dan sebab musababnya.

Hasil daripada semua ini boleh melahirkan kebencian, kemarahan, kepanasan dan sebagainya sesama Muslim. Ia juga boleh terjadi kerana silap faham terhadap tulisan, ucapan dan kenyataan seseorang dalam isu-isu tertentu. Sedangkan jika diteliti hakikat sebenarnya, ia jauh sekali daripada tuduhan-tuduhan yang dilemparkan itu!

Maka terjadilah perbuatan tercela seperti mengkafirkan para ulama’, menuduh ulama’ sesat dan pelbagai kata-kata songsang, tanpa berpaksikan fakta yang benar dan kajian yang menyeluruh.

Oleh sebab itu, golongan yang berikhtilaf sangat perlu memahami sikap dan pendirian orang lain dengan jelas, bukan sekadar sangkaan, gambaran dan tuduhan yang jauh dari dalil dan hujah yang benar.

9. Ilmu Tangani Khilaf

Banyak terdapat buku-buku yang ditulis oleh para ulama’. Sama ada Muslim atau non-Muslim untuk menyelesaikan masalah khilaf ini yang mungkin dapat kita ambil manfaat daripadanya. Antara buku yang dicadangkan ialah:-

a. Fiqh al-Ikhtilaf, Qawaid at-Ta’amul ma’a al-Mukhallifin bi al-Insaf oleh Mahmud al-Khazindar.

b. Ikhtilaf al-Muftin wa al-Mauqif al-Matiub Tijahahu min ‘Umum al-Muslimin.

Semua masalah pertelingkahan, khilaf dan perbezaan pandangan tidak cukup hanya dengan mengkaji, meneliti, menulis serta mengumpul adab-adab dan disiplin sahaja tanpa ia dijadikan paksi akhlak seorang Muslim terhadap saudaranya. Kita berittifak dalam banyak perkara, berkhilaf cuma dalam beberapa perkara kecil. Maka jadikanlah yang besar itu sebagai asas dan kecil itu hanya perkara sampingan yang boleh dimaafkan. Kembalikanlah pertautan hati orang Muslim. 

Musuh sebenar kita ialah Iblis dan pengikutnya, bukan saudara sesama Islam!

Wallahua'lam.