Menikmati Sakit

Sesungguhnya mensyukuri nikmat itu suatu kewajipan ke atas orang yang beriman.

Manakala kesihatan merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan Allah SWT kepada seorang hamba.

Namun kenikmatan itu hanya dapat diukur oleh orang yang sedang sakit.

Manusia dapat menilai erti kesihatan hanya apabila nikmat tersebut hilang.

Bilamana sakit menimpa, maka sekaligus ia telah melenyapkan kebahagiaan.

Dalam sebuah hadith riwayat Imam al-Bukhari daripada Ibn Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Ada dua nikmat yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia iaitu kesihatan dan waktu lapang.”
Namun orang yang beriman, apabila ditimpa musibah penyakit ia tetap berzikir kepada Allah SWT, bersyukur, bersabat dan mengharap ganjaran pahala.

Sebagaimana sebuah hadith riwayat Muslim daripada Suhain RA, beliau berkata:-
“Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud):-

“Sungguh ajaib keadaan seorang Mukmin. 
Seluruh keadaannya pasti menjadi baik. 

Dan ia tidak dimiliki oleh sesiapa pun melainkan orang beriman, apabila ia memperoleh kenikmatan, ia akan bersyukur, maka kesenangan itu akan menjadi kebaikan buat dirinya. 

Apabila ditimpa musibah, ia akan bersabar dan musibah itu menjadi kebaikan buat dirinya.”
Sakit Dapat Menghapuskan Dosa

Sekiranya orang yang sakit mahu merenung pelbagai keuntungan dan kebaikan daripada penyakitnya, nescaya ia tidak akan mengangankan kesembuhan daripada penyakit tersebut.

Selain penyakit dapat menghapuskan dosa-dosa, ia juga dapat mengangkat darjat seseorang di sisi Allah SWT. Sebuah hadith riwayat at-Tirmizi daripada Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Sesungguhnya balasan pahala yang besar diperoleh melalui ujian yang besar, kalau Allah mencintai seseorang pasti Allah akan memberikan ujian kepadanya. 

Sesiapa yang redha menerima ujian Allah, maka baginya keredhaan-Nya. Dan sesiapa yang kecewa menerimanya, nescaya ia akan menerima kemurkaan-Nya.”
Apabila cubaan dan penyakit menimpa orang yang memiliki hubungan baik dengan Allah SWT , lalu ia mampu bersabar, nescaya semuanya itu menjadi tanda kebaikan dan tanda cinta kasih daripada Tuhannya. 

Sebuah hadith riwayat at-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Kalau Allah menginginkan kebaikan bagi seseorang hamba, maka Allah akan percepatkan seksaan di dunia.”
Abdullah bin Mas’ud RA pernah menemui Rasulullah SAW ketika baginda SAW mengalami demam teruk. Beliau bertanya:-
“Wahai Rasulullah! Engkau juga mengalami demam seteruk ini?”

Baginda SAW menjawab:-

“Betul. Bahkan aku merasai demam dua kali ganda lebih berat daripada yang biasa yang kamu rasakan.” 
Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Saad bin Abi Waqas RA pernah ditanya seseorang:-

“Siapakan orang yang paling berat cubaannya?”

Beliau menjawab:-

“Rasulullah SAW pernah bersabda:-

“Orang yang paling berat cubaannya ialah para nabi, kemudian diikuti orang yang berikutnya (iaitu orang di bawah kedudukan mereka) secara berturut. 

Seorang hamba akan mendapat cubaan yang sesuai dengan kadar imannya. 

Sekiranya imannya kuat, maka cubaan yang menimpanya juga berat. Sekiranya imannya lemah, maka cubaan yang menimpanya juga sesuai dengan kadar imannya. 

Cubaan akan terus menimpa seorang hamba, sehinggalah ia berjalan di muka bumi tanpa memiliki sebarang dosa lagi.”

Suatu hari, Rasulullah SAW datang menemui Ummu al-Saib. Baginda bertanya:-
“Kenapa engkau mengigil seperti itu wahai Ummu Saib?”

Wanita itu menjawab:-

“Demam. Allah tidak memberkati padanya.”

Rasulullah SAW bersabda:-
“Jangan engkau mengutuk penyakit demm kerana penyakit itu boleh menghapuskan dosa-dosa anak-anak Adam.” 
Hadith Riwayat Muslim
Mengharapkan Sakit

Imam Ibn al-Dunya RH menceritakan:-
“Sesungguhnya para ulama’ terdahulu mengharapkan ditimpa demam pada satu malam agar diampunkan dosa-dosa mereka yang lampau.”
Mengapa perlu bersedih apabila ditimpa penyakit? 

Kemungkinan dengan penyakit itu kita memiliki kedudukan di sisi Allah SWT yang tidak dapat dicapai oleh perbuatan amal ibadat.

Jadi, Allah SWT terus memberi cubaan kepada kita dengan hikmah-Nya yang mungkin kita tidak menyukainya, lalu Dia mengurniakan kepada kita kesabaran dalam menghadapinya sehingga kita mencapai kedudukan tersebut.

Antara Maha Lembutnya Allah SWT dan rahmat-Nya, bahawa apabila Allah SWT menutup satu pintu kebaikan bagi seseorang, nescaya Dia akan membuka banyak lagi pintu kebaikan yang lain.

Bagi orang yang sakit, Allah SWT tidak menghalangnya daripada mendapat pahala daripada pelbagai ibadah yang biasa mereka lakukan, meskipun mereka tidak menyempurnakannya lagi kerana mereka sedang sakit.

Sebuah hadith riwayat al-Bukhari, daripada Abu Musa al-‘Asyari RA, beliau bercerita:-

“Rasulullah SAW bersabda:-
“Kalau seseorang hamba sakit atau sedang dalam musafir, pasti Allah akan menulis baginya pahala seperti ketika ia mengamalkan ibadah semasa masih sihat dan sedang bermukim.”
Kemuliaan apa lagi yang mahu diperoleh setelah diberikan Allah SWT kemuliaan ini? Keutamaan apa pula yang lebih luas selain daripada keutamaan daripada Allah SWT yang mengurniakan pelbagai kenikmatan? Ketika sakit, seorang hamba berehat, namun Allah SWT masih menulis pahala daripada ibadah dan perbuatan baik yang diamalkan semasa sihat.

Selepas Kesukaran Ada Kemudahan

Sesungguhnya setiap kali Allah SWT mendatangkan kesusahan, pasti Allah SWT datangkan kemudahan sesudahnya. Ini kerana ia sudah menjadi sunnatullah yang berlaku kepada makhluk-Nya.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Insyirah ayat 5 hingga 6 yang bermaksud:-

“Kerana sesungguhnya sesudah kesusahan itu, ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesusahan itu, ada kemudahan.”

Boleh jadi pelbagai kesikaran dan kesulitan itu membuatkan seseorang hamba itu tertekan jiwanya, namun pasti ada jalan keluar di sisi Allah SWT yang akan diperolehinya. Mungkin sahaja seseorang yang menghadapi saat kesukaran dan dirasakan tidak akan dapat memperoleh penyelesaian, tiba-tiba terbuka di hadapannya jalan keluar daripada kesukaran yang tidak pernah difikirkan selama ini.

Orang yang terkena bencana musibah, hakikatnya sedang menanti kesenangan dan orang yang sedang dalam kesenangan, hakikatnya sedang menanti musibah.

Jangan Ikut Telunjuk Syaitan

Syaitan tidak berasa letih untuk menyesatkan seorang Muslim sama ada semasa ia kuat atau lemah, sihat mahupun sakit. Oleh sebab itu, hendaklah kita berjaga-jaga terhadap langkah-langkah syaitan setiap masa. 

Perkara-perkara berikut perlu diambil perhatian semasa sakit:-

1. Jangan sampai berburuk sangka terhadap Allah SWT atau berasa kecewa dan berputus asa. Sebuah hadith diriwayatkan oleh Imam Ahmad RH daripada Abu Hurairah RA, daripada Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-

“Bahawa Allah SWT berfirman:-

“Aku hanya mengikut sangkaan hamba-Ku sahaja. Kalau ia bersangka baik kepada-Ku, Aku pun akan berbuat begitu. Kalau ia bersangka buruk kepada-Ku, Aku pun akan berbuat begitu terhadapnya.”

Maksud daripada hadith tersebut, apa-apa sahaja yang ada dalam persangkaan seseorang hamba, maka begitulah yang Allah SWT lakukan terhadapnya. Jika hamba berkenaan bersangka baik terhadap Allah SWT, maka Allah SWT akan memberikan perkara-perkara yang baik. Sebaliknya jika seseorang itu bersangka buruk terhadap dirinya, maka Allah SWT akan menganggap ia sebagai suatu doa, bahkan Allah SWT akan mengabulkan doa-doa itu sesuai dengan permintaannya. Maka sentiasalah menjaga dan meluruskan niat kerana Allah SWT sentiasa mengikut sangkaan kita.

2. Sebaik-baiknya jangan menghebahkan khabar sakit dan mengeluh.

3. Jangan membuang masa dengan pekerjaan yang sia-sia seperti mendengar, melihat atau bercakap perkara-perkara yang haram.

4. Jangan ambil remeh soal menutup aurat ketika terlantar sakit.

5. Jangan berubat dengan unsur atau perkara yang haram sebagaimana hadith riwayat Abu Daud RH, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-

“Sesungguhnya Allah menurunkan penyakit dengan ubatnya dan diciptakan ubat bagi segala penyakit. Maka berubatlah, tetapi jangan menggunakan yang haram.”

Antara perubatan haram yang perlu dielakkan adalah seperti mendatangi dukun atau ahli sihir. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-

“Sesiapa yang mendatangi tukang tilik, lalu mempercayai apa yang diucapkannya, maka ia telah kafir terhadap ajaran yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.”


Sesungguhnya ia merupakan cara yang hina dan sia-sia di dunia, di akhirat nanti akan memperoleh kerugian dan kehinaan pula.

Apabila seseorang hamba itu bersabar menahan beratnya penyakit tersebut dan rasa sakit yang hebat, itu lebih baik daripada menempuh cara yang akan mengiringinya ke dalam neraka yang menyala-nyala.

Wallahua'lam.
Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment