Kita bincangkan kisah Imam Abu Yusuf RH dan gurunya Imam Abu Hanifah RH. Kali ni kita akan menelusi kisah daripada Abu Yusuf mengenai cerita yang berlaku kepada dirinya semasa kecil. Kisah ini mengandungi banyak pengajaran buat kita semua.
“Ayahku wafat apabila aku masih kecil. Lalu ibuku membawaku kepada seorang penjahit untuk belajar ilmu menjahit daripadanya.
Setiap kali aku pergi ke kedai jahit, aku melalui tempat di mana berlangsungnya majlis ilmu Abu Hanifah. Aku singgah dalam majlis itu untuk mendengar pengajaran beliau. Apabila itu berlaku, ibuku segera datang dan menarik tanganku. Beliau membawa aku keluar dari majlis itu lalu ke kedai jahit semula.
Suatu hari, aku memutuskan untuk meninggalkan kursus jahitanku. Aku ingin hadir dalam majlis Abu Hanifah sepenuh masa. Aku lalu melakukannya. Beberapa masa kemudian, ibuku menemui Abu Hanifah sambil marah-marah.
Ibuku berkata kepada beliau:-
‘Budak ini anak yatim. Kami tidak memiliki apa-apa selain hasil pekerjaanku memintal benang. Oleh sebab itu, aku ingin dia belajar menjahit agar boleh membiayai hidupnya. Namun sekarang, engkau telah merosakkan anakku!’
Imam Abu Hanifah berkata:-
‘Tenanglah puan. Dia sekarang sedang belajar ilmu agama. Suatu hari nanti, ia akan menyantap faluzaj yang bercampur dengan minyak pistacio.’
Faluzaj yang disebut Abu Hanifah ini ialah sejenis kek mewah yang hanya dimakan oleh raja-raja dan orang kaya kala itu.
Namun ibuku semakin marah lalu berkata:-
‘Engkau orang tua yang sudah nyanyuk!’
Ibuku terus bangkit dan meninggalkan majlis Abu Hanifah.”
Meramal Dengan Mata Akal
Abu Yusuf terus mencatat kejayaan dalam pelajarannya. Saban hari namanya makin terkenal dengan pakar fiqah dan hadith yang disegani. Apabila Khalifah al-Hadi menubuhkan satu jawatan khas dalam kerajaannya yang dinamakan ‘Hakim Agung’ (Qadi al-Qudat), khalifah segera melantik Abu Yusuf untuk memangku jawatan ini.
Maka, jadilah Abu Yusuf hakim agung yang pertama di dunia. Seluruh negeri-negeri jajahan Bani Abbasiyyah yang meliputi hingga hampir sepertiga dunia berada di bawah kekuasaannya. Beliau terus memangku jawatan ini hingga masa pemerintahan Khalifah Harun al-Rasyid.
Abu Yusuf berkata:-
“Suatu hari, ketika aku sedang bersama Harun al-Rasyid, tiba-tiba dihidangkan ke hadapan beliau sebiji kek yang sangat mewah. Aku tidak mengenali kek itu kerana tidak pernah melihatnya seumur hidupku.”
Harun berkata kepadaku:-
‘Wahai Tuan Hakim, cecapilah makanan ini. Bukannya selalu ia dibuat untuk kita.’
Aku bertanya kembali:-
‘Apakah nama kek ini, wahai Amirul Mukminin?’
Beliau menjawab:-
‘Inilah faluzaj bercampur dengan minyak pistacio.’
Mendengar jawapan khalifah itu, aku tersenyum.
Khalifah bertanya pula:-
‘Kenapa tuan tersenyum?’
Aku segera menjawab:-
‘Tidak ada apa-apa, wahai Amirul Mukminin.’
Namun khalifah merayu kepadaku:-
‘Beritahukanlah kepada aku.’
Maka aku ceritakan kisah diriku dari awal hingga ke akhir. Mendengar kisah itu, Khalifah Harun al-Rasyid menjadi sangat teruja. Beliau berkata:-
‘Sesungguhnya ilmu dapat bermanfaat dan mengangkat darjat manusia di dunia dan akhirat. Semoga Allah merahmati Abu Hanifah. Beliau mampu melihat dengan mata akalnya apa yang tidak terlihat dengan mata kepalanya.’”
Demikianlah kisah yang saya temui apabila membaca biografi Imam Abu Yusuf RH dalam kitab al-Bidayah wa al-Nihayah karangan al-Hafiz Ibn Kathir al-Dimasyqi. Kisah ini sangat berkesan dalam hati saya, terutamanya kata-kata pujian Khalifah Harun al-Rasyid untuk Imam Abu Hanifah RH yang dinilainya ‘mampu melihat dengan mata akal sesuatu yang tidak terlihat dengan mata kepala’.
Saya teringat tulisan Imam Hujjatul Islam al-Ghazali RH dalam al-Muqiz min al-Dalal yang menimbang antara kekauatan akal dan pancaindera. Beliau menyimpulkan bahawa pengetahuan yang dihasilkan akal lebih dipercayai daripada pengetahuan yang berasal daripada pancaindera kerana sifatnya yang lebih murni daripada kekeliruan.
Apabila direnung perkara ini lebih mendalam, saya melihat bahawa potensi akal memang sangat luarbiasa. Tidak seperti pancaindera, akal boleh menmbusi dimensi ruang dan masa. Jika digunakan baik, akal boleh merekonstruksi masa lalu, juga meramal apa yang akan terjadi pada masa hadapan.
Masyarakat awam mungkin menyangka orang seperti ini menggunakan kuasa ghaib, padahal tidak. Golongan cerdik pandai hanya meramalkan apa yang akan terjadi berdasarkan perkara-perkara yang telah terjadi. Maka, ‘mata akal’ memang lebih tajam daripada ‘mata kepala’. Dan kemampuan melihat dengan mata akal inilah yang membuatkan seseorang itu digelar ‘cerdik pandai’.
Berkata Ziyad bin Abihi RH:-
“Orang yang cerdik bukanlah orang yang mampu menyelesaikan pelbagai masalah dengan baik. Akan tetapi, orang yang cerdik ialah orang yang mampu mengantisipasi masalah agar ia tidak terjadi.” (Diriwayatkan oleh Ibn Qutaybah al-Dinawari dalam kitab ‘Uyun al-Akhbar)
Saidina Umar Bin Khattab RA
Kemampuan ‘melihat masa depan’ ini penting dimiliki oleh setiap pemimpin yang menerajui kumpulan atau organisasi, terutamanya organisasi yang bergerak dalam bidang dakwah dan penyebaran ilmu.
Ini kerana setiap hari ‘landskap’ dunia yang kita diami ini sentiasa berubah dengan pesatnya. Seorang pemimpin perlu menyedari dan menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut. Dia dituntut supaya memahami zaman yang sedang dihadapinya, sekaligus mengantisipasi pelbagai perubahan yang akan berlaku selepasnya.
Apabila visi seorang pemimpin menembusi masa depan, maka dia dapat membekalkan orang di sekitarnya pelbagai kemahiran untuk menghadapi setiap cabaran pada masa hadapan.
Antara pemimpin besar Islam yang memiliki kemampuan ini adalah Saidina Umar bin al-Khattab, semoga Allah SWT meredhainya. Saidatina Aisyah berkata:-
“Sesiapa yang melihat Umar yakin beliau diciptakan hanya untuk Islam. Beliau selalu mengambil berat tugasannya dan sangat cerdik. Beliau selalu bersiap-sedia untuk sesuatu perkara sebelum ianya berlaku.” (Diriwayatkan oleh al-Hafiz Abu Bakar al-Khairati dalam Makarim al-Akhlaq)
Seorang tokoh tabi’in yang sering mendampingi Saidina Umar, Ahnaf bin Qays berkata:-
“Pengetahuan beliau (Umar bin al-Khattab) tentang apa yang akan terjadi lebih mendalam daripaa pengetahuan kita tentang apa yang telah terjadi.” (Diriwayatkan oleh Ibn Qutaybah dalam Ta’wil Mukhtalif al-Hadith)
Terbukti, di bawah kepimpinan tokoh berpandangan jauh ini, dakwah Islamiah menciptakan kegemilangan yang mustahil dilakukan oleh orang lain. Kerajaan Islam berjaya menakluk Empayar Rom dan Parsi yang perkasa, lalu memerintah negeri-negeri yang sangat luas dan kaya dengan penuh keadilan.
Selain pemimpin organisasi, kemampuan ini sangat penting dimiliki oleh setiap ibu bapa dan guru. Kita semua tahu peranan mereka sangat besar dalam membentuk masa depan generasi pelapis umat Islam kini.
Seorang ibu bapa atau guru wajib menggunakan ‘mata akal’ untuk ‘meramalkan’ apa yang akan terjadi sepuluh tahun, atau dua puluh tahun yang akan datang. Mereka harus dapat membayangkan pelbagai cabaran yang akan dihadapi anak-anak dan murid-murid mereka, lalu mengajarkan kemahiran yang relevan untuk mengatasinya dari sekarang.
Ini semua saya akui memerlukan kreativiti yang sangat tinggi. Kaedah dan tradisi lama yang sudah usang perlu diubahsuai atau diganti. Itu sebabnya, satu kaedah pendidikan Islam berbunyi:-
“Janganlah kamu mendidik anak-anakmu sepertimana orang tuamu mendidikmu. Kerana mereka diciptakan untuk zaman yang berbeza dengan zamanmu.”
Ibu bapa dan guru juga dituntut agar menghindari sikap ‘ingin mendapatkan keuntungan segera’ lalu mengorbankan potensi besar yang dimiliki oleh anak-anak atau murid-murid. Keuntungan yang lebih besar selalunya memerlukan masa dan kesabaran yang lebih lama. Kisah Abu Yusuf yang terhimpit antara konflik cara pandang ibunya dan gurunya, seperti yang telah saya nukilkan boleh dijadikan renungan bersama.
Masa Depan Akhirat
Masa depan yang paling jauh dan yang paling utama dipersiapkan ialah akhirat. Meskipun tidak terlihat oleh ‘mata kepala’, namun ‘mata akal’ menyaksikan keberadaannya. Maka setiap orang wajib mempersiapkan diri, juga anak dan muridnya untuk menghadapi pelbagai cabaran dunia demi menggapai kebahagiaan di akhirat sana.
Dalam Sunan at-Tirmizi dan Sunan Ibn Majah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Orang yang cerdik ialah orang yang mampu menahan hawa nafsunya dan bekerja untuk kehidupan setelah mati. Adapun orang yang lemah (bodoh) ialah orang yang mengikut hawa nafsunya, namun berharap Allah selalu memberi apa yang diinginkannya.”
Semoga Allah SWT menjadikan kita manusia-manusia cerdas yang dapat melihat dengan ‘mata akal’ apa-apa yang tidak terlihat oleh ‘mata kepala’.
Wallahua'lam.
Blogger Comment
Facebook Comment