Bahaya Dan Bahana Lidah

Lidah manusia sangat tajam. Ketajaman lidah tidak sama seperti ketajaman mata pedang. Luka akibat mata pedang mungkin akan sembuh, namun luka akibat ketajaman lidah seseorang; walau sedikit, sukar disembuhkan.


Apabila merujuk kepada dalil-dalil syarak, manusia diperintahkan oleh Allah SWT supaya memelihara lidah mereka. Sebuah hadith yang terkenal, sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:-

“Orang Islam sebenar ialah mereka yang menyelamatkan manusia daripada kejahatan lidah dan tangannya.” (HR Muslim)

Marilah kita amati dan amalkan hadith ini sebaik-baiknya. Terutamanya sekali dalam dunia serba moden dan canggih, dengan hanya menyebarkan berita melalui satu klik pada keyboard sahaja, bukan sekadar dengan lidah, anda mungkin boleh terjerumus dalam mencerobohi maruah manusia.

Lebih bahaya lagi, dengan hanya menyebarkan fitnah melalui internet, semua manusia boleh membaca selagi mana fitnah itu belum dipadamkan. Maka bagi saya, topik ini penting untuk diketengahkan dalam situasi kecelaruan yang melanda negara kita di akhir-akhir ini. Manusia tanpa segan silu sanggup mencalarkan maruah seseorang dengan begitu mudah. Fitnah berlaku sana-sini sedangkan kalau kita perhatikan sedalam-dalamnya hukum syariat Islam, banyak hukum-hakam yang berkaitan dengan anjuran memelihara maruah.

Menjaga Maruah Menjadi Maqasid Syariah

Para fuqaha dan ulama’ maqasid menetapkan bahawa “hifz al-‘ird” atau penjagaan maruah menjadi matlamat penting yang perlu dicapai dalam pensyariatan hukum-hukum Islam. Oleh sebab itu, apabila kita meneliti keseluruhan syariat Islam, dapat kita lihat bagaimana kewajipan seseorang Islam dalam menjaga maruah sama ada maruahnya sendiri atau keluarganya, bahkan lebih jauh daripada itu menjaga maruah orang lain daripada tercemar.

Antara hukum yang jelas dalam Islam yang ingin merealisasikan objektif penjagaan maruah ialah larangan zina. Selain bermatlamatkan menjaga keturunan, zina juga dikutuk dan dilarang oleh Allah SWT kerana ia mencemarkan maruah seseorang.

Sebab itu Allah SWT menafikan kecelaan daripada isteri dan hamba-hamba. Allah SWT memuji orang Mukmin yang menjaga kemaluan mereka daripada perbuatan zina dalam al-Quran, mafhumnya:-

“Dan mereka yang menjaga kehormatannya, kecuali kepada isterinya atau hambanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela.” (surah al-Ma’arij 70:29-30)

Perkataan “mereka tidak tercela” dalam ayat di atas menunjukkan bahawa maruah seseorang akan tercemar apabila mereka melakukan perbuatan zina. Jadi Allah SWT menafikan sifat celaan ini daripada isteri atau hamba kerana kedua-duanya adalah halal dalam Islam. Ini menunjukkan bahawa orang yang melakukan zina  sebenarnya telah mencemarkan maruah mereka. Dan ini menyalahi maqasid syariah yang menghendaki supaya maruah seseorang itu terpelihara.

Larangan Qazaf

Selain itu, apa yang lebih jelas lagi kepada kita, Islam melarang perbuatan qazaf. Mengapa qazaf dilarang? Tujuannya adalah bagi menjaga maruah manusia (Rujukan: Al-Futuhi, Sharh al-Kawkab, Jilid 2, halaman 402)

Hukum had qazaf ialah 80 kali sebatan ke atas seseorang yang menuduh orang lain berzina atau liwat, tanpa sebarang bukti syarak. Bukti syarak ialah kesaksian empat orang lelaki yang adil atau pengakuan daripada si pelaku itu sendiri. Perkara ini perlu difahami oleh masyarakat. Jika hanya seorang sahaja yang menjadi saksi, ia tidak memadai. Jika bukti gambar atau rakaman video sahaja tetap tidak mencukupi dan masih belum boleh diterima.

Kenapa sebegitu susah sekali mencari bukti tuduhan zina? Kenapa mesti mencari empat orang saksi lelaki yang melihat dengan mata kepala mereka sendiri?

Jawapannya ialah Islam sangat mementingkan maqasid memelihara maruah manusia. Oleh kerana itu isu mengenai zina ini berkaitan dengan maruah, maka Islam mewajibkan hukuman seksaan 80 kali sebatan seseorang yang menyebarkan tuduhan seperti ini tanpa bukti sebenar. Maksud firman Allah SWT:

“Dan orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka dengan 80 sebatan. Dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya kerana mereka adalah orang yang fasiq.” (surah an-Nur 24:4)

Ayat ini betul-betul mengajar kita betapa besarnya dosa orang yang menyebarkan fitnah tuduhan zina terhadap seseorang. Perkara ini perlu dimunasabahkan oleh masyarakat kita hari ini. Maruah seseorang manusia khususnya orang Muslim wajib dijaga oleh kita. Bahkan menyakiti hati seorang Muslim dengan sedikit kata-kata pun dilarang.

Firman Allah SWT yang bermaksud:-

“Dan orang yang menganggu serta menyakiti orang lelaki yang beriman dan orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukan, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta dan berbuat dosa yang amat nyata.” (surah al-Ahzab 33:58)

Hadith riwayat Muslim jelas menggambarkan hal ini, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:-

“Setiap Muslim ke atas Muslim yang lain adalah haram iaitu darah, harta dan maruahnya.”

Maksud hadith ini ialah seorang Muslim perlu menjaga darah saudara seislamnya, sama seperti mereka juga wajib memelihara harta serta maruah saudaranya. Oleh sebab itu, Islam menetapkan tuduhan qazaf iaitu menuduh seseorang berzina adalah sangat berat. Apa yang menyedihkan kita, ada segelintir golongan Muslim yang memandang remeh hal sebegini. Ketahuilah bahawa sesiapa yang terjerumus dalam maksiat qazaf dan masih belum bertaubat, maka dia berada dalam bahaya yang sangat besar.


Islam juga sahaja menjaga maruah orang yang merdeka, bahkan seorang tuan juga tidak boleh menuduh hambanya berzina tanpa bukti yang dibenarkan syarak. Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:-

“Sesiapa yang membuat tuduhan zina kepada hamba abdinya sedangkan dia bebas daripada tuduhan itu, nescaya dia akan disebat pada hari kiamat kecuali dia (hamba) sepertimana dituduh.” (HR al-Bukhari)

Larangan Mengumpat

Selain larangan qazaf, dalam memelihara maruah manusia, Islam melarang ghibah atau mengumpat. Mafhum firman Allah SWT dalam al-Quran sudah memadai menunjukkan kekuatan larangan tersebut, yang bermaksud:-

“Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan atau keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengah yang lain.

Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) makan sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh sebab itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani.” (surah al-Hujurat 49:12)

Mengumpat sepertimana pandangan Imam al-Ghazali dan diikuti oleh Imam an-Nawawi dijelaskan dengan makna seseoranh yang menyebut tentang sesuatu perkara mengenai orang lain yang tidak disukai olehnya. Sama ada berkaitan tubuh badan, agama, dunia, diri, jasad, perangai, harta, bapa, anak, isteri, khadam, pakaian, gerak-geri, diam dan lain-lain berkaitan dengan seseorang. Begitu juga sama ada dengan lafaz, isyarat mata atau sebagainya. 

Pendek kata, semua perkara yang kita lakukan yang boleh melukakan hati saudara kita sekiranya dia mengetahui hal tersebut, maka ianya adalah mengumpat. (Rujukan: Ibn Hajar, Fath al-Bari, Jilid 17, halaman 207)

Abu Daud ada meriwayatkan hadith lain, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:-

“Sesungguhnya, riba yang paling dahsyat adalah dengan mencerobohi maruah seseorang Muslim tanpa hak.”

Kita tahu riba’ itu dosa besar dan sudah tentu hadith ini menunjukkan bahawa mengumpat sama darjatnya dengan riba’, bahkan lebih bahaya.

Dalil-dalil ini membuktikan bahaya dan bahana mengumpat. Ia sebenarnya berkaitan dengan maruah seseorang. Al-Qurtubi mentafsirkan hukumnya sebagai dosa besar. Nauzubillah min zaliq!

Imam an-Nawawi juga ada membawa hadith daripada Anas RA mengenai pengharaman mengumpat. Hadith itu menceritakan kisah Nabi SAW dimikrajkan kemudian diperlihatkan kaum yang mempunyai kuku daripada tembaga mencakar-cakar kulit muka dan dada mereka. Apabila ditanya kepada Jibril AS, siapakah mereka, Jibril AS menjawab:-

“Mereka ialah golongan yang memakan daging manusia dan terjerumus dalam dosa mencerobohi maruah mereka.” (HR Abu Daud)

Maka, sama-samalah kita bermuhasabah dan menjauhkan diri daripada dosa mencemarkan dan mencerobohi maruah orang lain. Ingatlah hadith apabila ‘Uqbah bin Amir bertanyakan Nabi SAW tentang kejayaan sebenar:-

“Engkau jagalah lidahmu, bahagiakanlah rumahmu, menangislah kerana dosamu kerana sesungguhnya manusia yang jauh daripada Allah ialah orang yang mempunyai hati yang keras.”

Wallahua'lam.