Taqwa Ibarat Buah Yang Manis

Sabda Rasulullah SAW sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Sa’id RA yang bermaksud:-

“Wajib ke atasmu bertaqwa kepada Allah kerana taqwa merupakan himpunan segala kebaikan. Wajib ke atasmu tetap berjihad kerana jihad merupakan ibadah orang Islam. Dan wajib ke atasmu tetap dalam mengingati Allah kerana zikrullah itu merupakan cahaya bagimu.” (Riwayat Ibn al-Dharis)

Pada kali ini kita akan merungkap soal taqwa, membicarakan mengenai taqwa yang wajib bagi hidup kita sehari-hari. Boleh jadi ungkapan dan peringatan “ittaqullah” yang saban minggu kita dengar daripada khatib di mimbar-mimbar masjid jarang dapat dihayati kerana definisi taqwa masih samar.

Definisi Taqwa

Apakah maksud taqwa? Apakah taqwa itu merupakan sifat yang boleh dicari menerusi jalan menuntut ilmu semata-mata?

Sebenarnya para ulama’ mendefinisikan taqwa dengan pelbagai takrif. Namun dari segi bahasa, taqwa membawa maksud “takut” atau “memelihara”. Manakala dari segi istilah pula saya cuba menukilkan definisinya menerusi pandangan ulama’ tasawwuf antaranya:-

Al-Nasr Abazi RA berkata:-

“Taqwa ialah seseorang yang memelihara dirinya daripada menyembah selain daripada Allah SWT.”

Abu Bakar Muhammad al-Rauzabari berkata:-

“Taqwa ialah kamu menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang menjauhkan dirimu daripada Allah.”

Syeikh Ibn Ata’illah RA berkata:-

“Taqwa terbahagi kepada dua iaitu taqwa zahir dan taqwa batin. Taqwa zahir adalah dengan menjaga batas syariat manakala taqwa batin pula disertakan dengan niat dan keikhlasan.”

Thalq bin Habib RA berkata:-

“Taqwa ialah engkau menanti cahaya (petunjuk) daripada-Nya demi mengharapkan pahala di sisi-Nya. Serta engkau menjauhkan dirimu daripada segala perbuatan maksiat menerusi petunjuk daripada-Nya kerana menghindari serta takut akan seksaan-Nya.”

Inilah antara definisi taqwa di sisi ulama’ tasawwuf seperti yang dinukilkan oleh Syeikh Abul Qasim Hawazin al-Qusyairi dalam Risalah al-Qusyairiah.

Taqwa Ibarat Buah Yang Manis

Taqwa merupakan puncak segala penghasilan amalan kehambaan dalam mentaati Allah SWT. Ia bukan semata-mata teori yang dipelajari tetapi taqwa terhasil menerusi ketaatan yang bersungguh-sungguh kepada-Nya Yang Maha Agung. Tidak dikira sempurna taqwa seseorang sekiranya ia masih menyerahkan sekalipun sekecil zarah bahagian kehidupan daripada siri kehidupannya kepada selain daripada Allah SWT.

Taqwa seumpama buah manis yan terhasil apabila pokok syariat itu dijaga dengan sebaiknya. Apabila seseorang itu dkurniakan taqwa menerusi jalan hidayah-Nya, maka terarahlah pandangan batinnya kepada akhirat yang bersifat hakikat. Ia akan mengambil dunia hanya sebagai pinjaman.

Al-Kattani pernah mengumpamakan taqwa sebagaimana berikut:-

“Sesungguhnya dunia diciptakan hanya semata-mata untuk manusia menerima cubaan (yang akan meningkatkan taqarrubnya kepada Allah), manakala akhirat diciptakan agar manusia itu bertaqwa (tunduk dan takut kepada Allah)."

Pahitnya Terputus Hubungan Dengan Allah SWT

Bahkan diriwayatkan bahawa Imam Abu Hanifah RH tidak pernah duduk berteduh di bawah bayangan pohon dan tanaman yang dimiliki oleh orang yang mempunyai hutang dengannya. Ini kerana ketaqwaan Imam Abu Hanifah RH apabila mengingatkan hadith Rasulullah SAW yang menyebut:-

“Setiap hutang yang mendapat keuntungan adalah riba’” (Riwayat al-Hartis daripada Abu Usamah)

Subhanallah! 

Dengan sifat ketaqwaannya itu, Imam Abu Hanifah RH menganggap bahawa berteduh dengan mengambil manfaat daripada teduhan pokok orang yang masih berhutang dengannya dianggap riba’. Inilah kesempurnaan taqwa yang terhasil apabila hati sentiasa berhubung dengan Allah SWT.


Benarlah kata Syeikh al-Syibli RH:-

“Apabila engkau telah mengecapi manisnya berhubung dengan-Nya pasti kamu mengetahui betapa pahitnya putus hubungan (dengan-Nya).”

Saya berdoa agar Allah Azzawajalla sentiasa membimbing kita dalam melaksanakan ketaatan kepada-Nya dan hasilnya akan terpancarlah nur taqwa buat menyuluh perjalanan kita ke perkampungan akhirat yang lebih baik serta kekal abadi.

Wallahua'lam.