Ingkar Sesudah Datang Bukti

“Orang yang kafir daripada Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) serta orang Musyrik, tidak akan terlepas (daripada kepercayaan dan amalan masing-masing) sehingga datang kepada mereka bukti yang jelas dan nyata. 

Iaitu seorang Rasul daripada Allah yang membacakan (kepada mereka) lembaran-lembaran suci. Terkandung dalamnya pelajaran-pelajaran dan hukum-hukum yang benar. 

Dan orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi kitab (Taurat dan Injil) itu, tidak berpecah-belah melainkan setelah datang kepada mereka bukti jelas nyata.”

(surah al-Bayyinah, 101:1-4)

Surah ini dinamakan dengan al-Bayyinah seperti kata pada ayat pertama yang bermaksud “bukti”. Sesetengah ulama’ menamakannya sebagai surah “Lam Yakun” dan yang lain menamakannya dengan al-Qayyimah seperti yang terdapat dalam ayat kelima.

Terdapat juga nama julukan yang lain seperti al-Bariyyah ataupun surah Ahl al-Kitab seperti yang dinyatakan oleh al-Suyuti sebagaimana yang digunakan oleh Ubay bin Ka’ab RA dalam mashafnya.

Menurut Sayyid Qutub, surah ini memaparkan banyak hakikat sejarah dan keimanan. Yang pertama, perutusan Nabi SAW kepada manusia yang membatalkan semua ajaran yang dibawa oleh risalah-risalah samawi terdahulu. 

Hakikat yang kedua adalah berkenaan Ahli Kitab yang sebenarnya berbeza pandangan selepas datangnya bukti. Manakala hakikat yang ketiga, sumber agama asalnya adalah satu iaitu daripada Allah SWT, kemudian diselewengkan oleh Ahli Kitab. 

Hakikat yang keempat ialah golongan Ahli Kitab yang menyelewengkan kebenaran adalah makhluk yang paling buruk sedangkan orang yang beriman dan beramal soleh adalah sebaik-baik makhluk.

Menurut al-Baqa’i dalam tafsir Nazm al-Durar, tema utama surah ini mengemukakan penjelasan bahawa al-Quran adalah sebuah kitab yang sempurna lagi tinggi kedudukannya. Dari sini datangnya cahaya dan petunjuk bagi manusia agar selamat daripada kesesatan. Manusia secara jelasnya terbahagi kepada dua kategori sama ada daripada kalangan yang mendapat petunjuk ataupun yang sesat.

Surah ini diletakkan dalam susunan yang ke-101 dari segi tertib turunnya iaitu selepas surah al-Talaq dan sebelum surah al-Hashr. Oleh sebab itu, waktu turunnya adalah sekitar tahun ke-3 ataupun tahun ke-4 selepas Hijrah dan pendapat ini disokong oleh kebanyakan mufassirin seperti al-Qurtubi dalam tafsirnya.

Ahli Kitab dan Musyrikin

Imam Ahmad RH meriwayatkan dalam Musnad-nya daripada Anas Bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada Ubay bin Ka’ab RA yang bermaksud:-

“Sesungguhnya Allah SWT telah memerintahkan aku untuk membacakan kepadamu:-

  لَمْ يَكُنِ ‌الَّذ‍ِ‍ي‍‍نَ كَفَرُ‌و‌ا‌ مِنْ ‌أَهْلِ الْكِت‍‍َ‍ابِ

Ubay lantas bertanya kepada Nabi SAW, “Apakah Allah menyebut namaku?” Jawab Nabi SAW, “Ya.” Lalu Ubay menangis.”

Hadith ini turut diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, al-Tirmizi dan an-Nasa’i daripada hadith Syu’bah.

Firman Allah SWT dalam ayat pertama surah al-Bayyinah, maksudnya:-

“Orang kafir daripada Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) serta orang Musyrik, tidak akan terlepas (daripada kepercayaan dan amalan masing-masing) sehingga datang kepada mereka bukti yang jelas nyata”

Ahli Kitab adalah golongan Yahudi dan Nasrani sementara Musyrikin ialah penyembah berhala dan api sama ada daripada kalangan orang Arab ataupun bukan Arab. Mereka merasakan bahawa mereka juga berada di pihak yang benar sehinggalah datangnya kebenaran kepada mereka.

Menurut Mujahid, perkataan مُ‍‍ن‍‍فَكّ‍‍ِ‍ي‍‍نَ merujuk kepada keteguhan mereka dalam kepercayaan itu sehingga datangnya bukti untuk disaksikan. Kata nama ini sebenarnya berasal dari perkataan اِْنفَكَ yang bermaksud sesuatu yang terpisah selepas sebelum itu ia dihubungkan dengan kukuh. Demikian juga sebagaimana yang dijelaskan oleh Qatadah. Jadi ayat ini membawa maksud bahwa golongan kafir itu meninggalkan keyakinan dan pandangan hidup mereka apabila sampai petunjuk dan bukti kebenaran Islam kepada mereka.

Bukti Yang Nyata

Kemudian Allah SWT menjelaskan bahawa bukti nyata yang dikemukakan kepada mereka itu adalah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:-

“Iaitu seorang Rasul daripada Allah yang membacakan (kepada mereka) lembaran-lembaran suci.”

Rasul yang dimaksudkan ialah Nabi Muhammad SAW, sedangkan lembaran yang suci itu ialah al-Quran.

Dalam surah ‘Abasa ayat 13-16, Allah SWT menjelaskan kedudukan al-Quran menerusi firman-Nya yang bermaksud:-

“(Ayat-ayat suci itu tersimpan) dalam naskhah-naskhah yang dimuliakan. Yang tinggi darjatnya, lagi suci (daripada segala gangguan). (Terpelihara) di tangan malaikat-malaikat yang menyalinnya daripada lohmahfuz. (Malaikat-malaikat) yang mulia, lagi yang berbakti.”

Imam al-Baghawi menjelaskan dalam tafsirnya Ma’alim al-Tanzil, kata sifat مُطَهَّرَة diberikan kepada al-Quran kerana isi kandungannya sentiasa terpelihara daripada penyelewengan dan pemalsuan. Ini berbeza daripada kitab-kitab sebelumnya yang telah dipinda untuk disesuaikan dengan kehendak para pemimpin daripada kalangan rahib dan pendeta.

Menurut Ibn Jarir, ayat ke-3 yang bermaksud “terkandung dalamnya pelajaran-pelajaran dan hukum-hukum yang benar.” adalah merujuk kepada panduan yang lurus, jelas dan tiada kekeliruan padanya.

Menerusi ayat ke-4, Allah SWT menegaskan bahawa Ahli Kitab tidak pernah menafikan kebenaran perutusan Nabi SAW sebelum kedatangannya. Malangnya sebaik sahaja mereka mengetahui bahawa Rasul terakhir itu dilantik daripada kalangan bangsa Arab, mereka mula berselisih antara yang menyokongnya.

Antara yang memeluk Islam dengan keyakinan yang sebenar-benarnya adalah seperti ‘Adi bin Hatim, Salman al-Farisi dan Tamim al-Dari yang beragama Kristian sebelum itu.

Dari kalangan Yahudi yang masuk Islam pula antaranya ialah Abdullah bin Salam yang mempunyai kenangan yang menarik semasa pengalaman keislamannya. Peristiwa ini dikemukakan berpandukan kepada hadith sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim bagi menunjukkan kebenaran firman Allah SWT dalam ayat ke-4 ini.

Menafikan Setelah Datang Kebenaran

Abdullah bin Salam mempelawa Nabi SAW untuk bertemu para pemimpin agama Yahudi untuk mengenal pasti sikap mereka. Baginda SAW bersetuju lantas menurut ajakan Abdullah bin Salam. Setelah sampai di tempat yang dituju, Abdullah bin Salam telah bersembunyi agar tidak dilihat oleh orang Yahudi itu. Lantas Baginda SAW terus bertanya kepada mereka mengenai Abdullah bin Salam.

Mereka menjawab:-

“Dia adalah orang yang terbaik, generasi yang terbaik, malah dia juga seorang cendiakawan yang lahir daripada salasilah keluarga terhormat. Dialah yang terbaik di kalangan yang terbaik di sisi kami.” 

Kemudian Rasulullah SAW mengajukan persoalan lagi:-

“Apa pendapat kalian jika Ibn Salam ini masuk Islam?” 

Lalu mereka menjawab serentak:-

“Semoga Allah melindunginya daripada perbuatan itu.”

Baginda SAW pun berkata:-

“Mengapa kamu berkata begitu? Bukankah kamu semua telah tahu tentang perkhabaran Nabi akhir zaman dan tanda-tanda tersebut ada padaku. Sesungguhnya aku adalah Rasulullah, penutup sekalian para nabi dan rasul. Hal ini telah dijelaskan dalam kitab-kitab kamu dan juga wasiat nabi-nabi sebelum ini.”

Mereka mengelengkan kepala sebagai tanda tidak mengiktiraf kerasulan Nabi SAW. Tiba-tiba Abdullah bin Salam pun keluar dari tempat persembunyiannya dan berkata:-

“Aku bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad SAW adalah Rasul-nya. Wahai sekalian Bani Israel! Bukankah kamu sedia maklum tentang kebenaran Rasul akhir zaman ini? Marilah kita bersama-sama memeluk Islam!”

Walau bagaimanapun, mereka terus mencemuh Abdullah dengan mengatakan:-

“Demi Tuhan! Dia seorang pendusta daripada kalangan kami. Bapanya juga seperti itu, seorang yang terkenal sebagai buruknya perangai daripada kalangan kami.”

Abdullah kembali menemui Rasulullah SAW dan berkata kepada Baginda SAW:-

“Wahai Rasul Allah! Sesungguhnya kaum Yahudi ialah bangsa yang gemar mengada-adakan kebohongan. Jika mereka mengetahui keislamanku sebelum diberitakan kepada mereka, pasti mereka akan memuat kebohongan atas diriku di hadapanmu wahai Rasul Allah.”   

Wallahua'lam.
Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment