Tinggalkan Larangan Allah SWT - Mencabar Wibawa Mukmin

Semua orang hendak masuk ke syurga apatah lagi sekiranya ditawarkan masuk ke sana tanpa proses perbicaraan.

Namun hakikatnya syurga itu hanya menempatkan orang yang terbaik dan terpilih sahaja. Mereka ialah golongan yang dirahmati Allah SWT dan berat timbangan mizannya.

Sebenarnya dalam hal ini Allah SWT telah memberi jaminan dengan firman-Nya yang bermaksud:-

“Sesungguhnya orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.” (surah al-Zumar 39:10)

Sabar memang senang disebut selembut lidah, tetapi agak sukar untuk direalisasikan kerana kesabaran seseorang mudah tercabar. Malah ada satu ungkapan yang sering diucapkan antara lain berbunyi:-

“Sabar juga ada hadnya.”

Maksud daripada kenyataan itu adalah seseorang boleh bersabar tetapi sekiranya tekanannya berlebihan mereka boleh hilang sabar.

Kalau begitulah sifat dan sikap manusia, bagaimana mereka boleh masuk syurga?

Hal ini kerana antara orang yang layak masuk syurga ialah orang yang sabar. Oleh sebab itu, falsafah “sabar ada batasnya” tidak boleh digunapakai oleh mereka yang mahu berjaya dalam kehidupan. Jadi, sabar mesti menjadi budaya orang Mukmin.

Sebenarnya sabar ada kaitan dengan perjuangan atau jihad. Apapun yang kita lakukan di dunia ini adalah satu perjuangan yang memerlukan pengorbanan. Mungkin hari ini kita boleh menyelesaikan satu perjuangan tetapi hari esok masih ada perjuangan lain yang perlu diteruskan. 

Di sinilah perlunya kesabaran.

Hakikat Sabar

Sabar ialah perbuatan menahan diri daripada keluh-kesah terhadap sesuatu yang tidak disukai. Ya, sesetengah orang tidak suka dikongkong atau diperintah itu dan ini, apatah lagi soal kehidupan yang tidak selesa. Semua itu merupakan lumrah kehidupan yang perlu dilalui dengan sabar.

Realiti yang dapat dilihat pada hari ini, umat Islam mudah hilang sabar walau berdepan dengan sedikit ujian kehidupan. Malah kadang-kadang ujian kesenangan  juga membuatkan mereka hilang sifat sabar. Apabila mendapat sedikit kesenangan sahaja sudah mula sombong. Hal ini kerana mereka lupa bahawa semua itu datang daripada Allah SWT bagi menguji kesabaran mereka.

Umat Islam dalam keadaan apa sekalipun memerlukan kesabaran ketika menghadapi tiga perkara berikut:-
  1. Menahan diri daripada keluh kesah dan suka mengadu kepada selain daripada Allah SWT ketika berlaku sesuatu musibah atau bala bencana.
  2. Menahan diri dalam mentaati segala perintah Allah SWT.
  3. Menahan diri dalam meninggalkan segala larangan Allah SWT.

Lazimnya apabila seseorang itu ditimpa bencana atau kemalangan, hatinya mula menyalahkan sesuatu pihak dan jiwanya mudah resah dan gelisah sehingga mudah mencetuskan kemarahan. Malah orang yang hendak menolong pun ada yang menjadi mangsa kemarahannya.

Mengapa mereka sukar bersabar?

Sudah tentu kerana mereka tidak membiasakan diri dengan sifat itu. Padahal mereka boleh bertenang dan terus mengadu kepada Allah SWT bagi meringankan bebanan bencana itu dan tentu akan datang sedikit rasa tenang.

Sememangnya mereka yang mampu mengadu kepada Allah SWT dalam keadaan teruji dengan pelbagai ujian, pasti dibantu untuk bersabar menghadapi ujian tersebut. Firman Allah SWT yang bermaksud:-

“Kemudian Tuhanmu (memberikan pertolongan) kepada orang yang telah berhijrah sesudah mereka difitnah (oleh kaum Musyrik), kemudian mereka berjihad serta bersabar. Sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu (iaitu sesudah mereka menderita dan bersabar dalam perjuangan) adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (surah an-Nahl 16:110)


Sabar Dalam Menunaikan Ketaatan

Selain itu, umat Islam juga disaraakan supaya bersabar dalam menunaikan perintah Allah SWT. Membaca kenyataan itu, mungkin ramai yang menganggapnya sesuatu yang lucu. Mengapa pula perlu bersabar dalam menunaikan perintah Allah SWT? Adakah di sini ada tekanan yang memerlukan kesabaran?

Memang kedengarannya seperti lucu tetap tahukah kita, perintah Allah SWT inilah yang sering diabaikan oleh umat Islam. Jika perintah Allah SWT yang semestinya untuk kebaikan umat Islam pun boleh ditolak, adakah ada jaminan larangan-Nya boleh ditaati dengan senang hati? Umat Islam yang menolak perintah Allah SWT itu hakikatnya tidak sabar.


Ya, betapa ramainya umat Islam yang tidak menunaikan solat fardhu. Betapa ramainya umat Islam yang tidak menutup aurat. Bukankah kedua-duanya perintah Allah SWT? Mengapa mereka tidak mahu melaksanakan perintah Allah SWT itu? Jelas mereka tidak mampu bersabar kerana tewas dengan godaan nafsu dan syaitan.

Bayangkan dalam menuruti perintah Allah SWT, ramai yang tewas; mampukah kita bersabar dalam meninggalkan larangan-Nya? Hal ini kerana setiap larangan Allah SWT itu berupa tarikan nafsu yang amat kuat. Malah ada antaranya yang membawa kepada keseronokan yang sangat disukai oleh hawa nafsu manusia.

Mereka tahu kesan daripada melanggar perintah Allah SWT boleh menyebabkan kita terhumban ke dalam neraka. Kita juga tahu terdapat seksaan apabila dimasukkan ke dalam neraka, malah kita tahu di dunia ini juga, kita akan dibenci oleh manusia. Namun kerana tarikan untuk menikamti keseronokan itu lebih kuat, kita terus melakukan dosa. Hanya segelintir sahaja yang berjaya menolaknya dengan sabar hasil pertolongan Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud:-

“Wahai sekalian orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan (mengerjakan) solat kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang yang sabar.” (surah al-Baqarah 2:153)

Sabar Menolak Kemungkaran

Cabaran terbesar kepada umat Islam pada hari ini adalah untuk menolak kemungkaran yang berada di hadapan mata. Semua itu memerlukan kesabaran yang jitu. Mungkin ramai yang boleh bersabar dalam menempuh musibah yang melanda, tetapi tidak boleh bersabar untuk menahan rasa marah kepada orang yang menyebabkan musibah itu.

Hanya orang yang benar-benar beriman kepada Allah SWT sahaja yang mampu bersabar dalam semua keadaan kerana mereka mengetahui bahawa segala perkara yang berlaku kepada dirinya adalah kehendak Allah SWT. Sesuatu yang sudah ditakdirkan tidak dapat dielakkan lagi. Demikian orang yang taat, tidak akan berasa susah untuk mengerjakan perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Kita boleh menilai tahap kesabaran masing-masing berdasarkan pecahan sabar dalam gambarajah yang disertakan sekali di sini. Ketahuilah bahawa tahap sabar ini sangat berkait rapat dengan sejauh mana tinggi rendah iman kita. Imanlah yang menyebabkan kita mampu bersabar untuk menolak kemungkaran atau tidak. Jadi setiap umat Islam perlu memiliki iman dan sabar pada tahap ini demi menghadapi cabaran masa kini dan akan datang.

Wallahua'lam.
Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment