Hidangan Khusus Ahli Neraka

Imam al-Qurtubi menceritakan dalam tafsirnya kisah berikut. Ia berkenaan dengan Imam Ahli Basrah yang bernama al-Hasan bin Abi Hasan al-Basri RH.

Suatu petang, al-Hasan sedang menunggu waktu berbuka puasa. Makanan telah pun siap terhidang di hadapannya. Tiba-tiba beliau teringat ayat ini, maksud firman Allah SWT:-

“Sesungguhnya di sisi Kami ada belenggu-belenggu yang berat dan neraka yang menyala-nyala. Dan makanan yang menyumbat kerongkongan (za ghussah) dan azab yang pedih.” (surah al-Muzammil 73:12-13)

Beliau menjadi tidak berselera untuk makan. Beliau berkata:-

“Angkatlah makanan ini.”

Pada keesokan harinya, al-Hasan meneruskan puasanya. Apabila tiba waktu berbuka puasa, sekali lagi beliau teringat ayat itu dan tidak berselera untuk makan. Beliau berkata:-

“Angkatlah makanan ini.”

Hal yang sama berlaku pada hari ketiga. Dengan demikian, sudah tiga hari beliau tidak makan apa-apa.

Melihat keadaan itu, anak beliau segera pergi menemui para ulama’ Basrah; Thabit al-Bunani, Yazid al-Dabbi dan Yahya al-Bakka. Mereka segera ke rumah al-Hasan dan terus merayu kepadanya supaya dia makan. Setelah beberapa lama, akhirnya al-Hasan menghirup sedikit kuah sup.

Membayangkan Makanan Ahli Neraka

Apa sebenarnya yang berada di fikiran Hasan al-Basri apabila membaca ayat ini?

Saya tidak tahu hakikatnya. Namun saya boleh andaikan, fikiran beliau ketika itu dipenuhi dengan imej ahli neraka yang sedang tercekik apabila melahap makanan neraka. Makanan itu tentunya tidak boleh turun ke perut, namun tidak pula boleh dimuntahkan. Mereka tersedak dalam keadaan yang sangat menyeksakan.

Itulah makna “ta’am zi ghussah” (makanan yang tersumbat di dalam kerongkongan) dalam ayat di atas. Ayat ini, bersama beberapa ayat yang lain menyebut berkenaan makanan dan minuman di neraka, memberi isyarat bahawa ahli neraka berasa lapar dan dahaga sebagai seksaan bagi mereka. Lapar dan haus yang mereka rasakan jauh lebih terseksa daripada yang dirasakan oleh orang yang mati kebuluran di dunia ini.

Sebuah hadith panjang riwayat at-Tirmizi (no. 2586) menyebutkan perkara itu dengan sangat jelas. Daripada Abu al-Darda RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-

“Akan dicampakkan perasaan lapar kepada ahli neraka. Maka ia (rasa lapar itu) menyamai azab seksa yang sedang mereka rasai.”

Kalau mereka masih di dunia dan merasakan lapar dan dahaga seperti ini, maka mereka pasti sudah lama mati. Tetapi di neraka, tidak ada lagi kematian. Yang ada hanyalah kesakitan sahaja.

Bentuk Seksaan

Jika kita renungkan, “makanan” ahli neraka sebenarnya bukanlah makanan. Ia sama sekali tidak memiliki sifat-sifat makanan yang dapat menghilangkan lapar dan dahaga. Malah, ia sebenarnya hanya satu bentuk seksaan untuk sistem dalaman tubuh mereka.

Pelbagai ayat dan hadith menceritakan bahawa setelah ahli neraka melahap makanan atau meneguk minuman, maka kesakitan merebak ke seluruh tubuh mereka.

Perhatikan firman Allah SWT ini yang bermaksud:-

“Ia (ahli neraka) meminum air nanah itu dengan susah payah, hampir ia tidak dapat menelannya. Maka datanglah maut dari segenap penjuru, namun ia tidak akan mati. Di hadapannya masih ada azab yang sangat berat.” (surah Ibrahim 14:27)

Ayat ini menjelaskan bahawa keadaannya setelah menyantap minuman neraka ini seperti orang yang sedang menghadapi sakaratulmaut. Kesakitan terasa di seluruh bahagian tubuhnya walaupun bahagian tubuh yang terkecil sekalipun.


Berkata Ibrahim al-Taymi:-

“Kesakitan sakaratulmaut mendatangi ahli neraka dari setiap bahagian tubuhnya. Bahkan dari hujung-hujung rambutnya kerana kesakitan yang terasa di sekujur badannya.”

Keadaan ini terus berlangsung sepanjang keberadaannya di dalam neraka. Berkata Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya:-

“Keadaan orang kafir di dalam neraka seperti keadaan orang terus-menerus mengalami sakaratulmaut tanpa henti.”

Maknanya, ahli neraka tidak akan merasakan kenikmatan hanya sesaat, sepertimana ahli syurga tidak akan merasakan kesusahan walau hanya sedikit.

Pohon Zaqqum

Al-Quran menyebut beberapa benda yang akan menjadi “makanan dan minuman” ahli neraka. Antaranya adalah zaqqum, ghislin, ghassaq, hamin dan dari’. Menurut al-Zamakhsyari dalam Tafsir al-Kasyaf, setiap makana ini telah disediakan untuk kelas-kelas yang tertentu daripada ahli neraka sesuai dengan dosa-dosa mereka.

Penjelasan tentang semua ini sangat panjang. Kali ini, saya hanya akan berbincang tentang salah satu sahaja, iaitu zaqqum.

Apabila mendengar kali pertama nama pohon ini, ahli Makkah tidak mengenalinya sebab ia tidak tumbuh di negeri mereka. Oleh sebab itu, Abu Jahal mempersendakannya sambil berkata kepada teman-temannya:-

“Tahukah kamu, apa itu zaqqum? Ia adalah kurma yang dicampur dengan mentega.”

Mereka lalu menyantap kurma dan mentega sambil tertawa-tawa.

Allah SWT lalu menjelaskan melalui firman-Nya yang bermaksud:-

“Sesungguhnya ia adalah sebatang pohon yang keluar dari dasar neraka yang menyala. Mayang (buahnya) seperti kepala-kepala syaitan.” (surah al-Saffat 37:64-65)

Oleh sebab neraka dipenuhi api, maka pohon zaqqum tumbuh daripada inti api itu. Pohon ini tidak terbakar oleh api kerana ia sama jenis dengan api. Akarnya menjalar dari dasar neraka Jahannam, lalu cabang-cabangnya menyebar sehingga ke semua tingkatan neraka.

Ia bermayang seperti pohon kurma, namun rupa buahnya sangat menyeramkan seperti kepala syaitan. Disamakan dengan syaitan kerana ia merupakan personifikasi keburukan yang tidak mengandungi kebaikan sedikit pun dalamnya, menurut Imam al-Zamakhsyari.

Lapar Dan Dahaga

Jika pohon ini begitu menyeramkan, mengapa ahli neraka tetap mendatanginya dan memakan buahnya?

Jawapannya kerana mereka merasakan lapar yang teramat sangat dan tidak menemui pilihan lain. Ahli neraka bukan hanya memakannya, malah memenuhkan perut mereka dengannya.


Allah SWT berfirman yang bermaksud:-

“Kemudian sesungguhnya kamu, wahai orang yang sesat lagi mendustakan (hari akhirat), benar-benar akan memakan daripada pohon zaqqum, dan akan memenuhkan perutmu dengannya. Sesudah itu, kamu akan meminum air yang sangat panas. Maka kamu minum seperti unta yang sedang kehausan.” (surah al-Waqi’ah 56:51-55)

Berkata al-Zamakhsyari:-

“Makna ayat ini adalah bahawa ahli neraka akan berasa lapar yang teramat sangat sehingga memaksa mereka untuk memakan buah zaqqum yang rasanya seperti minyak panas. Apabila buah-buahan itu memenuhi perut mereka, tiba-tiba mereka menjadi sangat haus kerana panasnya. Mereka lalu terpaksa meminum timah cair yang sangat panas hingga terputus-putus usus-usus perut mereka.”

Dalam hadith riwayat at-Tirmizi (no. 2585), Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-

“Andai setitis daripada buah zaqqum terjatuh ke laut dunia, nescaya musnah semua kehidupan yang terdapat di dalamnya. Maka, bayangkanlah bagaimana jika seseorang memakannya?

At-Tirmizi berkata status hadith ini hasan sahih.

Ketakutan

Seeorang yang membaca al-Quran dengan pemahaman yang mendalam, diiringi dengan iman dan khusyuk seperti yang dilakukan oleh Imam Hasan al-Basri, maka seolah-olah ia menyaksikan semua ini dengan matanya. Lalu, mungkinkah ia dapat makan dan minum dengan penuh berselera?

Hasan al-Basri juga terkenal sebagai seorang tokoh yang selalu dikuasai rasa khauf (takut) kepada hari akhirat. Dosa-dosanya selalu berada di hadapan mata. Kerana takutkan dosa-dosanya, beliau khuatir makanan yang disantapnya menjadi makanan ahli neraka yang tidak dapat ditelah atau dimuntahkan.

Beginilah akhlak ulama’ salaf kita yang terdahulu sebagai warisan daripada Rasulullah SAW. Dalam hadith riwayat al-Bukhari, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-

“Andai engkau mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya engkau akan sedikit tertawa dan banyak menangis.”

Demi Allah SWT, hati kita tidak seperti hati mereka. Apabila membaca ayat-ayat yang menceritakan azab neraka, kita masih boleh makan dengan lahapnya. Kita masih boleh tertawa dan bersenda gurau.

Semoga Allah SWT mengampuni kelalaian hati kita dan tidak menghukum kita kerananya. Semoga Allah SWT mengisi hati kita dengan keyakinan, keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Aamiin, Ya rabbal ‘alamiin.

Wallahua'lam.
Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment