Liwat adalah antara perbuatan derhaka yang boleh merosakkan sendi-sendi kehidupan manusia serta boleh menghancurkan keharmonian di dunia ini. Ini kerana, lelaki dan perempuan yang terlibat dengan liwat sebenarnya hidup tanpa mempedulikan peraturan dunia, apatah lagi peraturan Allah SWT.
Maka amat logik jika hukumannya sama ada di dunia mahupun akhirat sangat berat, bahkan hukuman yang paling berat antara hukuman-hukuman berat yang lain.
Takrif Liwat
Dikemukakan di sini dua takrif berkenaan maksud perbuatan terkutuk di atas:-
1. Liwat iaitu hubungan jenis melalui dubur. Sedangkan meliwat pula ialah seseorang melakukan liwat terhadap seseorang. (Kamus Dewan Edisi ke-4, halaman 950)
2. Homoseks. Ia memberi beberapa maksud:-
- Cenderung, tertarik dari segi seks kepada orang yang sama jenis jantina dengannya.
- Orang yang tertarik nafsu syahwatnya kepada orang yang sejenis dengannya terutamanya lelaki dengan lelaki.
Sementara Homoseksualiti pula bererti keinginan nafsu syahwat atau hubungan seks hanya dengan orang yang sama jantina dengannya.
Ancaman Liwat
Banyak dalil yang menunjukkan haramnya perbuatan liwat:-
1. Al-Quran
1.1. Firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan keji yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun daripada penduduk alam ini sebelum kamu?”.” (surah al-A’raf 7:80)
Al-Maraghi berkata:-
“Perbuatan yang tidak pernah dilakukan oleh seseorang pun sebelum kamu pada mana-mana zaman tetapi perbuatan itu termasuk dalam perkara baru yang kamu buat dalam soal kerosakan sehingga kamu merupakan satu contoh dan teladan perbuatan jahat. Oleh sebab itu, kamu akan menerima dosa daripada sesiapa sahaja yang mengikuti kamu dalam melakukannya hingga hari kiamat.”
1.2. Firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki daripada kalangan manusia. Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-isteri kamu? (Kamu orang yang bersalah) bahkan kamu ialah kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyakan haiwan)!” (surah al-Syua’RA 26:165-166)
Ibn Kathir berkata:-
“Tatkala Nabi Allah Lut AS melarang mereka daripada melakukan perbuatan keji dan hina dengan mendatangi lelaki secara liwat atau homoseks, Baginda menunjukkan mereka supaya bersam wanita yang Allah SWT jadikan mereka sebagai pasangan tetapi malangnya mereka mengingkari saranan Nabi Lut AS malah menghalaunya keluar dari negeri tersebut.”
2. Hadith
Antara hadith yang menunjukkan ancaman liwat ialah:-
2.1. Ibn Abbas RA mendapat sebuah hadith Nabi Muhammad SAW yang isinya tentang hukuman pelaku liwat bahwa Baginda SAW bersabda yang bermaksud:-
“Sesiapa antara kamu yang menemukan seseorang yang melakukan sebagaimana yang dilakukan oleh kaum Lut, maka bunuhlah kedua-duanya sama ada pelaku liwat mahupun orang yang diliwat.” (Hadith ini diriwayatkan oleh Asbab al-Sunan dan disahihkan oleh Ibn Hibban dan lainnya sedangkan pendapat Imam Ahmad berdasarkan hadith ini dan sanadnya mengikut syarat al-Bukhari)
2.2. Dalam hadith lain disebutkan, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:-
“Allah SWT melaknati seorang yang melakukan sebagaimana yang dilakukan oleh kaum Lut, Allah melaknati seseorang yang yang melakukan sebagaimana yang dilakukan oleh kaum Lut, Allah SWT melaknati seseorang yang melakukan sebagaimana yang dilakukan oleh kaum Lut.” (HR at-Tabarani)
3. Athar
Dalam kitab al-Kaba’ir oleh al-Zahabi menyebut:-
“Orang yang melakukan perbuatan keji dengan mendatangi lelaki pada duburnya iaitu daripada kaum Nabi Lut AS bertempat di perkampungan Sadom. Mereka sangat suka melakukan perbuatan keji dan terkutuk sebagaimana dijelaskan oleh Allah SWT dalam al-Quran. Antara perbuatan terkutuk tersebut ialah homoseksual atau liwat dengan menyetubuhi duburnya. Mereka tanpa segan silu melakukannya di hadapan khalayak ramai ataupun di kelab-kelab pertemuan khas sesama mereka."
Riwayat Ibn Abbas RA, terdapat sepuluh perbuatan keji yang dilakukan oleh golongan tersebut:-
• Menggulung rambut dan melepaskan kain tutup aurat
• Menembak dengan senapang
• Melaga atau menyabung burung-burung merpati dara
• Meniup dengan jari-jari sebagai peluit
• Mengikat buku-buku lali
• Melabuhkan pakaian (sehingga menyapu jalan)
• Melepaskan kancing baju
• Mencandui minuman keras
• Mendatangi lelaki pada dubur
Hukuman Liwat Lebih Berat Daipada Zina?
Para ulama’ berbeza pendapat sama ada hukuman liwat itu lebih berat daripada zina ataupun sebaliknya hukuman zina lebih berat daripada liwat, ataupun kedua-duanya sama berat.
Ada tiga pendapat yang dikemukakan oleh ulama’:-
Pendapat Pertama
Abu Bakar as-Siddiq RA, Ali Ibn Abi Talib RA, Khalid Ibn al-Walid RA, Abdullah Ibn Zubair, Abdullah Ibn Abbas RA, Jabir Ibn Zaid, Abdullah Ibn Mu’ammar, al-Zuhri, Rabi’ah Ibn Abdul Rahman, Malik, Ishak Ibn Rahawaih, Imam Ahmad dalam riwayat yang paling sahih, Imam as-Syafi’e dalam satu pendapatnya bahawa hukuman liwat adalah lebih berat daripada hukuman zina dan sebagai hukumannya adalah wajib dibunuh sama ada orang yan telah bernikah atau yang belum bernikah.
Pendapat Kedua
Atha’, Ibn Abi Rabah, Hasan al-Basri, Sa’id Ibn Musayyab, Ibrahim al-Nakha’I, Qatadah, al-Auza’I, al-Syafi’e dalam mazhab zahirnya, Imam Ahmad pada riwayatnya yang kedua, Abu Yusuf dan Muhammad bahawa hukuman zina dan hukuman liwat adalah sama.
Pendapat Ketiga
Pendapat Abu Hanifah bahawa hukuman liwat itu lebih ringan berbanding hukuman zina. Oleh sebab itu, orang yang melakukan liwat hukumannya ditakzir (dihukum agar serik). Menurut pendapat ini kerana kemaksiatan yang dilakukan oleh hamba di dunia ini ada hukuman yang telah ditentukan oleh Allah SWT dan ada yang tidak ditentukan-Nya. Liwat ini termasuklah kederhakaan yang tidak ditentukan hukumannya oleh Allah SWT dan Rasul-Nya.
Untuk kemaksiatan yang hukumannya masih tidak mutlak, langkah yang paling tepat adalah dengan memberi hukuman takzir sebagaimana maksiat memakan makanan haram, anjing, khinzir dan sebagainya. Menurut pendapat ketiga ini, liwat termasuk bersetubuh tidak pada tempatnya. Allah SWT tetap murka terhadap perbuatan seperti itu meskipun dilakukan oleh haiwan namun hukumannya tidak seperti berzina.
Penutup
Syed Qutub RH berkata:-
“Dosa keji dengannya dikenali kaum Lut ialah keganjilan seks iaitu meninggalkan perempuan dan melakukan persetubuhan dengan lelaki. Ia adalah penyelewengan fitrah yang buruk.”
Allah SWT menciptakan lelaki dan perempuan dan menanamkan kecenderungan semulajadi pada kedua-duanya saling mencintai antara satu sama lain untuk melaksanakan hikmah dan kehendak Ilahi iaitu melangsungkan kewujudan zuriat menerusi hubungan kelamin antara lelaki dan perempuan.
Kecenderungan lelaki kepada perempuan dan sebaliknya ini merupakan sebahagian daripada undang-undang alam iaitu undang-undang yang menjadikan segala apa yang wujud di alam ini berada dalam keadaan yang selaras dan bekerjasama untuk melaksanakan kehendak Allah SWT. Perbuatan hubungan kelamin sesama lelaki, tidak membawa kepada sesuatu matlamat atau tujuan tertentu, justeru amat tidak sesuai dengan kehendak dan undang-undang alam.
Kelazatan yang dirasai lelaki dan perempuan dalam hubungan tersebut merupakan fitrah untuk melaksanakan kehendak Ilahi. Penyelewengan daripada undang-undang alam sebagaimana perbuatan kaum Lut itu amat jelas.
Oleh yang demikian, sama ada mereka membetulkan penyelewengan tersebut atau menghadapi akibat kebinasaan kerana mereka telah keluar daripada garisan fitrah dan mengabaikan hikmah kewujudan mereka iaitu melanjutkan hayat manusia melalui perkahwinan sah dan beranak pinak.
Wallahua'lam.
Blogger Comment
Facebook Comment